Sunday, November 28, 2010

"Ayat Ini Ditujukan Kepada Orang Kafir, Bukan Kami!"

"Ikutilah 'aqidah majoriti umat. Sebab 'aqidah orang ramai itulah 'aqidah yang benar," kata seorang ustaz sebagai penutup kelas 'aqidah pada hari itu.

"Maafkan ana, ustaz. Nampaknya kesimpulan ustaz tu seperti bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Cuba ustaz tengok ayat ni..." jawab seorang pemuda dalam keadaan keliru lantas membaca sepotong ayat al-Quran yang dihafalnya.


وَإِن تُطِعۡ أَڪۡثَرَ مَن فِى ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَخۡرُصُونَ

Dan jika kamu menuruti majoriti yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).

"
Ah, inikan ayat yang merujuk kepada orang kafir?! Yahudi dan nasrani! Astaghfirullah!" tempelak sang ustaz sambil menyuruh pemuda tersebut merujuk dalam Tafsir al-Jalalain, sebuah kitab yang dimasukkan dalam silibus akademik di tempat pengajiannya di Darul Quran.

Tanpa membuang masa, cepat saja pemuda itu bergegas mendapatkan Tafsir Jalalain di rak buku. Helaian kertas diselak demi mencari penafsiran ayat 116 Surah al-An'aam tersebut. Setelah meneliti tafsir tersebut, pemuda itu berkata,

"Wah, betullah al-fadhil ustaz cakap. Memang ayat ni bincang pasal orang kafir. Tak patut betul aku guna ayat ni untuk orang Islam pulak"

******************************************************************************
Demikian anekdot rekaan antara seorang ustaz dan anak muridnya berkaitan wajibnya mengikuti 'aqidah yang dipegang oleh majoriti umat Islam.

Dalam anekdot ini, ustaz yang 'alim itu mengingatkan agar jangan menggunakan dalil-dalil yang ditujukan kepada orang kafir, digunakan ke atas orang Islam. Watak ustaz tersebut sebetulnya merujuk kepada sebahagian ustaz di Malaysia menggunakan kaedah yang sama ketika berhujah. Samada melalui artikel mereka di akhbar atau video mereka di Youtube.

Namun, adakah kaedah ini benar menurut neraca ilmu berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah?

Kita lantas bertanya beberapa persoalan dasar:

  1. Apakah sebahagian ayat al-Quran ini tidak bermanfaat buat umat Islam kerana ia sebenarnya ayat berkaitan golongan kuffar?
  2. Adakah tiada langsung ulama' yang berhujah terhadap orang Islam menggunakan ayat al-Quran yang merujuk kepada orang kafir?
  3. Adakah benar dakwaan sebahagian ulama di Malaysia bahawa orang yang asyik menggunakan dalil yang merujuk kepada orang kafir sebagai hujah ke atas orang Islam sebenarnya berniat mahu mengkafir dan menyesatkan mereka?
Persoalan-persoalan di atas dapat dijawab dengan kita merujuk bagaimana sifat penghujahan ulama' daripada kalangan salaful ummah (para sahabat, tabi'in, dan tabi' tabi'in). Kita sama-sama insaf bahawa dalam medan ilmu agama, mereka inilah jaguh sebenar dan merekalah pula yang paling memahami agama ini jauh lebih hebat daripada mana-mana ulama di zaman ini.

Sekarang mari kita lihat dua orang sahabat besar yang menggunakan dalil yang ditujukan buat orang kafir, tapi digunakan sebagai hujah dalam menerangkan beberapa perkara kepada umat Islam. Agar kita tahu, bahawa para sahabat radhiallahu 'anhum juga mengingkari kaedah rekaan yang digunakan oleh sebahagian ustaz yang kurang bertanggungjawab dalam mendatangkan hujah syarak. Semoga hidayah Allah sentiasa tertumpah buat kita semua.

Dalil 1

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Hudzaifah bahawa ia melihat seorang lelaki yang di tangannya ada benang untuk mengubati penyakit panas, maka dia putuskan benang itu seraya membaca firman Allah:

وَمَا يُؤۡمِنُ أَڪۡثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشۡرِكُونَ

Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah melainkan (dalam masa yang sama) mempersekutukanNya (dengan sembahan yang lain)


Ayat ini diturunkan adalah untuk memberitahu sifat orang musyrikin yang dalam pada mereka percaya kewujudan dan kebesaran Allah, mereka tetap pula mahu menyembah dan berdoa dengan selain Allah. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Sheikh Soleh Bin Abdul Aziz Alu Sheikh dalam kitab beliau bertajuk Kifayah al-Mustazid Bi Syarhi Kitab al-Tauhid:

"berkata al-Salaf (generasi awal umat Islam) dalam menafsirkan ayat { وَمَا يُؤۡمِنُ أَڪۡثَرُهُم بِٱللَّهِ} membawa maksud yang diimani di sini ialah Allah sebagai Rabb, Pemberi Rezeki, Menghidupkan dan Mematikan, iaitulah tauhid rububiyyah, (sementara sambungan ayat) {إِلَّا وَهُم مُّشۡرِكُونَ}-kecuali mereka juga akan menyekutukanNYA - adalah dalam beribadah. Dan tidaklah tauhid rububiyyah mencukupi melainkan perlu juga tauhid dalam perkara ibadah (uluhiyyah)."

Jelas sekali dalam hadith di atas, sahabat nabi yang mulia, Hudzaifah RadhiaLlahu 'anh telah menggunakan ayat al-Quran dalam surah Yusuf ayat 106 demi menegah seseorang daripada melakukan syirik dengan memakai benang yang disangka dapat mengelak daripada penyakit demam.

Apakah sahabat nabi ini terlalu jahil sehingga sanggup menggunakan ayat al-Quran yang berkaitan dengan orang kafir demi berhujah dengan orang Islam yang melakukan syirik?

Tidak! bahkan orang yang mengingkari itulah mereka yang jahil.

Jika atsar di atas masih tidak mencukupi, ayuh kita lihat apa yang dilakukan oleh seorang sahabat pakar tafsir al-Quran, Abdullah Ibn Abbas radhiaLlahu 'anh.

Dalil 2

Dalam Tafsir al-Quran al-Azhim karangan Imam Ibn Kathir, ketika menafsirkan ayat 22 Surah al-Baqarah, beliau telah mendatangkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas yang mentafsirkan surah yang sama. Kata beliau(Ibn Abbas):

"Sehubungan dengan firmanNya {
فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا} (yang bermaksud: "Maka janganlah mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah"). Istilah "andaada" ialah mempersekutukan Allah, syirik itu lebih samar daripada semut yang merayap di atas batu hitam dalam kepekatan malam. Dan ia (contohnya seperti) berkata "demi Allah dan demi hidupmu wahai Fulan dan demi hidupku!". Termasuk juga kata-kata seperti "Kalau bukan kerana anjing ini, mesti pencuri akan masuk semalam" dan (atau) "kalaulah itik ni tak ada di rumah, mesti pencuri masuk""

Lihatlah bagaimana sahabat yang didoakan nabi agar menjadi faqih (pakar) dalam bidang tafsir al-Quran, menggunakan sebuah ayat yang ditujukan untuk orang kafir sebagai hujah dalam rangka menerangkan makna sebenar syirik atau menyekutukan Allah.

Apakah beliau 'tersilap' dan mengingkari sebahagian ustaz-ustaz di Malaysia dalam mendatangkan hujah?

Bahkan ketiga-tiga soalan yang dikemukakan di awal tulisan sudahpun terjawab. Dan semoga kita semua melapangkan dada kita menerima hujah daripada al-Quran dan al-Sunnah, sekalipun berbeza dengan fahaman kebanyakan manusia di muka bumi ini. Seluruh ayat al-Quran adalah untuk difahami dan dihayati, bukannya diambil sebahagian dan ditolak sebahagiannya yang lain.

Dan Allah lebih mengetahui.

--------------------------------------------
Rujukan:

1) Tafsir al-Quran al-Azhim li Ibn Kathir Juzu' 1. Edisi PDF.

2) Tafsir al-Quran al-Azhim li Ibn Kathir.

3) Tafsir al-Jalalain.

3) Kifayah al-Mustazid bi syarhi Kitab al-tauhid li Solih bin Abdul Aziz Alu Sheikh.

4) Kitab al-Tauhid li Muhammad al-Tamimi.



*Sebahagian rujukan dalam bahasa Arab saya terjemahkan secara bebas menurut ilmu Bahasa Arab saya yang terhad. Ini adalah salah satu usaha saya memperbaik dan menggilap semula kemahiran Bahasa Arab, sehingga saya ketahui pasti ada kesalahan yang dilakukan di sana-sini. Sebarang pembetulan, cadangan dan kritikan saya alu-alukan dan sila emelkan kepada saya di antikent86@gmail.com

Friday, October 29, 2010

Sebuah Travelog Penuntut Ilmu

Sem ini adalah sem terakhir aku di UIA. Sem yang bakal menentukan apakah aku berjaya ditabal menjadi graduan kejuruteraan atau sebaliknya. Satu kerjaya idaman aku sejak kecil.

Aku selalu berfikir-fikir, betapa banyaknya nikmat kurniaan ALLAH sepanjang aku ber'jihad' di medan ilmu. Terlalu banyak, sehingga setiap kali cuba mengingati nikmat-nikmat tersebut, selalu saja aku ketandusan masa.

Di sini aku ingin berkongsi serba sedikit kisah perjalanan hidupku sepanjang menempuh alam menuntut ilmu. Aku bukan sesiapa untuk dicontohi, cuma aku kongsi agar menjadi muhasabah kepada diri sendiri dan inspirasi buat sesiapa yang mahu.

Ramai rakanku di UIA tidak tahu satu fakta. Aku dulunya ketika di sekolah adalah seorang yang sangat lembab dalam pelajaran. Malah jika mahu dicari namaku di senarai nama pelajar berdasarkan ranking, silalah lihat bermula daripada bawah. Pasti lebih mudah untuk mencari. Zaman sekolah bagiku merupakan tempat untuk aku menimba pengalaman semata-mata. Tiada rekod cemerlang aku di sekolah untuk dibanggakan melainkan sijil-sijil nasyid yang bertimbun-timbun.

Pertama kali aku mengenal erti mujahadah adalah ketika di Darul Quran. Oleh sebab aku bukanlah ahli dalam menghafal al-Quran ketika di bangku sekolah, aku mengaku memang aku lambat untuk menghadam ayat-ayat ALLAH. Ditambah pula kelemahanku dalam Bahasa Arab justeru banyak pula maksiatku dalam kehidupan. Cemburu tidak dapat aku tahan buat rakan-rakan yang meninggalkanku jauh beberapa juz ke hadapan. Hanya kepada ALLAH aku memohon pertolongan. Hampir saja aku putus asa dan sampai satu tahap aku berkira-kira mahu 'drop out from school'.


Kelemahan ini perlu ku tampung - secara rela atau paksa - dengan mujahadah yang sangat tinggi. Hanya ALLAH tahu betapa sedikitnya tidurku dan alangkah sakitnya tubuhku ketika di sana. Namun ia bakal menjadi kenangan indah untuk hari-hari yang mendatang. Akhirnya, tanpa ku sangka, aku berjaya juga menamatkan hafazan antara yang terawal di kalangan siswa persijilan. Malah gredku hanya dibatasi beberapa titik perpuluhan untuk mencapai mumtaz (excellent). Sedang gred jayid jiddan (good) adalah melebihi jangkauan aku. Kepada ALLAH aku sembahkan sujud syukurku. Kerana tanpa hidayahNYA, pasti aku menemui kegagalan.

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى هَدَٮٰنَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَہۡتَدِىَ لَوۡلَآ أَنۡ هَدَٮٰنَا ٱللَّهُ‌ۖ

AlhamduliLlah (segala puji tertentu bagi ALLAH) yang telah memberi hidayah untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sesekali akan memperoleh petunjuk jika ALLAH tidak memimpin kami

Meneruskan pelajaran di Matrik UIA PJ pula merupakan cabaran baru. Ketika aku sudah 'berpisah' dengan matapelajaran akademik kira-kira satu setengah tahun, aku dipaksa pula belajar dalam English Language. Subjek-subjek semacam Calculus, Physics, Chemistry, dan lain-lain mula menimbulkan ketakutan dalam diriku lantaran menemui term-term yang agak asing bagiku. Aku menjadi tertekan dan sedikit risau dengan pelajaranku. Apatah lagi aku selalu pula dimomokkan oleh para senior dan orang dari luar yang berkata "Engineering is the toughest course you'll find in IIUM".

Mujur juga aku berjaya 'exempted' dalam Bahasa Arab untuk ujian APT(Arabic Placement Test) disamping mendapat level 5 dalam Bahasa Inggeris (aku hanya 'menggoreng' ketika ujian). Bermakna aku hanya di sini satu setengah tahun berbanding rakan-rakan lain yang hanya tamat setelah 2 tahun. Sekurang-kurangnya keputusan ujian ni menjadikan aku lebih konfiden untuk menempuh kehidupan di sini. Tapi, dari sudut lain, walaupun ada sedikit 'advantage' untukku dalam aspek masa, aku terpaksa pula berhempas pulas dengan jadual yang agak padat. Sehingga quiz, tutorial, dan exam di waktu malam atau hujung minggu adalah perkara biasa di sana. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa yang tak putus-putus, aku berjaya tamatkan pelajaran di Matrikulasi dengan gred dean's list.

Di Main Camp, kembara ilmu berterusan. Tahun pertama di sini masih pada peringkat 'foundation' yang mana kami masih perlu melangsaikan subjek-subjek asas dalam bidang engineering. Ketika itu aku dan rakan-rakan mula mengomel, "Kenapa subjek lebih kurang je dengan subjek di matrik? buang masa betul la UIA ni!". Setahu aku, hanya UIA saja universiti yang paling menekankan aspek 'foundation' dalam kurikulum mereka. Bermakna, pelajar dipaksa untuk menghadam dengan sebenar-benar hadam, segala subjek asas sebelum meneruskan dalam bidang khusus yang mereka pilih nanti.

Statics, Dynamics, Electric Circuits, Electronics, Calculus (5 levels), materials; adalah antara subjek-subjek yang dimaksudkan. Kami mungkin budak-budak mentah yang hanya tahu mengomel tentang kepayahan subjek-subjek yang wajib diambil ini. Memasuki tahun keempat pengajian, baru aku sedar betapa pentingnya subjek-subjek ini untuk dihadam oleh semua pelajar engineering! Jika sejak awal lagi sudah kecundang, peluang meneruskan pengajian dalam pengkhususan nanti pasti lagi sukar!

Kata-kata hikmah seorang lecturer satu ketika dulu pasti takkan ku lupa:

"Ada student yang datang kepada saya dan bertanya, "apa gunanya kita belajar subjek yang nantinya mungkin tak digunakan ketika alam kerjaya?". Saya menjawab, "kamu pernah tengok cerita kungfu? Adakah seorang shaolin master akan menggunakan semua skill yang dipelajari dalam training ketika berdepan musuh? Bahkan hanya sedikit! begitulah perumpamaannya. Semua subjek yang kamu belajar -sekalipun tak digunakan di alam kerjaya nanti - tetap satu latihan yang bagus untuk menjadi engineer yang berkaliber nanti".

Beliau adalah guru saya untuk subjek calculus 3, al-Fadhil Dr Raihan Othman.

Sehingga kini, di tahun terakhir, aku seakan sudah 'lali' dengan subjek-subjek yang berat. Setiap kali hampir kecundang di tengah medan, aku pantas mengingat kembali kata-kata guruku itu. Setiap kali itu juga aku cuba untuk bangun kembali, dan meneruskan perjuangan. Kadang-kadang bukan kita tak mampu melakukan perkara-perkara susah, cuma kita sudah selesa berada di comfort zone, sehingga cabaran yang dilontar ke atas kita tidak dapat ditangani dengan baik. Benarlah kata-kata penyair:
“Jiwa itu seperti bayi,
kalau kau biarkan (menyusu),
Maka dia akan tetap suka menyusu,
dan jika engkau mengajarinya makan,
dia akan berhenti menyusu.”


dipetik daripada SUMBER
Di waktu aku menulis artikel ini, aku sedang berusaha sedaya upaya menyiapkan Final Year Project (FYP) yang bertajuk "Visual Control of Remote Vehicle". Di samping aku sudah mula berada dalam musim peperiksaan dan bakal menjawab tiga kertas terakhir (insyaALLAH). Mereka (kawan-kawan yang grad) selalu berkata aku pasti akan merindui zaman pengajianku. Bahkan mereka adalah sangat benar apabila rindu sudah mula berputik pada kelas, kuliah, kerja makmal, quiz, assignment, exam.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.

Friday, October 1, 2010

Qul Kullum Min 'Indillah

Dalam hidup, kita sentiasa berubah.

Kalau dulu kita kanak-kanak yang lurus, kini kita seorang dewasa yang mengurus.

Dulu ketika kecil mungkin lain cita-cita dan citarasa. Berlainan pula impian dan angan-angan.

Ada yang memang dikurnia Tuhan setiap apa yang diinginkan. Berapa ramai pula yang tersungkur di perjalanan.

Walau apapun citamu, impian, dan azammu. Ingatlah setiap yang kita peroleh - baik yang sebelum, sekarang , dan yang mendatang - semuanya adalah milik Tuhan. Semuanya kerja Tuhan. Demikian apa yang tidak kita dapatkan, Tuhanlah yang merancang. Tuhanlah yang mengatur. Tuhanlah yang merencana.

"QUL KULLUM MIN 'INDILLAH" [Katakanlah setiap perkara adalah dari sisi ALLAH]

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu - al-Baqarah:216

Demikian sebaliknya.

Apa yang kita dapat, bersyukurlah. Apa yang terlepas, bersabar dan redhalah.

Tuhan nantinya tidak berminat dengan end result. Tapi usaha dan amalan. Itulah kayu penyukur. Itulah pertimbangan. Oleh itu, jangan berhenti setiap usaha, doa, dan tawakkal.

Supaya ALLAH mengurnia yang terbaik bagi kita. Allahumma Ameen.

Tuesday, September 28, 2010

Beberapa Catatan Tentang Walimatul Urus

Huh, penangan kenduri dan open house memang memenatkan. Kombinasi antara 'bulan Raya' dan 'musim mengawan' memang bukan kombinasi yang menarik buat student final year. Sebab itu bermakna projek FYP akan tergendala dengan cemerlangnya!hehe

Alhamdulillah, beberapa minggu ni banyak kenalan yang melangsungkan perkahwinan. Malah untuk minggu-minggu mendatang ni pun terlalu banyak jemputan untuk dipenuhi. Baguslah untuk kalian, separuh agamamu sudah sempurna.

Di kesempatan ini diucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat my cousin-cum-best friend, Muhammad Idris Bin Che Mahzan yang melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan yang juga my schoolmate, Nurul Izzah Binti Hj Idris. Semoga pernikahan ini diberkati olehNYA. Amin.

Bersempena dengan itu juga, ada beberapa perkara berkaitan walimah al-Urus yang perlu disentuh agar menjadi pedoman di masa hadapan. Mungkin sesetengah perkara agak sensitif dan sebahagian orang mungkin terasa. Perkongsian ini bukan untuk merendahkan mana-mana pihak, tapi sebagai muhasabah bersama dan agar amalan kita bertepatan dengan apa yang diajarkan di dalam sunnah.

1) Mahar/ Maskahwin (dan hantaran) terlalu tinggi

Ini biasanya berlaku di pihak keluarga wanita ataupun mertua pengantin lelaki. Ada yang saya jumpa mengenakan maskahwin+hantaran sehingga RM 15,000 untuk pihak lelaki yang masih di bangku pengajian! Kalau si lelaki eksekutif syarikat mungkin lain cerita.

Di mana perginya rasional? Apa mereka tak pernah terfikir ini mesti akan membebankan pihak lelaki? Yuran pengajian pun masih ditanggung, dipaksa pula membayar maskahwin yang terlalu tinggi?

Dukacita ada ibubapa yang begitu jumud ketika menyukarkan perkahwinan anaknya, tapi begitu longgar tatkala anaknya itu dibawa kehulu ke hilir oleh lelaki bukan mahram.

Agaknya peraturan maskahwin sebelum ini yang guna kaedah "floor rate" perlu diganti dengan "ceiling rate" pula!

“Pernikahan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no. 24595)



2) Tabarruj. Wanita dan perhiasan.

Tabarruj al-Jahiliah seperti yang dinukil dalam al-Quran nampaknya boleh menyerang sesiapa saja. Ia tak mengenal kedudukan atau latar belakang. Hatta ustazah yang mukanya selalu keluar di TV pun terperangkap dalam jerat tabarruj. Ustazah sekalian jawablah di hadapan ALLAH nanti bila ada muslimah yang menggunakan alasan "ala, ustazah pun pakai mekap apa, maknanya bolehlah" bila ditegur berkaitan tabarruj.

Islam memang suka pada kecantikan tapi perlulah dengan batas-batasnya. Hindarilah berlebih-lebihan dalam berhias. Mungkin seseorang menutup kepala, tapi masih belum terlepas daripada dosa tabarruj. Gincu, mekap yang tebal, sanggul yang tinggi (yang hadith describe sebagai "seperti bonggol unta"), baju yang lip-lap2, kasut tumit tinggi. Apa yang lebih ketara ialah trend memakai perfume yang boleh dibau dari jarak 10 meter, sedang ia dilarang dengan jelas dalam hadith di bawah:

"Wanita mana saja yang memakai wewangian, kemudian ia (sengaja) melewati sekelompok laki-laki agar mereka mencium wanginya, maka dia adalah penzina". [Hadith riwayat An-Nasa'i dalam sunannya no. 5036]


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk daripada kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]


Jika ada yang berfikir tabarruj itu satu subjek kecil, maka fikirkan kembali!

3) Pembaziran.


"Siapa membazir, dia saudara syaitan". Ungkapan ini diajar sejak dari kecil. Budak tadika, mak bapak, mak andam, wedding planner, kedua pengantin, semuanya tahu akan hal ini. Ia suatu yang ringan di lidah, tapi berat untuk dilakukan.

Ada sesetengah orang -disebabkan kedudukan dan ego mereka- berlumba-lumba untuk mengadakan walimah yang paling 'grand'. Kalau jirannya buat macam ni, dia mesti nak lebih atau paling kurang sama. Pelamin, baju pengantin, makanan, venue, photographer, dan senarainya yang panjang, semuanya dicari yang paling mahal.

Rujukan perjalanan walimah al-urus bukan lagi kitab dan sunnah, tapi telah dialih kepada majalah dan blog nikah yang muka depannya asyik memaparkan "wedding of the year". Tanpa kita sedari (atau sebenarnya sedar tapi buat-buat tak sedar), minda kita telah dijajah oleh media!

Akibatnya, walimah kita semakin hari semakin menjauh daripada petunjuk Rasulullah. Sebaliknya semakin pula ia mendekati petunjuk perkahwinan golongan kuffar. Bukankah janji ALLAH dan Rasulnya itu sangat benar? Semakin jelas gambarannya bagaimana umat ini akan mengikuti golongan yahudi dan kristian hatta ke lubang cacing sekalipun!

4) Biar mati anak, jangan mati adat!

Alangkah adil agama ini. Adat yang baik dan tidak bercanggah dengan aqidah Muslim tetap dijaga dan dihormati. Tapi sehingga mahu mengeluarkan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" seperti sangat 'keterlaluan' dan 'melampau'. Sedang al-Quran suruh jangan bunuh anakmu. Mungkin akan ada yang kata aku literalis dalam hal ini. Aku tak kisah. Adat mesti dipandu syariat, bukan agama yang ditunggang budaya.

Kita berterima kasih dengan ustaz-ustaz yang dulunya sangat keras dalam membantah adat merenjis dan bersanding. Kerana tanpa syak, ia adalah budaya Hindu. Sedang Muslim dilarang meniru ritual agama syirik. Demikian adat mengarut sebahagian orang di selatan yang mengenakan 'tol' kepada rombongan pengantin yang datang. Itu belum lagi adat pepatih yang secara terang - seperti terangnya matahari yang terik- bertentangan dengan ajaran Islam. Apakah jika tiadanya semua ini, dan pelbagai lagi adat mengarut yang lain, akan menjejaskan kemeriahan walimah?

Apalah yang tinggal dalam adat Melayu, jika mereka mencabut agama daripada hidup mereka?

Demikian sedikit catatan berkaitan walimah al-urus atau majlis pernikahan. Mudah-mudahan rumah tangga yang terbina menuju mawaddah dan sakinah seperti yang disebut dalam al-Quran. Kerana tiadalah guna memperkata tentang daulah dan khilafah tatkala terabainya institusi yang lebih kecil iaitu usrah.

Wallahua'lam.

Monday, August 30, 2010

Politikus

Entah berapa banyak kali aku nak ulang yang aku dah muak dengan politik parti kat negara ni. Hanya mahu memenangkan parti yang disokong, lalu menumbangkan parti lawan, agama menjadi mangsa. Mereka telah menyembelih agama dengan pisau politik mereka yang kotor lagi jijik.

Bermula dengan isu khutbah yang mendoakan LGE, sehinggalah isu amoi DAP kasi 'tazkirah' kat dalam masjid(surau?). Aku tak nampak lain melainkan hanya permainan politik.

Isu kecik je pun, tapi sengaja diperbesarkan!

Maka para ustaz dan mufti pun berbeza pendapat. Ada yang menyokong, ada yang membantah secara total. Tak apalah, masing-masing punya pendapat. Tapi aku nak katakan, kita telah pun membazirkan beberapa waktu kita yang lumayan itu untuk membincangkan perihal si kafir! Bukankah itu suatu yang agak kurang bijak, sebagai memenuhi bulan yang mulia ini?

Perhatikan orang politik ketika mereka berpolitik. Tabayyun(selidik kebenaran sesuatu perkara) ibarat sampah yang layak dibaling ke longkang. Tiada harga bagi mereka. Apa yang media bawa ditelannya bulat-bulat. Seperti ayat 6 Surah al-Hujuraat tu langsung tak berperanan bagi mereka. Ya ALLAH ya Tuhanku, lindungi kami daripada golongan yang membaca al-Quran, tetapi tidak melepasi kerongkong!

Banyak yang perlu dipersoalkan. Betul ke khatib tu mendoakan LGE secara personal? kalaupun benar, apakah doa itu berbentuk doa kesejahteraan atau mahu mendoakan agar dibuka pintu hidayah? Apakah hukum mendoakan nonmuslim? Haram secara totalkah atau ada ruang yang dibenarkan dalam Islam? Ahh, apa orang politik kesah, asalkan ada isu, putar belit agama apa salahnya?!

Isu amoi yang masuk masjid tu. Siapa yang haramkan nonmuslim masuk masjid? Allah? Rasulullah? atau Jais punya pengarah? Agak mengecewakan bila diqiyaskan nonmuslim dengan wanita haid. Jangan jauh sangat merapu sampai sanggup qiyaskan wanita kami dengan orang kafir! Hai, alangkah sedih bila ada konspirasi menjatuhkan Islam di negara Islam sendiri. Terlebih sedih jika ia didokong oleh jabatan agama sendiri!

Lagi satu, siapa kata amoi tu kasi tazkirah? Dia cakap dia terangkan pasal "skim pendidikan di Selangor". Tazkirah ke tu? Jika dihalau dari masjid kerana amoi tu tak tutup aurat, maka halau juga datin2, puteri2 UMNO, dan artis2 yang mendatangi masjid dengan pakaian seperti orang tak cukup kain. Itukan double standard namanya. Parti lawan buat tak boleh, kalau parti aku buat tak ape. Inilah realiti politik kepartian kita hari ni.

Ya ALLAH, di kesempatan 10 malam terakhir ini, kami berlindung denganMU daripada syaitan yang direjam. Lingdungi kami juga daripada politik dan kejelekannya. Hapuskan sentimen perkauman(asabiyah) antara kami. Bukakan hati pemimpin kami. Tetapkan mereka di jalanMU ya ALLAH. Ameen.

Saturday, August 28, 2010

Tinggal Lagi 10: Di Mana Kita?



Bukan satu benda yang asing sekarang ni bila masuk je pertengahan Ramadhan, sudah ada yang mengumandangkan lagu2 raya. Ada lagu lama yang agak evergreen, tak kurang juga yang baru2. Tarbiyyah Ramadhan dibakulsampahkan, hiburan dan maksiat diangkat menjadi tuhan. Betapa hebat gerak kerja syaitan, meski diikat tetap mampu menyampaikan agendanya.

Kita menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan. Apakah perasaan kita di kala ini? Apakah berasa sedih dengan pemergiannya, atau kita antara orang yang paling teruja meninggalkannya. Jika kita berada dalam golongan kedua, aduh, sangat celakalah kita. Betapa jauhnya kita dengan sunnah. Kerana orang-orang beriman seperti iman para sahabat akan berasa sedih saat berakhirnya Ramadhan, malah mengharapkan Ramadhan berlaku sepanjang tahun!

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 137:

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu(Rasulullah dan para sahabat) beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Mari muhasabah amalan kita sepanjang Ramadhan. Apakah sudah dijaga solat yang lima? Puasa yang bebas daripada umpat dan cela? Bagaimana pula dengan qiyam Ramadhan kita? Kitab suci al-Quran sudah berapa banyak kita baca?

Memang hidup dalam dunia sekarang sangat mencabar. Bukan saja kita disibukkan dengan urusan belajar dan kerja, tapi suasana sekeliling yang dicandukan dengan maksiat dan bid'ah sangat membutakan mata. Mungkin selama 20 hari ini kita sedikit lalai atau kurang mampu untuk melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh, maka 10 hari terakhir inilah peluang kita untuk tebus semula. Masih belum terlambat. Apa saja perkara kebaikan yang kita tak mampu lakukan semua, jangan ditinggalkan semua. ALLAH melihat usahamu, bukan membebanimu dengan apa yang kau tak mampu.

Waktu inilah kita kembali menghidupkan sunnah yang semakin dilupakan kebanyakan orang; solat berjamaah, membaca al-Quran secara tartil sambil menghayatinya, hidupkan qiyam Ramadhan terutama dengan solat Tarawih, keluarkan harta di jalan ALLAH, dan lain2. Malah 10 malam terakhir sedikit istimewa dengan adanya i'tikaf di masjid. Bagi yang berkelapangan, sama-samalah kita hidupkan kembali sunnah i'tikaf ini, yang mana nabi tidak pernah tinggalkan sehingga akhir hayat Baginda.

Tidak lupa juga untuk kita mempergandakan doa dan tawakkal kita ketika puasa. Doa orang puasa itu sentiasa mustajab. Berdoalah di dalam solat, ketika berbuka puasa, ketika hamba berada paling hampir dengan Tuhannya ketika sujud, doa selepas tahiyyat akhir sebelum salam,doa di sepertiga malam dan waktu sahur, doa diantara azan dan iqamah, doa ketika turunnya hujan(sekarangkan waktu hujan). Malah dalam 10 malam terakhir ini ada satu malam yang cukup hebat iaitu Lailatul Qadar. Apakah kita mahu melepaskan peluang keemasan ini? Rasulullah bersabda (maksudnya),

"Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara"[ HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797]


Ketika orang lain sibuk dengan persiapan raya mereka, kita tajamkan senjata ibadah kita. Iman dan taqwa itulah ganjarannya. Kita tidak mahu digolongkan dalam antara 3 yang celaka sebagaimana dalam hadith ini:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.


[HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih] sumber


Ayuh, siapkan jiwa raga, menuju berakhirnya bulan yang mulia, mudah-mudahan kita memperoleh taqwa.

Monday, August 16, 2010

Tarawih: Kualiti vs Kuantiti

Hari ni masuk hari kelapan kita berpuasa. Bermakna, sesiapa yang bersolat di belakang kebanyakan imam huffaz, mereka sudah melalui hampir 8 juzu' lengkap al-Quran. Malam ini pula kita menanti imam mengalunkan bacaannya yang merdu pada juzu' 9. Hebatnya keberkatan bulan Ramadhan, kalau di bulan lain apakah kita mampu melakukan sedemikian? Nak berjalan menuju isya' berjamaah pun payah!

Perdebatan hangat tentang berapa rakaat solat tarawih yang sunnah nampaknya sudah sedikit suam pada tahun ni. Boleh jadi ilmu sudah sampai kepada kebanyakan kita bahawa kedua-duanya adalah sunnah. Nabi melakukan 11 atau 13 rakaat dalam setiap qiamullail termasuk dalam bulan Ramadhan, tapi itu bukan dalil bahawa nabi mengehadkan bilangannya. Dalam hadith lain nabi kata solat malam adalah dua rakaat, dua rakaat tanpa ada had bilangan. Ini menunjukkan keluasan dalam hal ini di samping amalan para salaf yang ternyata melakukan kepelbagaian dalam rakaat tarawih.

Oleh itu, jika kita rajin dan mampu melakukan 20 rakaat, jangan memperlekeh sahabat yang mengehadkan kepada 8 sebagai 'kurang rajin'. Begitu pula yang berpegang teguh dengan had 8 rakaat jangan perlekeh sahabat yang buat 20 rakaat sebagai 'kurang sunnah'. Kita bersama-sama berlapang dada dalam perkara yang diluaskan oleh Pembuat Syariat.

Maka, kita simpulkan polemik tarawih 8 atau 20 dengan kenyataan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah yang sangat genius:

"(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan."

Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)


Setelah kita mengetahui tiada had dalam rakaat tarawih, wajar kita tumpukan pula pada kualiti solat yang kita lakukan. Perhatikan kata-kata Ibn Taimiyyah di atas pada ayat "banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan". Ini bermakna, kita imbangkanlah antara kuantiti dan kualiti. Kalau sedikit rakaatnya, maka panjangkanlah qiyam(berdiri)nya. Kalau banyak rakaatnya, maka ringankan sedikit qiyamnya.

Seterusnya, bagi kita yang mempunyai kelebihan masa lapang untuk menunaikan solat Tarawih secara berjamaah, sebaiknya tidak melepaskan peluang tersebut. Bahkan sesiapa yang tetap bersama imam sehingga habis, dia akan mendapat ganjaran qiyam seluruh malam! Buktinya ialah pada hadith berikut:

"Barangsiapa yang bersolat bersama imam sehingga selesai, Allah akan merekodkan untuknya seolah-olah dia bersolat sepanjang malam" [Hadith Riwayat at-Tirmizi 806, dan dinilai Sahih oleh al-Albani]


Bagaimana pula dengan qiyam nabi? adakah Baginda ada melakukan 1000 rakaat seperti yang diclaim oleh sesetengah golongan sufi yang ghuluw dilakukan oleh Tok Sheikh- Tok Sheikh mereka? Benarkah nabi melakukan solat tanpa toma'ninah demi mengejar rakaat? Di samping tersangat jahil untuk mempercayai cerita karut si pengamal sufi (mana logik 1000 rakaat satu malam!), ia ternyata sangat bercanggah dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Menarik untuk maklumat bersama, aku kongsikan bagaimana qiyamnya seorang insan yang paling mulia yang bernama Muhammad bin Abdullah dalam hadith yang panjang di bawah:

Dari Hudzaifah bin Yaman, ia berkata, “Pada suatu malam aku shalat bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, beliau memulai shalat dengan membaca surat Al Baqarah. Aku katakan, ‘Beliau ruku’ setelah membaca seratus ayat pertama, kemudian meneruskan hingga selesai.’ Aku katakan, ‘Beliau shalat dengan (membaca semua ayat itu) dalam satu rakaat, lalu melanjutkan!’ Aku katakan, ‘Setelah itu beliau ruku’ dengannya, kemudian shalat lagi membaca surat An Nisa, lalu Ali Imran. Dia membaca pelan-pelan, jika membaca ayat tasbih ia bertasbih, jika melewati ayat permohonan ia memohon, jika membaca ayat perlindungan ia berta’awudz. Kemudian ruku’ seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal ‘azhim’, ruku’nya sama panjangnya dengan berdirinya, kemudian berkata, ‘Sami’ Allahu liman hamidah’, kemudian berdiri lama seperti lamanya ruku’. Kemudian bersujud seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal a’la’ dan lamanya waktu sujud mendekati lamanya waktu berdiri.” (Hadith Riwayat Muslim)



Oleh itu, sesiapa yang rasa dalam hatinya semacam ini, "eh, sikit sangat amalan nabi, lebih baik aku tambah sikitlah", dia perlu melihat kembali ke cermin. Siapa kamu mahu cakap begitu? Tiada kebaikan dalam tokok tambah daripada ajaran nabi, meskipun manusia memandangnya baik! Adapun daripada hadith ni, ada beberapa manfaat yang boleh diambil. Antaranya:

1) Qiyam nabi adalah saaaaaaangat panjang.

2) Nabi baca al-Quran dengan tartil. Bukan seperti sesetengah orang yang menggunakan gear 5 sampai semput-semput.

3) Boleh berdoa ketika membaca al-Quran.

4) Boleh membaca surah di dalam al-Quran dengan tidak mengikut turutan. Nabi di dalam hadith di atas membaca al-Baqarah, al-Nisa' dan kemudian berpatah balik ke Ali Imran. Tiada masalah dalam hal ini.

5) Nabi mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Lihatlah betapa khusyuknya solat Baginda!

Dalam menghidupkan malam Ramadhan dengan Solat Tarawih, maka mudah-mudahan segala amalan kita diterima kerana tidaklah diterima amalan melainkan terdapat gabungan dua unsur, yang pertamanya ikhlas kerana Allah, dan keduanya wajib berittiba'(mengikut) petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Wallahua'lam.

Saturday, August 14, 2010

Ramadhan dan Aku

السلام عليكم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله أما بعد

*Dah lama tak update blog ni selepas satu musibah melanda ketika sedang berpraktikal di Shah Alam. Laptop kesayangan yang berisi semua perkara penting lesap dalam sekelip mata. Pelbagai ilmu, tulisan ilmiah, dokumen penting, dan paling menyedihkan seluruh research yang dibuat ketika Final Year Project (FYP 1) hanya tinggal kenangan. Allahul Musta’an.

Ok lah. By the way, kita sekarang berada dalam Sekolah Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, keampunan dan kerahmatan. Satu bulan yang digelar ‘bulan al-Sobr’ merujuk kepada salah satu manfaat daripada bulan ini, iaitu menguji kesabaran. Ustaz Subkhan dalam kuliah Umdatul Ahkam menjelang Ramadhan, berkata sabar dalam bulan Ramadhan merangkumi; [1] Sabar dengan ketaatan (melaksanakan perintah), [2] Sabar terhadap maksiat, dan [3] Sabar menerima taqdir daripada ALLAH.

Tiap kali tibanya Ramadhan, kita pasti berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi melihat fadhilatnya yang besar. Tapi harus diingat, pertambahan amalan harus seiring dengan bertambahnya ilmu tentang amalan tersebut. Dalam erti kata lain, kita berusaha sedaya upaya mendalami ilmu syariat dalam rangka melakukan amal ibadah. Sebelum melakukan apa-apa amalan yang disandarkan kepada agama, perlu kita pastikan dulu sejauh mana amalan itu bertepatan dengan sunnah? Adakah Rasulullah pernah melakukannya? Atau apakah respons generasi terbaik (salaf al-Solih) dalam setiap perkara berkaitan amalan itu?

Setelah hampir 20 tahun melalui Bulan Ramadhan, sudah banyak fasa yang aku lalui. Fasa ketika kecil bilamana agama ketika itu hanya ikut-ikutan. Teringat waktu itu akibat tidak tahu tentang Sahur Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya, banyak kali juga skip sahur akibat terlanjur tidur. Seterusnya ketika zaman sekolah yang mana amalan mengikut ilmu yang ada. Sehinggalah fasa di mana manhaj mendahului segala-gala. Sudah banyak kali aku bertukar daripada pendapat A kepada pendapat B dan melompat pula kepada pendapat C. Ini terjadi selari dengan ilmu yang datang pada fasa-fasa itu.

Aku pernah berpendapat keras terhadap perkara membatalkan puasa. Ini tak boleh, itu tak boleh. Sehinggalah datang ilmu sunnah, baru tersedar rupa-rupanya sedikit sangat perkara yang membatalkan puasa. Dalam Fiqh al-Sunnah karangan Syed Sabiq Rahimahullah, hanya disenarai lapan jenis pembatal puasa. Kalau dulu para ustaz selalu berkata makruh jika mandi dan gosok gigi ketika puasa, kini dalil menunjukkan sebaliknya. Malah Rasulullah yang mulia pernah melakukan perkara tersebut dan puasa Baginda TIDAK batal. Begitu pula hal yang lain yang dikatakan membatalkan puasa seperti korek hidung, korek telinga, kumur-kumur, dan makan setelah waktu imsak(10 minit sebelum subuh). Malah nas dan dalil juga menunjukkan Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa.

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunnah. Tidak wajar kita memandang remeh akan sunnah yang kelihatannya sangat asas lalu ditinggalkan kebanyakan manusia. Termasuk dalam hal ini ialah mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur, berbuka dengan rutab, tamar atau air, memperbanyak bacaan al-Quran, mendirikan solat Tarawih, mempertingkat amalan bersedekah dan selainnya. Mudah-mudahan sifat puasa kita bertepatan dengan sifat puasa yang diajar Rasulullah kepada kita.

Semoga Ramadhan tahun ini membawa seribu manfaat kepada kita semua dan semoga ALLAH mempertemukan kita dengan Lail al-Qadr (Malam al-Qadar) sebagai kemuncak segala nikmat Ramadhan. Ameen.

Saturday, March 6, 2010

Dr Wahyudi Dalam Kenangan

Hari ni hari yang dukacita buat seluruh pencinta ilmu terutama warga mechatronics engineering IIUM berikutan pemergian seorang professor merangkap Head of Department(HOD), Prof Dr Wahyudi Martono - semoga ALLAH mengampuni beliau.

Beliau adalah seorang lecturer, tutor, malah motivator buat kami semua.

Terlalu banyak ilmu yang telah beliau curahkan sehingga aku berharap dapat memanfaatkan ilmu beliau agar pahala beliau sentiasa mengalir ibarat aliran sungai yang tak putus2 menyumbang bekalan untuk seluruh umat.

Beliau meninggalkan kami ketika berada di kemuncak kareer di mana baru sahaja universiti menganugerahi beliau dengan gelaran professor. Satu gelaran khas buat mereka yang tinggi sumbangannya untuk pembangunan ilmu.

Ketika di kelas, selalu terdengar kata-kata penuh hikmah sehingga subjek Control Systems yang sangat berat terasa ringan dengan kelibat beliau.

Antara perkataan yang selalu diulang2 oleh beliau ialah jangan sekali putus asa dalam menuntut ilmu.

"If you fail a subject, dont be ashamed to repeat it again. I've failed my Chemistry paper and I've repeat it 4 times! If I can do it, you can do it".

"I am not from an Islamic university. I'm from a liberal university in Japan. Yet you don't misjudge my commitment for Islam"

Semoga ALLAH mengampuni beliau dan menempatkannya bersama orang2 yang beriman. Ameen.

إنَّالِلّهِ وَإنَّاإلَيْهِ رَاجِعُوْنَ اَللّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًامِنْهَا


“Sesungguhnya kita semua milik Allah dan kita semua akan kembali kepadaNya. Ya Allah berilah (kebaikan) kepadaku dengan musibah ini dan gantilah musibah ini dengan sesuatu yang lebih baik.” (HR Muslim no 918)

Friday, February 19, 2010

Character Assasination

Pernah dengar 'character assasination'? Ia adalah pembunuhan karakter seseorang demi untuk menjatuhkan maruah, merosakkan reputasi, dan mencalar peribadinya.

Ia biasanya dilakukan oleh seorang yang mempunyai PHD (perasaan hasad dengki) kepada orang2 yang dibenci. Jalan ini dilalui akibat sudah kehabisan bekalan hujah, lalu digunakan senjata fitnah. Tidak mampu berlawan di gelanggang ilmu, maka diguna pintu hasad dan syubhat.

Dalam sejarah, terlalu banyak kisah para anbiya', auliya', ulama' salaf, dan orang2 yang mengikuti mereka diperlakukan dengan kejam oleh para pendengki demi membunuh peribadi mereka. Bahkan dalam al-Quran kita dapati orang2 kafir dengan sedaya upaya melakukan character assasination terhadap ALLAH!

Sebab itu turunnya ayat dalam surah al-Ikhlas untuk menghancurkan segala tohmahan mereka yang mengatakan ALLAH itu mempunyai anak. Maha Suci ALLAH daripada sangkaan orang2 bodoh.

Demikian pula para nabi yang mulia. Nabi Nuh dituduh gila dan suka berdebat, Nabi Ibrahim dituduh menyalahi amalan nenek moyang, Nabi Musa dituduh sesat lagi menyesatkan.

Sedang Nabi Muhammad pula dituduh tukang sihir, mengada-adakan al-Quran, tak layak jadi nabi, dan bermacam2 lagi. Tapi lihatlah! telah lenyap nama2 yang melemparkan tuduhan tersebut daripada lipatan sejarah, namun kisah nabi2 yang mulia terus bersemadi dalam sejarah emas mereka.

Kemudian tidak kurang juga para sahabat cuba dibunuh karakter mereka dengan dituduh dengan tuduhan2 yang tak berasas. Ummul Mukminin A'ishah radhialllahuanha telah dituduh berzina, Mu'awiyah radhiallahuanhu dituduh gila kuasa. Sedangkan mereka ini menghabiskan usia mereka membela Rasulullah dan antara entiti yang penting dalam dakwah Islamiah. Mereka tidak terlepas dari fitnah oleh musuh2 Islam.

Mereka ini diikuti oleh imam para salaf. Badai fitnah sentiasa menanti untuk mereka tempuhi.

Imam al-Bukhari, seorang pakar hadith yang masyhur telah dituduh oleh gurunya sendiri sebagai seorang yang beraliran Muktazilah. Beliau akhirnya dibuang negeri dan hidup dalam buangan sehingga akhir hayat.

Imam al-Shafie ditangkap kerana dituduh berakidah syiah, Imam Malik diseksa akibat mengeluarkan fatwa yang berlawanan dengan kehendak pemerintah tentang talak, Imam Abu Hanifah dipukul kerana menolak tawaran jawatan, manakala Imam Ahmad dibelasah kerana tak mahu mengatakan al-Quran itu makhluk.

Untuk apa mereka diperlakukan sedemikian rupa? Tidak lain hanyalah untuk membunuh peribadi mereka!

Ulama' kontemporari juga tidak ketinggalan.

Al-Hafiz Ibn Taimiyyah dan muridnya, al-Hafiz Ibn Qayyim dituduh dengan tuduhan yang pelbagai. Ada yang menuduh mereka sesat, beraliran wahabi, dan terkeluar daripada ahli sunnah. Sheikh Nasiruddin al-Albani dan Dr Yusuf al-Qardhawi juga mendapat label yang sama dengan mereka berdua hanya kerana mereka ini membawa panji perjuangan akidah salaf.

Dan baru2 ini, senjata 'character assasination' juga dihalakan kepada seorang 'alim yang tersohor, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ini lantaran kenyataan beliau baru2 ini dan tahun2 sebelumnya berkenaan perayaan maulidurrasul. Bahawasanya perayaan ini tiada fadhilat, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat yang paling mencintai rasul, bahkan ini tiada dalam ajaran Islam.

Akibatnya, beliau dilontarkan tuduhan yang dahsyat; 'menyimpang', 'sesat', 'menghina nabi', 'menghina selawat', 'terkena racun wahabi', dan lain2 lagi. Kita lihat, kebanyakan tuduhan yang dilontarkan itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan kenyataan Tuan Guru tentang maulidurrasul tu. Tapi digunakan juga agar orang kebanyakan menganggap bahawa kata-kata Tuan Guru sudah 'tidak boleh dipakai' kerana pemikirannya sudah 'menyimpang'. Lihatlah betapa jahatnya makar orang2 yang mempunyai penyakit dalam hati.

Strategi 'character assasination' atau pembunuhan peribadi atau apa saja namanya akan tetap berlangsung zaman-berzaman. Jikalau kita pernah dituduh dan diperlakukan dengan bermacam perkara, ingatlah telah mendahului kita manusia2 yang jauh lebih mulia tetapi ternyata mereka juga tidak terlepas daripada kekejaman puak musuh yang mempunyai hasad dengki. Sebab itu, tenangkanlah hati kita dengan membaca sejarah para nabi yang terbentang luas di dalam al-Quran kerana ALLAH berfirman:

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diadakan-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah pertunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

Saturday, January 2, 2010

Kalimah ALLAH

Isu2 yang melanda umat Islam Malaysia terbahagi kepada dua. Satu isu yang benar2 boleh dikatakan isu dan satu lagi isu yang dibuat-buat dan sengaja ditimbulkan. Membazir masa memikirkan isu kategori kedua ini membawa kerugian yang maha dahsyat kepada umat.

Isu penggunaan kalimah ALLAH oleh puak kristian adalah isu terbaru.

Bagi sesetengah orang, kalimah ALLAH adalah eksklusif hak milik orang Islam saja, agama lain tak boleh guna. Maka di sana kita lihat orang UMNO (lebih tepat lagi pemuda UMNO) pun sudah petah mengalunkan takbir di media perdana demi menunjukkan bantahan kepada keputusan mahkamah yang membenarkan orang kristian menggunakan kalimah ALLAH.

* Off-topic: Orang yang membid'ahkan takbir ketika demontrasi ketika dilakukan oleh orang Pas perlu mempunyai pendirian yang sama apabila dilakukan oleh orang UMNO.

Hal perundangan biarlah ahli perundangan yang ulas.

Sambil tidak menafikan kepentingan perundangan, kita lihat dulu isu ini dari kaca mata agama iaitu berdasarkan nas dan dalil. Di zaman Rasulullah, para sahabat, dan keseluruhan generasi salaf adakah mereka melarang kaum agama lain menggunakan kalimah ALLAH?

Firman ALLAH:

Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. Padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa (Surah al-Maidah: 73).

Ayat di atas dan terlalu banyak lagi yang seumpama menunjukkan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang kristian bukanlah suatu yang dilarang. Akan tetapi yang ditempelak ialah sikap mereka yang menyekutukan ALLAH dengan sembahan2 yang lain.

Isu semasa menyedarkan kita bahawa orang kafir pun mengaku bahawa Allah Tuhan sekalian alam. Akan tetapi, beza kita dan mereka ialah kita beribadah hanya kepada ALLAH semata sambil mengkufuri sembahan2 lain. Di sinilah konsep Tauhid Uluhiyyah diaplikasi.

Tauhid yang diajar oleh Rasulullah ialah tauhid yang mentauhidkan Allah dalam zatNya, ibadah kepadaNya dan sifat-sifatNya. Semuanya perlu bergerak seiringan, tidak boleh diambil secara berpisah-pisah. Beriman dengan sebahagian, kufur pula dengan sebahagian yang lain.

Tidak cukup jika hanya berkata ALLAH itu ada lawannya tiada. Mendengar lawannya pekak. Itu orang kafir pun buat. Malah mereka percaya bahawa ALLAH yang mencipta mereka. Lihatlah firman ALLAH:

Dan demi sesungguhnya! jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: “Siapakah yang menciptakan mereka?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah!”. (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!” (Surah al-Zukhruf ayat 87-88).

Apakah mereka yang bersemangat 'mempertahan' maruah umat Islam Malaysia dengan membantah penggunaan kalimah ALLAH oleh agama lain ini faham akan hakikat tauhid ini? Kita cuak jika orang lain guna kalimah ALLAH takut2 boleh mengelirukan masyarakat. Keliru kita itu adakah kerana orang lain guna kalimah ALLAH atau kita sendiri yang kurang cerdik akan Akidah Islamiah?

Saya salah seorang yang berasa tiada keperluan yang besar untuk menghalang agama lain menggunakan kalimah ALLAH. ALLAH adalah ALLAH, Tuhan seluruh alam maya. ALLAH adalah untuk semua.

Saya juga berpendapat mudah-mudahan isu ini membawa kesan yang positif kepada perkembangan Islam di negara ini. Ini seperti akan terbuka luasnya ruang dialog antara Muslim dan Kristian dalam bidang perbandingan agama (comparative religion), semakin tuntas hujah kita apabila berdepan dengan mubaligh2 kristian apabila menukar kalimah 'father' kepada ALLAH, dan yang paling penting sekali agar umat Melayu Islam kembali membuka al-Quran dan menghayati isi kandungannya.

Usah kita tegar mempertahan penggunaan kalimah Tuhan kita, dalam masa yang sama lupa pula untuk mengikuti suruhan-suruhanNYA. Begitulah hakikat kita, Islam bukan hanya pada kalimah nama dan cop di kad pengenalan, ia terbukti dengan perhambaan kita yang hakiki kepada ALLAH. Setiap tindak tanduk kita berasa seperti ALLAH Melihat kita. Tentulah dunia ini akan selamat sejahtera.

Namun begitu, saya bersetuju dengan kenyataan Tun Mahathir agar syarat-syarat diperketatkan. Ini termasuklah hadkan keluaran buku/majalah tu untuk orang kristian sahaja (seperti yang dilakukan ke atas Harakah - untuk orang Pas sahaja). Dilarang memperguna ayat al-Quran/ hadith utk mengelirukan orang Islam. Jangan sampai kalimah ALLAH dipermain-mainkan, dibuat persendaan atau menghina orang lain.

Semoga ALLAH, dengan kesucian Nama-namaNYA Yang Baik, memelihara kita dalam setiap tindak tanduk kita.