Saturday, August 14, 2010

Ramadhan dan Aku

السلام عليكم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله أما بعد

*Dah lama tak update blog ni selepas satu musibah melanda ketika sedang berpraktikal di Shah Alam. Laptop kesayangan yang berisi semua perkara penting lesap dalam sekelip mata. Pelbagai ilmu, tulisan ilmiah, dokumen penting, dan paling menyedihkan seluruh research yang dibuat ketika Final Year Project (FYP 1) hanya tinggal kenangan. Allahul Musta’an.

Ok lah. By the way, kita sekarang berada dalam Sekolah Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, keampunan dan kerahmatan. Satu bulan yang digelar ‘bulan al-Sobr’ merujuk kepada salah satu manfaat daripada bulan ini, iaitu menguji kesabaran. Ustaz Subkhan dalam kuliah Umdatul Ahkam menjelang Ramadhan, berkata sabar dalam bulan Ramadhan merangkumi; [1] Sabar dengan ketaatan (melaksanakan perintah), [2] Sabar terhadap maksiat, dan [3] Sabar menerima taqdir daripada ALLAH.

Tiap kali tibanya Ramadhan, kita pasti berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi melihat fadhilatnya yang besar. Tapi harus diingat, pertambahan amalan harus seiring dengan bertambahnya ilmu tentang amalan tersebut. Dalam erti kata lain, kita berusaha sedaya upaya mendalami ilmu syariat dalam rangka melakukan amal ibadah. Sebelum melakukan apa-apa amalan yang disandarkan kepada agama, perlu kita pastikan dulu sejauh mana amalan itu bertepatan dengan sunnah? Adakah Rasulullah pernah melakukannya? Atau apakah respons generasi terbaik (salaf al-Solih) dalam setiap perkara berkaitan amalan itu?

Setelah hampir 20 tahun melalui Bulan Ramadhan, sudah banyak fasa yang aku lalui. Fasa ketika kecil bilamana agama ketika itu hanya ikut-ikutan. Teringat waktu itu akibat tidak tahu tentang Sahur Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya, banyak kali juga skip sahur akibat terlanjur tidur. Seterusnya ketika zaman sekolah yang mana amalan mengikut ilmu yang ada. Sehinggalah fasa di mana manhaj mendahului segala-gala. Sudah banyak kali aku bertukar daripada pendapat A kepada pendapat B dan melompat pula kepada pendapat C. Ini terjadi selari dengan ilmu yang datang pada fasa-fasa itu.

Aku pernah berpendapat keras terhadap perkara membatalkan puasa. Ini tak boleh, itu tak boleh. Sehinggalah datang ilmu sunnah, baru tersedar rupa-rupanya sedikit sangat perkara yang membatalkan puasa. Dalam Fiqh al-Sunnah karangan Syed Sabiq Rahimahullah, hanya disenarai lapan jenis pembatal puasa. Kalau dulu para ustaz selalu berkata makruh jika mandi dan gosok gigi ketika puasa, kini dalil menunjukkan sebaliknya. Malah Rasulullah yang mulia pernah melakukan perkara tersebut dan puasa Baginda TIDAK batal. Begitu pula hal yang lain yang dikatakan membatalkan puasa seperti korek hidung, korek telinga, kumur-kumur, dan makan setelah waktu imsak(10 minit sebelum subuh). Malah nas dan dalil juga menunjukkan Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa.

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunnah. Tidak wajar kita memandang remeh akan sunnah yang kelihatannya sangat asas lalu ditinggalkan kebanyakan manusia. Termasuk dalam hal ini ialah mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur, berbuka dengan rutab, tamar atau air, memperbanyak bacaan al-Quran, mendirikan solat Tarawih, mempertingkat amalan bersedekah dan selainnya. Mudah-mudahan sifat puasa kita bertepatan dengan sifat puasa yang diajar Rasulullah kepada kita.

Semoga Ramadhan tahun ini membawa seribu manfaat kepada kita semua dan semoga ALLAH mempertemukan kita dengan Lail al-Qadr (Malam al-Qadar) sebagai kemuncak segala nikmat Ramadhan. Ameen.

No comments:

Post a Comment