Monday, April 27, 2009

Bergembiralah Wahai Ibu!

Ketika bercuti di Cameron Highlands minggu lepas, aku mendapat sebuah berita mengejutkan daripada seorang sahabat di Perlis.

"Sheikh, doakan ana. Anak ana baru je meninggal", suara beliau tersekat-sekat.

"Innalillah. Sabar, sabar. Redhalah. InsyaAllah ada hikmah Allah nak bagi tu", aku membalas spontan tanpa sempat menyusun kata.

Sebenarnya aku agak terkejut. Baru beberapa hari sebelum itu beliau dikurniakan tiga orang anak kembar. Aku diberitahu memang ketiga-ketiga anal kecil tu lahir tak cukup bulan. Baru 21 minggu katanya. Tapi aku rasa standardlah anak kembar lahir tak cukup bulan. Aku pun dulu lahir tak cukup bulan.

Namun, lihatlah. Betapa cepatnya sebuah berita gembira bertukar menjadi sebuah berita duka. Semuanya hak ALLAH. Jika DIA mahu sesuatu perkara terjadi, ia pasti akan jadi. Bila-bila masa saja DIA bisa menarik segala kurnian nikmat yang diberi kepada hambaNYA.

Mendengar berita ini, lantas aku teringat akan sebuah hadith Nabi tentang ibu yang kematian anak. Betul-betul membuat aku insaf.
Dari Abu Sa’id al-Khudri Radhiyallahu ‘anhu, dia berkata, “Kaum wanita pernah berkata kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Kami dikalahkan oleh kaum laki-laki untuk belajar kepadamu, kerana itu, berikanlah satu hari untuk kami dari waktumu”. Lalu beliau menjanjikan kepada mereka satu hari untuk menemui mereka, lalu beliau menasihati mereka sekaligus menyuruh mereka, dimana di antara yang diucapkan oleh beliau kepada mereka adalah: “Tidak ada seorang wanita pun di antara kalian ditinggal mati oleh tiga orang anaknya(meninggal semasa hayatnya), melainkan mereka akan menjadi pembatas daripada Neraka”. Kemudian ada seorang wanita berkata, “Termasuk juga dua orang anak?” Beliau menjawab, “Termasuk juga dua orang anak.” (HR Bukhari)

Tiba-tiba aku berasa tenang. Bahkan diganti dengan perasaan iri hati pula.

Oh sahabatku, isterimu itu dijanjikan syurga. Maka gembirakanlah dia bahawa kematian anakmu itu adalah pendinding dirimu daripada api neraka. Apakah ada lagi kegembiraan selepas itu?

Ketika pulang, aku membelek kembali Hisnul Muslim versi ebook. Rupa-rupanya ada doa yang thabit daripada Rasulullah untuk mayat anak kecil. Izinkan aku berkongsi sedikit di sini untuk manfaat bersama.

اَللَّهُمَّ أَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ

"Ya Allah, lindungilah dia dari siksa kubur" (HR. Malik dalam Al-Muwaththa’ I/288,
Ibnu Abi Syaibah dalam Al-Mushannaf 3/217, dan Al-Baihaqi 4/9. Syu’aib Al-Arnauth menyatakan, isnad hadits di atas shahih dalam tahqiqnya terhadap Syarhus Sunnah, karya Al-Baghawi 5/357)


Apabila membaca doa berikut, maka itu lebih baik:

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا وَذُخْرًا لِوَالِدَيْهِ، وَشَفِيْعًا مُجَابًا. اَللَّهُمَّ ثَقِّلْ
بِهِ مَوَازِيْنَهُمَا وَأَعْظِمْ بِهِ أُجُوْرَهُمَا، وَأَلْحِقْهُ بِصَالِحِ
الْمُؤْمِنِيْنَ، وَاجْعَلْهُ فِيْ آَفَالَةِ إِبْرَاهِيْمَ، وَقِهِ بِرَحْمَتِكَ عَذَابَ
الْجَحِيْمِ، وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ، وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ،
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لأَسْلاَفِنَا، وَأَفْرَاطِنَا وَمَنْ سَبَقَنَا بِاْلإِيْمَانِ

“Ya Allah! Jadikanlah kematian anak ini sebagai pahala pendahulu dan simpanan bagi kedua orang tuanya dan pemberi syafaat yang dikabulkan doanya. Ya Allah! Dengan musibah ini, beratkanlah timbangan perbuatan mereka dan berilah pahala yang agung. Anak ini kumpulkan dengan orang-orang yang shalih dan jadikanlah dia dipelihara oleh Nabi Ibrahim. Peliharalah dia dengan rahmatMu dari siksaan Neraka Jahim. Berilah rumah yang lebih baik dari rumahnya (di dunia), berilah keluarga (di Syurga) yang lebih baik daripada keluarganya (di dunia). Ya Allah, ampunilah pendahulu-pendahulu kami, anak-anak kami, dan orang-orang yang mendahului kami dalam keimanan” (Lihat Al-Mughni, karya Ibnu Qudamah 3/416 dan Ad-Durusul Muhimmah li ‘Aammatil Ummah, oleh Syaikh Abdul Aziz bin Abdillah bin Baz, halaman 15)

اَللَّهُمَّ اجْعَلْهُ لَنَا فَرَطًا وَسَلَفًا وَأَجْرًا

“Ya Allah! Jadikan kematian anak ini sebagai simpanan pahala dan amal baik serta pahala buat kami.” (HR. Al-Bukhari 2/80; Muslim 2/636)

No comments:

Post a Comment