Wednesday, June 10, 2009

Sifat Allah

Dulu saya selalu menyanyi lagu sifat 20. Masa lapang saya habiskan dengan mencari note-note lagu yang sesuai dengan harmoni lagu sifat 20. Lalu sifat 20 saya hafal , ulang dan ulang.

Kini kalau tanya saya semula tentang sifat 20, mungkin saya akan menjawab “tidak tahu”. Sebab bagi saya tidak wajar sama sekali mengehadkan sifat Allah itu kepada hanya 20. Ke mana mahu dibakulsampahkan 99 nama dan sifat Allah yang popular itu?

Ada yang berpendapat tidak perlu belajar tawhid al-Asma’ wa al-Sifat. Rakan saya di maahad tahfiz dulu yang bermanhaj tarekat, mengatakan bahawa mempelajarinya adalah satu bid’ah!

Ternyata rakan saya itu silap. Bahawa mempelajari sifat Allah itu terlalu penting sehingga ia bisa menentukan ketulenan ‘aqidah seseorang. Apakah seseorang mengaku hamba sedang dia tidak mengetahui sifat-sifat Tuhannya?

Kalau anda merayau-rayau di ruangan internet, pasti anda akan mendapati wujud pertelingkahan antara golongan agamawan. Antara yang diperselisihkan itu adalah dalam bab sifat Allah.

Ini terjadi akibat wujud golongan yang suka mentakwil ayat-ayat sifat di dalam nas al-Quran dan al-Sunnah. Takwil di sini bermaksud mengalihkan lafaz atau istilah zahir sesuatu ayat atau perkataan kepada lafaz lain.

Antara contoh yang popular ialah persoalan “Di Mana Allah”.

Ada yang beranggapan Allah itu berada di mana-mana.

Tapi bila dikatakan kepadanya “Kalau begitu, tentu Allah berada dalam poket seluar kamu!”

Dengan segera dia akan berdalih “Eh, maksud saya Allah itu wujud tanpa tempat”.

Yang mana satukah betul? Allah berada di mana-mana atau Allah wujud tanpa tempat? Ini mendorong satu kekeliruan yang dahsyat. Maha Suci Allah daripada sebarang kekeliruan hambaNya.

Yang benar ialah sebagaimana yang dipegang oleh generasi al-salaf al-soleh bahawa Allah itu beristiwa’ di atas ‘arasy.

Bagaimana istiwa’nya Allah di ‘arasy itu? Adakah ia seperti duduknya manusia di atas kerusi?
Kita katakan Allah istiwa’ di atas ‘arasy itu diketahui maknanya. Akan tetapi kaifiat atau tatacaranya diserahkan kepada Allah, sambil kita menyucikan Allah daripada sebarang penyerupaan dengan mana-mana makhluk.

Mudah bukan? Ya, ‘aqidah Islam itu sangat mudah difahami sebenarnya. Cuma apabila ia dimasuki dari pintu falsafah ia akan memeningkan kepala. Lantas falsafah bertukar menjadi falsampah.

Demikian halnya dengan sifat-sifat yang lain seperti tangan, turun, dan mendengar. Kita beriman sebagaimana generasi salaf beriman dengannya.

Ringkasnya, ahli Sunnah wal Jamaah beriman kepada sifat-sifat yang Allah mensifati diriNya seperti yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Sifat-sifat ini diketahui maknanya manakala tatacaranya diserahkan kepada Allah dengan keyakinan bahawa ia tidak menyerupai mana-mana makhluk.

Jika ada juga yang masih berdalih, bacakan kepadanya ayat ini:

Dia lah Yang menurunkan kepadamu (Wahai Muhammad) Kitab suci Al-Quran. sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat "Muhkamaat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. dan Yang lain lagi ialah ayat-ayat "Mutasyaabihaat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). oleh sebab itu (timbulah faham Yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang Yang ada Dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa Yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut Yang disukainya). padahal tidak ada Yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya Yang sebenar) melainkan Allah. dan orang-orang Yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya Dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadaNya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" dan tiadalah Yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang Yang berfikiran. [Ali ‘Imran: 7]

No comments:

Post a Comment