Tuesday, December 16, 2008

[SELESAI] Daurah Musim Cuti Ke 5


Pertamanya, syukur yang tidak terhingga kepada Ilahi dengan rahmatNya Daurah Musim Cuti Ke 5 yang diadakan pada 12-14 Disember bertempat di Madrasah Darul Hadis, Brisu, Melaka berjalan dengan lancar dan berjaya. Tahniah dan jutaan terima kasih juga ditujukan buat INTIS selaku penganjur program atas usaha yang murni ini. Moga setiap yang besar dan kecil yang dilakukan mendapat keredhaan Allah jua hendakNya.

Alhamdulillah, selama 3 hari program berlangsung, saya telah menimba ilmu dan pengalaman yang berguna daripada Murobbi-murobbi Sunnah khususnya yang mendukung perjuangan di negeri Melaka ini. Demi sesungguhnya, saya tidak akan menukar nilaian ilmu itu dengan apa sekalipun di dunia ini. Meskipun dengan wang ringgit .

Di sini, suka kiranya saya menceritakan serba sedikit pengalaman berbeza yang ditempuhi sepanjang program singkat tersebut.

Saya sebenarnya agak janggal dengan negeri Melaka ni. Saya masih ingat kali terakhir menjejakkan kaki di sini adalah lebih kurang pada tahun 2003 iaitu kira-kira 5 tahun lepas. Itupun sebab mewakili negeri Selangor dalam latihan pertandingan nasyid. Rasanya tak sampai seminggu. Senang cerita, dah lama tak menjenguk negeri Melaka ni.

Satu perkara menarik yang saya lihat berlaku di negeri ini ialah fenomena dakwah Sunnah itu sendiri. Kalau di tempat-tempat lain, hatta di alam maya sekalipun, selalunya Sunnah dan politik adalah dua terma yang berbeza dan saling berlawanan antara satu sama lain. Kalau orang itu sunnah, mesti tidak masuk politik. Begitulah juga sebaliknya. Dan banyak kes berlaku yang saya lihat dan baca, orang politik selalu saja menjadi penghalang kepada gerakan sunnah di mana-mana.

Namun perkara itu tidak berlaku di Melaka. Bahkan pendukung dan penggerak gerakan sunnah kebanyakkannya terdiri daripada ahli-ahli Pas sendiri. Mereka bukan hanya ahli picisan saja, malah memegang jawatan penting dalam parti tersebut juga. Saya katakan demikian merujuk kepada dua personaliti yang tidak asing bagi komuniti sunnah di Melaka, iaitu Ustaz Muhammad Yatim dan Ustaz Minghat.

Ketika berborak selepas kuliah, seorang pendukung sunnah memberikan pendapat bahawa dakwah sunnah sangat memerlukan kepada platform yang lebih kukuh iaitu platform politik. Beliau menceritakan dakwah sunnah selalu ditekan di negeri ini. Kuliah mereka digam di masjid-masjid qariah. Imam sunnah dilucutkan jawatan. Oleh itu, dengan menggunakan platform politik, mereka bebas menggunakan markaz-markaz tarbiyah untuk melaksanakan aktiviti kuliah dan sebagainya.

Betapa saya sedar ketika itu kebijaksaan memainkan peranan penting dalam usaha dakwah ini. Sebenarnya dakwah sunnah menggunakan platform politik bukan perkara baru. Cuma di sesetengah negeri mungkin parti politik lain yang digunakan. Tak kisahlah, asalkan ia membawa keuntungan untuk dakwah, maka ia diteruskan. Yang penting, dalam pendirian kita, kehendak agama Islam itu didahulukan sebelum kehendak parti. Bukannya parti yang mendahului seperti yang kita lihat di kebanyakan tempat.

Kuliah dasar 1 dimulakan oleh Ustaz Arif Nazri. Beliau mula agak lewat kerana terpaksa berkejar dari Bandar Baru Bangi. Penyampaian beliau hari itu tidak ubah seperti yang biasa saya lihat sebelum-sebelum ini. Lantang, bertenaga, sinis, dan direct. What a typhical Ustaz Arif.

Kuliah beliau mengupas tajuk "Asyairah di sisi ASWJ". Walaupun saya sudah agak jelas akan tajuk itu sebelum ini, tapi ia agak penting juga untuk mengetahui bagaimana kita mahu berinteraksi dengan golongan ini. Kuliah beliau jelas, mudah difahami. Namun tidak dinafikan ada juga yang masih 'blur' dengan tajuk ini. Terutama untuk budak-budak baru yang kurang biasa dengan term-term baru seperti tasybih,tafwidh, tamsil, dan tahrif.

Seterusnya saya tertarik dengan kuliah dasar 2: Bagaimana berinteraksi dengan Sunnah oleh Ustaz Adli iaitu seorang hero kepada Ustaz Minghat. Selain bercerita mengenai manhaj al-Quran dan al-Sunnah menurut fahaman salafussoleh, beliau turut mengupas tentang isu-isu semasa. Contohnya beliau turut mengupas penganugerahan Datuk kepada Shah Rukh Khan tempoh hari. Beliau terkilan bagaimana seorang yang mengatakan Allah zalim dalam salah satu filemnya boleh diiktiraf sedemikian rupa. Nampaknya beliau berkongsi pendapat dengan saya dalam isu ini.

Saya difahamkan ustaz kurang bersedia untuk kuliah tersebut akibat kurang sihat. Tapi saya mendapati kuliah ustaz agak memberangsangkan ditambah dengan kelancaran beliau menghafal potongan ayat al-Quran, hadis, dan segala macam definisi syarak menurut ulama'. Dalam bab ni memang saya salute. Namun itu tidak menghalang untuk saya berbeza pendapat dengan beliau tentang pemakaian jeans seperti yang diutarakan. Bagi saya, para da'i memerlukan identiti sendiri, dan jeans bukanlah identiti yang sesuai untuk mereka. Wallahua'lam.

Sebelah malam hari kedua, program diteruskan dengan sebuah forum bertajuk "pendakwah bermasalah". Kali ini panel terdiri daripada Ustaz Rahim dari UiTM Melaka dan Ustaz Khairil(bukan ejaan sebenar) dari felda Negeri Sembilan. Saudara Ezry pula bertindak sebagai moderator. Forum dihiasi dengan kisah pengalaman kedua-dua Ustaz dalam menempuh ujian dakwah di negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Yelah, kita pun tahu dua negeri ini memang pekat dengan kesufian mereka.

Pada hemat saya, forum ini kurang membicarakan konsep dakwah secara lebih meluas. Mungkin ada baiknya, agar peserta lebih ditumpukan kepada dakwah untuk menghapuskan bid'ah secara bijaksana. Seringkali saya mendengar, dan saya sendiri alami, bahawa pendakwah salafi selalu saja tersasar dalam penyampaian dakwah mereka kepada mad'u. Melalui forum ini, peserta didedahkan dengan pelbagai teknik dan contoh dakwah secara bijaksana. Lagi-lagi untuk mad'u yang tegar malah penentang kepada sunnah itu sendiri. InsyaAllah, pengalaman ustaz-ustaz ini boleh diadaptasi di tempat-tempat para peserta pula.

Pada keesokan hari iaitu hari Ahad, kuliah subuh disampaikan oleh Ustaz Muhammad Yatim. Subhanallah, hebat orangnya. Awal-awal pagi lagi beliau sudah tercegat di pintu madrasah. Walaupun beliau sedang sakit dan bertongkat, itu langsung tidak menghalang beliau untuk terus komited dengan perjuangan menyebarkan ajaran agama yang suci ini. Apa yang lebih hebat, saya difahamkan beliau adalah seorang ayah kepada 18 orang anak! Fuhh, hebat tu...

Kuliah beliau memang menarik. Saya tak ingat tajuk buku yang beliau rujuk, tapi ia menceritakan tentang sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Betapa beliau mengupas bahawa Rasulullah bukanlah seorang yang garang dan masam orangnya. Baginda seorang yang lembut dan pandai bergurau. Malah baginda menganjurkan untuk bermuka manis walaupun ditimpa kesusahan dan tekanan. Sebab itu saya agak pelik, mengapa perlu seorang muslimah yang terlibat dengan gerakan dakwah bercakap dengan lelaki seperti seorang warden penjara! Ini saya lihat bertentangan sekali dengan adab yang diajar Rasulullah.

Kemudian kuliah dasar 4 diteruskan pada sesi pagi oleh Ustaz Minghat iaitu Ketua Jawatankuasa kebajikan Pas Negeri Melaka. Tajuknya best - Fiqh Daulah. Sepatutnya Ustaz Muhammad Yatim yang beri kuliah, namun atas faktor kesihatan beliau tidak sempat bersedia. Walaupun bertindak selaku bidan terjun, Ustaz Minghat tetap memberi kuliah dengan lantang dan bersemangat. Tidak ada langsung kesan menunjukkan usia beliau sudah lanjut, sedangkan saya difahamkan usia beliau sudah mencecah umur 63 tahun!

Kuliah beliau dimulakan dengan ustaz memberi 'timeline' sejarah politik di Malaysia. Juga yang menjadi poin penting, apakah pandangan Islam mengenai demokrasi. Mengapa juga demokrasi bercanggah dengan politik Islam. Ustaz juga ditanya pelbagai soalan panas seperti bertasammuh(toleransi) dengan pihak sekular dan kuffar. Satu poin yang sempat aku salin, juga tidak kurang pentingnya iaitu politik ibarat peperangan. Peperangan merupakan tipu daya. Kalau mahu menang, anda harus melancarkan tipu daya. Cumanya apakah bentuk tipu daya yang dibenarkan itu yang menjadi persoalan...

Ustaz Minghat juga mengambil slot pada sebelah malam. Asalnya ia adalah kuliah maghrib(Riyadhus Soliheen), tapi digantikan dengan kuliah dasar 5: Menggapai Keluarga Islami. Ustaz menjelaskan, Islam mengajurkan agar mencari pasangan yang baik pemahamannya tentang Islam dan berakhlak. Dengan demikian, kedua pasangan tahu apa tanggungjawab mereka dalam rumahtangga. Suami perlu menjaga nafkah, dan isteri wajib mentaati suami. Ustaz juga membawa kisah-kisah para zaman anbiya' dan sahabat yang mulia.

Menariknya juga, ustaz menekankan peri pentingnya mencari pasangan yang memahami sunnah. Perkara ini sebenarnya pernah diutarakan oleh Ustaz Asri(mantan mufti Perlis) sendiri pada perjumpaan dengan geng-geng AFN tempoh hari. Ustaz sangat bersetuju kiranya komuniti sunnah menubuhkan Baitul Muslim agar dapat disatukan dua jiwa yang memahami sunnah. Perkara ini sudah dibincangkan, dan ia membawa kepada tertubuhnya Baitul Muslim di al-Fikrah.net. Sesiapa sudah bersedia untuk mendirikan rumahtangga, disyorkan untuk menyertai komuniti tersebut.

Daurah kali ini agak pelik kerana diakhiri pada sebelah malam. Pada jam lebih kurang pukul 11, peserta dan faci berkumpul untuk sesi resolusi. Para faci dengan dibantu oleh Ustaz khairil dihujani dengan pelbagai soalan-soalan yang mudah dan susah. Saya juga sempat mencelah di tengah perbincangan dengan menjawab salah satu soalan berkenaan cara berzikir yang diajar oleh al-Quran dan al-Sunnah. Saya terangkan bahawa yang dimaksudkan dengan berzikir secara sirr(sembunyi) itu bukanlah membaca di dalam hati. Ia juga perlu disebut oleh lidah. Kalau tak masakan nabi cakap tentang lidah yang basah kerana zikir. Senang cerita, zikir itu adalah dengan kadar didengari oleh telinga sendiri. Saya juga memberi mereka ayat-ayat al-Quran sebagai rujukan agar boleh juga mereka rujuk sekembalinya di tempat masing-masing.

Resolusinya, saya mendapati daurah kali ini sangat berjaya dalam memberi kefahaman kepada para peserta tentang manhaj salafussoleh dan dapat melebarkan lagi jaringan ukhuwah di antara pendukung dan penggerak sunnah dari seluruh pelusuk tanahair. Semoga ilmu ini dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan kepada Allah Jalla wa'ala dan mendapat keberkatanNya. Ameen.

Sekian,
Abu al-Ameen Hasan Firdaus Bin Mohd Zaki

***Gambar-gambar boleh dilihat di blog Masri, Ezry, dan Arif. Lupa bawa kamera daa...

No comments:

Post a Comment