Sunday, November 28, 2010

"Ayat Ini Ditujukan Kepada Orang Kafir, Bukan Kami!"

"Ikutilah 'aqidah majoriti umat. Sebab 'aqidah orang ramai itulah 'aqidah yang benar," kata seorang ustaz sebagai penutup kelas 'aqidah pada hari itu.

"Maafkan ana, ustaz. Nampaknya kesimpulan ustaz tu seperti bercanggah dengan apa yang dinyatakan dalam al-Quran. Cuba ustaz tengok ayat ni..." jawab seorang pemuda dalam keadaan keliru lantas membaca sepotong ayat al-Quran yang dihafalnya.


وَإِن تُطِعۡ أَڪۡثَرَ مَن فِى ٱلۡأَرۡضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِ‌ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّ وَإِنۡ هُمۡ إِلَّا يَخۡرُصُونَ

Dan jika kamu menuruti majoriti yang di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta (terhadap Allah).

"
Ah, inikan ayat yang merujuk kepada orang kafir?! Yahudi dan nasrani! Astaghfirullah!" tempelak sang ustaz sambil menyuruh pemuda tersebut merujuk dalam Tafsir al-Jalalain, sebuah kitab yang dimasukkan dalam silibus akademik di tempat pengajiannya di Darul Quran.

Tanpa membuang masa, cepat saja pemuda itu bergegas mendapatkan Tafsir Jalalain di rak buku. Helaian kertas diselak demi mencari penafsiran ayat 116 Surah al-An'aam tersebut. Setelah meneliti tafsir tersebut, pemuda itu berkata,

"Wah, betullah al-fadhil ustaz cakap. Memang ayat ni bincang pasal orang kafir. Tak patut betul aku guna ayat ni untuk orang Islam pulak"

******************************************************************************
Demikian anekdot rekaan antara seorang ustaz dan anak muridnya berkaitan wajibnya mengikuti 'aqidah yang dipegang oleh majoriti umat Islam.

Dalam anekdot ini, ustaz yang 'alim itu mengingatkan agar jangan menggunakan dalil-dalil yang ditujukan kepada orang kafir, digunakan ke atas orang Islam. Watak ustaz tersebut sebetulnya merujuk kepada sebahagian ustaz di Malaysia menggunakan kaedah yang sama ketika berhujah. Samada melalui artikel mereka di akhbar atau video mereka di Youtube.

Namun, adakah kaedah ini benar menurut neraca ilmu berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah?

Kita lantas bertanya beberapa persoalan dasar:

  1. Apakah sebahagian ayat al-Quran ini tidak bermanfaat buat umat Islam kerana ia sebenarnya ayat berkaitan golongan kuffar?
  2. Adakah tiada langsung ulama' yang berhujah terhadap orang Islam menggunakan ayat al-Quran yang merujuk kepada orang kafir?
  3. Adakah benar dakwaan sebahagian ulama di Malaysia bahawa orang yang asyik menggunakan dalil yang merujuk kepada orang kafir sebagai hujah ke atas orang Islam sebenarnya berniat mahu mengkafir dan menyesatkan mereka?
Persoalan-persoalan di atas dapat dijawab dengan kita merujuk bagaimana sifat penghujahan ulama' daripada kalangan salaful ummah (para sahabat, tabi'in, dan tabi' tabi'in). Kita sama-sama insaf bahawa dalam medan ilmu agama, mereka inilah jaguh sebenar dan merekalah pula yang paling memahami agama ini jauh lebih hebat daripada mana-mana ulama di zaman ini.

Sekarang mari kita lihat dua orang sahabat besar yang menggunakan dalil yang ditujukan buat orang kafir, tapi digunakan sebagai hujah dalam menerangkan beberapa perkara kepada umat Islam. Agar kita tahu, bahawa para sahabat radhiallahu 'anhum juga mengingkari kaedah rekaan yang digunakan oleh sebahagian ustaz yang kurang bertanggungjawab dalam mendatangkan hujah syarak. Semoga hidayah Allah sentiasa tertumpah buat kita semua.

Dalil 1

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Hudzaifah bahawa ia melihat seorang lelaki yang di tangannya ada benang untuk mengubati penyakit panas, maka dia putuskan benang itu seraya membaca firman Allah:

وَمَا يُؤۡمِنُ أَڪۡثَرُهُم بِٱللَّهِ إِلَّا وَهُم مُّشۡرِكُونَ

Dan sebahagian besar daripada mereka tidak beriman kepada Allah melainkan (dalam masa yang sama) mempersekutukanNya (dengan sembahan yang lain)


Ayat ini diturunkan adalah untuk memberitahu sifat orang musyrikin yang dalam pada mereka percaya kewujudan dan kebesaran Allah, mereka tetap pula mahu menyembah dan berdoa dengan selain Allah. Ini sebagaimana yang diterangkan oleh Sheikh Soleh Bin Abdul Aziz Alu Sheikh dalam kitab beliau bertajuk Kifayah al-Mustazid Bi Syarhi Kitab al-Tauhid:

"berkata al-Salaf (generasi awal umat Islam) dalam menafsirkan ayat { وَمَا يُؤۡمِنُ أَڪۡثَرُهُم بِٱللَّهِ} membawa maksud yang diimani di sini ialah Allah sebagai Rabb, Pemberi Rezeki, Menghidupkan dan Mematikan, iaitulah tauhid rububiyyah, (sementara sambungan ayat) {إِلَّا وَهُم مُّشۡرِكُونَ}-kecuali mereka juga akan menyekutukanNYA - adalah dalam beribadah. Dan tidaklah tauhid rububiyyah mencukupi melainkan perlu juga tauhid dalam perkara ibadah (uluhiyyah)."

Jelas sekali dalam hadith di atas, sahabat nabi yang mulia, Hudzaifah RadhiaLlahu 'anh telah menggunakan ayat al-Quran dalam surah Yusuf ayat 106 demi menegah seseorang daripada melakukan syirik dengan memakai benang yang disangka dapat mengelak daripada penyakit demam.

Apakah sahabat nabi ini terlalu jahil sehingga sanggup menggunakan ayat al-Quran yang berkaitan dengan orang kafir demi berhujah dengan orang Islam yang melakukan syirik?

Tidak! bahkan orang yang mengingkari itulah mereka yang jahil.

Jika atsar di atas masih tidak mencukupi, ayuh kita lihat apa yang dilakukan oleh seorang sahabat pakar tafsir al-Quran, Abdullah Ibn Abbas radhiaLlahu 'anh.

Dalil 2

Dalam Tafsir al-Quran al-Azhim karangan Imam Ibn Kathir, ketika menafsirkan ayat 22 Surah al-Baqarah, beliau telah mendatangkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas yang mentafsirkan surah yang sama. Kata beliau(Ibn Abbas):

"Sehubungan dengan firmanNya {
فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادً۬ا} (yang bermaksud: "Maka janganlah mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah"). Istilah "andaada" ialah mempersekutukan Allah, syirik itu lebih samar daripada semut yang merayap di atas batu hitam dalam kepekatan malam. Dan ia (contohnya seperti) berkata "demi Allah dan demi hidupmu wahai Fulan dan demi hidupku!". Termasuk juga kata-kata seperti "Kalau bukan kerana anjing ini, mesti pencuri akan masuk semalam" dan (atau) "kalaulah itik ni tak ada di rumah, mesti pencuri masuk""

Lihatlah bagaimana sahabat yang didoakan nabi agar menjadi faqih (pakar) dalam bidang tafsir al-Quran, menggunakan sebuah ayat yang ditujukan untuk orang kafir sebagai hujah dalam rangka menerangkan makna sebenar syirik atau menyekutukan Allah.

Apakah beliau 'tersilap' dan mengingkari sebahagian ustaz-ustaz di Malaysia dalam mendatangkan hujah?

Bahkan ketiga-tiga soalan yang dikemukakan di awal tulisan sudahpun terjawab. Dan semoga kita semua melapangkan dada kita menerima hujah daripada al-Quran dan al-Sunnah, sekalipun berbeza dengan fahaman kebanyakan manusia di muka bumi ini. Seluruh ayat al-Quran adalah untuk difahami dan dihayati, bukannya diambil sebahagian dan ditolak sebahagiannya yang lain.

Dan Allah lebih mengetahui.

--------------------------------------------
Rujukan:

1) Tafsir al-Quran al-Azhim li Ibn Kathir Juzu' 1. Edisi PDF.

2) Tafsir al-Quran al-Azhim li Ibn Kathir.

3) Tafsir al-Jalalain.

3) Kifayah al-Mustazid bi syarhi Kitab al-tauhid li Solih bin Abdul Aziz Alu Sheikh.

4) Kitab al-Tauhid li Muhammad al-Tamimi.



*Sebahagian rujukan dalam bahasa Arab saya terjemahkan secara bebas menurut ilmu Bahasa Arab saya yang terhad. Ini adalah salah satu usaha saya memperbaik dan menggilap semula kemahiran Bahasa Arab, sehingga saya ketahui pasti ada kesalahan yang dilakukan di sana-sini. Sebarang pembetulan, cadangan dan kritikan saya alu-alukan dan sila emelkan kepada saya di antikent86@gmail.com