Saturday, July 12, 2008

Apabila Agama Menjadi Bahan Jenaka


Amat mendukacitakan sejak akhir - akhir ini filem dan drama melayu dilambakkan dengan unsur tahyul dan khurafat. Tidak ketinggalan, majalah - majalah dan bahan bacaan di pinggiran jalan turut menjadi mangsa. Kalau itu masih tidak memadai, ustaz dan ustazah yang berstatus selebritilah gamaknya, sudah seakan menjadi agen yang mempromosi khurafat ini atas nama agama. Yang menghairankan, promosi itu mendapat sambutan menggalakkan sehingga mencatat keuntungan lumayan. Natijahnya, mereka yang tidak bertanggungjawab ini terus memandu kereta besar sedang umat terus dirundung kemunduran dan kelayuan jauh ketinggalan daripada tamadun - tamadun yang lain. Alangkah kasihan...

Perbincangan bab akidah bukanlah suatu yang popular di kalangan masyarakat kita. Kalau ada kuliah yang berbicara tentang akidah di surau, ada saja yang mencari 'port - port belakang' untuk melelapkan mata. Pendekatan satu hal, tapi yang lebih membimbangkan umat memandang akidah hanya sebagai suatu yang sampingan. Bagi mereka, cukuplah apa yang dipelajari sewaktu darjah lima dahulu. Tiada perlu lagi meningkatkan kefahaman dalam bab akidah. Maka muncullah generasi yang hanya tahu bahawa wujud lawannya tiada, kekal lawannya binasa, dan melihat lawannya buta. Tidak pula mereka mengerti perkara - perkara yang membatalkan syahadah atau membuat seseorang terjerumus ke dalam kancah kesyirikan.

Sebenarnya tajuk ini dipilih setelah saya menonton beberapa buah filem melayu yang tidak kurang hebat di panggung wayang. Ada yang mencatat kutipan 'pecah panggung'. Deretan filem hantu satu persatu saya analisa. Filem seperti 'Orang Minyak', 'Jangan Pandang Belakang', dan 'Congkak' menjadi pilihan. Mula - mula tengok, seram sejuk juga dibuatnya. Unsur suspen yang tipikal dalam cerita - cerita hantu pun turut diselitkan menambahkan lagi perisa ketakutan . Namun di penghujungnya, perasaan bertukar menjadi sangat marah dan kecewa. Masakan tidak, bukan hantu yang dipanggungwayangkan tetapi agama yang menjadi taruhan.

Bermula dengan bacaan Basmalah yang diubah sesuka hati, kekuatan hantu yang tiada batasan, karut - marut mengenai tangkal, sehinggalah kepada watak ulama yang berlagak seperti Ultraman dan Goku. Kalau dalam filem 'Orang Minyak' si ustaz boleh buat 'fire', dalam filem 'Congkak' si ustaz boleh mengeluarkan 'kame hame haa' menggunakan kalimah Allah! 'Jangan Pandang Belakang' pun tidak kurang hebatnya apabila si hantu boleh membuat panggilan telefon dan bermain-main 'tutup buka' dengan televisyen. Cuma ada satu persamaannya apabila hendak menghalau atau berasa marah dengan hantu, mereka akan menjerit "Allahuakbar!!".

Melihat betapa rosaknya akidah umat Islam hari ini, adalah sesuatu yang tidak pelik untuk melihat juga keruntuhan akhlak dikalangan muda - mudi. Akhlak bukanlah sesuatu yang dibuat - buat, tetapi ia adalah interpretasi daripada akidah yang tulus dan murni. Akidah yang jelas mengatakan bahawa tiada sesuatu pun yang patut ditakuti melainkan Allah azza wajal. Kalau generasi hari ini sudah menetapkan bahawa yang layak ditakuti ialah hantu, di mana kedudukan Allah sebagai Tuhan yang Maha Tinggi itu? Bila itu terjadi, tiadalah lagi penggantungan dan tawakkal kepada Tuhan melainkan ia diganti dengan pengharapan dan permohonan kepada makhluk - makhluk selain daripadaNya. Lihat saja kesannya terhadap kanak - kanak apabila menjadi seorang yang penakut dan pengecut , walaupun ke bilik air atau tidur sendirian. Jangan terkejut kalau selepas ini akan muncul pula budak yang takut hendak bermain congkak!

Akidah dalam Islam ibarat input dalam kehidupan. Akidah yang sejahtera adalah kunci untuk umat ini bangkit semula daripada segala malapetaka kemunduran dan kegagalan yang lalu. Islam adalah anti khurafat dan anti kesyirikan. Tidak akan redha seorang muslim melihat agamanya dikotori dengan noda - noda syirik sehinggalah ia kembali menjadi agama yang asal sepertimana yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerna itulah misi dan visi nabi - nabi dan para salafussoleh terdahulu. Dakwah mereka ialah membawa manusia menuju kepada akidah yang sejahtera, yang mengaku dengan yakin bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu hamba dan pesuruhNya.

Oleh itu, mari kita bakulsampahkan segala bentuk khurafat dan syirik dan menuju ke arah akidah yang jelas dan selamat buat selama - lamanya seperti yang tercatat di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Sungguh Allah yang Maha Pengampun akan mengampuni segala bentuk dosa selagi ia tidak sampai kepada taraf syirik dan sewaktu dengannya. Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu agar terpelihara iman dan ditetapkan akidah kita di jalan Ahli Sunnah waljamaah, bukan selainnya. Dan Allah jualah yang lebih mengetahui tentang segala - galanya.

No comments:

Post a Comment