Saturday, August 29, 2009

Ramadan Reflection

Aku pernah terfikir. Bagaimana rasanya pemain-pemain bolasepak muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan ni. Larat ke nak main?

Tapi bila tengok balik; Anelka (Chelsea), Karim Benzema, Lassana Diarra (Real Madrid), Kanoute (Sevilla), Muntari (Inter Milan). Semuanya selamber je main time puasa. Siap ada yang skor lagi untuk kelab masing-masing.(Untuk pengetahuan Anelka gol untuk chelsea semalam. Chelsea menang 3-0...power2)

Aku pernah try sebenarnya. Bulan lepas, ada sekali aku puasa hari isnin. Dalam masa yang sama, tanpa pengetahuan aku, tetiba dipaksa main futsal wakil department Mechatronics untuk Engineering Sports Carnival(ESC). Aku punya la cuak ingatkan tak larat. Puasa kot.

Last-last main ok je. Siap menang lagi dengan team favourite (team MECSA kena sayur time tu...haha). So, bagi aku bersukan ketika puasa adalah suatu yang biasa dan dibolehkan. Malah digalakkan bagi yang mampu.

Tadi buka laman web favourite aku, Goal.com. Terjumpa artikel-artikel ni:

1) Ramadan Reflections: The Scientific View - Does Fasting Help Or Hinder Football?

2) Ramadan Reflections: Islamic Doctor Discusses Mourinho's Thoughts On Muntari

3) Exclusive: I Can Keep Fasting In Ramadan Even When I Am Playing – Fredi Kanoute

4)Ramadan Reflections: Understanding Ramadan And Its Role In Football

So,kepada yang asyik posting kat Facebook cakap bosan tak tahu nak buat apa time Ramadhan ni, apa kata korang pergi bersukan. Berlari ke, main bola ke, swimming ke. Sekurang-kurangnya tak adalah masa yang berharga dibuang begitu saja di atas katil tanpa buat apa-apa.

Wallahua'lam.

Perkara Yang Membatalkan Puasa: Antara Realiti Dan Fakta










Friday, August 28, 2009

Fakir

Ketika kita sedang asyik makan di warung mamak, tiba-tiba datang seorang anak yatim meminta sedekah.

Apa yang akan kita lakukan?

Kalau pertama kali, mungkin satu nota merah boleh dihulurkan.

Tapi kalau sudah dua tiga kali dia ulang-alik ke meja kita, kita pun naik menyampah.

"Maaflah, dik. Tadi abang dah bagi sikit".Mungkin itu yang akan kita ungkapkan.

Atau mungkin juga seperti ini, "Dah dua kali dah abang kasi ni. Mintaklah orang lain pulak!".

Atau jika mood kita pula kurang baik hari tu, mungkin sudah dihalaunya budak tu. Silap hari bulan ditambah pula caci-maki bagi melepaskan geram.

Ya, itulah sifat manusia. Kita ini tidak suka kalau orang meminta-minta.

Usahkan meminta derma, kalau orang minta bantuan pun sukar dihulurkan.

Tapi ingatkah kita, Allah sifatNya sangat berbeza dengan manusia?

Kita juga selalu meminta-minta kepadaNya, kerana kita memang berhajat untuk meminta.

Tak habis-habis kita meminta. Hatta kita meminta suatu perkara yang jika diminta kepada manusia, nescaya kita akan ditertawakannya.

Manusia mungkin menyampah jika diajukan permintaan berulang-ulang kali. Tapi Allah - dengan segala rahmatNya - suka kepada hamba yang suka meminta malah menyuruh kita untuk meminta kepadaNya saja, tidak kepada yang lain.

Rezeki, jodoh, nikmat, harta, apa saja. Pintalah kepada Allah.

Pintalah kepada Allah dalam solat, sujud, selepas tasyahhud sebelum salam, ketika menadah tangan. Ketika senang dan susah. Dalam keadaan nyata dan sembunyi. Pintalah, nescaya Allah perkenankan.

Kerana kita ini fakir, maka pinta dan pohonlah daripada Tuhan Yang Maha Kaya.

Thursday, August 20, 2009

10 Fakta Dan Auta Berkaitan Puasa Yang Perlu Anda Tahu

Sedari kecil, kita banyak dilonggokkan dengan pelbagai pantang larang ketika berpuasa di bulan Ramadhan. Kita ditegah daripada melakukan itu dan ini, sehingga ramai yang menyangka bahawa amalan berpuasa ini merupakan suatu yang susah lagi memayahkan. Sedangkan Allah sendiri menjelaskan bahawa kewajipan puasa ini bukanlah bertujuan untuk memayah-mayahkan hambaNya seperti dalam firmanNya:

… Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran, dan juga agar kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah: 185]


Di sini disenaraikan beberapa perkara yang menjadi pegangan masyarakat umum berkaitan puasa sedangkan dalil al-Quran dan al-Sunnah mengisyaratkan sebaliknya. Kesemua hujah dan dalil saya ‘copy and paste’ dari beberapa sumber yang berbeza-beza (akan disertakan diakhir tulisan ini insyaAllah), dengan sedikit pengolahan bahasa di mana perlu. Semoga kita beroleh manfaat bersama.

1. Mandi ketika berpuasa untuk menyegarkan badan.

Auta: Mandi ketika puasa adalah makruh.

Fakta: Tidak benar, bahkan mandi ketika berpuasa adalah HARUS. Rasulullah sendiri pernah mencurahkan air ke atas kepala Baginda disebabkan dahaga atau panas. Ini berdasarkan hadis sahih berikut:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku (Abu Bakar Bin ‘Abd al-Rahman): “Aku melihat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas” [ Hadith riwayat Imam Ahma dan Abu Daud dalam sunan mereka, juga Imam Malik dalam al-Muwatta’]

2. Korek hidung, telinga atau rongga-rongga yang berlubang.

Auta: Memasukkan apa saja benda ke dalam rongga yang berlubang adalah membatalkan puasa.

Fakta: Tidak ada dalil yang menunjukkan hukum sedemikian rupa. Sedangkan yang benar ialah perkara yang membatalkan puasa hanyalah berlegar antara tiga perkara; makan, minum, dan bersetubuh. Firman Allah Ta’ala:

Maka sekarang (1) setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan (2) makanlah serta (3) minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib). [al-Baqarah 2:187]


3. Penetapan waktu imsak iaitu kira-kira 5 hingga 10 minit sebelum masuk waktu Subuh.

Auta: Wajib atau sunat untuk berhenti makan dan minum sebelum masuk waktu imsak sebagai langkah berjaga-jaga.

Fakta: Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh adalah satu ketetapan yang tidak ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, malah ia menjauhi tuntutan sunnah untuk mengakhirkan waktu sahur. Alasan “berhati-hati” adalah tidak perlu kerana kita dibolehkan makan dan minum sehingga jelas masuknya waktu Subuh. Allah 'Azza wa Jalla berfirman:

Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]


Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

“Sesungguhnya Bilal azan ketika waktu masih malam, oleh itu makanlah dan minumlah sehingga Ibn Ummi Maktum melaungkan azan.” (Perawi menerangkan): “Beliau (Ibn Ummi Maktum) adalah seorang yang buta, dia tidak akan melaungkan azan sehingga dikatakan kepadanya: Waktu Subuh telah masuk, waktu Subuh telah masuk.” [ Sahih Bukhari : 617]

4. Makanan yang disunnahkan berbuka dengannya.

Auta: Disunnahkan makan benda-benda manis atau buah-buahan tempatan.

Fakta: Disunnahkan berbuka puasa dengan rutab, tamar atau air.Di dalam hadith daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab (kurma basah), sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar(kurma kering) dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air”. [Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, katanya hadith ini hasan. Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini, lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah]

5. Merasai makanan dengan lidah.

Auta: Batal puasa bagi orang yang merasai makanan dengan lidah kerana hal itu seperti dia memakan makanan itu, tiada bezanya.

Fakta: Merasai makan adalah dibolehkan dengan syarat selagi mana tidak sampai memasuki tenggorokan (tekak dan salur makanan). Ini adalah berdasarkan riwayat dari Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma:

“Tidak mengapa merasai cuka atau sesuatu yang lainnya dalam keadaaan sedang berpuasa selagi mana tidak sampai ke tenggorokan.” [Hadis Riwayat al-Bukhari secara muallaq (4/154 – Fathul Bari), dimaushulkan (disambungkan/disebutkan sanadnya) oleh Ibnu Abi Syaibah (3/47), al-Baihaqi (4/261) melalui dua jalan. Hadis ini hasan, lihat “Taqliqut Taqliq” (3/151-152)]

6. Memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub.

Auta: Seseorang yang berjunub saat masuknya waktu subuh dikira terbatal puasanya.

Fakta: Hal ini pernah berlaku kepada Rasulullah shallahu’alaihi wasallam, sedangkan baginda kemudiannya mandi, bersolat dan meneruskan puasa seperti biasa. Dari Aisyah dan Ummu Salamah radhiallahu 'anhuma:

“Nabi Shalallahu 'alaihi wa Sallam memasuki waktu subuh dalam keadaan junub kerana jima' dengan isterinya, kemudian ia mandi dan berpuasa”. [Hadis Riwayat al-Bukhari (4/123), Muslim (1109)]

7. Bolehkah bercumbu-cumbuan dengan isteri ketika puasa?

Auta: Tidak boleh, batal sekiranya bercumbu. Bukankah bulan puasa bulan menahan syahwat?!

Fakta: Hal ini mempunyai hukum yang berbeza-beza mengikut tahap kemampuan masing-masing. Bagi yang dapat mengawal gelojak nafsu agar dengan cumbuan itu tidak menjurus kepada persetubuhan, maka dipersilakan. Tapi, buat yang tidak mampu, maka dia dimakruhkan sama sekali. Abdullah bin Amr bin ‘Ash berkata:

“Kami pernah berada di sisi Rasulullah Shallallahu'alaihi wasallam, datanglah seorang pemuda lalu berkata: “Ya Rasulallah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa? Baginda menjawab: “Tidak”, datang pula seorang yang sudah tua lalu dia berkata: “Ya Rasulullah, bolehkah aku mencium dalam keadaan sedang berpuasa?” Baginda menjawab: “Ya”. Sebahagian dari kami pun saling memandang di antara satu dengan yang lain. Maka Rasulullah Shallallahu 'Alaihi wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya orang tua boleh menahan dirinya””. [Hadis Riwayat Ahmad (2/185, 221)]

8. Menggosok gigi ketika sedang berpuasa.

Auta: Boleh menyebabkan batal atau kurang pahala puasa. Ditakuti tertelan ubat gigi berperisa strawberi.

Fakta: Tidak mengapa menggosok gigi bahkan digalakkan. Lagipun Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan, sedangkan gigi yang kuning melambangkan empunya diri yang kurang menjaga kebersihan. Rasulullah shalallahu'alaihi wasallam bersabda:

“Kalaulah tidak memberatkan umatku nescaya aku suruh mereka untuk bersiwak setiap kali wudhu”. [Hadis Riwayat Bukhori (2/311), Muslim (252)]

9. Lafaz niat puasa.

Auta: Wajib untuk melafazkan niat puasa iaitu “nawaitu shauma qhadin…”. Bagi yang tidak melafazkannya, maka puasanya tidak dikira kerana setiap perkara dimulakan dengan niat.

Fakta: Tiada lafaz niat puasa, ini hanyalah bid’ah yang diada-adakan. Bahkan niat itu tempatnya di hati. Sesiapa saja yang terlintas di hatinya bahawa dia akan berpuasa pada bulan Ramadhan, maka itu sudah cukup baginya.

Persoalannya, apakah seseorang yang mahu berpuasa perlu berniat setiap hari atau memadai dengan niat untuk sepanjang Ramadhan? Di sini saya petik takhrij dan komentar Dr Muhammad Fathi Ali, ahli panel Jabatan Hadith Al-Fikrah.net terhadap hadith berikut:

Daripada Hafsah isteri Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam: Bahawasanya Rasulallah shallallahu’alaihi wasallam telah bersabda:

“Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum waktu fajar maka tiada puasa baginya (tidak sah)”. [dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnad (hadis no. 26500), Abu Daud dalam Sunan (hadis no.2454), at-Tirmizi dalam Sunan (hadis no.730), an-Nasaie dalam Sunan al-Kubra (hadis no.2640,2641,2643), al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra (hadis no. 7696,7697,7698,7701,7778,7826,), ad-Darimi dalam Sunan (hadis no. 1698) dan lain-lain dangan lafaz yang sedikit berbeza, semuanya dari jalan Hafsah radhiallahu’anha]

Beliau berkata,

“Hadis dari Hafsah ini tntg wajibnya niat puasa Ramadhan dilakukan pada waktu malam ini TIDAK SAHIH kepada Nabi. Ia dinilai Tidak Sahih oleh Ahmad, al-Bukhari, at-Tirmizi, an-Nasaie, ad-Darimi, Abu Daud, Abu Hatim dan lain-lain Imam-imam hadis. (rujuk athar ilal hadis fi ikhtilaf Fuqaha, Dr Mahir Yasin al-Fahl)

Kata Ibn Hajar dalam Fathul Bari: "berlaku khilaf akan bersambung atau tidaknya hadis ini, dan yang rajih adalah tidak bersambung kpd Nabi (mauquf) sebagaimana tarjih Tirmizi dan Nasaie (Fathul Bari: 142/4).

Menurut syaikh al-Muhaddith Abdul Aziz at-Torifi dalam kuliahnya 'hadith2 dhaif seputar puasa', adalah tidak wajib niat puasa Ramadhan dilakukan pada malam hari, malah boleh dilakukan pada waktu dhuha, dan ini menguatkan qaul Malik yg mengatakan niat puasa Ramadhan boleh dilakukan dengan satu niat pada awal bulan (niat puasa satu bulan sekaligus) dan qaul Abu Hanifah yg membolehkan niat puasa ramadhan sampai tengah hari”
[rujuk http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=6849/postdays=0/postorder=asc/highlight=puasa+ramadhan/start=0.html]

10. Tidur ketika sedang berpuasa.

Auta: Tidur orang puasa adalah ibadat.

Fakta: Memang benar terdapat hadith yang menyebut bahawa tidur orang yang berpuasa adalah ibadat. Namun, tiada satupun daripadanya yang sahih dan dapat dijadikan hujah. Kita ambil contoh hadith ini beserta takhrij dan komentar sekali lagi oleh Dr Muhammad Fathi Ali:

"Tidurnya orang yang berpuasa itu dianggap ibadah, dan diamnya merupakan tasbih, dan amalnya (diganjari) berlipat ganda, dan do'anya mustajab, sedang dosanya diampuni". [Riwayat : Baihaqy di dalam kitabnya Syu'abul Iman, dari jalan Abdullah bin Abi Aufa]

Hadith ini darjatnya sangat dha'if (lemah) atau Maudu’(palsu). Di sanadnya ada Sulaiman bin Umar An-Nakha'i, seorang pendusta. Rujukan : Silsilah Ahaadith Dhaifah wal Maudh'uah No. 653, Faidlul Qadir No. hadith 5125 , 9293.


Oleh itu, jika sesiapa yang asyik lena dibuai mimpi di siang hari Ramadhan sambil mengatakan bahawa itu adalah sunnah, katakan kepada "Anda telah diauta!"....

Semoga Allah mengurniakan hidayah buat kita semua.

Wallahua'lam.

-------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan:

1) Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa oleh Hafiz Firdaus Abdullah. Rujukan bagi poin no. 1 hingga no. 4. Edisi ebook boleh layari http://www.hafizfirdaus.com/ebook/RisalahPuasa/new/index.htm

2) Artikel Tidak Mengapa Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpuasa oleh Nawawi Subandi. Rujukan bagi poin no. 5 hingga no. 8. Rujuk http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2008/08/119-tidak-mengapa-dilakukan-oleh-mereka.html

3) Forum al-Fikrah.net – posting yang dilakukan oleh Dr Muhammad Fathi Ali. Rujukan bagi poin no. 9 dan no. 10. Sila rujuk http://www.al-fikrah.net/Forums/viewtopic/t=6849/highlight=ramadhan.html


Thursday, August 13, 2009

Sunnah-sunnah Hari Jumaat Yang Dilupakan



Hari Jumaat sebagai penghulu segala hari adalah bukti kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya. Inilah hari yang terkumpul di dalamnya sekian banyak fadhilat dan kelebihan seperti yang dinukilkan dalam dalil al-Quran dan al-Sunnah. Adalah wajar kaum muslimin merebut peluang keemasan ini untuk meningkatkan kualiti amalan mereka menurut petunjuk Nabi Muhammad shallallahu’alaihi wasallam.

Rasulullah sebagai penerima wahyu telah mengajarkan kepada kita beberapa amalan sunnah yang wajar dilakukan pada hari Jumaat. Namun mungkin akibat keterlekaan dan kealpaan kita membuat kita terlupa untuk melazimi sunnah-sunnah tersebut. Oleh itu, di sini kita cuba menyenaraikan kembali sunnah-sunnah yang semakin luput dan dilupakan beserta dalil sebagai panduan bersama.

1.Mandi, membersihkan diri, bersugi, dan memakai wangian, dan mengenakan pakaian yang terbaik.

Ini berdasarkan hadith yang disampaikan oleh Salman al-Farisi radhiallahu’anh daripada Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam, baginda bersabda:

Tidak mandi seorang lelaki pada hari Jumaat dan membersihkan dirinya setakat yang termampu, seterusnya beliau meminyakkan rambut, mengenakan wangi-wangian harum yang dimilikinya di rumah, lantas dia keluar (ke masjid) dan dia tidak mencelah di antara dua orang (di dalam masjid), lalu dia bersolat apa yang diwajibkan atasnya. Dan sesudah itu duduk diam sewaktu imam sedang berkhutbah, melainkan diampunkan segala dosanya dari Jumaat tersebut hinggalah ke Jumaat yang akan datang”. [Riwayat al-Bukhari]

2.Bersegera ke masjid dan tinggalkan urusan lain.

Firman Allah Ta’ala di dalam surah al-Jumu’ah ayat 9,

Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)



3.Membaca Surah al-Kahfi BUKAN Surah Yaasin pada malam atau siang hari Jumaat.

Membaca Surah Yaasin adalah sesuatu yang mulia dilakukan oleh setiap muslim, sepertimana mambaca surah-surah al-Quran yang lainnya. Namun, untuk mengkhususkannya pada waktu tertentu seperti pada malam Jumaat adalah suatu yang tidak dijumpai dalam mana-mana dalil sahih malah bercanggahan dengan petunjuk Baginda nabi. Sedangkan setiap ibadah adalah terhenti (tidak dilakukan) sehinggalah dijumpai dalil atau nas yang menunjukkan pensyariatannya.

Oleh itu, saya dengan segala rendah diri mengajak kalian semua untuk meninggalkan amalan yang bercanggahan dengan sunnah Baginda ini. Adapun pada malam Jumaat, Rasulullah telah mengajarkan kita untuk membaca keseluruhan surah al-Kahfi sebagaimana sabdanya:

Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat nescaya akan diterangkannya dengan satu cahaya di antara dua Jumaat”. [Riwayat al-Nasaei, al-Baihaqi, dan al-Hakim]

4.Menuju ke masjid dengan berjalan kaki, bukan berkenderaan.

Sesiapa yang mandi dan membersihkan diri pada hari Jumaat dan bersegera (keluar menuju ke masjid) dengan mencari posisi paling hampir dengan imam dalam keadaan diam, maka setiap jejak langkahnya itu pahala seumpama puasa setahun pada siangnya dan mendirikan ibadah pada sebelah malamnya. Hal demikian itu bagi Allah adalah sangat mudah”. [Riwayat Imam Ahmad, al-Thabarani, dan Ashab al-Sunan. Disahihkan oleh Ibn Khuzaimah]

5.Mendirikan solat sunat MUTLAK.

Solat sunat Mutlak bukanlah satu yang popular di kalangan umat Islam di Malaysia, lantaran mereka sudah terbiasa dengan solat sunat Qabliyah Jumaat. Hal ini agak menghairankan kerana Imam Syafi’I rahimahullah sendiri telah membincangkan pensyariatan solat sunat Mutlak dalam karyanya yang agung, kitab al-Umm.

Berkenaan solat sunat Mutlak ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani rahimahullah berkata:

Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila saja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya”. [Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, dinukil daripada buku Panduan Solat Sunat Cara Nabi oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus, mukasurat 105]

Berkenaan riwayat yang menunjukkan adanya solat sunat qabliyah Jumaat, -wallahua’lam- tiada satu pun daripada riwayat-riwayat tersebut yang dapat dijadikan hujah lantaran kelemahan dan kecacatan yang berbeza-berbeza. Berkata al-Hafiz al-‘Iraqi:

Tidak ada diriwayatkan dari Nabi Shallahu’alaihi wasallam bahawa baginda solat sebelum Jumaat (Qabliyah Jumaat – penulis), kerana beliau biasa keluar rumah menuju solat Jumaat, lalu datang muadzin azan di hadapan beliau, kemudian beliau terus berkhutbah” [ Nailul Authar 3/216 . Dinukil dari kitab Sheikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah. Edisi terjemahan dalam bahasa Indonesia bertajuk Jawaban Penting Pertanyaan Seputar Solat Jumaat oleh Abu Umar Basyir al-Maidani, al-Qowam, mukasurat 51]


6.Memendekkan khutbah dan memanjangkan solat.

Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Ammar radhiallahu’anh,

Sesungguhnya lamanya berdiri solat seorang lelaki dan pendeknya khutbah yang dibacanya adalah petanda kemahiran ilmu fiqhnya (mendalam pengetahuan agamanya). Maka hendaklah kamu memanjang solat dan memendekkan bacaan khutbah!” [ Riwayat Muslim]


7.Tidak mengangkat tangan berdoa di antara dua khutbah dan ketika imam berkhutbah.

Sedia maklum bahawa perbuatan menadah tangan adalah suatu yang disunnahkan tatkala berdoa. Namun, menadah tangan dalam khutbah Jumaat bukanlah suatu sunnah, malah ia bercanggahan pula dengan sunnah Baginda.

Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Abu Daud:

Daripada 'Umarah ibn Ru'aibah yang melihat Bishr ibn Marwaan ketika di atas mimbar mengangkat tangan (Abu Daud menambah : apabila melakukan do'a pada hari Jumaat), dan berkata,

“Semoga Allah menjadikan hodoh kedua-dua tangan. Aku melihat Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam tidak menambah apa-apa melainkan seperti ini dengan tangannya” dan mengisyaratkan dengan jari telunjuknya
”.


8.Mendirikan solat sunat Ba’diyah Jumaat.

Para ulama’ telah bersepakat bahawa solat sunat ba’diyah Jumaat adalah disyariatkan. Terdapat dua pilihan bagi mengerjakannya; iaitu samada dilakukan dua rakaat atau empat rakaat dan kedua-duanya adalah sunnah. Ini berdasarkan kepada hadith-hadith di bawah:

a)Daripada Abu Hurairah rahiallahu’anh, bahawa Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) jumaat”. [Riwayat Imam Muslim]

b)Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’anhuma, dia berkata:

Rasulullah shallahu’alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya”. [Riwayat Imam al-Nasaei]


9.Merebut peluang dan ruang yang dikatakan waktu mustajab doa pada hari Jumaat.

Ini berdasarkan hadith Abu Hurairah radhiallahu’anh beliau berkata, Rasulullah shallallahu’alaihi wasallam memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda:

Sesungguhnya pada hari Jumaat ada satu saat yang tidaklah bertepatan
seorang hamba muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah melainkan akan diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya waktu tersebut
". (Shahih Al-Bukhari, kitab Da'awaat 7/166. Shahih Muslim, kitab Jumuah 3/5-6)

Di dalam laman web beliau, Ustaz Zaharuddin telah memberi komentar tentang hadith ini:

Waktu yang sesaat itu tidak boleh diketahui secara tepat dan masing-masing riwayat menyebutkan waktu tersebut secara berbeza-beza, sebagaimana yang telah disebutkan oleh Ibnu Hajar di dalam Fathul Bari 11/203. Dan kemungkinan besar waktu tersebut berada ketika saat imam atau khatib naik ke mimbar sehingga selesai shalat Jum'at atau sehingga selesai waktu shalat ashar bagi orang yang menunggu shalat maghrib”.


Demikian antara sunnah-sunnah pada hari Jumaat sepertimana yang diajarkan oleh Baginda Nabi Muhammad al-Musthofa shallallahu’alaihi wasallam kepada kita yang semakin dilupakan dan kurang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat.

Oleh yang demikian wahai sekalian muslim yang budiman, mari koreksi diri kita sejauh mana kita dalam mengamalkan sunnah Baginda. Apakah kita layak menggelar diri kita pengikut sunnah jikalau sunnah Jumaat pun sering diabaikan. Ingatlah, betapa besarnya ganjaran buat mereka yang berpegang teguh kepada sunnah tatkala umat lalai kepadanya.

Semoga bermanfaat buat semua. Wallahua’lam.

Tuesday, August 11, 2009

Aik, Sister In Islam(SIS) Tak Marah Ke?

Kenapa anti-poligami senyap je ni? Tak ada yang bising pun. Feminis pun diam membatu.

Marahla si Dhani ni. Ada ke nyanyi balik lagu P.Ramlee yang kontroversi tu. Nak suruh orang poligami ke hape?

Hehe...owh, ye...kitorang(SIS) marah kalau yang timbulkan tu orang agama je...kalau artis ke, hedonis ke nak cakap pasal poligami kitorang tak kisah la....kitorang OK!

MADU TIGA by Ahmad Dhani

Senangnya dalam hati
Kalau beristeri dua
Terasa dunia ini
Ana yang punya

Kepada isteri tua
Ana sayang padanya
Kepada isteri muda
I say - I love you

Isteri tua merajuk
Balik kerumah isteri muda
Kalau dua-dua merajuk
Ana kahwin tiga

Mesti pandai pembohong
Mesti pandai temberang
Tetapi jangan sampai
Hai pecah tembelang

Saturday, August 1, 2009

Terfikir Tentang ISA


Semalam kumpulan Anti-ISA dan Pro-ISA telah mengadakan demonstrasi jalanan di sekitar Kuala Lumpur. Anti-ISA menuntut supaya ISA dimansuhkan serta-merta sementara Pro-ISA berpendapat sebaliknya.

Ramai rakan saya yang terlibat sama. Saya juga diajak beberapa kali ke sana. Mujur ada tournament futsal semalam untuk dijadikan alasan. Hakikatnya memang saya sudah lama benci dengan demo jalanan.

Saya benci kerana ia lebih mendatangkan mudharat daripada manfaat. Apa kita ini bangsa tunjuk perasaankah? Tak puas hati sikit terus buat demo. Setahu saya itu cara bangsa di negara-negara mundur seperti Pakistan dan Bangladesh.

Atau ini menjadi petanda bahawa wakil rakyat kita tidak menjalankan tugas mereka? Kita tuntut agar ketidak puashatian kita disalurkan dan dibahaskan di dewan rakyat. Diusul dan dibincangkan dengan pemerintah. Tapi apa yang terjadi mereka ini telah gagal, lalu mengheret rakyat jelata untuk menutup kegagalan mereka.

Itu belum lagi berbicara perkara mungkar 'sampingan' yang berlaku semasa demonstrasi seperti meninggalkan solat, ikhtilat lelaki dan perempuan, merosakkan harta benda awam, caci maki dan carutan, mengganggu lalulintas, buang sampah merata-rata, mengutuk pemerintah...(the list goes on). Saya pernah join dulu saya tahulah.

Itu pasal demonstrasi. Jom borak pasal ISA pula.

Saya kira ramai yang sudah tahu akan kedajalan sistem ISA ini. Menangkap orang sesuka hati, yang utama ialah yang mengancam keselamatan negara, lalu dipenjarakan tanpa perbicaraan. Saya adalah antara salah seorang yang anti dengan sistem zalim sebegini. Dalam hal ini saya bersama dengan kumpulan anti-ISA.

Saya setuju kalau sistem ISA mahu dikaji semula. Tetapi untuk memansuhkan terus, itu saya kurang pasti. Bukan apa, saya melihat masih ada sisi-sisi relevan mengapa wujudnya ISA in the first place. Dan saya percaya, semua negara yang bersistem ada akta yang mirip atau hampir mirip dengan ISA ini.

Pertama, saya percaya semua masih ingat peristiwa selepas kemerdekaan di mana ISA digunakan untuk menyekat aktiviti kumpulan pengganas seperti puak komunis. Kumpulan al-Maunah juga menerima habuan yang sama.

Kemudian ia dimanfaatkan lagi ketika aqidah umat dilanda zaman kegelapan apabila tokoh-tokoh kumpulan sesat al-Arqam ditangkap di bawah akta ISA. Saya juga difahamkan ada juga beberapa kes mubaligh syiah turut diseret ke penjara ISA. Saya tidak ada bukti, hanya dengar cakap-cakap orang.

Baiklah, saya yakin dan percaya tidak wajar sama sekali untuk ISA dimansuhkan serta-merta. Di sini saya sertakan beberapa sebab;

1. Ada beberapa kes yang bersangkutan dengan keselamatan negara tidak perlu malah tidak wajar dibicarakan di mahkamah.

Sebagai contoh, seorang penjenayah ditangkap atas kesalahan mencuri dan membocorkan rahsia negara. Apakah kerajaan akan mengheretnya ke mahkamah? Sudah tentu tidak. Ini kerana kalau dibicara di mahkamah, sudah tentu para wartawan dibenarkan membuat liputan. Rahsia kerajaan yang memulanya diketahui oleh hanya dua tiga orang sudah menjadi pengetahuan masyarakat umum.

2. Ada beberapa kes yang masih tidak cukup bukti untuk pesalahnya dibicarakan, tetapi dia ditahan untuk langkah berjaga-jaga demi menjaga kemaslahatan masyarakat umum. Kebiasaannya tentulah ia bersangkutan dengan hal-hal terrorisme.

3. Kes berat yang bersangkutan dengan aqidah, seperti penyebaran dakyah sesat syiah, Ayah Pin, ajaran encik Kahar dan seumpama. Kita mengetahui ada sesetengah negara republik yang mendokong ajaran sesat ini. Jika disebar luaskan penahanan mereka, nescaya akan berlaku pergeseran dahsyat antara Malaysia dan negara-negara terbabit. Untuk mengelakkan ini terjadi, maka penahanan mereka dirahsiakan sementara hubungan Malaysia dengan negara-negara tersebut terus terjalin kukuh.

4. Setiap negara - pada pendapat saya- sangat perlu untuk mengadakan sistem sebagaimana ISA ini. Ini bagi menakut-nakutkan kepala-kepala penjenayah kes berat. Ini termasuklah kongsi gelap, terrorisme, pengedar dadah, dan pencetus racism.

Saya bukanlah pembela ISA. Jauh sekali pro-ISA. Tapi setiap perkara kita perlu fikir baik dan buruk, sambil tidak melebihkan emosi daripada ilmu apabila berbicara tentang sesuatu perkara.

Ayuh, kita berdoa agar apa saja yang diputuskan kerajaan nantinya berkenaan ISA mendatangkan manfaat kepada masyarakat seluruhnya dan lebih penting lagi mendapat keredhaan Allah ta'ala.

Dan Allah Yang Lebih Mengetahui.