Friday, December 25, 2009

'Asyura

Hari ni 9 Muharram. Esok 10 Muharram adalah hari 'Asyura.

Hari 'Asyura mengingatkan kita kepada bubur asyura. Bubur yang dicampur segala macam rempah, buah-buahan, dan kekacang.

Ustaz kat sekolah dulu cakap bubur ni dahulunya dimasak oleh nabi Nuh ketika berada di atas bahtera. Oleh sebab masing2 bawa makanan dan rempah ratus sendiri, maka orang2 di atas bahtera campurkan saja semua makanan yang ada dalam satu masakan. Maka lahirlah bubur asyura.

Bila dah besar baru aku tahu rupa-rupanya cerita tu cerita palsu. Entah datang dari mana pun aku tak tahu. Mungkin israiliyyat atau mungkin juga mitos melayu purba. Tapi betapa popularnya cerita ni sampai dijaja dalam kuliah dan khutbah jumaat!

Islam bila disadur dengan kisah2 dongeng rakyat, maka tertutuplah kesuciannya.

Apakah mereka menyangka nabi Nuh diutus untuk menjadi seorang chef?

Untuk mengajarkan umatnya cara2 memasak resepi baru? masak bubur asyura?!

Bacalah surah Nuh. Betapa hebatnya dakwah para nabi terdahulu. Sehingga ada riwayat mengatakan selama 950 tahun hidup, hanya beberapa saja yang mengikuti. Firman ALLAH (maksudnya):

"Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); maka seruanku itu tidak menambahkan mereka apa-apa selain daripada mereka melarikan diri (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada beriman) agar Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan jari ke dalam telinga mereka, dan berselubung dengan pakaian mereka, serta terus berdegil, dan sombong takbur dengan melampau. Kemudian aku telah seru mereka dengan terang-terang; selain dari itu, aku menyeru mereka secara terbuka, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan sembunyi" (Surah Nuh ayat 5-9).

Inilah kisah2 yang sepatutnya dijaja kepada masyarakat, bukannya kisah dongeng bubur asyura!

Selain bubur asyura yang sedap itu, hari 'Asyura juga mengingatkan kita kepada kelompok syiah yang akan menangisi dan meratap atas kematian cucunda nabi Husain radhiallahu'anh.

Mereka akan mencederakan diri masing2 dengan memukul2 badan, kepala, dan segala anggota yang boleh dipukul. Sehingga anak kecil juga dipukul agar berdarah anak itu, maka terbuktilah kecintaan mereka kepada ahlul bait!

Lihat betapa bodoh perilaku mereka ini!

Inilah dia syiah. Ajaran sesat yang tertua di dunia. Ia established sehingga boleh mendirikan sebuah republik. Semoga kita dilindungi daripada fitnah syiah di bumi Malaysia.

Adapun di hari 'Asyura, Rasulullah telah mengajar satu amalan yang sangat tinggi ganjarannya iaitu puasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura). Namun yang lebih afdhal ialah dengan mengahwinkannya dengan hari sebelumnya iaitu pada 9 Muharram (hari tasu'a) demi menyelisihi amalan kaum yahudi yang berpuasa pada hari 'Asyura. Antara dalil2 sahih yang boleh didapati ialah:

عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Untuk tahun ni, 9 dan 10 Muharram jatuh pada 26 dan 27 Disember iaitu hari Sabtu dan Ahad. Jom kita sambut hari yang penuh barakah ini dengan berpuasa. Sesiapa ada buat bubur asyura tu, harap boleh kongsi bersama.

Semoga amalan baik kita diterima oleh ALLAH.

Wallahua'lam.

Monday, December 21, 2009

Hidup Biar Beradab

Ada orang sangat suka cakap pasal 'adab'.

Bagus. Tapi kalau benda adab ini hanya dituju kepada satu pihak, sementara melupakan pihak lain, maka itu bukan adab.

Adab itu untuk semua. Jangan engkau suruh orang beradab dalam masa yang sama engkau sendiri yang biadab. Jangan kau menuding jari telunjuk sedang jemari yang lain mengacu ke batang hidung sendiri.

Ada orang yang menggelar sikap sesetengah pihak yang mengkritik pendapat ulama sebagai "Intellectual Barbarism" a.k.a "kebiadapan intelektual". Sedangkan bukan fenomena yang pelik jika pendapat seorang alim dinilai semula dengan hujah dan dalil.

Tapi orang yang darah tidak mengalir ke otaknya beranggapan ini sebagai biadap! Tak hormat ulama! menyalahi ijma'! Tak ikut arus perdana! dan macam2 slogan lain lagi yang lucu2.

Kalaulah mengkritik PENDAPAT para ulama' - semoga ALLAH merahmati mereka - dikira sebagai biadap, telah biadap pula ulama' besar kita yang terdahulu kerana ternyata ramai antara mereka yang mengkritik pendapat satu sama lain. Isu biadap tak timbul kerana minda mereka tidak beku lagi kaku untuk berfikir secara ilmiah dan bebas. Bebas daripada segala taqlid dan taksub buta kepada mana2 tokoh.

Sebenarnya, biar aku beritahu. "Intellectual barbarism" itu adalah apabila seseorang yang mencedok / plagiat karya orang lain lalu dikatakan itu adalah hasil karyanya. Itulah kebiadapan yang sebenar.

Biadap secara intelektual juga bila mana seseorang menipu nota kaki, menukilkan perkataan para ulama yang bercanggah dengan perkataan yang sebenar, membawa hadith palsu lalu diberitahu 'hadith sahih', dan membuang mana2 fakta yang tak selari dengan hawa nafsu lalu diganti dengan fakta ciptaan sendiri. Inilah biadap.

Maka, usahlah engkau meludah ke langit. Kelak mengena muka sendiri lalu engkau yang mendapat malu.

Untuk mengetahui lebih lanjut apa itu intellectual barbarism, anda dijemput untuk mendapatkan buku di bawah:


Untuk edisi ebook online, sila ke SINI.

Wednesday, December 9, 2009

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah


Oleh: Panel Penyelidik Institut al-Qayyim
Sumber: Forum al-Fikrah.net

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

Sunday, December 6, 2009

Hikmah

Bila cakap pasal dakwah, semua orang wajib berdakwah.

Tak kisah dalam skala kecil atau besar, yang penting dakwah mesti jalan. Dakwah kepada diri, keluarga, rakan sebaya, masyarakat setempat.

Tak kisah juga dakwah itu bergerak dalam kumpulan (jamaah) atau secara sendirian berhad.

Kalau ada yang claim dakwah itu milik kumpulan, parti, atau jamaahnya saja, maka ia telah tersilap. Tiada siapa yang mengehadkan dakwah hanya boleh melalui jamaah atau hanya boleh dilakukan sekiranya ada jamaah, melainkan dia jahil tentang konsep dakwah dalam Islam yang syumul.

Apabila sudah mengetahui semua orang wajib menjalankan dakwah, maka tentulah dakwah itu tertakluk kepada method dan strategi2 tertentu. Cara berjamaah adalah cara terbaik dalam menggerakkan dakwah secara sistematik lagi teratur. Cuma satu perkara yang sangat penting untuk sentiasa diingati bersama, jamaah itu hanyalah wasilah dalam mencapai tujuan, bukannya destinasi yang ingin dituju.

Sebab itu perlu dipastikan dakwah itu adalah bersifat 'Ummah centric' dan bukan 'Jamaah centric'. Elakkan daripada sifat taksub kepada mana2 parti, aliran, atau tokoh pemikiran tertentu.

Bercakap perihal dakwah, satu perkara yang tidak mungkin terlepas ialah dakwah perlu dilaksanakan dengan HIKMAH. Hikmah ini satu perkataan yang ringan apabila dikata, tapi amat payah untuk dilaksana.

"Kita kalau nak dakwah kepada masyarakat perlu berhikmah iaitu dengan cara lemah lembut"

Pernyataan di atas bagi saya separuh betul dan separuh salah. Manakan tidak, hikmah itu bukan semestinya berlembut. Dalam keadaan2 tertentu, boleh jadi tindakan yang paling berhikmah sekali ialah dengan method penegasan.

Dalam sejarah, kita melihat contoh ketegasan para sahabat dalam berdakwah. Abdullah bin Mas'ud ialah seorang sahabat yang sangat tegas dalam memerangi bid'ah. Ini dapat diperkatikan tikamana beliau memarahi halaqah yang melakukan zikir secara berkumpulan sambil diketuai oleh seorang tekong. Ini tidak dilakukan oleh nabi yang mulia, maka Ibn Mas'ud memeranginya.

Ternyata, jika hikmah mahu ditafsirkan sebagai lemah lembut saja, maka Abdullah bin Mas'ud radhialluanh adalah seorang yang langsung tak berhikmah!

Dalam kesedaran masyarakat kita tentang bahaya bid'ah yang boleh mengubah syariat yang telah ditentukan ALLAH, maka ada yang menggunakan method keras untuk menanganinya. Mereka berdalilkan perbuatan Ibn Mas'ud untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Mereka seharusnya beringat, bahawa sifat umat Melayu dengan penduduk Saudi tidaklah sama. Bahkan sangat berbeza seperti langit dan bumi. Mereka berjiwa kental dan bersifat satu hala, masyarakat kita pula penuh dengan kesenian, sopan santun, dan budi pekerti. Bertutur dengan mereka tidak boleh terlalu straight dan rigid, akan tetapi perlu perlu berlapik dengan bahasa yang penuh HIKMAH.

Ibarat menarik rambut daripada tepung. Rambut tidak putus, tepung pula tidak bertaburan.

Sambil membanteras bid'ah yang keji lagi hina, kita juga dapat memastikan ukhuwah islamiah akan tetap terjaga.

Dukacita ada dikalangan pendakwah tidak memahami perkara ini.

Saya pernah mendapat laporan seorang Muslimah yang mempunyai kesedaran sunnah bangkit ketika imam (muslimah) sedang berdoa jama'i dan terus memarahi si imam. Alangkah terburu-buru tindakan yang semacam ini! Tidak bolehkah tunggu sehingga selesai doa dibaca, kemudian berbicara dengan tenang kepada mad'u yang ingin didakwah? Kadang2 kependekan akal menjadi musuh kepada diri sendiri.

Jangan kerana sikap kita yang ceroboh itu akhirnya memalitkan fitnah ke atas imej dakwah.

Kekadang kita perlu juga mengkritik dari dalam agar kita sentiasa dapat bermuhasabah lantas boleh memperbaiki dan mempersiap diri untuk masa hadapan. Dakwahlah dengan hikmah dan mau'izoh hasanah. Ia tidak mungkin dicapai melainkan kita menyandarkan dakwah kita kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Wallahua'lam.

Sunday, November 29, 2009

Haji

Antara penyakit umat Islam - atau paling tidak - umat Melayu ialah kegilaan mereka terhadap gelaran.

Ya, gelaran. Kadang2 tak ada pun kelayakan, atau tauliah, tapi sibuk menggelar diri sendiri dengan bermacam2 gelaran dan pangkat.

Orang Melayu panggil "masuk bakul angkat sendiri".

Kalau yang dah pegi haji, mesti mau dipanggil Haji sekian sekian. Kalau tak panggil alamatnya melentinglah dia. Mungkin tak pasal2 orang yg memanggil pula yg dimaki2. Lu pikir la sendiri haji mabrur ke dia atau haji mardud (haji yg tertolak)ke dia?

Lihatlah para sahabat, siapakah yang memakai gelaran haji? Pernah dengar ke dalam kitab2 sejarah nama Haji Abu Bakar, Haji Umar, Haji Uthman, atau Haji Ali?!

Entah datang dari mana gelaran haji ni pun tak diketahui. Kita lihat foreigner yang duduk arab pun tak letak nama haji. Kalau mereka tau kegilaan orang Melayu dengan gelaran haji ni, boleh jadi mereka terkejut beruk. Atau cultural shock.

Yang ustaz-ustaz pula, atau orang yang mengaji agama, sesetengahnya tak sah kalau tak ada gelaran2 tertentu. Kadang2 nak tulis nama dia pun payah! Sebab nama yang ditambah didepan dan dibelakang nama dia tersangatlah panjangnya.

"al-Fadhil al-Ustaz al-Allamah Haji Tok Lobai al-Muqri' al-Hafiz...................."

Memanglah gelaran itu penting untuk menentukan pangkat dan dalam kerangka menghormati keilmuan seseorang. Itu tak dinafi. Tapi yang mendatangkan masalah bila si pemakai gelaran menjadi terlalu 'gila' lagi 'obses' dengan gelaran itu.

Kita bersedia memberi gelaran yang baik2 sebagai tanda hormat JIKA gelaran itu memang selayaknya diberi kepada tuan empunya badan.

Kita tidak meggelar seseorang 'Muhaddith' jika hanya membaca beberapa baris hadith. Terlebih lagi jika hadith yang dibaca ialah hadith palsu!

Kita juga tidak meggelar seseorang 'ulama' bagi mana-mana individu yang pantas menuduh, memfitnah sesiapa tanpa bersandarkan fakta.

Sepatutnya jika seseorang yang tinggi ilmunya, dia akan semakin lama semakin dia merendah diri. Tawaduk. Ibarat resam padi, semakin berisi semakin tunduk. Ini tidak. Semakin hari semakin menjadi. Semakin lama semakin hidung tinggi.

Dalam bab ni, aku respek orang putih. Dalam banyak bab memang aku kutuk diorang, terlebih utama dalam bab tamadun. Tapi bila sampai bab 'humble and humility' dengan gelaran, memang diorang menang.

"Excuse me, Dr John"

"No, no. Just call me John"

Ini skrip biasa dalam movie2 orang putih. Tidak pula dijumpai benda yang sama dalam cerita2 Melayu atau cerita2 arab. Jangankan dalam movie, dalam realiti pun susah nak jumpa.

Contohilah para salaf umat ini dalam hal tawaduk. Tawaduk dengan ilmu, tawaduk dengan harta, tawaduk dalam akhlak. Padahal ada sebahagiannya yang dijanji syurga.

Usah tergilakan gelaran dan nama. Itu semua hanya sementara. Tak membawa ke mana. Tapi kalau mahu tergilakan juga, gilakanlah gelaran sebagai penghuni syurga.

Ini ada satu video yang mahu dikongsi bersama. Dengar-dengarkan dan selamat beramal...:)

Thursday, November 19, 2009

Not-So-1Aqidah


Malam tadi saya pergi Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka KL untuk menonton siaran LIVE al-Kuliyyah khas TV3 bertajuk '1 Aqidah'. Panel-panel terdiri daripada Dr Uthman el-Muhammady, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan Dr Fauzi Deraman.

Mula-mula memang teruja sebab ni first time pergi siaran LIVE telecast kat TV. Tapi sampai kat sana hampa sebab beberapa minit sebelum program start pihak bertanggungjawab announce tak jadi live, hanya rakaman. Nampaknya berpeluang la diorang nak 'edit and cut' nanti. Bravo TV3.

Saya sedar ini ialah pertembungan dua hala antara so called 'kaum muda' vs 'kaum tua'. Ada yang tak suka dengan label ni, tapi saya tulis jugak sebab ia bukan benda rahsia atau benda baru. Hatta budak-budak sekolah pun dah pandai mewahabikan kawan-kawan yang tak sealiran. So, kasi crystal clear, tak perlu nak menyorok-menyorok. Depan cakap lain, belakang cakap lain.

Setelah kecewa sebab siaran ni bukan live, saya terlebih kecewa dengan perjalanan forum hari ni. Saya expect discussion hari ni mesti berkait terus dengan persoalan aqidah yang menjadi persoalan pokok, lebih2 lagi memang itulah tajuk program.

Tapi saya nampak moderator cuba mengalihkan persoalan daripada fokus yang betul.

MOD balik2 nak tanye bab khilafiah, menghormati ulama, adab dalam berkhilaf. Ingatkan nak la tanye kenape Dr Uthman cakap pembahagian tauhid 3 tu sesat. Kenape Ibn Taimiyah tu kafir. Kenape wahabi ni bercanggah dengan ASWJ. Takpun tanye pasal aqidah martabat tujuh yg sesat lg menyesatkn tu. Kecewa. Langsung takde soalan pasal aqidah dari MOD (seingat saya).

Apabila mod asyik bertanya soal adab dan akhlak, akhirnya Dr MAZA mengeluarkan pertanyaan. Adakah beradab jika seseorang apabila ada saja orang lain berbeza pendapat terus dituduhnya sesat, WAHABI! Adakah beradab juga seorang yang mengkafirkan al-Hafiz Ibn taimiyah seperti yang diwar-warkan di surat khabar? Beradabkah namanya tu?!

Beradabkah juga jika mengatakan Ibn Taimiyah itu WAHABI sedangkan Ibn Taimiyah meninggal dunia lebih awal sebelum lahirnya Muhammad Bin Abdul Wahab sendiri? Di mana logik orang yang hidup lebih awal mengikut fahaman orang yang terkemudian? Beradablah sedikit kalau nak fitnah pun!

Saya rasa Dr MAZA seakan sudah tau, benda ni bukan LIVE, konfem diorg edit kaw2 nye tak ingat. Sebab tu beliau dengan agak lantang mempertikai 'adab' sesetengah golongan agama di negara ini yg apabila berselisih pendapat sikit, terus dituduh WAHABI. Banyak jugak perkataan wahabi diulang. Saya tak percaya TV3 berani siarkan. Kalau mereka siarkan full version tanpa edit, saya tabik spring utk tv3.

Dr Fauzi pula saya nampak lebih cool. Kekadang beliau sinis dengan aqidah sifat 20. Kata beliau "para sahabat dulu belajar aqidah sikit je, tapi mereka hebat. Kita ni belajar aqidah macam-macam pastu campur dengan falsafahnya, lagi bercelaru. Ada lawannya tiada, tiada lawannya ada. Last2 takde terus!". Point ni memang saya setuju dari dulu, kini dan selamanya.

Lepas sesi rakaman, ada satu slot khas dibuka untuk audiens bertanya soalan. Kesianlah siapa tak hadir, slot ni memang tak dirakam. Time ni la dewan menjadi agak panas apabila audiens mula menunjukkan sokongan kepada panel yang mampu menjawab soalan dengan ilmiah dengan menepuk tangan.

Yang saya nampak, Dr Uthman and the gang dari dulu hingga kini memang tak dapat membezakan antara mengkritik ulama dan mengkritik pendapat ulama. Tindakan mereka yang membungkus kedua-duanya dalam satu bakul menjadikan mereka menjadi emosi, seolah-olah ulama sedang dikritik. Padahal pandangan ulama itu yang dikritik secara ilmiah. Sebab tu mereka selalu keluar dengan tagline "kami sayang ulama silam". Buat mereka, ketahuilah 'kaum muda' ini terjauh lebih sayang para ulama itu, sebab itu mereka menggali khazanah ilmu mereka secara ilmiah. Yang sahih diambil, yang kurang tepat diperbetulkan.

Malah Imam Shafie juga mengajar adab menuntut ilmu agar jangan bertaqlid buta kepadanya. Kalau jumpa hadith sahih yang menyalahi pendapat mana-mana tokoh, utamakan hadith sahih, tinggalkan pendapat tokoh. Itulah ajaran mazhab Shafie. Tapi hakikat inilah yang tidak dapat diterima sampai ke sudah oleh golongan yang mempunyai penyakit dalam hatinya yang tidak mahu menerima kebenaran. Kita hanya berdoa buat mereka dan kita juga agar dikurniakan hidayah.

Dalam sesi soal jawab. saya juga kecewa dengan sikap Presiden ABIM yang telah merendahkn kredibiliti beliau sendiri apabila mengajukan soalan (selepas rakaman). Boleh pulak dia quote kata budak2 bila bergaduh "ni persoalan siapa mula dulu!". Saya hampir tak percaya seorang presiden sebuah jemaah Islam boleh mengeluarkn perkataan yg langsung takde nilai macam tu. Saya nampak beliau menggelengkn kepala sepanjang Dr MAZA dan Dr Fauzi berucap. Kecewa agaknye. Tergamam juga saya bila moderator menyifatkan beliau sebagai 'pakar fiqh'. Sungguh, kitab fiqh manakah yang pernah beliau bedah sehingga ditabal sebagai pakar fiqh?

Memang benar dialog-dialog sebegini perlu selalu dilakukan. Tetapi lebih baik kalau format program diperkemaskan. Saya bercadang agar kedua-dua pihak dari 'kaum muda' dan 'kaum tua' mengupas satu isu yang lebih fokus. Contohnya seperti "Sifat 20", "aqidah Imam Shafie yang sebenar", "Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar?", atau kalau mahu lebih hangat, "Siapakah (apakah) Itu Wahabi"....

Kali ni bukak kitab arab yang asli (turath) depan-depan. Kritik secara ilmiah. Bawak kitab yang dipersetuju oleh dua-dua belah pihak je seperti kitab al-Umm. Pastu kita bedah sama-sama. Time tu tak bolehlah nak pusing sana pusing sini, kona baring, off topic. Kalau nak kona-kona jugak, konfem kena tapau on the spot. Melainkan jika anda tak mampu berbahasa arab tapi mahu juga membedah kitab, saya ucapkan semoga berjaya saja la.

Nak tengok gambar2 menarik sepanjang program? add la arif ariffin di facebook.

Monday, November 16, 2009

Pegawai Agama

Masuk hari ni sudah lebih kurang 3 minggu berlalu peristiwa penangkapan Dr Asri oleh pegawai-pegawai JAIS. Ya, saja guna jama' untuk perkataan pegawai tu, sebab yang menangkap beliau dikatakan lebih kurang 35 orang! Saya kira mungkin masa nak tangkap 'Rasul Melayu Kahar' di Kajang baru-baru ini pun tak seramai tu!

Saya tak mahulah ulas isu tangkap-menangkap ni sebab dah ramai sangat yang ulas. Cuma saya lihat dalam beberapa minggu ni banyak cerita menarik yang berlaku rentetan penangkapan Dr Asri ini. Atau lebih tepat lagi cerita lucu. Cerita yang dilakonkan oleh watak-watak lucu juga dari kalangan pegawai-pegawai Jabatan agama di negara kita ni.

Paling tidak cerita-cerita ini menunjukkan petanda yang sindrom 'WAHABI' di kalangan 'orang agama' di negeri Selangor yang kucintai ini sangat tebal lagi mendalam. Mungkin disebabkan terlalu cuak dan gabra dengan 'WAHABI', mereka berubah perangai menjadi lucu dan tak menentu. Perkataan yang keluar dari mulut mereka pun bercelaru.

SIJIL PALSU??

Kejadian yang tidak lama sejurus Dr Asri ditangkap ialah kisah seorang 'wakil' dari JAKIM yang mengajar di ILIM mengeluarkan kenyataan bahawa sijil degree Dr Asri adalah palsu. Dia kata mana mungkin sijil Bahasa disekalikan dengan Syariah. Universiti Jordan tak pernah sediakan course macam tu. Kalau nak mesti samada Bahasa saja atau Syariah saja. Mana boleh dua-dua.

Saya langsung tak terkejut dengan kenyataan ini. Sebab saya pernah baca dalam blog dia yang sarat dengan fitnah kepada ulama salaf tu dia tulis sebijik macam apa yang dia sebut tu. Alangkan al-Hafiz Ibn Taimiyyah dan al-Hafiz Ibn Qayyim pun dia berani kata, inikan pula Dr Asri. Lebih-lebih lagilah. Jangan risau kami (saya dan rakan-rakan) sudah save apa yang dia pernah post dulu. Mungkin sebagai bukti di masa hadapan.

Tapi agak mengejutkan (baca: melucukan) apabila tak lama dalam 2 hari lepas tu dia keluar kenyataan "saya tak pernah cakap macam tu, wartawan silap quote kata2 saya". Mungkin benar. Tapi agak menghairankan apabila kenyataan ni keluar agak lambat iaitu SELEPAS Dr Asri menunjukkan sijil degree beliau kepada media sebagai bukti. Kalau benar wartawan silap quote, kenapa tak deny awal2 lagi? Kenapa orang dah keluar bukti baru nak cakap? Kenapa? Ha, itu yang kita tak tau.

Oh ya, lupa nak bagitau. Bila lihat nama tuan pengadu ini saya teringat buku beliau yang sarat dengan fitnah terhadap ulama'2 salaf bertajuk "Salafiyah Wahabiyah: Satu Penilaian". Bukan saja fitnah, dia juga menipu rujukan, memalsu nota kaki, mewujudkan yang tiada, quote sini sikit quote sana sikit, salah terjemah, pendek kata betapa dahsyat jenayah ilmiah dalam buku tersebut. Anda boleh baca sendiri buku "Pembongkaran Jenayah Ilmiah Buku Salafiyah Wahabiah" karangan Hafiz Firdaus Abdullah.

Mudah-mudahan beliau bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

WAHABISME

Sejak penangkapan Dr Asri, orang ramai mula tertanya-tanya adakah penangkapan ini disebabkan merebaknya dakwah 'Wahabi' di Selangor? Pegawai-pegawai JAIS khususnya tuan pengarah sendiri dengan cepat menafikan. Dia kata mana ada sebab wahabi, ini semua sebab Dr Asri takda tauliah.

Saya bila mendengar alasan tu, terus nak tergelak. Tauliah apa yang encik mahu? Orang itu ada PhD, seorang pensyarah di universiti, malah pernah menjadi mufti! Apa lagi mahu? Tidak lain dan tidak bukan, ini hanyalah helah demi 'membendung' gelombang 'wahabism' yang semakin dahsyat menimpa negeri Selangor. Bak kata Prof Hamka rahimahullah, "Habis perkakas hujah, guna perkakas fitnah".

Lagi satu yang lawak pasal tauliah ni, sudah banyak ustaz-ustaz yang berkelayakan dan yang terlebih-lebih layak pun dinafikan tauliah ni. Apabila ditanya kenapa mereka tak dapat, mereka menjawab: "mereka salah isi borang". Aduh, kalau salah isi borang, suruhlah mereka betulkan, bukan dinafikan tauliah jika sudah layak. Tapi saya kira alasan selepas ini yang menjadi point utamanya.

"Lagipun mereka tak jawab dengan tepat beberapa soalan"

"Contohnya mereka cakap bid'ah ini hanya satu. Padahal kefahaman masyarakat tempatan bid'ah ini ada dua. Bid'ah hasanah dan bid'ah saiyi'ah". Lucu juga dia merujuk 'mazhab' tempatan untuk menetapkan hukum agama. Ingatkan sebagai interviewer mungkin mantaplah sikit dari segi rujukan kitab ke, kata ulama' ke. Quotelah apa kata Imam al-Shafi'e rahimahullah berkenaan bid'ah.

Ini jelas membuktikan kemandulan sistem pentauliahan itu sendiri. Di mana logiknya orang yang lebih rendah kelayakan akademik menginterview orang yang jauh lebih tinggi kelayakan mereka?

Lantas saya berkira-kira lepas daripada ni saya mahu kerja di bahagian pendaftaran mana-mana universiti. Manalah tahu, tiba-tiba dapat interview pensyarah-pensyarah saya sekarang!

NAK AJAR NGAJI KENA ADA SIJIL?

Kisah yang ini pulak berlaku semasa perbicaraan kes penangkapan seorang lagi pendakwah terkenal tanahair, Dr Abdullah Yassin. Pasal sorang pegawai agama yang menyertai operasi tangkap-menangkap tu. Khabarnya Dr Abdullah tengah deliver kuliah tentang sifat orang-orang munafiq.

Anda bacalah sendiri dialog antara dia dan peguam Dr Abdullah. Baca DI SINI.

Tak tau macam mana nak describe. Saya dapat bayangkan mubaligh-mubaligh kristian sedang bersorak gembira melihat kebodohan jabatan agama kita. Inilah orang-orang yang menghalang manusia dari jalan hidayah. Orang yang mengeksklusifkan urusan agama hanya pada waktu pejabat dan orang-orang tertentu.

Kamu jawab kat mahkamah pun dah terketar-ketar, tunggulah datangnya mahkamah mahsyar. Pandai-pandailah jawab nanti depan Tuhan.

Saya tidak suka pukul rata mana-mana pihak jika mereka ada lakukan kesalahan. Dan saya sedar, bukan semua orang-orang JAIS berperangai macam tu. Hanya segelintir kecil yang mempunyai penyakit dalam hati-hati mereka yang tidak senang bila agama ini semakin maju ke hadapan. Tapi kelompok kecil inilah yang membawa bau busuk dalam organisasi JAIS. Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga.

Saturday, October 17, 2009

Hiburan VS Islam

Tiada siapa mampu menyangkal, budaya hiburan melampau yang bersarang dalam jiwa anak muda kita telah membunuh intelektualiti dan moral mereka. Muzik dan hiburan berkeliaran di mana saja tak kira tempat, tak kira masa. Juga tak mengira usia.

Bermula dari anak-anak kecil yang baru merangkak, sampailah kepada makcik-makcik yang sudah pencen semuanya terlibat sama. Buktinya lihatlah rancangan hiburan di Astro. Siapa yang menghuni barisan hadapan konsert AF? Siapa pula yang meramaikan studio Macam-Macam Aznil?

Semua sudah maklum. Tapi siapa yang patut dipersalahkan? Mereka dan keluarga merekakah. Atau pihak Astrokah yang menayangkan hiburan tanpa henti, atau pihak kerajaankah yang bersalah membenarkan malah menggalakkan penyuburan hiburan buat tatapan kesekian rakyat.

Biasalah kita, - malah saya juga - jari telunjuk cepat saja mahu dituding kepada orang lain. Kita tak sedar, dalam kita sibuk menuding orang lain, empat jari lain sedang menuding diri sendiri. Tengoklah cermin dahulu, entah-entah kita silap mengenakan butang baju, yang akhirnya mengundang malu.

Tepuk dada, tanya selera. Apakah peranan kita? Sudahkah tanggungjawab dakwah itu kita laksana? Atau hanya pandai berteori mengomel sendiri tanpa berbuat apa-apa?

Bidang hiburan sangat dekat dengan saya secara peribadi sebenarnya. Berkecimpung dalam nasyid, sebelum bermeditasi meninggalkannya akibat kesibukan dalam pelajaran. Sekurang-kurangnya dapatlah juga mengutip beberapa pengalaman berharga yang boleh dijadikan azimat menuju masa depan.

Sebetulnya, dan selayaknya, orang dalam bidang hiburan atau yang menyukai hiburan ditangani dengan kelembutan dan tidak semberono. Jiwa mereka halus lagi berseni, jangan dilayan seolah mereka itu keras seperti besi!

Dalam hal ini saya menyukai method Dr Yusuf Qardhawi. Pendekatannya berhemah. saya sentiasa percaya dalam agama ini, apabila ia mengharamkan sesuatu yang buruk, ia pasti menyediakan alternatif agar kekosongan jiwa insan dapat diisi dengan yang sesuatu yang baik.

Lantas timbul soalan menarik. Dalam isu muzik dan hiburan lainnya, apakah alternatif kita?

Jawapannya TIADA atau hampir tiada.

Orang yang mengharamkan muzik secara total, selamanya mereka ini gagal mendapat tempat di hati generasi baru. Mereka tiada alternatif. Pok pek, pok pek,di hujungnya pengharaman. Akhirnya akibat terlalu ghuluw, majlis perkahwinan mereka pun hambar dan sepi tanpa hiburan bahkan diganti dengan ‘kuliah zohor’. Mereka ittiba’(ikut) siapa dalam hal ini? Padahal nabi membenarkan alat muzik dimainkan di majlis-majlis walimah al-‘urus.

Usahlah kaku seperti batu. Agama ini sentiasa bergerak dinamik mengikut kadarnya dan ia tidak statik.

Cuba lihat di sekitar. Kicauan burung menyanyi yang mengikut note-note lagu yang harmoni. Derauan air sungai mengalir, tersimpul di dalamnya seribu memoir. Sehinggakan tidak diketuk dua besi, melainkan akan mengeluarkan bunyi.

Apakah akan mengalir air mata, jika al-Quran itu dibaca tidak bernada?

Percayalah, hidup ini adalah satu kesenian. Janganlah kita menjadi lebih keras daripada besi, lebih kaku daripada batu.

Sepatutnya kitalah yang memacu halatuju industri hiburan kita. Definisikan istilah hiburan yang dibenarkan Islam dan hiburan yang terkeluar daripada landasannya. Wujudkan satu garis panduan, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga, dan alternatif-alternatif yang ada. Agar dengan itu, anak-anak muda mempunyai wadah untuk mereka tonjolkan bakat-bakat yang ada di jalan yang selamat, bukannya ke arah hiburan hedonis dan maksiat.

Berhibur itu tiada salahnya,

Kerana hiburan itu indah,

Hanya pabila salah memilihnya,

Membuat kita jadi bersalah.

Sunday, October 11, 2009

Sains VS Islam

TANDA MAHA PENCIPTA

Dalam salah satu siri drama HOUSE, Dr. House satu hari bertindak mencabar ‘tuhan’. Ditulisnya di atas sekeping whiteboard “House vs God”. Setelah beberapa kes ternyata beliau memperoleh lebih banyak markah daripada ‘tuhan’, dia pun berkata, “god has been defeated!”

Trend tidak percaya tuhan sangat berleluasa dalam siri-siri TV amerika. Sila senaraikan mereka; House, CSI, Grey’s anatomy, Heroes, semuanya membawa trend yang sama. Kata mereka; kami tidak percaya tuhan, kami hanya percayakan sains!

Malanglah kita, kalau saintis muslim atau student-student muslim terpengaruh dengan corak pemikiran yang sama. Teori bahawa alam ini semulajadi, terjadi dengan sendirinya adalah teori yang langsung tidak dapat diterima oleh akal yang sihat. Apatah lagi teori bodoh yang berkata kita ini berasal daripada monyet.

Setiap yang berlaku disekeliling kita adalah sains. Sebab itu, kita disuruh untuk memperhatikan alam ciptaanNya untuk mendekatkan diri kita kepada Si Pencipta. Jika kita benar-benar ikhlas mencari jawapan untuk sampai kepada Tuhan, nescaya kita akan ketemu. Kita tidak dapat melihat zat Tuhan, tapi dengan memperhatikan kejadian alam ciptaan Tuhan, kita pasti akan memperoleh ‘tanda-tanda’ Maha Pencipta seperti yang dijanjiNya.

Namun ia hanya buat orang-orang yang berakal. [al-Baqarah: 190]

TERBATAS

Sains sangat terhad. Kalau teorinya hanya dibahaskan oleh akal manusia yang sangat terbatas, nescaya kita akan terbabas.

Dunia ini terbahagi dua; fizik dan metafizik. Sains itu sekalipun sehebat mana tamadunnya, jangkauannya hanya berlegar di alam fizik. Sedang metafizik itu tidak mungkin dapat dijangkau melainkan dengan perantaraan wahyu.

Inilah dia ghaibat(perkara-perkara ghaib). Tiada seorang pun yang mengaku beriman melainkan dia beriman juga dengan perkara-perkara ghaib. Sedang kunci perkara ghaib terletak di sisi Tuhan. [al-An’am: 59]

Dan manusia tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit.

SAINS DAN ISLAM

Dalam banyak sudut, sains sebenarnya sangat mendekati Islam. Paling tidak dalam sudut keilmuannya. Dari mana kita mencari data, mengumpulnya, lantas bagaimana cara terbaik mengekstraknya untuk dijadikan suatu teori.

Demikian Islam, ilmu agama bukanlah ilmu murahan yang dijaja sesuka hati dalam majalah picisan seperti mastika, atau rekaan mana-mana tokoh untuk dijadikan bahan jualan melariskan produk. Ia adalah ilmu yang tersusun, yang didalamnya terdiri pelbagai disiplin, demi menjadi panduan hidup manusia.

Melihat dari sudut praktikal pula lebih mendekatkan Islam dengan sains. Masakan tidak, suatu teori perlu dibuktikan kesahihannya sebelum dipraktikkan. Amal ibadah tidak boleh dilakukan melainkan diketahui teorinya. Setelah diketahui teorinya seperti yang diperkatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah yang authentik, barulah ia boleh dipraktikkan.

Praktikalnya pula tidak boleh dibuat sesuka hati. Bagaimana yang dilakukan Rasulullah dan para sahabatnya itulah yang menjadi panduan. Kerana agama ini diwahyukan kepada baginda nabi sambil disaksikan oleh para sahabat secara ‘live’. Kita hanya mengikuti jejak langkah mereka, tidak menambah, tidak pula mengurangi.

Begitulah betapa sempurnanya Islam yang kita anuti. Maka benarlah kata Allah “Pada hari ini, telah Ku sempurnakan bagimu agamamu, dan Ku cukupkan bagimu nikmatKu, dan Aku reda Islam menjadi Agamamu” [surah al-Maidah: 3]

Islam adalah sistem dan cara hidup, sainslah yang bertanggungjawab menguruskannya.

Saturday, September 26, 2009

Berubah Atau Mati

Korang semua perasan tak, apa soalan yang akan ditanya pemberita setiap kali ada berita kematian atau kemalangan?

"Encik ada perasan tak apa2 perubahan pada diri arwah sejurus sebelum kemalangan?"

Ya, itulah soalannya. Ia wajib hukumnya. Tidak sah kalau tiada.

"Oh ya, baru saya perasan. Sejak akhir2 ni beliau banyak berubah sikap, semakin murung, pendiam, dan dia pernah bergurau mahu berpindah. Rupa-rupanya dia pergi buat selama-lamanya...sob2"

Itu pula jawapan standard orang yang diinterview.

Hari ni kita tertanya2 apa punca yang menyebabkan kemunduran bangsa Melayu.

Apa pula sebab bangsa kita yang tercinta ini terus 'melayu' dan terus layu.

Jawapannya ialah kita takut untuk berubah. Kita takut akan perubahan. Kita alergik dengan perkataan pembaharuan dan reformasi. Lebih dahsyat lagi kalau mendengar perkataan 'tajdid'.

Buktinya seperti di atas, kalau kita berubah, alamatnya ada sesuatu yang tidak kena menanti. Dalam erti kata lain, dah tak lama la tuh!

Khurafat yang berlegar di tengah2 masyarakat sesungguhnya membawa kesan yang teramat buruk kepada bangsa ini. Tidak keterlaluan dikatakan itulah punca utama kemunduran umat Melayu kita.

Kesan buruknya bukan saja kepada 'aqidah, bahkan juga kepada seluruh sistem kehidupan manusia.

Dan sekiranya kita mahu bangkit dan keluar daripada gejala kemunduran ini, tiada jalan lain melainkan kembalilah kita kepada 'aqidah tulen sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah dan para sahabat Baginda.

Ingatlah, dulunya arab merupakan bangsa yang hina, Allah telah memuliakan mereka dengan Islam. Sekiranya satu hari mereka mencabut Islam daripada diri mereka, nescaya mereka akan menjadi hina seperti binatang tunggangan bahkan lebih hina lagi.

Jika Melayu mencabut Islam daripada diri mereka, apakah lagi yang tinggal?

Wednesday, September 23, 2009

Selamat Hari Raya

Rasanya belum terlambat untuk mengucapkan Salam 'Idulfitri buat semua muslimin dan muslimat. Semoga semua bergembira atas kemenangan di hari lebaran.

Tahun ni aku dapat cuti raya yang paling lama dalam sejarah (rasanya). Seminggu sebelum dan seminggu selepas raya. Tambah semua dapatlah dua minggu. Memang payah nak dapat cuti selama tu kat UIA.

-----------RAYA SEKARANG BORING?-------------

Ada aku dengar cakap2 orang termasuk sedara dan member2 lama yang cakap raya sekarang dah tak macam raya dulu. Dah tak semeriah dulu. Boring, hambar.

Benarkah?

Kalau time kecik2 dulu raya meriah tambahan pulak dapat duit raya. Sekarang bila dah besar, sedara pun dah susah nak kumpul sekali, suasana raya tu semakin pudar. Tak dinafikan, aku pun rasa macam tu.

Tapi kuliah seorang ustaz kat radio IKIM telah sedikit sebanyak membuka minda aku.

Katanya, hari raya umat Islam sepatutnya bergembira sebab telah berjaya melaksanakan ibadah2 sepanjang bulan puasa dan meraikan kemenangan kembali kepada fitrah.

Tambahnya, kalau tiba2 kita tidak berasa meriah, bermakna Ramadhan kita tentu ada masalah.

Walaupun aku memang tak ambil banyak manfaat daripada radio IKIM, tapi ada benarnya juga kata ustaz tu.(maaf aku tak kenal siapa nama ustaz tu)

Mungkin juga raya kita ini sebenarnya yang problem. Kalau membaca kisah hari raya zaman Rasulullah, memang hari raya hari yang penuh dengan kemeriahan. Semua umat bergembira. Perayaan dihidupkan dengan acara2 hiburan. Paluan gendang, nyanyian semuanya dilantunkan pada zaman nabi.

Di negara ni berbeza. Malah sangat2 menyanggahi apa yang berlaku pada zaman nabi. Hari raya kita di sambut di kuburan2, kononnya di situlah tempat yang sepatutnya disambut hari raya. Manusia merintih, menangis,meratap terhadap si mati. Kalaulah semua itu baik, tidak sempat kat kita, tentu nabi sudah berbuat dahulu. Sedangkan tiada bukti nabi menyambut hari raya di kuburan.

Sila baca tulisan yang baik daripada mantan Mufti Perlis - "Hari Raya Bukan Hari Sedih"

---------------ASTRO OH ASTRO--------------

Tiba-tiba aku rasa sangat tidak berbaloi melanggan Astro. Mana taknya, cerita yang ditayang langsung tak berkualiti. Lagi2 cerita hantu. Asyik2 cerita jiwang. Dah habis modal aku rasa.

Tak ada LANGSUNG cerita yang membuka minda. Membina jiwa. TIADA LANGSUNG.

Sekurang2nya kalau dulu2 ada la jugak konsert nasyid yang best2. Dapatla jugak melepaskan rindu kepada nasyid acapella. Sekarang dah takde. Yang ada pun diulang tayang yang tahun2 lepas punya. Aku dah naik menyampah dengan program2 sampah.

Kalau tak kerana bola, dah lama aku terminate astro ni.

Astro oh astro.

-------------YANG BEST-------------

Apa yang best raya tahun ni?

Alhamdulillah, dengan sedikit penambahan ilmu tentang sunnah, dapatlah juga merasa raya yang lebih mendekati sunnah Rasulullah. Malah aku tengok orang2 di sekeliling pun semakin faham akan sunnah. Memang tak sia2 kalau kita terus melakukan usaha2 dakwah biarpun secara kecil-kecilan. Kerana sunnah itu lebih bertepatan dengan fitrah.

Takbir di Masjid UKM dilakukan dengan bersemangat, tiada lagi nada sedih. Khutbah bagus, bernada sunnah. Adik aku pulak mengingatkan aku agar mengikuti jalan yang lain ketika balik dari solat eid. Alhamdulillah, sekurang2nya kita dapat menyuntik elemen sunnah sedikit demi sedikit, kalau tak banyak.

Raya kali ni pulak menyaksikan pasukan kegemaran aku, Chelsea meneruskan rentak kemenangan. Menang bergaya 3-0 ke atas Spurs. Bermakna rekod baru telah tercipta, Anchelotti menang kesemua 6 perlawanan liga berturut2. Satu rekod bersih. Sebelum ni Mourinho 'the special one' pun menang 5 kali je. I told ya, Anchelotti is da man....haha...(Yang tak bestnya Man Utd pun menang jugak hasil ihsan referee yang sengal. Tak yah bangga sangat la weh...kahkah)

Looking forward to seeing Selangor in Malaysian Cup....:)

------------JOM BERAYA---------------------

Tak sah kalau hari raya hanya terperap kat rumah. Masa nilah nak ziarah rumah2 sedara, rumah2 jiran, kawan-kawan lama.

InsyaAllah hujung minggu ni aku akan berkonvoi raya dengan kawan2 sekolah. Minggu depan kot dengan member2 UIA. Tu pun kalau diorang free.

Open house? Family aku tak penah buat open house. Tapi kalau nak datang, datang je lah. Lebih elok kalau bagitau dulu, boleh buat makanan yang special2 sikit. Spagetti Carbonara ke, Mee udang ke, laksa ke. Barulah terangkat. Ni asyik ketupat nasi je. Lama-lama muak jugak tekak ni. Ye tak?

So, kepada kengkawan yang jauh dan dekat, lama dan baru, yang rapat dan yang tak berapa nak rapat, kalau mahu kunjung ke rumah, anda adalah sangat dialu-alukan. Ini alamat rumah aku:

5, Jalan 3/4D,
43650 Bdr Baru Bangi,
Selangor.

Rumah kat Perlis, kami buat close house. Kalau datang pon takde orang...:P

Sekian, wassalam.

Gambar-gambar raya tahun 2009 -----> FACEBOOK

Saturday, September 19, 2009

'Idun Mubarak


Begitu cepat masa berlalu.

Ramadhan yang mulia sudah pun melabuhkan tirainya.

Ia mungkin sudah meninggalkan kita, namun kita tidak mungkin akan melupakannya.

Ayuh kita koreksi, apakah Ramadhan kali ini berjaya menjadikan kita insan bertaqwa? Atau kita bertaqwa di awalnya, namun kecundang di akhirnya?

Amalan-amalan di bulan Ramadhan, mampukah kita untuk meneruskannya untuk bulan-bulan mendatang? Melakukan suatu amalan memang payah, tapi yang terlebih payah adalah untuk beristiqamah. Sebab itu amalan yang paling disukai nabi ialah suatu amalan yang berterusan walaupun sedikit (HR al-Bukhari dan Muslim).

Solat tarawih dan qiyam berjemaah, amalan tadarus dan tilawah, menderma dan bersedeqah. Apakah dapat kita teruskan lantas diterjemahkan kepada solat 5 waktu berjemaah, puasa Isnin-Khamis dan hari putih, mengaji al-Quran setiap hari. Kalaulah kita dapat menjaga amalan-amalan ini, nescaya ia sudah memadai.

Tepuklah dada, tanyalah iman.

-----------------RAYA-------------------

Esok umat Islam akan menyambut hari raya Idulfitri, sebuah ibadah yang disyariatkan menerusi junjungan besar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Ya, hari raya itu ibadat, bukannya suatu adat.

Siapa yang menyambutnya berdasarkan petunjuk yang benar, maka insyaAllah dia akan beroleh pahala. Maka sia-sialah bagi mereka yang menganggapnya sekadar adat.

Terlebih malang bagi mereka yang menyambutnya dengan upacara maksiat dan hiburan melalaikan. Ada orang bodoh menganggap hari raya adalah hari 'melunaskan' perkara-perkara haram yang tidak dilakukan di bulan Ramadhan. Tampillah mereka di kaca-kaca TV menunjukkan aksi memalukan seolah-olah diri itu sudah terlepas dari pengawasan Tuhan. Memang teruk bila melihat manusia berlagak beruk.

Di sudut yang lain ada pulak yang bertindak mengharamkan terus hiburan di hari raya. Siapakah yang berani mengharamkan perkara yang dihalalkan? Ketahuilah, mengharamkan yang halal tidak lebih mulia daripada menghalalkan yang haram. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama dalam syariat.

Sesungguhnya agama ini memusuhi sikap ekstrim dan berlebih-lebihan dalam beragama. Samada berlebihan dalam menambah atau mengurangi syariatnya, kedua-dua adalah dosa.

Teruslah kita menjadi umat pertengahan.

---------------MOHON KEMAAFAN----------------

Biarpun ada yang mahu men'tajdid'kan adat Melayu yang suka bermaaf-maafan di hari raya, bagi aku ia suatu yang tidak perlu.

Oleh itu aku mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan daripada siapa saja yang mengenali dan tidak mengenali diri ini. Perlakuan dosa dengan Tuhan mudah-mudahan Dia mengampunkan, tapi dosa dengan manusia, tiada jalan lain melainkan jalan kemaafan.

Tidak lupa untuk diucapkan "TAQABBALULLAHU MINNA WA MINKUM". Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan daripada kalian.

'Idun Mubarak.

Hasan Firdaus Bin Mohd Zaki @ Frank-hasan.blogspot.com

*Gambar di atas hasil ihsan blog nawawi di an-nawawi.blogspot.com

Thursday, September 17, 2009

Iktikaf Ramadhan

Alhamdulillah, baru balik dari beriktikaf di UIA.

Happening. Lebih-lebih lagi pada malam 27, manusia bergelimpangan memenuhi ruang masjid UIA.

Melihat statistik secara kasar, rasa-rasanya jumlah jemaah yang hadir agak berkurangan berbanding tahun lepas. Mungkin sebab ramai budak Melayu yang dah balik.

Tahun ni rezeki melimpah ruah. 10 malam terakhir makan minum (sahur dan berbuka) ditaja oleh individu yang pemurah. Semoga Allah melimpahkan pula rezekinya. Dapatlah kiranya tahun ni merasa makan kambing sehari suntuk. Budak Melayu lebam-lebam kepanasan. Budak foreigner rileks je aku tengok.

Sepanjang bulan Ramadhan ni, masjid ini menjadi saksi ibadah yang bertubi-tubi dilakukan oleh para jemaah. Solat tarawikh, qiyam berjemaah, iktikaf, tadarus, tazkirah, zikir. Semoga Allah sentiasa memberkati bumi UIA dengan amalan yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah.

Di sini ada beberapa perkara yang aku terasa terpanggil untuk berkongsi dengan semua. Lebih kepada pandangan peribadi aku tentang apa yang berlaku sepanjang Ramadhan di masjid UIA khususnya 10 malam yang terakhir.

Aku tengok ramai yang mensia-siakan peluang beribadah terutama di siang hari. Mungkin kepenatan beribadah di sepertiga malam agaknya. Tapi untuk mensyahidkan diri dari lepas sahur hingga saat terakhir sebelum berbuka, ia agak keterlaluan. Kalau seorang dua takpa, tapi aku tengok sebaris macam tu! Alangkah baik masa dimanfaatkan dengan ibadah sunnat, paling kurang memperbanyakkan tilawah al-Quran.

Lagi satu, ingin aku berbicara tentang slot tazkirah yang dilakukan setiap hari terutama selepas solat tarawih. Apakah wajar diperbanyakkan tazkirah di bulan Ramadhan? Terutamanya diadakan lepas solat tarawih dan dilanjutkan hingga pukul 12.30 hingga satu pagi. Wallahua'lam.

Bukankah sepatutnya semua jemaah sudah perlu bersedia untuk tidur agar mendapat tenaga yang secukupnya untuk qiyam? Sementara tazkirah yang mikrofonnya dikuatkan yang dapat didengari segenap ruang masjid juga mengganggu jemaah lain yang ingin melakukan ibadah-ibadah lain etc tadarus, solat sunat?

Menurut pemerhatian aku, ramai yang tidak dapat fokus waktu berqiyam. Ada yang bangun (sangat) lambat, ada yang mengantuk, ada yang tersengguk-sengguk ketika solat. Malah perkara yang sama terbawa-bawa ketika solat subuh.

Mungkin perkara yang lebih wajar dilakukan ialah kita tumpu menimba ilmu ketika waktu selain Ramadhan sementara diadakan beberapa slot tazkirah ringkas ketika Ramadhan. Dengan langsung tiada niat untuk memperlekehkan usaha sahabat-sahabat menuntut ilmu, harapnya lepas ini perkara sebegini diambil kira. Ini penting agar ketika Ramadhan fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada ibadah-ibadah yang khusus.

Bukankah para imam ahli hadith juga membatalkan pengajian mereka sepanjang Ramadhan? Benar, ini adalah untuk memberi sepenuh perhatian terhadap al-Quran. Semoga kita dapat mengikut jejak langkah mereka dalam hal-hal agama.

Hari-hari yang berbaki ini insyaAllah aku akan sambung di rumah saja. Walaupun agak sukar mencari feel sebab bangun tidur saja komputer sudah ada di depan mata. Harapnya di beri kekuatan untuk meneruskan momentum sedia ada.

Kepada rakan-rakan yang agak sibuk sebelum ini, masih belum terlambat untuk kalian. Mulakanlah hari ini untuk berjaga malam. Buatlah secara ringkas menurut kemampuan. Mungkin 2 rakaat tahajjud campur 3 rakaat witir. Lakukan 15 minit sebelum sahur. Mudah, bukan?

Aduhai, kalaulah Ramadhan ini sepanjang tahun...

Saturday, August 29, 2009

Ramadan Reflection

Aku pernah terfikir. Bagaimana rasanya pemain-pemain bolasepak muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan ni. Larat ke nak main?

Tapi bila tengok balik; Anelka (Chelsea), Karim Benzema, Lassana Diarra (Real Madrid), Kanoute (Sevilla), Muntari (Inter Milan). Semuanya selamber je main time puasa. Siap ada yang skor lagi untuk kelab masing-masing.(Untuk pengetahuan Anelka gol untuk chelsea semalam. Chelsea menang 3-0...power2)

Aku pernah try sebenarnya. Bulan lepas, ada sekali aku puasa hari isnin. Dalam masa yang sama, tanpa pengetahuan aku, tetiba dipaksa main futsal wakil department Mechatronics untuk Engineering Sports Carnival(ESC). Aku punya la cuak ingatkan tak larat. Puasa kot.

Last-last main ok je. Siap menang lagi dengan team favourite (team MECSA kena sayur time tu...haha). So, bagi aku bersukan ketika puasa adalah suatu yang biasa dan dibolehkan. Malah digalakkan bagi yang mampu.

Tadi buka laman web favourite aku, Goal.com. Terjumpa artikel-artikel ni:

1) Ramadan Reflections: The Scientific View - Does Fasting Help Or Hinder Football?

2) Ramadan Reflections: Islamic Doctor Discusses Mourinho's Thoughts On Muntari

3) Exclusive: I Can Keep Fasting In Ramadan Even When I Am Playing – Fredi Kanoute

4)Ramadan Reflections: Understanding Ramadan And Its Role In Football

So,kepada yang asyik posting kat Facebook cakap bosan tak tahu nak buat apa time Ramadhan ni, apa kata korang pergi bersukan. Berlari ke, main bola ke, swimming ke. Sekurang-kurangnya tak adalah masa yang berharga dibuang begitu saja di atas katil tanpa buat apa-apa.

Wallahua'lam.

Perkara Yang Membatalkan Puasa: Antara Realiti Dan Fakta










Friday, August 28, 2009

Fakir

Ketika kita sedang asyik makan di warung mamak, tiba-tiba datang seorang anak yatim meminta sedekah.

Apa yang akan kita lakukan?

Kalau pertama kali, mungkin satu nota merah boleh dihulurkan.

Tapi kalau sudah dua tiga kali dia ulang-alik ke meja kita, kita pun naik menyampah.

"Maaflah, dik. Tadi abang dah bagi sikit".Mungkin itu yang akan kita ungkapkan.

Atau mungkin juga seperti ini, "Dah dua kali dah abang kasi ni. Mintaklah orang lain pulak!".

Atau jika mood kita pula kurang baik hari tu, mungkin sudah dihalaunya budak tu. Silap hari bulan ditambah pula caci-maki bagi melepaskan geram.

Ya, itulah sifat manusia. Kita ini tidak suka kalau orang meminta-minta.

Usahkan meminta derma, kalau orang minta bantuan pun sukar dihulurkan.

Tapi ingatkah kita, Allah sifatNya sangat berbeza dengan manusia?

Kita juga selalu meminta-minta kepadaNya, kerana kita memang berhajat untuk meminta.

Tak habis-habis kita meminta. Hatta kita meminta suatu perkara yang jika diminta kepada manusia, nescaya kita akan ditertawakannya.

Manusia mungkin menyampah jika diajukan permintaan berulang-ulang kali. Tapi Allah - dengan segala rahmatNya - suka kepada hamba yang suka meminta malah menyuruh kita untuk meminta kepadaNya saja, tidak kepada yang lain.

Rezeki, jodoh, nikmat, harta, apa saja. Pintalah kepada Allah.

Pintalah kepada Allah dalam solat, sujud, selepas tasyahhud sebelum salam, ketika menadah tangan. Ketika senang dan susah. Dalam keadaan nyata dan sembunyi. Pintalah, nescaya Allah perkenankan.

Kerana kita ini fakir, maka pinta dan pohonlah daripada Tuhan Yang Maha Kaya.

Thursday, August 20, 2009

10 Fakta Dan Auta Berkaitan Puasa Yang Perlu Anda Tahu

Sedari kecil, kita banyak dilonggokkan dengan pelbagai pantang larang ketika berpuasa di bulan Ramadhan. Kita ditegah daripada melakukan itu dan ini, sehingga ramai yang menyangka bahawa amalan berpuasa ini merupakan suatu yang susah lagi memayahkan. Sedangkan Allah sendiri menjelaskan bahawa kewajipan puasa ini bukanlah bertujuan untuk memayah-mayahkan hambaNya seperti dalam firmanNya:

… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan juga agar kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah: 185]


Di sini disenaraikan beberapa perkara yang menjadi pegangan masyarakat umum berkaitan puasa sedangkan dalil al-Quran dan al-Sunnah mengisyaratkan sebaliknya. Kesemua hujah dan dalil saya ‘copy and paste’ dari beberapa sumber yang berbeza-beza (akan disertakan diakhir tulisan ini insyaAllah), dengan sedikit pengolahan bahasa di mana perlu. Semoga kita beroleh manfaat bersama.

1. Mandi ketika berpuasa untuk menyegarkan badan.

Auta: Mandi ketika puasa adalah makruh.

Fakta: Tidak benar, bahkan mandi ketika berpuasa adalah HARUS. Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala Baginda disebabkan dahaga atau panas. Ini berdasarkan hadis sahih berikut:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku (Abu Bakar Bin ‘Abd al-Rahman): “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas” [ Hadith riwayat Imam Ahma dan Abu Daud dalam sunan mereka, juga Imam Malik dalam al-Muwatta’]

2. Korek hidung, telinga atau rongga-rongga yang berlubang.

Auta: Memasukkan apa saja benda ke dalam rongga yang berlubang adalah membatalkan puasa.

Fakta: Tidak ada dalil yang menunjukkan hukum sedemikian rupa. Sedangkan yang benar ialah perkara yang membatalkan puasa hanyalah berlegar antara tiga perkara; makan, minum, dan bersetubuh. Firman Allah Ta’ala:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]


3. Penetapan waktu imsak iaitu kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Auta: Wajib atau sunat untuk berhenti makan dan minum sebelum masuk waktu imsak sebagai langkah berjaga-jaga.

Fakta: Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.” [ Sahih Bukhari : 617]

4. Makanan yang disunnahkan berbuka dengannya.

Auta: Disunnahkan makan benda-benda manis atau buah-buahan tempatan.

Fakta: Disunnahkan berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.Di dalam hadith daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab (kurma basah), sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar(kurma kering) dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air”. [Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah]

5. Merasai makanan dengan lidah.

Auta: Batal puasa bagi orang yang merasai makanan dengan lidah kerana hal itu seperti dia memakan makanan itu, tiada bezanya.

Fakta: Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma:

“Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” [Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152)]

6. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub.

Auta: Seseorang yang berjunub saat masuknya waktu subuh dikira terbatal puasanya.

Fakta: Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah shallahu’alaihi wasallam, sedangkan baginda kemudiannya mandi, bersolat dan meneruskan puasa seperti biasa. Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma:

“Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa”. [Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109)]

7. Bolehkah bercumbu-cumbuan dengan isteri ketika puasa?

Auta: Tidak boleh, batal sekiranya bercumbu. Bukankah bulan puasa bulan menahan syahwat?!

Fakta: Hal ini mempunyai hukum yang berbeza-beza mengikut tahap kemampuan masing-masing. Bagi yang dapat mengawal gelojak nafsu agar dengan cumbuan itu tidak menjurus kepada persetubuhan, maka dipersilakan. Tapi, buat yang tidak mampu, maka dia dimakruhkan sama sekali. Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata:

“Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Baginda menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Baginda menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya””. [Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221)]

8. Menggosok gigi ketika sedang berpuasa.

Auta: Boleh menyebabkan batal atau kurang pahala puasa. Ditakuti tertelan ubat gigi berperisa strawberi.

Fakta: Tidak mengapa menggosok gigi bahkan digalakkan. Lagipun Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan, sedangkan gigi yang kuning melambangkan empunya diri yang kurang menjaga kebersihan. Rasulullah shalallahu'alaihi wasallam bersabda:

“Kalaulah tidak memberatkan umatku nescaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. [Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252)]

9. Lafaz niat puasa.

Auta: Wajib untuk melafazkan niat puasa iaitu “nawaitu shauma qhadin…”. Bagi yang tidak melafazkannya, maka puasanya tidak dikira kerana setiap perkara dimulakan dengan niat.

Fakta: Tiada lafaz niat puasa, ini hanyalah bid’ah yang diada-adakan. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya bahawa dia akan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka itu sudah cukup baginya.

Persoalannya, apakah seseorang yang mahu berpuasa perlu berniat setiap hari atau memadai dengan niat untuk sepanjang Ramadhan? Di sini saya petik takhrij dan komentar Dr Muhammad Fathi Ali, ahli panel Jabatan Hadith Al-Fikrah.net terhadap hadith berikut:

Daripada Hafsah isteri Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam: Bahawasanya Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam telah bersabda:

“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum waktu fajar maka tiada puasa baginya (tidak sah)”. [dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnad (hadis no. 26500), Abu Daud dalam Sunan (hadis no.2454), at-Tirmizi dalam Sunan (hadis no.730), an-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (hadis no.2640,2641,2643), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (hadis no. 7696,7697,7698,7701,7778,7826,), ad-Darimi dalam Sunan (hadis no. 1698) dan lain-lain dangan lafaz yang sedikit berbeza, semuanya dari jalan Hafsah radhiallahu’anha]

Beliau berkata,

“Hadis dari Hafsah ini tntg wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini TIDAK SAHIH kepada Nabi. Ia dinilai Tidak Sahih oleh Ahmad, al-Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasaie, ad-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadis. (rujuk athar ilal hadis fi ikhtilaf Fuqaha, Dr Mahir Yasin al-Fahl)

Kata Ibn Hajar dalam Fathul Bari: "berlaku khilaf akan bersambung atau tidaknya hadis ini, dan yang rajih adalah tidak bersambung kpd Nabi (mauquf) sebagaimana tarjih Tirmizi dan Nasaie (Fathul Bari: 142/4).

Menurut syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz at-Torifi dalam kuliahnya 'hadith2 dhaif seputar puasa', adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu dhuha, dan ini menguatkan qaul Malik yg mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Abu Hanifah yg membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari”
[rujuk http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=6849/postdays=0/postorder=asc/highlight=puasa+ramadhan/start=0.html]

10. Tidur ketika sedang berpuasa.

Auta: Tidur orang puasa adalah ibadat.

Fakta: Memang benar terdapat hadith yang menyebut bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Namun, tiada satupun daripadanya yang sahih dan dapat dijadikan hujah. Kita ambil contoh hadith ini beserta takhrij dan komentar sekali lagi oleh Dr Muhammad Fathi Ali:

"Tidurnya orang yang berpuasa itu dianggap ibadah, dan diamnya merupakan tasbih, dan amalnya (diganjari) berlipat ganda, dan do'anya mustajab, sedang dosanya diampuni". [Riwayat : Baihaqy di dalam kitabnya Syu'abul Iman, dari jalan Abdullah bin Abi Aufa]

Hadith ini darjatnya sangat dha'if (lemah) atau Maudu’(palsu). Di sanadnya ada Sulaiman bin Umar An-Nakha'i, seorang pendusta. Rujukan : Silsilah Ahaadith Dhaifah wal Maudh'uah No. 653, Faidlul Qadir No. hadith 5125 , 9293.


Oleh itu, jika sesiapa yang asyik lena dibuai mimpi di siang hari Ramadhan sambil mengatakan bahawa itu adalah sunnah, katakan kepada "Anda telah diauta!"....

Semoga Allah mengurniakan hidayah buat kita semua.

Wallahua'lam.

-------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan:

1) Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa oleh Hafiz Firdaus Abdullah. Rujukan bagi poin no. 1 hingga no. 4. Edisi ebook boleh layari http://www.hafizfirdaus.com/ebook/RisalahPuasa/new/index.htm

2) Artikel Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpuasa oleh Nawawi Subandi. Rujukan bagi poin no. 5 hingga no. 8. Rujuk http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/08/119-tidak-mengapa-dilakukan-oleh-mereka.html

3) Forum al-Fikrah.net – posting yang dilakukan oleh Dr Muhammad Fathi Ali. Rujukan bagi poin no. 9 dan no. 10. Sila rujuk http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=6849/highlight=ramadhan.html


Thursday, August 13, 2009

Sunnah-sunnah Hari Jumaat Yang Dilupakan



Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Nabi Muhammad shallallahu’alaihi wasallam.

Rasulullah sebagai penerima wahyu telah mengajarkan kepada kita beberapa amalan sunnah yang wajar dilakukan pada hari Jumaat. Namun mungkin akibat keterlekaan dan kealpaan kita membuat kita terlupa untuk melazimi sunnah-sunnah tersebut. Oleh itu, di sini kita cuba menyenaraikan kembali sunnah-sunnah yang semakin luput dan dilupakan beserta dalil sebagai panduan bersama.

1.Mandi, membersihkan diri, bersugi, dan memakai wangian, dan mengenakan pakaian yang terbaik.

Ini berdasarkan hadith yang disampaikan oleh Salman al-Farisi radhiallahu’anh daripada Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, baginda bersabda:

Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang”. [Riwayat al-Bukhari]

2.Bersegera ke masjid dan tinggalkan urusan lain.

Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9,

Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)



3.Membaca Surah al-Kahfi BUKAN Surah Yaasin pada malam atau siang hari Jumaat.

Membaca Surah Yaasin adalah sesuatu yang mulia dilakukan oleh setiap muslim, sepertimana mambaca surah-surah al-Quran yang lainnya. Namun, untuk mengkhususkannya pada waktu tertentu seperti pada malam Jumaat adalah suatu yang tidak dijumpai dalam mana-mana dalil sahih malah bercanggahan dengan petunjuk Baginda nabi. Sedangkan setiap ibadah adalah terhenti (tidak dilakukan) sehinggalah dijumpai dalil atau nas yang menunjukkan pensyariatannya.

Oleh itu, saya dengan segala rendah diri mengajak kalian semua untuk meninggalkan amalan yang bercanggahan dengan sunnah Baginda ini. Adapun pada malam Jumaat, Rasulullah telah mengajarkan kita untuk membaca keseluruhan surah al-Kahfi sebagaimana sabdanya:

Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat”. [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi, dan al-Hakim]

4.Menuju ke masjid dengan berjalan kaki, bukan berkenderaan.

Sesiapa yang mandi dan membersihkan diri pada hari Jumaat dan bersegera (keluar menuju ke masjid) dengan mencari posisi paling hampir dengan imam dalam keadaan diam, maka setiap jejak langkahnya itu pahala seumpama puasa setahun pada siangnya dan mendirikan ibadah pada sebelah malamnya. Hal demikian itu bagi Allah adalah sangat mudah”. [Riwayat Imam Ahmad, al-Thabarani, dan Ashab al-Sunan. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah]

5.Mendirikan solat sunat MUTLAK.

Solat sunat Mutlak bukanlah satu yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia, lantaran mereka sudah terbiasa dengan solat sunat Qabliyah Jumaat. Hal ini agak menghairankan kerana Imam Syafi’I rahimahullah sendiri telah membincangkan pensyariatan solat sunat Mutlak dalam karyanya yang agung, kitab al-Umm.

Berkenaan solat sunat Mutlak ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani rahimahullah berkata:

Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila saja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya”. [Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, dinukil daripada buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus, mukasurat 105]

Berkenaan riwayat yang menunjukkan adanya solat sunat qabliyah Jumaat, -wallahua’lam- tiada satu pun daripada riwayat-riwayat tersebut yang dapat dijadikan hujah lantaran kelemahan dan kecacatan yang berbeza-berbeza. Berkata al-Hafiz al-‘Iraqi:

Tidak ada diriwayatkan dari Nabi Shallahu’alaihi wasallam bahawa baginda solat sebelum Jumaat (Qabliyah Jumaat – penulis), kerana beliau biasa keluar rumah menuju solat Jumaat, lalu datang muadzin azan di hadapan beliau, kemudian beliau terus berkhutbah” [ Nailul Authar 3/216 . Dinukil dari kitab Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah. Edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia bertajuk Jawaban Penting Pertanyaan Seputar Solat Jumaat oleh Abu Umar Basyir al-Maidani, al-Qowam, mukasurat 51]


6.Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ammar radhiallahu’anh,

Sesungguhnya lamanya berdiri solat seorang lelaki dan pendeknya khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjang solat dan memendekkan bacaan khutbah!” [ Riwayat Muslim]


7.Tidak mengangkat tangan berdoa di antara dua khutbah dan ketika imam berkhutbah.

Sedia maklum bahawa perbuatan menadah tangan adalah suatu yang disunnahkan tatkala berdoa. Namun, menadah tangan dalam khutbah Jumaat bukanlah suatu sunnah, malah ia bercanggahan pula dengan sunnah Baginda.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud:

Daripada 'Umarah ibn Ru'aibah yang melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata,

“Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya” dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya
”.


8.Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat.

Para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat ba’diyah Jumaat adalah disyariatkan. Terdapat dua pilihan bagi mengerjakannya; iaitu samada dilakukan dua rakaat atau empat rakaat dan kedua-duanya adalah sunnah. Ini berdasarkan kepada hadith-hadith di bawah:

a)Daripada Abu Hurairah rahiallahu’anh, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) jumaat”. [Riwayat Imam Muslim]

b)Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:

Rasulullah shallahu’alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya”. [Riwayat Imam al-Nasaei]


9.Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada hari Jumaat.

Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu’anh beliau berkata, Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda:

Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut
". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)

Di dalam laman web beliau, Ustaz Zaharuddin telah memberi komentar tentang hadith ini:

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib”.


Demikian antara sunnah-sunnah pada hari Jumaat sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad al-Musthofa shallallahu’alaihi wasallam kepada kita yang semakin dilupakan dan kurang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat.

Oleh yang demikian wahai sekalian muslim yang budiman, mari koreksi diri kita sejauh mana kita dalam mengamalkan sunnah Baginda. Apakah kita layak menggelar diri kita pengikut sunnah jikalau sunnah Jumaat pun sering diabaikan. Ingatlah, betapa besarnya ganjaran buat mereka yang berpegang teguh kepada sunnah tatkala umat lalai kepadanya.

Semoga bermanfaat buat semua. Wallahua’lam.

Tuesday, August 11, 2009

Aik, Sister In Islam(SIS) Tak Marah Ke?

Kenapa anti-poligami senyap je ni? Tak ada yang bising pun. Feminis pun diam membatu.

Marahla si Dhani ni. Ada ke nyanyi balik lagu P.Ramlee yang kontroversi tu. Nak suruh orang poligami ke hape?

Hehe...owh, ye...kitorang(SIS) marah kalau yang timbulkan tu orang agama je...kalau artis ke, hedonis ke nak cakap pasal poligami kitorang tak kisah la....kitorang OK!

MADU TIGA by Ahmad Dhani

Senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Terasa dunia ini
Ana yang punya

Kepada isteri tua
Ana sayang padanya
Kepada isteri muda
I say - I love you

Isteri tua merajuk
Balik kerumah isteri muda
Kalau dua-dua merajuk
Ana kahwin tiga

Mesti pandai pembohong
Mesti pandai temberang
Tetapi jangan sampai
Hai pecah tembelang

Saturday, August 1, 2009

Terfikir Tentang ISA


Semalam kumpulan Anti-ISA dan Pro-ISA telah mengadakan demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur. Anti-ISA menuntut supaya ISA dimansuhkan serta-merta sementara Pro-ISA berpendapat sebaliknya.

Ramai rakan saya yang terlibat sama. Saya juga diajak beberapa kali ke sana. Mujur ada tournament futsal semalam untuk dijadikan alasan. Hakikatnya memang saya sudah lama benci dengan demo jalanan.

Saya benci kerana ia lebih mendatangkan mudharat daripada manfaat. Apa kita ini bangsa tunjuk perasaankah? Tak puas hati sikit terus buat demo. Setahu saya itu cara bangsa di negara-negara mundur seperti Pakistan dan Bangladesh.

Atau ini menjadi petanda bahawa wakil rakyat kita tidak menjalankan tugas mereka? Kita tuntut agar ketidak puashatian kita disalurkan dan dibahaskan di dewan rakyat. Diusul dan dibincangkan dengan pemerintah. Tapi apa yang terjadi mereka ini telah gagal, lalu mengheret rakyat jelata untuk menutup kegagalan mereka.

Itu belum lagi berbicara perkara mungkar 'sampingan' yang berlaku semasa demonstrasi seperti meninggalkan solat, ikhtilat lelaki dan perempuan, merosakkan harta benda awam, caci maki dan carutan, mengganggu lalulintas, buang sampah merata-rata, mengutuk pemerintah...(the list goes on). Saya pernah join dulu saya tahulah.

Itu pasal demonstrasi. Jom borak pasal ISA pula.

Saya kira ramai yang sudah tahu akan kedajalan sistem ISA ini. Menangkap orang sesuka hati, yang utama ialah yang mengancam keselamatan negara, lalu dipenjarakan tanpa perbicaraan. Saya adalah antara salah seorang yang anti dengan sistem zalim sebegini. Dalam hal ini saya bersama dengan kumpulan anti-ISA.

Saya setuju kalau sistem ISA mahu dikaji semula. Tetapi untuk memansuhkan terus, itu saya kurang pasti. Bukan apa, saya melihat masih ada sisi-sisi relevan mengapa wujudnya ISA in the first place. Dan saya percaya, semua negara yang bersistem ada akta yang mirip atau hampir mirip dengan ISA ini.

Pertama, saya percaya semua masih ingat peristiwa selepas kemerdekaan di mana ISA digunakan untuk menyekat aktiviti kumpulan pengganas seperti puak komunis. Kumpulan al-Maunah juga menerima habuan yang sama.

Kemudian ia dimanfaatkan lagi ketika aqidah umat dilanda zaman kegelapan apabila tokoh-tokoh kumpulan sesat al-Arqam ditangkap di bawah akta ISA. Saya juga difahamkan ada juga beberapa kes mubaligh syiah turut diseret ke penjara ISA. Saya tidak ada bukti, hanya dengar cakap-cakap orang.

Baiklah, saya yakin dan percaya tidak wajar sama sekali untuk ISA dimansuhkan serta-merta. Di sini saya sertakan beberapa sebab;

1. Ada beberapa kes yang bersangkutan dengan keselamatan negara tidak perlu malah tidak wajar dibicarakan di mahkamah.

Sebagai contoh, seorang penjenayah ditangkap atas kesalahan mencuri dan membocorkan rahsia negara. Apakah kerajaan akan mengheretnya ke mahkamah? Sudah tentu tidak. Ini kerana kalau dibicara di mahkamah, sudah tentu para wartawan dibenarkan membuat liputan. Rahsia kerajaan yang memulanya diketahui oleh hanya dua tiga orang sudah menjadi pengetahuan masyarakat umum.

2. Ada beberapa kes yang masih tidak cukup bukti untuk pesalahnya dibicarakan, tetapi dia ditahan untuk langkah berjaga-jaga demi menjaga kemaslahatan masyarakat umum. Kebiasaannya tentulah ia bersangkutan dengan hal-hal terrorisme.

3. Kes berat yang bersangkutan dengan aqidah, seperti penyebaran dakyah sesat syiah, Ayah Pin, ajaran encik Kahar dan seumpama. Kita mengetahui ada sesetengah negara republik yang mendokong ajaran sesat ini. Jika disebar luaskan penahanan mereka, nescaya akan berlaku pergeseran dahsyat antara Malaysia dan negara-negara terbabit. Untuk mengelakkan ini terjadi, maka penahanan mereka dirahsiakan sementara hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut terus terjalin kukuh.

4. Setiap negara - pada pendapat saya- sangat perlu untuk mengadakan sistem sebagaimana ISA ini. Ini bagi menakut-nakutkan kepala-kepala penjenayah kes berat. Ini termasuklah kongsi gelap, terrorisme, pengedar dadah, dan pencetus racism.

Saya bukanlah pembela ISA. Jauh sekali pro-ISA. Tapi setiap perkara kita perlu fikir baik dan buruk, sambil tidak melebihkan emosi daripada ilmu apabila berbicara tentang sesuatu perkara.

Ayuh, kita berdoa agar apa saja yang diputuskan kerajaan nantinya berkenaan ISA mendatangkan manfaat kepada masyarakat seluruhnya dan lebih penting lagi mendapat keredhaan Allah ta'ala.

Dan Allah Yang Lebih Mengetahui.




Wednesday, July 29, 2009

Honesty

Pelik. Sepatutnya saya belajar Assembly language dalam subjek Microprocessor. Tapi ini lain pula ceritanya.

Saya diajar apa itu 'honesty' ataupun 'kejujuran'.

Tadi adalah quiz pertama subjek ni. Di awal soalan student dihidangkan dengan satu kata hikmat:

"Today, I am going to give you two examinations, one in trigonometry and one in honesty. I hope you will pass them both, but if you must fail one, let it be trigonometry, for there are many good people in this world today who cannot pass an examination in trigonometry, but there are no good people in the world who cannot pass an examination in honesty."

Tapi nampaknya saya tengok kata2 hikmat ni langsung tidak meninggalkan kesan untuk sesetengah orang. Kalau dari awal sudah diajar meniru, sampai ke sudahlah dia akan terus meniru dan meniru. Kasihan.

Esok pula saya akan ambil 'Special Examination' subjek Complex Analysis and Partial Differential Equation. Mungkin saya akan praktikkan kata-kata hikmat ni insyaAllah.

Saya tak mahu gagal ujian matematik ni. Saya juga tak mahu gagal ujian kejujuran. Saya tak mahu gagal kedua-duanya atau salah satu daripadanya.

Semoga Allah membantu agar saya lulus kedua-dua ujian. Ameen.