Saturday, August 1, 2009

Terfikir Tentang ISA


Semalam kumpulan Anti-ISA dan Pro-ISA telah mengadakan demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur. Anti-ISA menuntut supaya ISA dimansuhkan serta-merta sementara Pro-ISA berpendapat sebaliknya.

Ramai rakan saya yang terlibat sama. Saya juga diajak beberapa kali ke sana. Mujur ada tournament futsal semalam untuk dijadikan alasan. Hakikatnya memang saya sudah lama benci dengan demo jalanan.

Saya benci kerana ia lebih mendatangkan mudharat daripada manfaat. Apa kita ini bangsa tunjuk perasaankah? Tak puas hati sikit terus buat demo. Setahu saya itu cara bangsa di negara-negara mundur seperti Pakistan dan Bangladesh.

Atau ini menjadi petanda bahawa wakil rakyat kita tidak menjalankan tugas mereka? Kita tuntut agar ketidak puashatian kita disalurkan dan dibahaskan di dewan rakyat. Diusul dan dibincangkan dengan pemerintah. Tapi apa yang terjadi mereka ini telah gagal, lalu mengheret rakyat jelata untuk menutup kegagalan mereka.

Itu belum lagi berbicara perkara mungkar 'sampingan' yang berlaku semasa demonstrasi seperti meninggalkan solat, ikhtilat lelaki dan perempuan, merosakkan harta benda awam, caci maki dan carutan, mengganggu lalulintas, buang sampah merata-rata, mengutuk pemerintah...(the list goes on). Saya pernah join dulu saya tahulah.

Itu pasal demonstrasi. Jom borak pasal ISA pula.

Saya kira ramai yang sudah tahu akan kedajalan sistem ISA ini. Menangkap orang sesuka hati, yang utama ialah yang mengancam keselamatan negara, lalu dipenjarakan tanpa perbicaraan. Saya adalah antara salah seorang yang anti dengan sistem zalim sebegini. Dalam hal ini saya bersama dengan kumpulan anti-ISA.

Saya setuju kalau sistem ISA mahu dikaji semula. Tetapi untuk memansuhkan terus, itu saya kurang pasti. Bukan apa, saya melihat masih ada sisi-sisi relevan mengapa wujudnya ISA in the first place. Dan saya percaya, semua negara yang bersistem ada akta yang mirip atau hampir mirip dengan ISA ini.

Pertama, saya percaya semua masih ingat peristiwa selepas kemerdekaan di mana ISA digunakan untuk menyekat aktiviti kumpulan pengganas seperti puak komunis. Kumpulan al-Maunah juga menerima habuan yang sama.

Kemudian ia dimanfaatkan lagi ketika aqidah umat dilanda zaman kegelapan apabila tokoh-tokoh kumpulan sesat al-Arqam ditangkap di bawah akta ISA. Saya juga difahamkan ada juga beberapa kes mubaligh syiah turut diseret ke penjara ISA. Saya tidak ada bukti, hanya dengar cakap-cakap orang.

Baiklah, saya yakin dan percaya tidak wajar sama sekali untuk ISA dimansuhkan serta-merta. Di sini saya sertakan beberapa sebab;

1. Ada beberapa kes yang bersangkutan dengan keselamatan negara tidak perlu malah tidak wajar dibicarakan di mahkamah.

Sebagai contoh, seorang penjenayah ditangkap atas kesalahan mencuri dan membocorkan rahsia negara. Apakah kerajaan akan mengheretnya ke mahkamah? Sudah tentu tidak. Ini kerana kalau dibicara di mahkamah, sudah tentu para wartawan dibenarkan membuat liputan. Rahsia kerajaan yang memulanya diketahui oleh hanya dua tiga orang sudah menjadi pengetahuan masyarakat umum.

2. Ada beberapa kes yang masih tidak cukup bukti untuk pesalahnya dibicarakan, tetapi dia ditahan untuk langkah berjaga-jaga demi menjaga kemaslahatan masyarakat umum. Kebiasaannya tentulah ia bersangkutan dengan hal-hal terrorisme.

3. Kes berat yang bersangkutan dengan aqidah, seperti penyebaran dakyah sesat syiah, Ayah Pin, ajaran encik Kahar dan seumpama. Kita mengetahui ada sesetengah negara republik yang mendokong ajaran sesat ini. Jika disebar luaskan penahanan mereka, nescaya akan berlaku pergeseran dahsyat antara Malaysia dan negara-negara terbabit. Untuk mengelakkan ini terjadi, maka penahanan mereka dirahsiakan sementara hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut terus terjalin kukuh.

4. Setiap negara - pada pendapat saya- sangat perlu untuk mengadakan sistem sebagaimana ISA ini. Ini bagi menakut-nakutkan kepala-kepala penjenayah kes berat. Ini termasuklah kongsi gelap, terrorisme, pengedar dadah, dan pencetus racism.

Saya bukanlah pembela ISA. Jauh sekali pro-ISA. Tapi setiap perkara kita perlu fikir baik dan buruk, sambil tidak melebihkan emosi daripada ilmu apabila berbicara tentang sesuatu perkara.

Ayuh, kita berdoa agar apa saja yang diputuskan kerajaan nantinya berkenaan ISA mendatangkan manfaat kepada masyarakat seluruhnya dan lebih penting lagi mendapat keredhaan Allah ta'ala.

Dan Allah Yang Lebih Mengetahui.




No comments:

Post a Comment