Friday, February 19, 2010

Character Assasination

Pernah dengar 'character assasination'? Ia adalah pembunuhan karakter seseorang demi untuk menjatuhkan maruah, merosakkan reputasi, dan mencalar peribadinya.

Ia biasanya dilakukan oleh seorang yang mempunyai PHD (perasaan hasad dengki) kepada orang2 yang dibenci. Jalan ini dilalui akibat sudah kehabisan bekalan hujah, lalu digunakan senjata fitnah. Tidak mampu berlawan di gelanggang ilmu, maka diguna pintu hasad dan syubhat.

Dalam sejarah, terlalu banyak kisah para anbiya', auliya', ulama' salaf, dan orang2 yang mengikuti mereka diperlakukan dengan kejam oleh para pendengki demi membunuh peribadi mereka. Bahkan dalam al-Quran kita dapati orang2 kafir dengan sedaya upaya melakukan character assasination terhadap ALLAH!

Sebab itu turunnya ayat dalam surah al-Ikhlas untuk menghancurkan segala tohmahan mereka yang mengatakan ALLAH itu mempunyai anak. Maha Suci ALLAH daripada sangkaan orang2 bodoh.

Demikian pula para nabi yang mulia. Nabi Nuh dituduh gila dan suka berdebat, Nabi Ibrahim dituduh menyalahi amalan nenek moyang, Nabi Musa dituduh sesat lagi menyesatkan.

Sedang Nabi Muhammad pula dituduh tukang sihir, mengada-adakan al-Quran, tak layak jadi nabi, dan bermacam2 lagi. Tapi lihatlah! telah lenyap nama2 yang melemparkan tuduhan tersebut daripada lipatan sejarah, namun kisah nabi2 yang mulia terus bersemadi dalam sejarah emas mereka.

Kemudian tidak kurang juga para sahabat cuba dibunuh karakter mereka dengan dituduh dengan tuduhan2 yang tak berasas. Ummul Mukminin A'ishah radhialllahuanha telah dituduh berzina, Mu'awiyah radhiallahuanhu dituduh gila kuasa. Sedangkan mereka ini menghabiskan usia mereka membela Rasulullah dan antara entiti yang penting dalam dakwah Islamiah. Mereka tidak terlepas dari fitnah oleh musuh2 Islam.

Mereka ini diikuti oleh imam para salaf. Badai fitnah sentiasa menanti untuk mereka tempuhi.

Imam al-Bukhari, seorang pakar hadith yang masyhur telah dituduh oleh gurunya sendiri sebagai seorang yang beraliran Muktazilah. Beliau akhirnya dibuang negeri dan hidup dalam buangan sehingga akhir hayat.

Imam al-Shafie ditangkap kerana dituduh berakidah syiah, Imam Malik diseksa akibat mengeluarkan fatwa yang berlawanan dengan kehendak pemerintah tentang talak, Imam Abu Hanifah dipukul kerana menolak tawaran jawatan, manakala Imam Ahmad dibelasah kerana tak mahu mengatakan al-Quran itu makhluk.

Untuk apa mereka diperlakukan sedemikian rupa? Tidak lain hanyalah untuk membunuh peribadi mereka!

Ulama' kontemporari juga tidak ketinggalan.

Al-Hafiz Ibn Taimiyyah dan muridnya, al-Hafiz Ibn Qayyim dituduh dengan tuduhan yang pelbagai. Ada yang menuduh mereka sesat, beraliran wahabi, dan terkeluar daripada ahli sunnah. Sheikh Nasiruddin al-Albani dan Dr Yusuf al-Qardhawi juga mendapat label yang sama dengan mereka berdua hanya kerana mereka ini membawa panji perjuangan akidah salaf.

Dan baru2 ini, senjata 'character assasination' juga dihalakan kepada seorang 'alim yang tersohor, iaitu Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Ini lantaran kenyataan beliau baru2 ini dan tahun2 sebelumnya berkenaan perayaan maulidurrasul. Bahawasanya perayaan ini tiada fadhilat, tidak pernah dilakukan oleh para sahabat yang paling mencintai rasul, bahkan ini tiada dalam ajaran Islam.

Akibatnya, beliau dilontarkan tuduhan yang dahsyat; 'menyimpang', 'sesat', 'menghina nabi', 'menghina selawat', 'terkena racun wahabi', dan lain2 lagi. Kita lihat, kebanyakan tuduhan yang dilontarkan itu sebenarnya tiada kaitan pun dengan kenyataan Tuan Guru tentang maulidurrasul tu. Tapi digunakan juga agar orang kebanyakan menganggap bahawa kata-kata Tuan Guru sudah 'tidak boleh dipakai' kerana pemikirannya sudah 'menyimpang'. Lihatlah betapa jahatnya makar orang2 yang mempunyai penyakit dalam hati.

Strategi 'character assasination' atau pembunuhan peribadi atau apa saja namanya akan tetap berlangsung zaman-berzaman. Jikalau kita pernah dituduh dan diperlakukan dengan bermacam perkara, ingatlah telah mendahului kita manusia2 yang jauh lebih mulia tetapi ternyata mereka juga tidak terlepas daripada kekejaman puak musuh yang mempunyai hasad dengki. Sebab itu, tenangkanlah hati kita dengan membaca sejarah para nabi yang terbentang luas di dalam al-Quran kerana ALLAH berfirman:

Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diadakan-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab ugama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah pertunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.

No comments:

Post a Comment