Friday, June 12, 2009

Lari Daripada Mati

Di seluruh dunia ramai orang menzahirkan ketakutan mereka terhadap mati.

Ada orang yang berusaha mencari ubat yang boleh membuatnya hidup selama-lamanya(immortallity).

Ada orang membina rumah besar dengan segala kecanggihan, dengan harapan dapat melindunginya daripada bencana alam.

Ada orang yang berjawatan mempunyai kereta yang berdinding tebal lagi kebal, dengan itu dia terlepas daripada kemalangan dan selamat daripada peluru penembak tepat(sniper).

Di samping ramai orang yang membunuh diri dan mengharapkan mati, demikian ramai pula yang 'melarikan diri' daripada kematian dengan pelbagai cara.

Sebenarnya baru sebentar tadi imam di surau membacakan ayat dari surah al-Jumu'ah ayat 8:

قُلْ إِنَّ الْمَوْتَ الَّذِي تَفِرُّونَ مِنْهُ فَإِنَّهُ مُلَاقِيكُمْ ثُمَّ تُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah Yang mengetahui Segala Yang ghaib dan Yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa Yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".



Ketika mendengar ayat ini, ia ibarat mendapat satu tamparan yang maha dahsyat menyinggah di pipi.

Apakah sudah cukup amalanku menghadapi mati?

Sudahkah al-Quran dan al-Sunnah itu benar-benar aku amalkan?

Sudahkah aku mengikuti jalan nabiku dalam segenap perkara?

Lebih penting lagi...

Apakah sudah cukup murni 'aqidahku tanpa sebarang kesyirikan walau sebesar zarah?

Soalan-soalan ini menerjah di minda. Andaikata jawapanku hanyalah belum, belum dan belum, maka apakah nasibku di akhirat kelak?

Yang pasti, masa tidak akan menunggu kita. Berapa lama sangatkah umur kita yang tinggal?

50 tahun, 10 tahun, seminggu, atau sehari saja lagi? Fikir-fikirkanlah wahai sahabatku yang budiman.

Macam mana sekalipun kita lari dari kematian, walau berlindung dalam bilik yang kebal sekalipun, pasti dan pasti kematian itu akan menjengah...

أَيْنَمَا تَكُونُواْ يُدْرِككُّمُ الْمَوْتُ وَلَوْ كُنتُمْ فِي بُرُوجٍ مُّشَيَّدَةٍ وَإِن تُصِبْهُمْ حَسَنَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِ اللّهِ وَإِن تُصِبْهُمْ سَيِّئَةٌ يَقُولُواْ هَـذِهِ مِنْ عِندِكَ قُلْ كُلًّ مِّنْ عِندِ اللّهِ فَمَا لِهَـؤُلاء الْقَوْمِ لاَ يَكَادُونَ يَفْقَهُونَ حَدِيثًا

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

No comments:

Post a Comment