Thursday, December 4, 2008

Mari Menilai Semula Perubatan Islam

Seperti sudah menjadi 'kata sepakat' di kalangan rakyat Malaysia, apabila berkata tentang perubatan Islam, perkara yang akan terbayang tentunya air-air jampi,atau kismis minda,habbatus sauda',atau air za'faran yang ditulis dengan ayat-ayat suci al-Quran menggunakan pinggan putih.Sesetengah yang lain pula taksub dengan aktiviti berbekam,sambil menghulurkan beberapa keratan hadis sebagai sokongan.Kata kebanyakan mereka, "bagaimana penyakit mahu sembuh, kalau amalan sunnah pun tak nak ikut!"

Adakah benar fahaman yang sebegini?

Mari kita diskusi bersama...

Kita sedia maklum,sebagai seorang Muslim bahawa penyakit itu datang dalam dua bentuk iaitu zahir(fizikal/jasmani) dan batin(rohani/penyakit hati).Ini dijelaskan oleh dalil-dalil berikut:

Tentang anjuran perubatan fizikal, Usamah bin Syuraik menjelaskan bahawa segolongan orang Arab pernah bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kata mereka:

"Wahai Rasulullah adakah kami boleh berubat? Baginda menjawab: "Berubatlah kamu, kerana Allah ‘azza wajalla tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua."

(HR Abu Daud, dinilai sahih oleh al-Albani, sahih al-Jaami' 2930) juga versi yg sama dalam Bukhari-Muslim)

Penyakit kedua ialah penyakit 'dalaman' atau disebut di dalam al-Quran sebagai penyakit hati.Ini seperti firman Allah:

"Dalam hati mereka ada penyakit,lalu Allah menambah penyakitnya..." (al-Baqarah:10)

Masalah Penggunaan Istilah


Dalam menyikapi isu ini,satu perkara yang wajib disentuh ialah masalah istilah 'perubatan Islam' itu sendiri. Timbul persoalan yang agak penting, mengapa perlu dinamakan dengan nama Islam?Ini kerana,ia seolah-olah menunjukkan bahawa hanya ada satu jenis perubatan yang diiktiraf oleh Islam, sedang yang selainnya ialah 'perubatan kafir' belaka. Seolah-olah begitu. Sebab lawan Islam ialah kafir. Kalau bukan Islam,selainnya mestilah kafir,bukankah begitu?

Kita wajar melihat perkara ini secara serius kerana orang yang menggunakan istilah 'perubatan Islam' ini mempertaruhkan maruah dan imej Islam.Apa akan jadi kiranya pada satu hari terbukti kaedah-kaedah perubatan yang digunakan mereka tidak berkesan bahkan memudaratkan pula?Apakah pandangan orang bukan Islam terhadap Islam ketika itu?Tentulah Islam yang dipersalahkan. Lebih-lebih lagi tokeynya dari kalangan mereka yang bersongkok dan memegang title 'ustaz'.Ini lebih bahaya lagi.

Adalah lebih molek sekiranya digunakan terma-terma yang lain yang sesuai seperti 'perubatan alternatif','perubatan tradisional' atau paling tidak 'perubatan Islamik'.

Begitu juga yang lainnya,saya tidak bersetuju dengan istilah 'universiti Islam','kereta Islam', bahkan 'parti Islam'.Apabila disandarkan sebegini,imej Islam menjadi pertaruhan.Sebagaimana cacatnya istilah 'Islam hadhari',begitulah juga cacatnya istilah-istilah tersebut.

Perubatan Islam vs Perubatan Moden?

Ketahuilah bahawa agama Islam ini tertegak dengan bukti(dalil) dan hujah.Dalam agama,tiada ruang untuk perkara-perkara karut dan berdasarkan sangkaan semata-mata. Setiap sesuatu mesti didatangkan bukti yang sahih lagi jelas(sarih).

Jika kita lihat dari sudut itu,maka kita dapati Islam membenarkan malah meraikan kewujudan ilmu sains. Demikian kerana definisi sains itu sendiri "ilmu pengetahuan yg dibuktikan melalui penyelidikan dan eksperimen". Nah,justeru mengapa ada pihak yang mengaku Islam pula memusuhi sains atau dalam konteks ini - perubatan moden? Seakan-akan perubatan moden itu dinisbahkan kepada perubatan yang sekular dan 'kebaratan' lalu ditolaknya mentah-mentah.Bukan sesuatu yang pelik melihat orang Melayu Islam yang berkeras tidak mahu ke hospital!

Saya secara peribadi berasa sangat marah kepada golongan yang mengatakan perubatan moden sebagai 'tidak Islamik'. Itu belum lagi ditanya doktor-doktor Muslim bagaimana perasaan mereka. Sedangkan kita sedia maklum betapa mereka ini bertungkus-lumus memerah otak pada zaman belajarnya, kerja teruk ketika bergelar HO, kemudian elaun yang tidak seberapa. Tiba-tiba tidak diiktiraf oleh golongan agama! Amatlah malang keadaan ini. Boleh jadi bakti yang ditaburkan para doktor ini lebih besar daripada golongan yang asyik dok menjaja kismis mindanya seusai habis ceramah politik!

Saya tertarik dengan komen seorang sahabat berkenaan isu ini. Katanya:

"Cuma yang kita risaukan dari rawatan alternatif yang tidak mempunyai bukti sokongan yang saintifik, lantas pesakit akan mendapatkan rawatan dengan menyandarkan pergantungan mereka untuk sembuh kepada suatu perkara yang tidak pasti, apatah lagi ianya bersifat bersifat mistik, tahyul yang akhirnya membawa kepada syirik dan khurafat. Lebih menakutkan lagi, terdapat rawatan yang asalnya dari amalan agama lain dan mempunyai perlambangan erat dengan agama itu. Maka, berhati-hatilah demi menjaga Aqidah kita.

Sesungguhnya sikap kita sebagai Muslim sejati, dalam memastikan keteguhan pegangan Aqidah dan kemurniaan ibadah kita, kita tidak boleh sewenang-wenangnya menerima atas sangkaan semuanya baik ataupun mengikut tanpa usul periksa. Firman ALLAH;

وَمَا لَهُم بِهِ مِنْ عِلْمٍ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنَّ الظَّنَّ لَا يُغْنِي مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا (28) سورة النجم
“Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuanpun tentang itu. mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan sedang Sesungguhnya persangkaan itu tiada berfaedah sedikitpun terhadap kebenaran.”(An-Najm, 28)" (rujuk Fiqhmedic)

Dan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda:

"Kebaikan itu adalah apa yang menenangkan hati dan dosa adalah apa yang menggelisahkan hati. Maka tinggalkanlah apa-apa yang meragukanmu menuju kepada apa-apa yang tidak meragukanmu". (Jami' Bayan Al-Ilmi 2/80-81)

Perubatan Moden Pada Zaman Rasulullah

Sesungguhnya junjungan besar Rasulullah bukanlah seorang yang jumud yang hanya berbekam dan menelan madu ketika ditimpa kesakitan.Banyak riwayat yang menunjukkan baginda juga menggunakan perubatan moden pada zamannya.

Antaranya kisah Ummul Mukminin 'Aisyah r.a yang pakar dalam perubatan. Para sahabat hairan bagaimana mungkin perkara itu terjadi. Kalau 'Aisyah pakar dalam syair atau bidang hadith,itu tidaklah menghairankan kerana beliau isteri Rasulullah. 'Aisyah berkata(dari Ibn Abbas r.a):

"Sesungguhnya Rasulullah saw ditimpa pelbagai penyakit, lalu ahli perubatan Arab dan A'jam(bukan arab) berkunjung kepadanya." (HR Bukhari)

Juga dari 'Aisyah ra beliau berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah saw ditimpa pelbagai penyakit pada akhir hayatnya, dan ramai orang datang berkunjung dari pelbagai penjuru, mereka meramu pelbagai jenis ubat, dan saya sendirilah yang melaksanakan pengubatan itu" (al-Zahabi,Siyar A'alam Al-Nubala)

Jika Rasulullah pun mengiktiraf kepakaran doktor-doktor perubatan pada zaman Baginda, mengapa tidak kita?

Defini Perubatan Islam

Setelah kita jelas akan hakikat ini, baru kita boleh menyusun definisi yang betul untuk 'perubatan Islam'. Bukanlah yang dikatakan perubatan Islam itu hanya yang berkaitan jampi(ruqyah) semata-mata, atau yang selainnya seperti yang selalu kita lihat di ruang iklaneka, tetapi ia merupakan satu terma yang lebih luas daripada itu.

Ia tidak memusuhi perubatan moden, malah perubatan moden itu adalah sebahagian perubatan Islam sendiri. Betapa Islam ini syumul, ia meraikan apa-apa yang mendatangkan kebaikan samada ia timbul dari kesan budaya,perubahan zaman, mahupun kemajuan ilmu pengetahuan. Maka disini kita mengetahui, perubatan moden yan diusahakan oleh para doktor itu juga merupakan perubatan Islam dan bukan perubatan sekular seperti yang diketengahkan oleh sebahagian orang.

Adapun pendukunan, pembomohan, dan kepawangan jika ia mengandungi unsur-unsur syirik seperti mantera, tangkal, pemujaan roh, dan selainnya maka ia bukanlah termasuk dalam definisi perubatan Islam walaupun diberi label sedemikian. Tambahan pula ia mendapat laknat yang besar daripada Allah dan rasulNya. Saya menyeru agar anda semua berhati-hati dengan gejala syirik ini dan ingatilah sabda Rasulullah:

"Barangsiapa yang mendatangi tukang ramal (kahin) dan membenarkan apa yang dikatakan olehnya, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang di turunkan kepada Muhammad" (HR Abu Daud)

Akhirnya,dapat kita menyimpulkan definisi sebenar perubatan Islam:

"Apa sahaja jenis dan prosedur perubatan yang mendatangkan manfaat selagi tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ia adalah perubatan Islam, termasuklah apa sahaja yang berkaitan dengan perubatan rohani dan jasmani"

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment