Friday, August 28, 2009

Fakir

Ketika kita sedang asyik makan di warung mamak, tiba-tiba datang seorang anak yatim meminta sedekah.

Apa yang akan kita lakukan?

Kalau pertama kali, mungkin satu nota merah boleh dihulurkan.

Tapi kalau sudah dua tiga kali dia ulang-alik ke meja kita, kita pun naik menyampah.

"Maaflah, dik. Tadi abang dah bagi sikit".Mungkin itu yang akan kita ungkapkan.

Atau mungkin juga seperti ini, "Dah dua kali dah abang kasi ni. Mintaklah orang lain pulak!".

Atau jika mood kita pula kurang baik hari tu, mungkin sudah dihalaunya budak tu. Silap hari bulan ditambah pula caci-maki bagi melepaskan geram.

Ya, itulah sifat manusia. Kita ini tidak suka kalau orang meminta-minta.

Usahkan meminta derma, kalau orang minta bantuan pun sukar dihulurkan.

Tapi ingatkah kita, Allah sifatNya sangat berbeza dengan manusia?

Kita juga selalu meminta-minta kepadaNya, kerana kita memang berhajat untuk meminta.

Tak habis-habis kita meminta. Hatta kita meminta suatu perkara yang jika diminta kepada manusia, nescaya kita akan ditertawakannya.

Manusia mungkin menyampah jika diajukan permintaan berulang-ulang kali. Tapi Allah - dengan segala rahmatNya - suka kepada hamba yang suka meminta malah menyuruh kita untuk meminta kepadaNya saja, tidak kepada yang lain.

Rezeki, jodoh, nikmat, harta, apa saja. Pintalah kepada Allah.

Pintalah kepada Allah dalam solat, sujud, selepas tasyahhud sebelum salam, ketika menadah tangan. Ketika senang dan susah. Dalam keadaan nyata dan sembunyi. Pintalah, nescaya Allah perkenankan.

Kerana kita ini fakir, maka pinta dan pohonlah daripada Tuhan Yang Maha Kaya.

2 comments:

  1. aku teringat skrip cite laskar pelangi.....
    “Hiduplah Untuk Memberi Sebanyak banyaknya,
    Bukan Untuk Menerima Sebanyak banyaknya.”

    heheheh....

    ReplyDelete