Thursday, September 17, 2009

Iktikaf Ramadhan

Alhamdulillah, baru balik dari beriktikaf di UIA.

Happening. Lebih-lebih lagi pada malam 27, manusia bergelimpangan memenuhi ruang masjid UIA.

Melihat statistik secara kasar, rasa-rasanya jumlah jemaah yang hadir agak berkurangan berbanding tahun lepas. Mungkin sebab ramai budak Melayu yang dah balik.

Tahun ni rezeki melimpah ruah. 10 malam terakhir makan minum (sahur dan berbuka) ditaja oleh individu yang pemurah. Semoga Allah melimpahkan pula rezekinya. Dapatlah kiranya tahun ni merasa makan kambing sehari suntuk. Budak Melayu lebam-lebam kepanasan. Budak foreigner rileks je aku tengok.

Sepanjang bulan Ramadhan ni, masjid ini menjadi saksi ibadah yang bertubi-tubi dilakukan oleh para jemaah. Solat tarawikh, qiyam berjemaah, iktikaf, tadarus, tazkirah, zikir. Semoga Allah sentiasa memberkati bumi UIA dengan amalan yang berpaksikan al-Quran dan al-Sunnah.

Di sini ada beberapa perkara yang aku terasa terpanggil untuk berkongsi dengan semua. Lebih kepada pandangan peribadi aku tentang apa yang berlaku sepanjang Ramadhan di masjid UIA khususnya 10 malam yang terakhir.

Aku tengok ramai yang mensia-siakan peluang beribadah terutama di siang hari. Mungkin kepenatan beribadah di sepertiga malam agaknya. Tapi untuk mensyahidkan diri dari lepas sahur hingga saat terakhir sebelum berbuka, ia agak keterlaluan. Kalau seorang dua takpa, tapi aku tengok sebaris macam tu! Alangkah baik masa dimanfaatkan dengan ibadah sunnat, paling kurang memperbanyakkan tilawah al-Quran.

Lagi satu, ingin aku berbicara tentang slot tazkirah yang dilakukan setiap hari terutama selepas solat tarawih. Apakah wajar diperbanyakkan tazkirah di bulan Ramadhan? Terutamanya diadakan lepas solat tarawih dan dilanjutkan hingga pukul 12.30 hingga satu pagi. Wallahua'lam.

Bukankah sepatutnya semua jemaah sudah perlu bersedia untuk tidur agar mendapat tenaga yang secukupnya untuk qiyam? Sementara tazkirah yang mikrofonnya dikuatkan yang dapat didengari segenap ruang masjid juga mengganggu jemaah lain yang ingin melakukan ibadah-ibadah lain etc tadarus, solat sunat?

Menurut pemerhatian aku, ramai yang tidak dapat fokus waktu berqiyam. Ada yang bangun (sangat) lambat, ada yang mengantuk, ada yang tersengguk-sengguk ketika solat. Malah perkara yang sama terbawa-bawa ketika solat subuh.

Mungkin perkara yang lebih wajar dilakukan ialah kita tumpu menimba ilmu ketika waktu selain Ramadhan sementara diadakan beberapa slot tazkirah ringkas ketika Ramadhan. Dengan langsung tiada niat untuk memperlekehkan usaha sahabat-sahabat menuntut ilmu, harapnya lepas ini perkara sebegini diambil kira. Ini penting agar ketika Ramadhan fokus kita tertumpu sepenuhnya kepada ibadah-ibadah yang khusus.

Bukankah para imam ahli hadith juga membatalkan pengajian mereka sepanjang Ramadhan? Benar, ini adalah untuk memberi sepenuh perhatian terhadap al-Quran. Semoga kita dapat mengikut jejak langkah mereka dalam hal-hal agama.

Hari-hari yang berbaki ini insyaAllah aku akan sambung di rumah saja. Walaupun agak sukar mencari feel sebab bangun tidur saja komputer sudah ada di depan mata. Harapnya di beri kekuatan untuk meneruskan momentum sedia ada.

Kepada rakan-rakan yang agak sibuk sebelum ini, masih belum terlambat untuk kalian. Mulakanlah hari ini untuk berjaga malam. Buatlah secara ringkas menurut kemampuan. Mungkin 2 rakaat tahajjud campur 3 rakaat witir. Lakukan 15 minit sebelum sahur. Mudah, bukan?

Aduhai, kalaulah Ramadhan ini sepanjang tahun...

No comments:

Post a Comment