Friday, December 25, 2009

'Asyura

Hari ni 9 Muharram. Esok 10 Muharram adalah hari 'Asyura.

Hari 'Asyura mengingatkan kita kepada bubur asyura. Bubur yang dicampur segala macam rempah, buah-buahan, dan kekacang.

Ustaz kat sekolah dulu cakap bubur ni dahulunya dimasak oleh nabi Nuh ketika berada di atas bahtera. Oleh sebab masing2 bawa makanan dan rempah ratus sendiri, maka orang2 di atas bahtera campurkan saja semua makanan yang ada dalam satu masakan. Maka lahirlah bubur asyura.

Bila dah besar baru aku tahu rupa-rupanya cerita tu cerita palsu. Entah datang dari mana pun aku tak tahu. Mungkin israiliyyat atau mungkin juga mitos melayu purba. Tapi betapa popularnya cerita ni sampai dijaja dalam kuliah dan khutbah jumaat!

Islam bila disadur dengan kisah2 dongeng rakyat, maka tertutuplah kesuciannya.

Apakah mereka menyangka nabi Nuh diutus untuk menjadi seorang chef?

Untuk mengajarkan umatnya cara2 memasak resepi baru? masak bubur asyura?!

Bacalah surah Nuh. Betapa hebatnya dakwah para nabi terdahulu. Sehingga ada riwayat mengatakan selama 950 tahun hidup, hanya beberapa saja yang mengikuti. Firman ALLAH (maksudnya):

"Nabi Nuh berkata: "Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman); maka seruanku itu tidak menambahkan mereka apa-apa selain daripada mereka melarikan diri (dari kebenaran). Dan sesungguhnya setiap kali aku menyeru mereka (kepada beriman) agar Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan jari ke dalam telinga mereka, dan berselubung dengan pakaian mereka, serta terus berdegil, dan sombong takbur dengan melampau. Kemudian aku telah seru mereka dengan terang-terang; selain dari itu, aku menyeru mereka secara terbuka, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan sembunyi" (Surah Nuh ayat 5-9).

Inilah kisah2 yang sepatutnya dijaja kepada masyarakat, bukannya kisah dongeng bubur asyura!

Selain bubur asyura yang sedap itu, hari 'Asyura juga mengingatkan kita kepada kelompok syiah yang akan menangisi dan meratap atas kematian cucunda nabi Husain radhiallahu'anh.

Mereka akan mencederakan diri masing2 dengan memukul2 badan, kepala, dan segala anggota yang boleh dipukul. Sehingga anak kecil juga dipukul agar berdarah anak itu, maka terbuktilah kecintaan mereka kepada ahlul bait!

Lihat betapa bodoh perilaku mereka ini!

Inilah dia syiah. Ajaran sesat yang tertua di dunia. Ia established sehingga boleh mendirikan sebuah republik. Semoga kita dilindungi daripada fitnah syiah di bumi Malaysia.

Adapun di hari 'Asyura, Rasulullah telah mengajar satu amalan yang sangat tinggi ganjarannya iaitu puasa pada 10 Muharram (hari 'Asyura). Namun yang lebih afdhal ialah dengan mengahwinkannya dengan hari sebelumnya iaitu pada 9 Muharram (hari tasu'a) demi menyelisihi amalan kaum yahudi yang berpuasa pada hari 'Asyura. Antara dalil2 sahih yang boleh didapati ialah:

عن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم صام يوم عاشوراء وأمر بصيامه. مُتَّفّقٌ عَلَيهِ

Daripada Ibn Abbas r.a.:“Bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari ‘asyura dan memerintahkan agar berpuasa padanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim dalam sahih mereka).

عن أبي قتادة رَضِيَ اللَّهُ عَنهُ أن رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم سئل عن صيام يوم عاشوراء فقال: ((يكفر السنة الماضية)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Abu Qatadah r.a. : bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari ‘asyura. Baginda menjawab, “(Puasa tersebut) Menghapuskan dosa satu tahun yang lalu”. (Riwayat Muslim)

وعن ابن عباس رَضِيَ اللَّهُ عَنهُما قال، قال رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّم: ((لئن بقيت إلى قابل لأصومن التاسع)) رَوَاهُ مُسلِمٌ.

Daripada Ibn Abbas r.a. beliau berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda, “Sekiranya aku masih hidup sampai tahun depan, maka aku akan berpuasa pada (hari) kesembilan” (Riwayat. Muslim).

Untuk tahun ni, 9 dan 10 Muharram jatuh pada 26 dan 27 Disember iaitu hari Sabtu dan Ahad. Jom kita sambut hari yang penuh barakah ini dengan berpuasa. Sesiapa ada buat bubur asyura tu, harap boleh kongsi bersama.

Semoga amalan baik kita diterima oleh ALLAH.

Wallahua'lam.

Monday, December 21, 2009

Hidup Biar Beradab

Ada orang sangat suka cakap pasal 'adab'.

Bagus. Tapi kalau benda adab ini hanya dituju kepada satu pihak, sementara melupakan pihak lain, maka itu bukan adab.

Adab itu untuk semua. Jangan engkau suruh orang beradab dalam masa yang sama engkau sendiri yang biadab. Jangan kau menuding jari telunjuk sedang jemari yang lain mengacu ke batang hidung sendiri.

Ada orang yang menggelar sikap sesetengah pihak yang mengkritik pendapat ulama sebagai "Intellectual Barbarism" a.k.a "kebiadapan intelektual". Sedangkan bukan fenomena yang pelik jika pendapat seorang alim dinilai semula dengan hujah dan dalil.

Tapi orang yang darah tidak mengalir ke otaknya beranggapan ini sebagai biadap! Tak hormat ulama! menyalahi ijma'! Tak ikut arus perdana! dan macam2 slogan lain lagi yang lucu2.

Kalaulah mengkritik PENDAPAT para ulama' - semoga ALLAH merahmati mereka - dikira sebagai biadap, telah biadap pula ulama' besar kita yang terdahulu kerana ternyata ramai antara mereka yang mengkritik pendapat satu sama lain. Isu biadap tak timbul kerana minda mereka tidak beku lagi kaku untuk berfikir secara ilmiah dan bebas. Bebas daripada segala taqlid dan taksub buta kepada mana2 tokoh.

Sebenarnya, biar aku beritahu. "Intellectual barbarism" itu adalah apabila seseorang yang mencedok / plagiat karya orang lain lalu dikatakan itu adalah hasil karyanya. Itulah kebiadapan yang sebenar.

Biadap secara intelektual juga bila mana seseorang menipu nota kaki, menukilkan perkataan para ulama yang bercanggah dengan perkataan yang sebenar, membawa hadith palsu lalu diberitahu 'hadith sahih', dan membuang mana2 fakta yang tak selari dengan hawa nafsu lalu diganti dengan fakta ciptaan sendiri. Inilah biadap.

Maka, usahlah engkau meludah ke langit. Kelak mengena muka sendiri lalu engkau yang mendapat malu.

Untuk mengetahui lebih lanjut apa itu intellectual barbarism, anda dijemput untuk mendapatkan buku di bawah:


Untuk edisi ebook online, sila ke SINI.

Wednesday, December 9, 2009

Pembahagian Tauhid Sebelum Ibn Taimiyyah


Oleh: Panel Penyelidik Institut al-Qayyim
Sumber: Forum al-Fikrah.net

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106). Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang mendiptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

Wassalam.

Sunday, December 6, 2009

Hikmah

Bila cakap pasal dakwah, semua orang wajib berdakwah.

Tak kisah dalam skala kecil atau besar, yang penting dakwah mesti jalan. Dakwah kepada diri, keluarga, rakan sebaya, masyarakat setempat.

Tak kisah juga dakwah itu bergerak dalam kumpulan (jamaah) atau secara sendirian berhad.

Kalau ada yang claim dakwah itu milik kumpulan, parti, atau jamaahnya saja, maka ia telah tersilap. Tiada siapa yang mengehadkan dakwah hanya boleh melalui jamaah atau hanya boleh dilakukan sekiranya ada jamaah, melainkan dia jahil tentang konsep dakwah dalam Islam yang syumul.

Apabila sudah mengetahui semua orang wajib menjalankan dakwah, maka tentulah dakwah itu tertakluk kepada method dan strategi2 tertentu. Cara berjamaah adalah cara terbaik dalam menggerakkan dakwah secara sistematik lagi teratur. Cuma satu perkara yang sangat penting untuk sentiasa diingati bersama, jamaah itu hanyalah wasilah dalam mencapai tujuan, bukannya destinasi yang ingin dituju.

Sebab itu perlu dipastikan dakwah itu adalah bersifat 'Ummah centric' dan bukan 'Jamaah centric'. Elakkan daripada sifat taksub kepada mana2 parti, aliran, atau tokoh pemikiran tertentu.

Bercakap perihal dakwah, satu perkara yang tidak mungkin terlepas ialah dakwah perlu dilaksanakan dengan HIKMAH. Hikmah ini satu perkataan yang ringan apabila dikata, tapi amat payah untuk dilaksana.

"Kita kalau nak dakwah kepada masyarakat perlu berhikmah iaitu dengan cara lemah lembut"

Pernyataan di atas bagi saya separuh betul dan separuh salah. Manakan tidak, hikmah itu bukan semestinya berlembut. Dalam keadaan2 tertentu, boleh jadi tindakan yang paling berhikmah sekali ialah dengan method penegasan.

Dalam sejarah, kita melihat contoh ketegasan para sahabat dalam berdakwah. Abdullah bin Mas'ud ialah seorang sahabat yang sangat tegas dalam memerangi bid'ah. Ini dapat diperkatikan tikamana beliau memarahi halaqah yang melakukan zikir secara berkumpulan sambil diketuai oleh seorang tekong. Ini tidak dilakukan oleh nabi yang mulia, maka Ibn Mas'ud memeranginya.

Ternyata, jika hikmah mahu ditafsirkan sebagai lemah lembut saja, maka Abdullah bin Mas'ud radhialluanh adalah seorang yang langsung tak berhikmah!

Dalam kesedaran masyarakat kita tentang bahaya bid'ah yang boleh mengubah syariat yang telah ditentukan ALLAH, maka ada yang menggunakan method keras untuk menanganinya. Mereka berdalilkan perbuatan Ibn Mas'ud untuk menjustifikasikan tindakan mereka.

Mereka seharusnya beringat, bahawa sifat umat Melayu dengan penduduk Saudi tidaklah sama. Bahkan sangat berbeza seperti langit dan bumi. Mereka berjiwa kental dan bersifat satu hala, masyarakat kita pula penuh dengan kesenian, sopan santun, dan budi pekerti. Bertutur dengan mereka tidak boleh terlalu straight dan rigid, akan tetapi perlu perlu berlapik dengan bahasa yang penuh HIKMAH.

Ibarat menarik rambut daripada tepung. Rambut tidak putus, tepung pula tidak bertaburan.

Sambil membanteras bid'ah yang keji lagi hina, kita juga dapat memastikan ukhuwah islamiah akan tetap terjaga.

Dukacita ada dikalangan pendakwah tidak memahami perkara ini.

Saya pernah mendapat laporan seorang Muslimah yang mempunyai kesedaran sunnah bangkit ketika imam (muslimah) sedang berdoa jama'i dan terus memarahi si imam. Alangkah terburu-buru tindakan yang semacam ini! Tidak bolehkah tunggu sehingga selesai doa dibaca, kemudian berbicara dengan tenang kepada mad'u yang ingin didakwah? Kadang2 kependekan akal menjadi musuh kepada diri sendiri.

Jangan kerana sikap kita yang ceroboh itu akhirnya memalitkan fitnah ke atas imej dakwah.

Kekadang kita perlu juga mengkritik dari dalam agar kita sentiasa dapat bermuhasabah lantas boleh memperbaiki dan mempersiap diri untuk masa hadapan. Dakwahlah dengan hikmah dan mau'izoh hasanah. Ia tidak mungkin dicapai melainkan kita menyandarkan dakwah kita kepada al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Wallahua'lam.