Saturday, October 17, 2009

Hiburan VS Islam

Tiada siapa mampu menyangkal, budaya hiburan melampau yang bersarang dalam jiwa anak muda kita telah membunuh intelektualiti dan moral mereka. Muzik dan hiburan berkeliaran di mana saja tak kira tempat, tak kira masa. Juga tak mengira usia.

Bermula dari anak-anak kecil yang baru merangkak, sampailah kepada makcik-makcik yang sudah pencen semuanya terlibat sama. Buktinya lihatlah rancangan hiburan di Astro. Siapa yang menghuni barisan hadapan konsert AF? Siapa pula yang meramaikan studio Macam-Macam Aznil?

Semua sudah maklum. Tapi siapa yang patut dipersalahkan? Mereka dan keluarga merekakah. Atau pihak Astrokah yang menayangkan hiburan tanpa henti, atau pihak kerajaankah yang bersalah membenarkan malah menggalakkan penyuburan hiburan buat tatapan kesekian rakyat.

Biasalah kita, - malah saya juga - jari telunjuk cepat saja mahu dituding kepada orang lain. Kita tak sedar, dalam kita sibuk menuding orang lain, empat jari lain sedang menuding diri sendiri. Tengoklah cermin dahulu, entah-entah kita silap mengenakan butang baju, yang akhirnya mengundang malu.

Tepuk dada, tanya selera. Apakah peranan kita? Sudahkah tanggungjawab dakwah itu kita laksana? Atau hanya pandai berteori mengomel sendiri tanpa berbuat apa-apa?

Bidang hiburan sangat dekat dengan saya secara peribadi sebenarnya. Berkecimpung dalam nasyid, sebelum bermeditasi meninggalkannya akibat kesibukan dalam pelajaran. Sekurang-kurangnya dapatlah juga mengutip beberapa pengalaman berharga yang boleh dijadikan azimat menuju masa depan.

Sebetulnya, dan selayaknya, orang dalam bidang hiburan atau yang menyukai hiburan ditangani dengan kelembutan dan tidak semberono. Jiwa mereka halus lagi berseni, jangan dilayan seolah mereka itu keras seperti besi!

Dalam hal ini saya menyukai method Dr Yusuf Qardhawi. Pendekatannya berhemah. saya sentiasa percaya dalam agama ini, apabila ia mengharamkan sesuatu yang buruk, ia pasti menyediakan alternatif agar kekosongan jiwa insan dapat diisi dengan yang sesuatu yang baik.

Lantas timbul soalan menarik. Dalam isu muzik dan hiburan lainnya, apakah alternatif kita?

Jawapannya TIADA atau hampir tiada.

Orang yang mengharamkan muzik secara total, selamanya mereka ini gagal mendapat tempat di hati generasi baru. Mereka tiada alternatif. Pok pek, pok pek,di hujungnya pengharaman. Akhirnya akibat terlalu ghuluw, majlis perkahwinan mereka pun hambar dan sepi tanpa hiburan bahkan diganti dengan ‘kuliah zohor’. Mereka ittiba’(ikut) siapa dalam hal ini? Padahal nabi membenarkan alat muzik dimainkan di majlis-majlis walimah al-‘urus.

Usahlah kaku seperti batu. Agama ini sentiasa bergerak dinamik mengikut kadarnya dan ia tidak statik.

Cuba lihat di sekitar. Kicauan burung menyanyi yang mengikut note-note lagu yang harmoni. Derauan air sungai mengalir, tersimpul di dalamnya seribu memoir. Sehinggakan tidak diketuk dua besi, melainkan akan mengeluarkan bunyi.

Apakah akan mengalir air mata, jika al-Quran itu dibaca tidak bernada?

Percayalah, hidup ini adalah satu kesenian. Janganlah kita menjadi lebih keras daripada besi, lebih kaku daripada batu.

Sepatutnya kitalah yang memacu halatuju industri hiburan kita. Definisikan istilah hiburan yang dibenarkan Islam dan hiburan yang terkeluar daripada landasannya. Wujudkan satu garis panduan, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga, dan alternatif-alternatif yang ada. Agar dengan itu, anak-anak muda mempunyai wadah untuk mereka tonjolkan bakat-bakat yang ada di jalan yang selamat, bukannya ke arah hiburan hedonis dan maksiat.

Berhibur itu tiada salahnya,

Kerana hiburan itu indah,

Hanya pabila salah memilihnya,

Membuat kita jadi bersalah.

No comments:

Post a Comment