Saturday, April 4, 2009

Khutbah Jumaat: Hakikat Syukur

Seperti biasa, Jumaat lepas aku bersolat di Masjid UIA. Alangkah gembira bila melihat Sheikh Abd Razak al-Saadi naik ke mimbar. Ya, beliau merupakan salah seorang peyampai khutbah yang aku tunggu-tunggu,walaupun beliau berbahasa dengan bahasa yang aku sendiri kurang menguasai, iaitu bahasa Arab.

Dalam beberapa khutbah beliau aku sudah nampak method(manhaj) yang beliau gunakan dalam berkhutbah. Mula-mula beliau akan menghuraikan tajuk dari segi bahasa(sebab beliau memang pakar bahasa Arab), kemudian kemukakan dalil al-Quran dan hadith yang akan dikaitkan antara satu sama lain, dan akhir sekali beliau akan meringkaskan fiqh-fiqh yang berkaitan dengan tajuk. Inilah antara sebab aku tak pernah merasa mengantuk bila berjumaat di UIA.

Jumaat lepas bersamaan 3 April 2009, beliau membawa tajuk yang agak ringan iaitu 'BERSYUKUR'. Sungguh aku jarang sekali mendapat ulasan yang menarik tentang hakikat syukur, lebih-lebih lagi tajuk ini selalu dicanang oleh golongan sufi yang tersasar. Bila ia diulas dari manhaj salaf yang betul, barulah ia kelihatan begitu indah dan praktikal.

Di bawah antara isi-isi khutbah yang masih melekat di minda:

Khutbah dimulakan dengan dibacakan kisah yang dikeluarkan dari sahihain (Sahih Bukhari dan Sahih Muslim) iaitu kisah 3 orang insan yang masing-masing berpenyakit sopak, botak dan buta. Aku yakin ramai yang tahu kisah ni. Mula-mula aku ingatkan kisah ini merupakan kisah palsu yang dipetik dari riwayat israiliyyat sebab terlalu popular dalam komuniti orang Melayu. Sehingga buku cerita kanak-kanak pun meriwayatkan kisah yang sama, cuma mungkin dengan penambahan dalam beberapa tempat. Melalui khutbah ini, baru aku tahu rupa-rupanya ia sebuah kisah yang sahih malah dimuatkan pula oleh dua imam yang mulia dalam kitab sahih mereka.

Beza antara 'Syukur' dan 'Pujian(Alhamdulillah)'

Keduanya dibezakan dengan perbezaan sebab ia dilakukan. Pujian kepada Allah tidak khusus dilakukan untuk sebab-sebab tertentu tetapi ia dilakukan sepanjang masa, samada ketika mendapat nikmat atau sebaliknya. Ini berbeza dengan syukur, dikhususkan sebabnya iaitu ketika mendapat nikmat daripada Allah.

Cara-cara Rasulullah Bersyukur

Antara perkara yang dilakukan oleh Rasulullah ketika mendapat nikmat daripada Allah ialah:

1)Terus sujud demi menunjukkan kesyukuran yang tidak terhingga.

2)Berpuasa. Contoh:- puasa pada hari asyura sebagai menunjukkan kesyukuran sempena kemenangan nabi Musa.

3)Bersyukur kepada manusia kerana bersyukur kepada manusia bererti bersyukur kepada Allah. Cumanya bersyukur kepada manusia terbahagi kepada dua iaitu baik dan buruk, sedang bersyukur kepada Allah tiada keraguan lagi tentang kebaikannya.

4)Bersedekah. Kemudian dia memetik sebuah hadith yang mengatakan bahawa setiap sendi tubuh perlu dikeluarkan sedekahnya setiap hari. Bila aku search kat bilik, terjumpa hadith ni:

Daripada Abu Dzar radiallahu'anh, daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda(maksudnya): "Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih(Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid(Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil(Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir(Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhua" [Hadith riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musafiriin wa Qashruha, no:720, Lihat: Panduan Solat Sunat Cara Nabi, Mohd Yaakub Bin Mohd Yunus, ms 311)

5) Kemudian diceritakan pula kisah sahih Rasulullah bertahajjud dengan tekun. Apabila ditanya mengapa Rasulullah melakukan semua itu sedangkan baginda telah diampunkan dosanya, baginda bersabda: "Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?"

Justeru, antara ciri orang beriman adalah sentiasa mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah subhanahu wata'ala. Ini kerana tiadalah nikmat yang lebih besar dibandingkan dengan nikmat iman dan akidah yang sejahtera. Lalu, kesyukuran itu wajib diterjemahkan dalam bentuk amal perbuatan. Sedang amal perbuatan kita wajib pula mencontohi dan meniru amal perbuatan seorang insan yang terbaik, iaitu Rasulullah sallahu alaihi wasallam.

Akhir sekali, aku mendoakan agar khutbah di Malaysia mencontohi khutbah-khutbah yang hebat seperti ini, agar ia bisa meninggalkan kesan terhadap jemaah yang mendengar. Janganlah khutbah kita terus layu dan melayu hingga ke sudah...

No comments:

Post a Comment