Monday, August 16, 2010

Tarawih: Kualiti vs Kuantiti

Hari ni masuk hari kelapan kita berpuasa. Bermakna, sesiapa yang bersolat di belakang kebanyakan imam huffaz, mereka sudah melalui hampir 8 juzu' lengkap al-Quran. Malam ini pula kita menanti imam mengalunkan bacaannya yang merdu pada juzu' 9. Hebatnya keberkatan bulan Ramadhan, kalau di bulan lain apakah kita mampu melakukan sedemikian? Nak berjalan menuju isya' berjamaah pun payah!

Perdebatan hangat tentang berapa rakaat solat tarawih yang sunnah nampaknya sudah sedikit suam pada tahun ni. Boleh jadi ilmu sudah sampai kepada kebanyakan kita bahawa kedua-duanya adalah sunnah. Nabi melakukan 11 atau 13 rakaat dalam setiap qiamullail termasuk dalam bulan Ramadhan, tapi itu bukan dalil bahawa nabi mengehadkan bilangannya. Dalam hadith lain nabi kata solat malam adalah dua rakaat, dua rakaat tanpa ada had bilangan. Ini menunjukkan keluasan dalam hal ini di samping amalan para salaf yang ternyata melakukan kepelbagaian dalam rakaat tarawih.

Oleh itu, jika kita rajin dan mampu melakukan 20 rakaat, jangan memperlekeh sahabat yang mengehadkan kepada 8 sebagai 'kurang rajin'. Begitu pula yang berpegang teguh dengan had 8 rakaat jangan perlekeh sahabat yang buat 20 rakaat sebagai 'kurang sunnah'. Kita bersama-sama berlapang dada dalam perkara yang diluaskan oleh Pembuat Syariat.

Maka, kita simpulkan polemik tarawih 8 atau 20 dengan kenyataan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah yang sangat genius:

"(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan."

Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)


Setelah kita mengetahui tiada had dalam rakaat tarawih, wajar kita tumpukan pula pada kualiti solat yang kita lakukan. Perhatikan kata-kata Ibn Taimiyyah di atas pada ayat "banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan". Ini bermakna, kita imbangkanlah antara kuantiti dan kualiti. Kalau sedikit rakaatnya, maka panjangkanlah qiyam(berdiri)nya. Kalau banyak rakaatnya, maka ringankan sedikit qiyamnya.

Seterusnya, bagi kita yang mempunyai kelebihan masa lapang untuk menunaikan solat Tarawih secara berjamaah, sebaiknya tidak melepaskan peluang tersebut. Bahkan sesiapa yang tetap bersama imam sehingga habis, dia akan mendapat ganjaran qiyam seluruh malam! Buktinya ialah pada hadith berikut:

"Barangsiapa yang bersolat bersama imam sehingga selesai, Allah akan merekodkan untuknya seolah-olah dia bersolat sepanjang malam" [Hadith Riwayat at-Tirmizi 806, dan dinilai Sahih oleh al-Albani]


Bagaimana pula dengan qiyam nabi? adakah Baginda ada melakukan 1000 rakaat seperti yang diclaim oleh sesetengah golongan sufi yang ghuluw dilakukan oleh Tok Sheikh- Tok Sheikh mereka? Benarkah nabi melakukan solat tanpa toma'ninah demi mengejar rakaat? Di samping tersangat jahil untuk mempercayai cerita karut si pengamal sufi (mana logik 1000 rakaat satu malam!), ia ternyata sangat bercanggah dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Menarik untuk maklumat bersama, aku kongsikan bagaimana qiyamnya seorang insan yang paling mulia yang bernama Muhammad bin Abdullah dalam hadith yang panjang di bawah:

Dari Hudzaifah bin Yaman, ia berkata, “Pada suatu malam aku shalat bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, beliau memulai shalat dengan membaca surat Al Baqarah. Aku katakan, ‘Beliau ruku’ setelah membaca seratus ayat pertama, kemudian meneruskan hingga selesai.’ Aku katakan, ‘Beliau shalat dengan (membaca semua ayat itu) dalam satu rakaat, lalu melanjutkan!’ Aku katakan, ‘Setelah itu beliau ruku’ dengannya, kemudian shalat lagi membaca surat An Nisa, lalu Ali Imran. Dia membaca pelan-pelan, jika membaca ayat tasbih ia bertasbih, jika melewati ayat permohonan ia memohon, jika membaca ayat perlindungan ia berta’awudz. Kemudian ruku’ seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal ‘azhim’, ruku’nya sama panjangnya dengan berdirinya, kemudian berkata, ‘Sami’ Allahu liman hamidah’, kemudian berdiri lama seperti lamanya ruku’. Kemudian bersujud seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal a’la’ dan lamanya waktu sujud mendekati lamanya waktu berdiri.” (Hadith Riwayat Muslim)



Oleh itu, sesiapa yang rasa dalam hatinya semacam ini, "eh, sikit sangat amalan nabi, lebih baik aku tambah sikitlah", dia perlu melihat kembali ke cermin. Siapa kamu mahu cakap begitu? Tiada kebaikan dalam tokok tambah daripada ajaran nabi, meskipun manusia memandangnya baik! Adapun daripada hadith ni, ada beberapa manfaat yang boleh diambil. Antaranya:

1) Qiyam nabi adalah saaaaaaangat panjang.

2) Nabi baca al-Quran dengan tartil. Bukan seperti sesetengah orang yang menggunakan gear 5 sampai semput-semput.

3) Boleh berdoa ketika membaca al-Quran.

4) Boleh membaca surah di dalam al-Quran dengan tidak mengikut turutan. Nabi di dalam hadith di atas membaca al-Baqarah, al-Nisa' dan kemudian berpatah balik ke Ali Imran. Tiada masalah dalam hal ini.

5) Nabi mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Lihatlah betapa khusyuknya solat Baginda!

Dalam menghidupkan malam Ramadhan dengan Solat Tarawih, maka mudah-mudahan segala amalan kita diterima kerana tidaklah diterima amalan melainkan terdapat gabungan dua unsur, yang pertamanya ikhlas kerana Allah, dan keduanya wajib berittiba'(mengikut) petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment