Monday, May 11, 2009

Bila Perbalahan Ini Akan Berakhir

Muak, mual, loya, atau 'duga' kata orang Ganu.

Itulah yang dirasai merujuk kepada peristiwa hitam di Perak yang sedang berlangsung itu. Kematangan sangat jauh daripada benak mereka. Kewarasan apatah lagi. Yang tinggal hanyalah perbalahan dan kebudak-budakan. Sehingga kita tertanya-tanya, sampai bilakah semua ini akan berakhir?

Ia mengingatkan kita kepada zaman kanak-kanak dulu.

"Mana boleh aku kalah! Takde, aku nak rematch!"

Itulah yang biasa dilakukan oleh budak-budak kampung kalau kalah sesuatu perlawanan. Aku juga berpengalaman menghadapi perkara yang sama. Kalau dah kalah tu macam-macam alasannya. Nak rematch lah, nak second leg lah. Sehingga kalau lepas rematch pun masih kalah lagi, alamatnya pelbagai tohmahan yang direka demi menjatuhkan maruah lawan.

Kejadian di atas mungkin normal kalau dilakukan oleh budak-budak kampung yang tak berpelajaran. Tapi kalau skrip yang sama dikongsi oleh mereka yang berpelajaran dan memegang jawatan dalam kerajaan, nescaya ia satu kepelikan.

Pertamanya pelik disebabkan sikap mereka itu. Yang terlebih pelik ialah apabila sungguh ramai yang menaruh minat terhadap peristiwa ini. Lalu yang kurang berilmu atau yang memang langsung tiada ilmu pun mahu mengulas. Akibatnya jadilah apa yang sudah terjadi. Pelik.

Apakah ini bahana perjuangan yang tidak berprinsip?

Atau adakah terlalu kegilaan dengan pangkat dan jawatan menbuat mereka buta?

Aku pun kelu tiada jawapan.

Yang menjadikan kita lebih gusar dan hairan adalah kerana mereka ini merupakan produk keluaran jemaah-jemaah Islam juga. Melihat profil dan latarbelakang mereka membuktikan hakikat ini. Sekali lagi kita bertanya, dimanakah tarbiah dakwah yang selama ini digembar-gemburkan? Apakah hanya tinggal slogan? Atau segalanya sudah dibakulsampahkan?

Terlalu banyak soalan yang mahu ditanya.

Aku yang melihat dari luar tidak mampu berkata apa-apa. Nak ulas panjang-penjang pun rasa tak sedap hati. Aku bukannya pandai sangat dengan sepak terajang politik. Silap-silap kalau ulas lebih-lebih penerajang yang aku dapat!

Hanya yang mampu aku lakukan ialah mendoakan kebaikan kepada pemerintah tidak kira beliau itu dari parti mana sekalipun. Kerana itulah yang dilakukan oleh ulama'-ulama' salaf satu ketika dahulu. Sehingga salah seorang daripada mereka pernah berkata:

“Jika aku mempunyai doa yang baik yang makbul, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” (Dikeluarkan oleh Abu Nu’aim dalam “al-Hilyah” (8/91) dari jalan Mardawaih as-Shabigh dan sanad Abu Nu’aim adalah sahih. Disalin terus dari an-nawawi.blogspot.com. Alim yang dimaksudkan ialah Fudhail Bin 'Iyad)

Demikian sepatutnya sikap kita dalam perkara-perkara seperti ini. Jangan tersilap, kita bukannya pengampu atau 'pengipas' pihak pemerintah. Bukan juga kita ini pencela mereka seakan kebaikan itu tiada langsung berada di pihak mereka. Yang benar ialah sikap pertengahan. Sesungguhnya kemuliaan itu berada pada ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang selamat daripada menjadi pengampu dan pencela.

Justeru, mari sama-sama kita doakan siapa jua pemerintah yang akan memegang jawatan itu. Tidak kiralah samada ia Dato Nizar mahupun Dato' Zambry. Mudah-mudahan mereka dilimpahi hidayah oleh Allah dan berkatnya tertumpah kepada rakyat jelata keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment