Saturday, August 28, 2010

Tinggal Lagi 10: Di Mana Kita?



Bukan satu benda yang asing sekarang ni bila masuk je pertengahan Ramadhan, sudah ada yang mengumandangkan lagu2 raya. Ada lagu lama yang agak evergreen, tak kurang juga yang baru2. Tarbiyyah Ramadhan dibakulsampahkan, hiburan dan maksiat diangkat menjadi tuhan. Betapa hebat gerak kerja syaitan, meski diikat tetap mampu menyampaikan agendanya.

Kita menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan. Apakah perasaan kita di kala ini? Apakah berasa sedih dengan pemergiannya, atau kita antara orang yang paling teruja meninggalkannya. Jika kita berada dalam golongan kedua, aduh, sangat celakalah kita. Betapa jauhnya kita dengan sunnah. Kerana orang-orang beriman seperti iman para sahabat akan berasa sedih saat berakhirnya Ramadhan, malah mengharapkan Ramadhan berlaku sepanjang tahun!

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 137:

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu(Rasulullah dan para sahabat) beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Mari muhasabah amalan kita sepanjang Ramadhan. Apakah sudah dijaga solat yang lima? Puasa yang bebas daripada umpat dan cela? Bagaimana pula dengan qiyam Ramadhan kita? Kitab suci al-Quran sudah berapa banyak kita baca?

Memang hidup dalam dunia sekarang sangat mencabar. Bukan saja kita disibukkan dengan urusan belajar dan kerja, tapi suasana sekeliling yang dicandukan dengan maksiat dan bid'ah sangat membutakan mata. Mungkin selama 20 hari ini kita sedikit lalai atau kurang mampu untuk melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh, maka 10 hari terakhir inilah peluang kita untuk tebus semula. Masih belum terlambat. Apa saja perkara kebaikan yang kita tak mampu lakukan semua, jangan ditinggalkan semua. ALLAH melihat usahamu, bukan membebanimu dengan apa yang kau tak mampu.

Waktu inilah kita kembali menghidupkan sunnah yang semakin dilupakan kebanyakan orang; solat berjamaah, membaca al-Quran secara tartil sambil menghayatinya, hidupkan qiyam Ramadhan terutama dengan solat Tarawih, keluarkan harta di jalan ALLAH, dan lain2. Malah 10 malam terakhir sedikit istimewa dengan adanya i'tikaf di masjid. Bagi yang berkelapangan, sama-samalah kita hidupkan kembali sunnah i'tikaf ini, yang mana nabi tidak pernah tinggalkan sehingga akhir hayat Baginda.

Tidak lupa juga untuk kita mempergandakan doa dan tawakkal kita ketika puasa. Doa orang puasa itu sentiasa mustajab. Berdoalah di dalam solat, ketika berbuka puasa, ketika hamba berada paling hampir dengan Tuhannya ketika sujud, doa selepas tahiyyat akhir sebelum salam,doa di sepertiga malam dan waktu sahur, doa diantara azan dan iqamah, doa ketika turunnya hujan(sekarangkan waktu hujan). Malah dalam 10 malam terakhir ini ada satu malam yang cukup hebat iaitu Lailatul Qadar. Apakah kita mahu melepaskan peluang keemasan ini? Rasulullah bersabda (maksudnya),

"Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara"[ HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797]


Ketika orang lain sibuk dengan persiapan raya mereka, kita tajamkan senjata ibadah kita. Iman dan taqwa itulah ganjarannya. Kita tidak mahu digolongkan dalam antara 3 yang celaka sebagaimana dalam hadith ini:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.


[HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih] sumber


Ayuh, siapkan jiwa raga, menuju berakhirnya bulan yang mulia, mudah-mudahan kita memperoleh taqwa.

No comments:

Post a Comment