Saturday, September 19, 2009

'Idun Mubarak


Begitu cepat masa berlalu.

Ramadhan yang mulia sudah pun melabuhkan tirainya.

Ia mungkin sudah meninggalkan kita, namun kita tidak mungkin akan melupakannya.

Ayuh kita koreksi, apakah Ramadhan kali ini berjaya menjadikan kita insan bertaqwa? Atau kita bertaqwa di awalnya, namun kecundang di akhirnya?

Amalan-amalan di bulan Ramadhan, mampukah kita untuk meneruskannya untuk bulan-bulan mendatang? Melakukan suatu amalan memang payah, tapi yang terlebih payah adalah untuk beristiqamah. Sebab itu amalan yang paling disukai nabi ialah suatu amalan yang berterusan walaupun sedikit (HR al-Bukhari dan Muslim).

Solat tarawih dan qiyam berjemaah, amalan tadarus dan tilawah, menderma dan bersedeqah. Apakah dapat kita teruskan lantas diterjemahkan kepada solat 5 waktu berjemaah, puasa Isnin-Khamis dan hari putih, mengaji al-Quran setiap hari. Kalaulah kita dapat menjaga amalan-amalan ini, nescaya ia sudah memadai.

Tepuklah dada, tanyalah iman.

-----------------RAYA-------------------

Esok umat Islam akan menyambut hari raya Idulfitri, sebuah ibadah yang disyariatkan menerusi junjungan besar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Ya, hari raya itu ibadat, bukannya suatu adat.

Siapa yang menyambutnya berdasarkan petunjuk yang benar, maka insyaAllah dia akan beroleh pahala. Maka sia-sialah bagi mereka yang menganggapnya sekadar adat.

Terlebih malang bagi mereka yang menyambutnya dengan upacara maksiat dan hiburan melalaikan. Ada orang bodoh menganggap hari raya adalah hari 'melunaskan' perkara-perkara haram yang tidak dilakukan di bulan Ramadhan. Tampillah mereka di kaca-kaca TV menunjukkan aksi memalukan seolah-olah diri itu sudah terlepas dari pengawasan Tuhan. Memang teruk bila melihat manusia berlagak beruk.

Di sudut yang lain ada pulak yang bertindak mengharamkan terus hiburan di hari raya. Siapakah yang berani mengharamkan perkara yang dihalalkan? Ketahuilah, mengharamkan yang halal tidak lebih mulia daripada menghalalkan yang haram. Kedua-duanya mempunyai kedudukan yang sama dalam syariat.

Sesungguhnya agama ini memusuhi sikap ekstrim dan berlebih-lebihan dalam beragama. Samada berlebihan dalam menambah atau mengurangi syariatnya, kedua-dua adalah dosa.

Teruslah kita menjadi umat pertengahan.

---------------MOHON KEMAAFAN----------------

Biarpun ada yang mahu men'tajdid'kan adat Melayu yang suka bermaaf-maafan di hari raya, bagi aku ia suatu yang tidak perlu.

Oleh itu aku mengambil kesempatan ini untuk memohon kemaafan daripada siapa saja yang mengenali dan tidak mengenali diri ini. Perlakuan dosa dengan Tuhan mudah-mudahan Dia mengampunkan, tapi dosa dengan manusia, tiada jalan lain melainkan jalan kemaafan.

Tidak lupa untuk diucapkan "TAQABBALULLAHU MINNA WA MINKUM". Semoga Allah menerima amalan daripada kami dan daripada kalian.

'Idun Mubarak.

Hasan Firdaus Bin Mohd Zaki @ Frank-hasan.blogspot.com

*Gambar di atas hasil ihsan blog nawawi di an-nawawi.blogspot.com

No comments:

Post a Comment