Thursday, November 20, 2008

Meniru Yang Dibenarkan Syara'


Pernahkah anda meniru ketika peperiksaan?

Meniru, walaupun durjana pada hakikatnya, namun ia suatu yang lazim pada realitinya di kalangan pelajar kita di semua peringkat tidak kira di peringkat sekolah mahupun di Institut Pengajian Tinggi.

Seorang pelajar mungkin tidak mahu atau tidak mempunyai niat untuk meniru ketika peperiksaan, tapi kekadang dalam keadaan terpaksa dia meniru juga. Ini mungkin disebabkan soalan yang terlampau susah atau dia sendiri tidak bersedia dari segi ulangkaji dan persiapan mental.

Ada yang beralasan dia meniru untuk menghindarkan mudharat yang lebih besar. Bukankah gagal satu subjek dan perlu mengulang semula sepanjang semester berikutnya merupakan satu mudharat yang lebih besar berbanding kesalahan meniru itu sendiri? Lihatlah bagaimana liciknya sesetengah kita dalam menghalalkan sesuatu menurut hawa nafsu. Seperti di hujung lidahnya ada suatu kuasa yang berupaya menghalalkan dan mengharamkan sesuatu dengan sendirinya.

Walau apa pun alasannya, meniru dalam apa jua bentuk dan keadaan, ia tetap menjadi kesalahan di sisi agama. Ia merendahkan nilai keilmuan, menafikan hak individu, dan yang lebih penting meragut disiplin dan norma kejujuran seseorang. Tiada khilaf dalam pengharamannya.

Meniru Yang Dibenarkan Syara'?

Jika begitu, bagaimana jika dikatakan ada satu jenis 'meniru' yang dibenarkan oleh syara'?

Tentu anda tidak bersetuju.

Tapi saya katakan memang ada satu bentuk 'peniruan' yang dibenarkan syara' melalui kalamullah(al-Quran) dan kalam RasulNya(al-Sunnah). Cuba kita lihat bukti rujukan yang dilampirkan di bawah:

Dan sesungguhnya inilah jalanku yang lurus maka ikutilah ia, dan janganlah kamu ikut akan jalan-jalan yang lain, kelak ia akan memecah belahkan kamu (Al-Ana'am : 153)

Katakanlah(Wahai Muhammad): "Jika kalian (benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kalian"... (Al- 'Imran:31)


Benar sekali. Satu-satunya peniruan yang dibenarkan di sisi Islam ialah meniru suri tauladan Rasulullah s.a.w. Menariknya, tiru yang jenis ini langsung tidak menyebabkan seseorang berdosa. Malah diberikan pahala pula, ditambah dengan pelbagai ganjaran lantaran kasih sayang daripada Allah Jalla wa 'Ala.

Cumanya, di dalam al-Quran mahupun al-Sunnah, perkataan 'tiru' tidak digunakan sama sekali. Namun ia diganti dengan perkataan yang lebih lunak dan lebih tepat pada maknanya iaitu 'ikut' atau al-ittiba' dalam Bahasa Arab. Seringkali pula ia digabungkan dalam satu frasa yang popular iaitu 'ittiba' al-Sunnah' iaitu merujuk kepada perbuatan mengikuti Rasulullah dalam segala macam aspek berlandaskan contoh yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah seluruhnya.

Antara Abu Thalib Dan Abdullah Bin Ubay

Dalam catatan sejarah, ada dua orang personaliti yang amat terkenal yang telah berjaya memahatkan nama mereka dalam lembaran sejarah dunia. Mereka ialah Abu Thalib Bin Abdul Mutalib, bapa saudara nabi dan seorang lagi merupakan ketua munafik Mekah, Abdullah Bin Ubay Bin Salul.

Ada apa dengan mereka berdua?

Mereka berdua adalah dua orang yang hidup sezaman dengan Baginda Rasulullah. Tetapi mereka ini tidak diingati dengan keimanan, bahkan mereka mati dalam kekufuran. Sebagai Muslim, kita dapat mengambil iktibar yang besar daripada kisah mereka berdua.

Abu Thalib, seperti yang disebutkan merupakan pak cik kepada Nabi kita dan seorang yang amat menyayangi Baginda. Beliau merupakan antara pembesar Mekah ketika itu, lantas memainkan peranan penting dalam memelihara keselamatan Rasulullah sepanjang keberadaan di sana. Berikutan kematian beliau, orang-orang Quraish kembali berasa aman untuk mengganggu dan menghalang dakwah Rasulullah. Sayang sekali, disebabkan beliau tidak menerima dakwah Rasulullah, matilah beliau bersama orang-orang yang kufur...

Adapun Abdullah Bin Ubay Bin Salul, beliau langsung tidak mempunyai perasaan kasih sayang terhadap Nabi. Bahkan beliau merupakan orang yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadap Ummul Mukminin 'Aishah Radiallahuanha dan telah direkodkan dalam al-Quran (Sura al-Nur) dalam peristiwa al-ifk. Bahkan Allah telah menempelak kemunafikan beliau dan orang-orang yang semunafik dengannya dalam al-Quran. Firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat mereka berdiri dengan malas. Mereka bermaksud riya' (dengan solat) di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut Allah kecuali sedikit sekali (Al-Nisa' :142)

Cinta dan Ikut

Demikian kisah dua orang manusia di zaman Nabi yang dapat kita jadikan tauladan. Yang seorang cinta tetapi tidak ikut, sedang yang seorang lagi ikut tapi tak cinta. Menurut hukum Tuhan, kedua-duanya di neraka - na'uzubillah.

Justeru kita sebagai ummat Muhammad, bila saja berbicara tentang Baginda seharusnya kita memasukkan dua elemen ini; cinta dan ikut. Dengan demikian, tidaklah sia-sia semua kebaikan yang ditonjolkan oleh Baginda yang ditinggalkan di dalam al-Quran dan hadis yang sahih, melainkan ia diikuti pula oleh ummat yang menyayangi Baginda.

Dukacita kebanyakan kita pada hari ini tidak menggabungkan kedua elemen ini.

Ada yang cinta yang teramat kepada Baginda Nabi seperti golongan batiniah dan sufi. Setiap tahun mereka berbelanja besar untuk menyambut tarikh kelahiran nabi yang disebut 'Maulidur Rasul'. Namun, oleh sebab tiada elemen 'ikut' akan contoh yang ditunjukkan Baginda, maka kita melihat amalan-amalan mereka 'kosong' kerana kebanyakannya hanya terhenti atas tangisan dan tarian kebatinan mereka. Bahkan dalam kebanyakan keadaan, merekalah juara dalam melakukan perkara-perkara inovasi dalam agama.

Ada pula yang ittiba', tapi kurang pula cinta kepada Baginda. Ia berlaku pada zaman Nabi, dan mereka dipanggil munafik(talam dua muka). Kita berlindung juga daripada sifat munafik yang seperti ini.

Sebab itu hal al-hub(cinta) dan al-ittiba'(ikut) ini meliputi dalam segenap aspek; Aqidah, ibadah, muamalah, akhlak, malah cara hidup Baginda keseluruhannya. Tidaklah dikatakan menyayangi Baginda andai seseorang mengikuti Baginda dalam suatu aspek kehidupan, sedang dia mengabaikan perintah Baginda dalam aspek yang selainnya.

Sebenarnya semua ini telah Allah simpulkan dalam firmanNya yang berbunyi:

Sesungguhnya telah ada pada(diri) Rasulullah itu contoh tauladan yang baik bagi kalian (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan dia banyak menyebut Allah. (Sura al-Ahzab:21)

No comments:

Post a Comment