Sunday, April 5, 2009

Intellectual Discourse

Alhamdulillah, UIA masih belum ketandusan ilmuan dalam bidang agama.

Semalam, seusai solat isyak, seorang hamba Allah berbangsa Arab bangun untuk memberi sedikit tazkirah. Di surau Mahallah Uthman di UIA, ia memang satu perkara biasa apabila ada sesuatu yang ingin ditegur atau sekadar peringatan buat jemaah yang hadir. Hamba Allah tadi menyentuh sedikit berkenaan method-method yang perlu dipegang oleh seseorang yang mahu menjadi imam. Sungguh ia peringatan yang sangat berguna buat aku.

Pertama, beliau menegur sesetengah imam yang sering mengimami solat fardhu. Katanya, tidak wajar seseorang imam memulakan bacaan al-Quran dari tengah atau penhujung surah. Kata beliau lagi, sunnah yang dilakukan oleh nabi ialah memulakan bacaan dari awal surah sedang petunjuk nabi itu adalah sebaik-baik petunjuk. Beliau juga menambah selama 8 tahun beliau solat di belakang sheikh 'uthaimin, tidak pernah sekali pun sheikh memulakan bacaan samada dari pertengahan atau pengakhiran sesebuah surah. Cumanya, pengecualian terhadap solat yang memang dianjurkan untuk membaca dari pertengahan surah seperti dalam solat sunat qabliyyah Maghrib.

Kedua, beliau turut mengingatkan agar imam yang mengimami solat isya' khususnya, agar tidak sentiasa membaca bacaan yang panjang-panjang berterusan. Apa yang sewajarnya dilakukan ialah membuat sistem 'rotation', di mana bacaan yang panjang diselangselikan dengan bacaan yang pendek dan ringan pada hari yang lain. "Inilah sunnah" atau "hazihi min sunnah", katanya. Ini berbeza dengan solat subuh yang memang dianjurkan untuk membaca bacaan yang panjang. Itupun kalau tidak membebankan jemaah yang hadir.

Ketiga, beliau menyentuh kecenderungan imam di Mahallah Uthman yang selalu membaca dengan qiraat yang tidak biasa dibaca oleh majoriti jemaah. Contohnya, di Malaysia kita membaca dengan qiraat Hafs al-Asim, sedang imam pula membaca dengan menggunakan qiraat warash. Ini katanya, menyebabkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh imam sukar dikesan oleh jemaah dibelakang kerana kekadang kita mendengar juga kesalahan dalam hafalan imam tetapi tidak berani menegur kerana menyangka bahawa itu memang sebahagian daripada qiraat yang dibaca.

Beberapa hari sebelum ini, bangun seorang hamba Allah yang lain menegur agar imam dipilih berdasarkan kriteria yang betul sepertimana yang digariskan oleh Rasulullah sendiri. Katanya, imam perlulah mempunyai hafalan dan bacaan yang bagus. "Ini wajib, bukan lagi mustahab(sunat)!" katanya dengan tegas. Cumanya, ada seorang jemaah mengatakan bahawa sesiapa yang merasakan dirinya cukup layak untuk menjadi imam, maka dia perlu segera menawarkan diri untuk menjadi imam. Masalah yang sering terjadi apabila semuanya malu-malu kucing untuk bergerak kehadapan.

Demikian, sedikit catatan daripada pengalaman seharian. Semoga berguna buat semua, terutama kepada bakal-bakal imam yang kalaupun tidak menjadi imam di masjid, sudah pasti mereka 'cukup layak' untuk menjadi imam di rumah sendiri.Wallahua'lam.

p/s:Sebenarnya aku saja curi-curi tulis kat blog ni, padahal exam hanya beberapa jam dari sekarang! Kepada siapa saja yang membaca, sila doakan aku agar mendapat result yang gempak dalam exam kali ni.Ameen...

Type rest of the post here

No comments:

Post a Comment