Saturday, June 6, 2009

Rokok Yang Dibenci Itu


Pengalaman sejak di bangku sekolah berkawan dan bersosial dengan rakan-rakan yang merokok mungkin antara pengalaman berharga yang tidak mungkin dilupakan. Ada antara mereka yang memang perokok tegar, ada yang merokok mengikut keadaan(kejap rokok kejap tak), ada yang jenis ikut-ikut, tidak kurang juga ada yang merokok sebab nak menjaga ke’machoan’ diri. Oh ya, itu tak termasuk yang kaki hisap sisha(rokok versi timur tengah) dan kes hisap gam kasut.

Untuk statistik, ketika dibangku sekolah menengah(sekolah agama tau!), dianggarkan lebih daripada separuh budak batch aku terlibat dengan aktiviti merokok. Melanjutkan pelajaran di Maahad Tahfiz pula, aku diberi kejutan hari pertama dengan mendapat seorang roommate yang kaki rokok! Sedihnya beliau sangat ‘cair’ hafalannya. Di Matrikulasi, daripada keseluruhan 8 orang roommate, 7/8 daripadanya adalah perokok tegar! Di Main Campus, Alhamdulillah, semua roommate bebas rokok. Pendeknya, bergelumang dengan asap rokok bukanlah perkara baru untuk aku.

Entah mengapa dan atas sebab apa, dengan sebegitu banyak peluang dan ruang, aku tetap menolak untuk merokok, walaupun untuk sekali cuma. Padahal kalau diikutkan, memang sangat logik aku pun terlibat sama. Mungkin ketika itu keadaan duit poket yang tidak mengizinkan, justeru aku tidak merokok. Demi Allah, kalau itulah sebabnya, maka aku sangat bersyukur dikurniakan kemiskinan ketika itu!

Pernah aku berdialog dengan seorang rakan ketika di Matrikulasi:

“Banyak duit kau ek tiap-tiap ari bantai sekotak. Kalau sekotak lebih kurang lima ringgit, seminggu dah berapa tu”

“Nak buat camne. Sangap gila kot”

“Sangap sangap jugak weh. Kalau bakar duit senang-senang je macam tu, pokai la bai…”

Aku saja bakar beliau sedemikian rupa. Bukan apa, sebab kesian juga kadang-kadang tengok beliau dan lain-lain sanggup mengikat perut akibat kekurangan duit untuk beli makanan. Bila ditanya mengapa, jawabnya duit habis belanja awek dan beli rokok. Subhanallah, berbaloikah wahai saudaraku?

Hendak dijadikan cerita, ketika dibangku sekolah, pernah sekali aku didatangi seorang rakan yang agak tegar merokok. Dari gaya bahasa badan beliau, aku sudah tahu beliau ingin menguji aku dengan beberapa soalan. Antara soalan beliau: “Aku nak tanya ko satu soalan la. Apa hukum rokok ek?”

Sungguh, ketika itu aku memang aku tidak tahu menahu tentang hukum rokok yang digariskan oleh ulama’ muktabar. Semoga Allah mengampuni akan kekurangan itu. Oleh sebab itu aku menjawab: “Ehm, paling kurang makruh”. Alangkah kecewanya aku rupanya hujah ‘hukum makruh’ itulah yang digunakan sementelah itu. Sebab itu kalau kita tak tahu akan sesuatu, lebih baik diam atau berkata dengan bangga “aku tak tahu”.

Padahal kalau benar rokok itu makruh sekalipun, ia tetap perlu ditinggalkan. Makruh, dengan memindahkan maknanya secara terus, bermaksud “yang dibenci”. Apakah seseorang berasa aman melakukan sesuatu yang dibenci dalam agama? Bahkan makruh itu lebih mendekati yang haram. Demikian tegas hadith Rasulullah seperti yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

"Perkara yang halal telah jelas dan yang haram jelas pula. Antara keduanya ada beberapa perkara yang diragukan, yang tidak diketahui (hukumnya) oleh kebanyakan orang. Barangsiapa menjauhi perkara-perkara yang diragukan itu, bererti dia memelihara agama dan kesopanannya. Barangsiapa mengerjakan perkara yang diragukan, sama dengan gembala yang menggembalakan ternaknya di pinggir jurang, dikhuatirkan dia jatuh ke dalamnya. Ketahuilah, semua raja mempunyai larangan. Ketahuilah pula, larangan Allah ialah segala yang diharamkan-Nya. Ketahuilah, di dalam tubuh ada segumpal daging. Apabila daging itu baik, maka baik pulalah tubuh itu semuanya. Dan apabila daging itu rosak, maka binasa pulalah tubuh itu seluruhnya. Ketahuilah, daging itu ialah jantung!"


Baru-baru ini, kejadian hampir sama berlaku. Tapi soalan diajukan dari rakan lama di Matrikulasi. Kali ini, jawapan aku: “Tak payah tengok jauh-jauh. Ko tengok dari aspek paling senang la. Rasanya takde benda lain yang lebih membazir daripada rokok ni. Dalam al-Quran, Allah tak mempersaudarakan sesiapapun dengan setan kecuali orang yang membazir!”. Nampaknya beliau mengangguk tanda menerima dengan terbuka. Semoga beliau dibukakan pintu hidayah oleh Allah untuk meninggalkan rokok.

Lihat dari sudut yang lain pula seperti dari sudut kesihatan, contohnya. Seawal minggu lepas aku ketemu dengan seorang atuk yang umurnya sebaya atau lebih tua daripada Tun Mahathir. Ternyata beliau sangat sihat dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda beliau sudah melepasi usia emas. Yang mengejutkan sekali, beliau adalah seorang perokok tegar! Atas kejadian-kejadian seperti inilah kebanyakan orang berhujah bahawa rokok sebenarnya langsung tidak memudharatkan.

Malah aku pernah terbaca dalam satu sumber, bekas pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ditanya mengapa rokok tidak diwartakan sebagai haram di Malaysia(ketika itu), sedangkan negara-negara Islam yang lain sudah lama mengharamkan? Beliau menjawab(lebih kurang): “Kemudharatan yang dibawa rokok tidak dapat diketahui secara pasti. Ada yang mengatakan ia penyebab kanser. Tapi kita dapati ada sebahagian besar perokok tidak pun menghidap kanser bahkan sihat wal afiat saja. Atas sebab ketidakpastian inilah kita tidak mewartakan pengharaman rokok ini!”.

Waduh, ingin sekali aku berjumpa dengan beliau dan suruh beliau merujuk sendiri buku-buku dan laman web kesihatan agar beliau mengetahui betapa mudharatnya rokok kepada si perokok dan orang sekeliling(secondary smoker). Yang benar, terdapat terlalu banyak bukti saintifik yang menunjukkan kesan-kesan negatif rokok terhadap kesihatan. Katakan apa saja penyakit kronik; sesak nafas, kanser paru-paru, kerosakan pundi kencing, dan penyakit yang paling ditakuti kaum adam iaitu penyakit kemandulan.

Dalam menangkis orang-orang yang menggunakan dalih yang sedemikian, Sheikh Muhammad Bin Jamil Zainu mengatakan:

“Kami katakan kepada mereka (yang berdalih - pent), andai rokok tidak mendatangkan sesuatu yang membahayakan tubuh, rokok jelas dapat merugikan harta yang kita miliki, moral dan orang lain. Memang bahaya rokok terkadang baru diketahui setelah beberapa waktu kemudian. Namun demikian sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan bahaya rokok dengan bau busuk yang keluar dari mulut perokok dan giginya yang menjadi hitam, serta perbuatan yang mencemari udara yang Allah kurniakan kepada manusia dalam keadaan bersih”

Kata beliau lagi,

“Sangat sedikit sekali perokok yang tidak terkena impak buruk rokok. Adapun majoriti yang terkena impak rokok adalah para perokok itu sendiri. Hukum syar’i untuk suatu benda adalah berdasarkan suatu yang dominan dalam benda tersebut. Bahkan ilmu kedokteran moden dengan tegas menyatakan bahawa bahaya rokok itu dapat mengenai semua orang, meskipun tingkat impak negatif rokok tersebut bergantung kepada kondisi kekuatan tubuh dan jumlah rokok yang dihisap” [Muhammad Bin Jamil Zainu, Hukmu al-Dujan wa al-Tadkhin. Ayat di atas dinukil dari edisi terjemahan oleh Aris Munandar atas tajuk “No Smoking: Tidak Merokok Kerana Allah”, Media Hidayah, mukasurat 65 dengan sedikit pengubahan perkataan agar sesuai dengan Bahasa Melayu standard]

Oh, rokok juga sebenarnya berupaya menjadikan penghidapnya menjadi sombong untuk mengetahui bahawa dia bukan saja memudharatkan dirinya malah sesiapa saja yang terdedah kepada asap yang dihembusnya. Ustaz yang mengajar aku subjek Engineering ethics dulu pernah menyamakan hukum menghisap rokok dengan hukum membunuh! Beliau memberi contoh seorang yang hisap rokok di kedai mamak, asap yang dihembusnya akan disebarkan oleh angin lalu memasuki rongga mulut orang-orang yang berada disekeliling. Lalu beliau membacakan ayat yang cukup menggentarkan hati:

“Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar” [Surah al-Nisa’ :93]

Demikian di sana terdapat ayat-ayat yang senada seperti di bawah:

"…dia(nabi) menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk…” [Surah al-A’raf:157]

Bahkan Rasulullah dengan tegas telah melarang perlakuan memberi kemudharatan kepada orang lain dalam hadith sahih:

“Tidak boleh memudharatkan diri sendiri dan orang lain!” [Hadith sahih riwayatkan Imam Ahmad]


Ayuh sahabat-sahabatku yang masih merokok dan yang berfikir untuk merokok, renungilah dalil-dalil yang jelas dari al-Quran dan al-Sunnah seperti yang dilampirkan di atas dan banyak lagi yang sewaktu dengannya. Bertakwalah kepada Allah dalam segenap hal, termasuk meninggalkan rokok demi kesejahteraan diri kita di dunia dan akhirat.

Ketahuilah tubuh, nyawa dan harta kita ini hanyalah pinjaman daripada Allah semata, kelak akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Carilah jalan untuk meninggalkan terus tabiat buruk ini. Basuhlah tanganmu dari cela-cela tembakau dan terbitan daripadanya. Akhir sekali, pohonlah doa kepada Allah agar diberikan kekuatan untuk meninggalkan rokok dulu, kini, dan selama-lamanya.

No comments:

Post a Comment