Friday, May 22, 2009

Matlamat Hidupnya Insan


Merenungi jauh di luar jendela, pernahkah kita terfikir wujudkah walau secebis jua kejadian Tuhan itu yang tidak mempunyai sebarang tujuan? Setiap ciptaan Tuhan terdiri daripada pohonan, haiwan, dan alam sekitar tidak mungkin dijadikan melainkan bersamanya beberapa manfaat dan tujuan penciptaannya. Kalau itu bisa diinsafi, wajarkah kemudiannya insan, sebagai ciptaan yang paling sempurna kejadiannya menurut al-Quran tiba-tiba diciptakan tanpa matlamat dan tujuan?

Sudah tentu setiap kita ini dijadikan Allah dengan tujuan-tujuan tertentu. Akal yang sihat lagi waras tidak mungkin dapat menerima bahawa insan ini dijadikan kosong tanpa apa-apa tujuan hidup. Tentula ia suatu pembaziran dan perkara sia-sia. Maha suci Allah yang Maha Bijaksana daripada menciptakan sesuatu dengan sia-sia. Hal ini diimani dengan sebenar-benar iman oleh mereka yang mempunyai akal(ulul albab). Allah berfirman dalam surah Ali 'Imran ayat 190:

"(Ulul albab itu berdoa)Wahai Tuhan kami! tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini Dengan sia-sia, Maha suci engkau, maka peliharalah Kami dari azab neraka"


Membuka lembaran naskhah-naskhah al-Quran, didapati di sana ada beberapa petunjuk(signal) daripada Allah tentang tujuan kejadian manusia. Tulisan ini cuba merungkai serba sedikit beberapa tujuan manusia dijadikan agar dengan itu ia menjadi panduan untuk kita sentiasa memperbaiki diri menyempurnakan tujuan dan matlamat kita dijadikan.

Secara umum, penulis kira sudah pasti kebanyakan kita mengetahui bahawa salah satu tujuan manusia dijadikan adalah sebagai khalifah di muka bumi. Ini sebagaimana firman Allah ta'ala dalam surah al-Baqarah ayat 30:

"dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya"

Demikian tegas Allah tentang kekhalifahan manusia. Dengan mengetahui bahawa kita ini dijadikan sebagai khalifah di muka bumiNya, maka satu persoalan yang perlu ditanya bahawa apakah pula tugas-tugas seorang khalifah? Soalan yang seperti inilah yang seringkali gagal dijawab oleh sebahagian manusia. Mungkin mereka maklum akan 'title' mereka sebagai khalifah, namun tidak tahu apakah peranan yang perlu dilakukan demi memenuhi gelaran tersebut.

Tugas sebagai seorang khalifah bukanlah satu tugas yang mudah. Ia menuntut pengorbanan dan perjuangan yang berterusan. Umumnya, manusia ini dipikulkan dengan bebanan wahyu yang diturunkan oleh Yang Maha Esa agar kedudukannya sebagai pedoman hidup sentiasa di tahap tertinggi melebihi segala perkara. Ini membawa kita kepada keinsafan bahawa tidak mungkin tugas ini dapat dilunaskan melainkan dengan kembalinya manusia itu kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Hal ini dapat dilunaskan dengan kewajipan menegakkan al-amr bi al-Maaruf wa al-Nahyu 'an al-Mungkar(menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada kemungkaran). Allah berfirman di dalam surah Ali 'Imran ayat 104:

"dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya"


Setelah diketahui bahawa manusia ini dijadikan sebagai khalifah di muka bumi, timbul pula satu persoalan baru, adakah ini bermaksud manusia berkuasa mentadbir dan mengurus alam ini dan segala keputusan di bumi ini tertakluk pada tangan mereka?

Demi Allah, hal itu sangat jauh dari kebenaran. Sebetulnya, manusia perlu mentadbir alam ini dengan menundukkan dan mengabdikan diri mereka seluruhnya kepada Allah semata. Ini diekspresikan dalam bentuk 'ibadah kepada Allah. Justeru, ia membawa kita kepada tujuan berikutnya manusia dijadikan iaitu untuk beribadah kepada Allah sahaja, tanpa mempersekutukanNya dengan suatu apa pun.

Hal ini dapat dirujuk melalui firman Allah yang berbunyi,

"dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu" [al-Zaariyat: 56]


Demikian manusia ini, setinggi manapun pangkatnya, semulia manapun keturunannya, tetap juga dia itu tertakluk kepada penghambaan diri kepada Allah Ta'ala. Tidak ada istilah 'lepas diri' daripada syariat ini walau seseorang itu keturunan nabi sekalipun. Andai tiada pengabdian kepada Allah dalam bentuk ibadah, seseorang yang memiliki semulia-mulia nama bisa menjadi sehina-hina manusia dan tiadalah tempat yang selayaknya bagi dirinya melainkan api neraka yang menyala - kita berlindung dengan Allah daripada semua ini.

Para 'ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah telah menetapkan syarat- syarat penerimaan ibadah terbahagi kepada dua; iaitu 1)ikhlas dan 2) ittiba'. Adapun ikhlas bermaksud membulatkan niat bahawa ibadah yang dilakukan hanyalah untuk Allah semata sambil menyucikanNya daripada sebarang bentuk kesyirikan. Manakala ittiba' pula ialah perbuatan mengikuti (mencontohi) tatacara yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui sunnahnya.

Hal ini diterangkan melalui firman Allah:

"Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu) lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)." [Surah al-Mulk: 2]


Menurut Fudhail bin ‘Iyaadh r.h: "Maksud 'amalan yang lebih baik' ialah yang paling ikhlas dan paling benar. Mereka bertanya: Wahai Ali (nama gelaran untuk Fudhail bin ‘Iyaadh)! Apakah yang dimaksudkan dengan paling benar dan yang paling ikhlas? Jawab Fudhail bin ‘Iyaadh: Sesungguhnya amal itu apabila dikerjakan dengan ikhlas tetapi tidak benar nescaya tidak akan diterima dan apabila amal itu dikerjakan dengan benar tetapi tidak ikhlas juga tidak akan diterima sehingga amal itu dikerjakan dengan ikhlas dan benar. Yang dimaksudkan dengan ikhlas ialah amal itu kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan benar ialah amal itu di atas dasar sunnah.” [Kitab al-Masaa-il (Masalah-Masalah Agama), karya Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qalam, Jakarta 2002, jilid 2, ms. 258. Dinukil daripada artikel "Ittiba' Sebagai Bukti Kecintaan Kepada Nabi" oleh Mohd Yaakud Bin Mohd Yunus]

Demikian tujuan dijadikan manusia iaitu untuk 1)menjadi khalifah di muka bumi dan 2)mengabdikan diri beribadah kepada Allah Azza wa Jalla.

Kejelasan tentang tujuan hidup ini mendorong seseorang untuk sentiasa berusaha untuk memperbaiki amalan dan melakukan yang terbaik dalam segenap perkara samada dalam hal duniawi dan ukhrawi.

Dengan yang demikian juga, diharapkan agar kita sentiasa beringat bahawa kita ini hanyalah menjalankan tugas sebagai hambaNya di muka bumi. Semua yang dimiliki kini hanyalah pinjaman yang sementara, kelak akan dikembalikan kepada Yang Maha Pencipta. Mari renungi firman Allah yang menggentarkan jiwa:

"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan" [al-Ahzaab: 72]

No comments:

Post a Comment