Saturday, August 16, 2008

Nota Kuliah Agama - 16-08-08

Tajuk : Kitab Pengurusan Jenazah Oleh Nasiruddin al-Albani
(Bab Ghuslu al-Mayyit/ Mandi jenazah)
Penceramah : Ustaz Arif Nazri (Pensyarah UKM, PhD di UIA)
Tarikh : 16 Ogos 2008 (Sabtu)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay

Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Kita memujiNya, kita meminta pertolongan daripadaNya, dan kita memohon keampunan daripadaNya. Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah tiada siapa yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah tiadalah siapa jua yang boleh memberi hidayah kepadanya.

Maka sesungguhnya sebenar-benar bicara ialah Kitabullah(al-Quran). Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad s.aw. Seburuk-buruk perkara ialah perkara baru yang diada-adakan di dalam agama. Setiap perkara baru yang diada-adakan itu ialah bid'ah, setiap bid'ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu di dalam neraka.

Intro

Telah disebutkan dalam kelas yang lalu bahawa pengurusan jenazah ialah Fardu Kifayah. Terdapat sebuah hadith yang menggunakan fi'il amar(ayat suruhan) agar setiap umat Islam menguruskan jenazah. Di dalam penentuan hukum, penggunaan fi'il amar membawa makna yang besar iaitu wajib. Namun harus difahami bahawa sesuatu perkara menjadi wajib sekiranya dalil yang menunjukkan wajib berdiri dengan sendirinya. Ini tidak berlaku dalam hal pengurusan jenazah. Hadith yang menunjukkan wajib itu telah dimansuhkan oleh sebuah hadith yang lain dimana Rasulullah menyuruh hanya sebahagian umat Islam(Taifah minan nas) yang wajib menguruskan jenazah. Maka tidak syak lagi bahawa Ulama ahli sunnah menghukumnya sebagai Fardu Kifayah sahaja, bukan fardu ain.

Apabila disebutkan pengurusan jenazah ialah Fardu Kifayah, ini secara tidak langsung membawa erti bahawa ia adalah suatu ibadah didalam Islam. Oleh itu, tidak patut untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan mengkomersilkan hal-hal pengurusan jenazah untuk mengaut keuntungan duniawi-seperti yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kita hari ini. Di samping itu, apabila dikatakan ia suatu ibadah, tidak dapat tidak ia tidak boleh lari daripada petunjuk Sunnah. Sebagaimana yang Rasulullah lakukan, begitulah kita sebagai umatnya yang beriman mengikuti setiap perilaku Baginda yang agung.

Satu hal yang perlu diingat dalam bab memandikan jenazah, ia merupakan satu ibadah yang sangat mudah dan ringkas. Sesiapa sahaja boleh melakukannya. Lelaki atau perempuan. Tiada juga bacaan-bacaan khas ketika memandikan jenazah melainkan kesemuanya tidak thabit daripada Rasulullah. Tidak patut untuk seorang Muslim yang mengaku mencintai Rasulullah tiba-tiba berpaling dalam melakukan ibadah lalu ia mengikuti yang selain Baginda. Dalam sunnah peninggalan Baginda terdapat banyak riwayat tentang pengurusan jenazah maka dalam hal ini kita menyebut "kami dengar dan kami patuh".

Mandi Jenazah

Antara poin – poin yang sempat disalin tentang mandi jenazah adalah seperti berikut:

· Kaedah mandi jenazah yang akan dikemukakan berdasarkan hadith Rasulullah yang memberi arahan kepada orang yang mahu memandikan Zainab tentang tatacara yang betul dalam memandikan mayat.

· Mandi jenazah seperti juga mandi wajib. Diratakan air keseluruh anggota badan.

· Mandikan di tempat yang tertutup. Bukan seperti sesetengah masyarakat yang memandikan jenazah di ruang tamu. Ini bermaksud untuk menutup aib si mati.

· Mandikan selang-seli antara air mutlak dengan air yang dicampur daun bidara(atau yang sebanding dengannya seperti sabun dan haruman).

· Bilangan mandi : 3 kali atau lebih secara ganjil(witr).

· Basuhan terakhir campur dengan kapur barus.

· Untuk mayat perempuan yang bersanggul, dibuka sanggulnya dan diikat kembali dan dijadikan 3 sanggul/tocang. Demikian menurut hadith sahih.

· Mulakan dengan anggota sebelah kanan terutama anggota wudhu’ (sebab itu jumhur ulama’ berhukum bahawa mayat yang dimandikan tidak perlu lagi diwudhu’kan).

· Setelah dibuka pakaian, ganti dengan kain yang lain untuk menutup aurat. Mandikan diatas sehelai kain lagi agar tertutup pandangan orang yang memandikan daripada melihat aurat si mati. Dikecualikan untuk membasuh anggota yang benar-benar perlu dilihat.

· Lelaki memandikan lelaki. Perempuan memandikan perempuan.

· Suami boleh memandikan isteri. Begitu juga isteri boleh memandikan suami. Dalam keadaan demikian, tiada lagi aurat antara keduanya. Tidak perlu ditutup dengan kain. Tapi disyaratkan juga agar suami/isteri memandikan mayat seorang diri.

· Ini berdasarkan azam Ummu Abdillah Ummul Mukminin Saidatina Aishah yang mahu memandikan sendiri Rasulullah. Tapi disebabkan terdapat lagi jejaka-jejaka kental pada masa itu maka jenazah nabi diuruskan oleh Saidina Ali dan para sahabat yang lain.

· Juga berpandukan azam Rasulullah yang bersabda kepada Aishah bahawa jika Aishah menemui ajal terlebih dahulu daripada Rasulullah, Baginda sendiri yang akan menguruskan jenazah Aishah. Namun takdir Ilahi menentukan perkara itu tidak berlaku.

· Perlu diberi perhatian,orang yang memandikan jenazah mestilah orang yang paling arif tentang sunnah seperti contoh Ali yang ternyata sangat arif tentang sunnah kerana beliau dibesarkan dalam bait al-nubuwwag(rumah kenabian).

· Pahala besar untuk orang yang memandikan jenazah. Dengan syarat:

a) Menutup segala aib – bukan seperti orang yang tidak bertanggungjawab membuka aib seperti dalam majalah-majalah picisan seperti Mastika.

b) Mengharapkan redha Ilahi – Iaitu tidak mengharapkan pujian insan dan tidak juga mengharap akan intensif dunia.

· Disunnahkan untuk yang memandikan untuk mandi juga setelah selesai. Jika tidak, cukuplah dengan membasuh tangan.

Untuk mendapatkan dalil-dalil untuk setiap poin di atas, anda disarankan untuk memiliki sendiri buku "Hukum dan Tata Cara Mengurus Jenazah Menurut al-Quran dan al-Sunnah" karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah. Wallahua'lam.

Semoga bermanfaat.


No comments:

Post a Comment