Saturday, July 12, 2008

Sasa, Yasusu, Siyasatan - Kembalilah Bersatu!


Politik di Malaysia semakin meruncing. Slogan 'Politik Islam' atau 'Siyasah Islamiah' sudah tidak kedengaran. Yang ada hanya politik tuduh - menuduh, fitnah - memfitnah, selak - menyelak, dan kutuk - mengutuk. Perkara ini bukan baru sebab orang yang terdahulu pun dua kali lima. Lalu ia diwarisi oleh orang kemudian lantas menjadikan medan politik sebagai medan untuk membongkar kisah peribadi pihak musuh. Maka bertukarlah slogannya menjadi 'Parti aku saja betul, parti kamu mesti salah!".

Mungkin kamu melenting bila pihak musuh membuat fitnah terhadap kamu, tetapi kamu lupa fitnah yang keluar dari mulut kamu sendiri. Bila fitnah dilontarkan ke atas kamu atau orang - orang parti kamu, kamu sibuk membentangkan dalil berjela - jela mengatakan fitnah haram malah dosanya lebih besar daripada membunuh. Tapi bila tiba giliran kamu, ia menjadi halal lagi suci malah kamu mempergunakan ayat - ayat al-Quran untuk menghalalkan matlamat kamu yang hina lagi terkutuk itu. Sungguh di sana ada satu kaum yang membaca al-Quran tetapi tidak lepas dari kerongkong mereka. Berlindunglah kepada Allah agar kamu tidak termasuk dalam golongan tersebut.

Begitu juga keadaannya apabila sampai bab kutuk - mengutuk. Apabila pihak musuh menggunakan media massa arus perdana untuk menghina dan mencaci parti kamu dan pemimpin - pemimpin parti kamu, kamu terus sahaja meng'kondem' malah carutan tidak lekang dari mulut dan tulisanmu. Benar, mereka bersalah tetapi tidakkah kamu sedar kamu juga melakukan perkara yang sama? Kamu menggunakan blog - blog dan laman web untuk membuka aib dan menjatuhkan maruah pihak lawan. Amat memalukan seorang yang bergelar pejuang Islam membina laman - laman web dan blog untuk membongkar kisah peribadi seorang individu. Tidaklah berlalu siang dan malamnya melainkan ia dihabiskan untuk mengedit video - video lalu dimasukkan sedikit muzik untuk akhirnya disebarkan kepada umum. Sungguh besar dosa mereka yang membuka aib saudaranya, lalu disana ada sebuah hadith yang mengingatkan kita akan hal ini:

Dari Ibnu Umar radhiyallahu 'anhu ia berkata : Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam naik ke atas mimbar, lalu memanggil dengan suara yang tinggi : wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya dan iman itu belum sampai ke hati mereka, janganlah menyakiti orang-orang yang beriman, janganlah mencela mereka, dan janganlah mencari-cari aurat ( aib ) mereka, kerana barangsiapa mencari-cari aib saudaranya yang muslim, maka Allah membuka aibnya dan memalukannya walaupun dia berada di dalam rumahnya. (HR. Tirmidzi)

Masih terngiang - ngiang di telinga satu perbalahan yang berlaku di parlimen tidak lama dahulu. Dialognya lebih kurang begini:

Khairyl: 'Projek Khinzir Raksasa' atau PKR!

Mahfiz: Kalau camtu, PBN ialah 'Projek Babi Negara'!

Khairyl: Siapa Babi Negara?!Siapa Babi Negara?!!!!

Sudah jelas lagi nyata bagaimana terhakisnya akhlak dikalangan pendukung - pendukung politik di negara ini. Lupakan seketika parti mana kamu sokong, kerajaan atau pembangkang. Itu tidak penting. Kita sedang menasihati kedua - duanya. Berlapang dadalah menerima nasihat ini. Tidak bermakna bila seseorang mengkritik parti kamu maka kamu katakan dia adalah 'barua' parti lawan. Begitulah sebalikya. Timbanglah dengan neraca Quran dan Sunnah, bukan dengan neraca yang menjadi simbol dan lambang parti kamu!

Pernah suatu hari saya menegur tindakan seorang rakan yang saya kira bertentangan dengan ajaran Islam yang suci. Mencarut dengan nama perdana menteri saya kira sesuatu yang sangat besar. Ini tidak bermakna saya berada di pihak kerajaan dan menentang parti pembangkang. Tidak sama sekali. Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim yang menasihati saudara Islamnya yang lain. Tidak lebih daripada itu. Namun akibat pemahaman terhadap politik yang sempit, terus saja saya dituduh menyokong kerajaan. Malah bila saja beliau mahu mengutuk pemimpin tersebut dan saya ada di situ, dia akan berkata : "ssh, jgn kutuk Pak Lah, nanti Hasan marah. Dia kan PM Hasan". Alangkah dangkal pemikiran dan tindakan tersebut!

Sudah kita bincangkan sejak dahulu kala bahawa setiap tindakan yang kita lakukan mestilah ia selari dengan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Kalau ini tidak ditepati, tiadalah kita dapati redha dari Tuhan lalu segala urusan menjadi tidak terurus dan caca merba. Kita sudah lihat hal ini dalam pelbagai bentuk dan keadaan. Yang terbaru kes 'menunjuk punggung' seorang penyanyi underground ketika membuat persembahan di atas pentas. Rasanya semua dah maklum tentang perkara ini. Sekarang bukanlah masa untuk menyalahkan mana - mana pihak apatah lagi menyalahkan pihak yang bukan Islam. Kamu yang mengambil keputusan bergabung dengannya, sekarang kamu tanggunglah akibatnya. Ada seorang 'pejuang Islam' dahulunya berfatwa sesiapa yang bergabung dengan orang kafir maka dia juga kafir. Tapi kita lihat sendiri pada PRU baru - baru ini beliaulah yang paling terkehadapan bergabung dengan orang kafir tersebut. Apakah beliau sudah menarik balik fatwa yang dahulu? Atau fatwa itu hanya 'valid' untuk parti lawan? Hanya beliau boleh menjawab...

Saya agak runsing apabila umat terus bertelagah di atas medan politik. Umat Islam yang sudah tersedia lemah menjadi semakin lemah dan tempang gara - gara tiada perpaduan di kalangan mereka. Sepatutnya politik menjadi pentas perpaduan lalu umat dapat membina kekuatan yang dapat menggerunkan musuh. Ini seperti contoh yang dilakukan oleh Rasulullah ketika mempersaudarakan antara ansar dan muhajirin. Akan tetapi politik semasa seakan bertentangan 360 darjah apabila politik menjadi medan permusuhan dan perpecahan lalu umat bergabung dengan golongan kuffar menentang saudara seIslam. Sudah ramai yang menyatakan kebimbangan ini, tapi apa saja yang diperkatakan yang tidak mendatangkan keuntungan untuk parti maka ia tertolak. Kita mendambakan pemikiran politik yang matang yang dapat kembali memberi keuntungan untuk umat dan kebajikan mereka terjaga. Wahai pendukung politik Islam, fikirkanlah!

Tiada apa yang lebih menggembirakan selain daripada melihat semula umat bersatu dalam ukhuwah Islamiah. Lupakan doktrin Jemaah Centric. Tujulah kepada Ummah Centric. Berfikiran terbuka adalah kunci untuk kita membina semula perpaduan. Tidak kisahlah kamu Parti Bulan, Parti Keris, atau Parti Bulan Sabit sekalipun marilah kita bersatu menuju kearah matlamat yang sama. Matlamat yang kita sama - sama laungkan sejak dahulu lagi iaitu 'Kembali Memartabatkan al-Quran dan al-Sunnah'.

Apapun kata terbitan politik itu samada sasa, yasusu, atau siyasatan ia langsung tidak menghalang kita untuk kembali bersatu. Ya Allah, satukanlah hati - hati kami!

No comments:

Post a Comment