Tuesday, September 28, 2010

Beberapa Catatan Tentang Walimatul Urus

Huh, penangan kenduri dan open house memang memenatkan. Kombinasi antara 'bulan Raya' dan 'musim mengawan' memang bukan kombinasi yang menarik buat student final year. Sebab itu bermakna projek FYP akan tergendala dengan cemerlangnya!hehe

Alhamdulillah, beberapa minggu ni banyak kenalan yang melangsungkan perkahwinan. Malah untuk minggu-minggu mendatang ni pun terlalu banyak jemputan untuk dipenuhi. Baguslah untuk kalian, separuh agamamu sudah sempurna.

Di kesempatan ini diucapkan tahniah dan Selamat Pengantin Baru buat my cousin-cum-best friend, Muhammad Idris Bin Che Mahzan yang melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan yang juga my schoolmate, Nurul Izzah Binti Hj Idris. Semoga pernikahan ini diberkati olehNYA. Amin.

Bersempena dengan itu juga, ada beberapa perkara berkaitan walimah al-Urus yang perlu disentuh agar menjadi pedoman di masa hadapan. Mungkin sesetengah perkara agak sensitif dan sebahagian orang mungkin terasa. Perkongsian ini bukan untuk merendahkan mana-mana pihak, tapi sebagai muhasabah bersama dan agar amalan kita bertepatan dengan apa yang diajarkan di dalam sunnah.

1) Mahar/ Maskahwin (dan hantaran) terlalu tinggi

Ini biasanya berlaku di pihak keluarga wanita ataupun mertua pengantin lelaki. Ada yang saya jumpa mengenakan maskahwin+hantaran sehingga RM 15,000 untuk pihak lelaki yang masih di bangku pengajian! Kalau si lelaki eksekutif syarikat mungkin lain cerita.

Di mana perginya rasional? Apa mereka tak pernah terfikir ini mesti akan membebankan pihak lelaki? Yuran pengajian pun masih ditanggung, dipaksa pula membayar maskahwin yang terlalu tinggi?

Dukacita ada ibubapa yang begitu jumud ketika menyukarkan perkahwinan anaknya, tapi begitu longgar tatkala anaknya itu dibawa kehulu ke hilir oleh lelaki bukan mahram.

Agaknya peraturan maskahwin sebelum ini yang guna kaedah "floor rate" perlu diganti dengan "ceiling rate" pula!

“Pernikahan yang paling besar keberkatannya ialah yang paling mudah maharnya.” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam Musnadnya, no. 24595)



2) Tabarruj. Wanita dan perhiasan.

Tabarruj al-Jahiliah seperti yang dinukil dalam al-Quran nampaknya boleh menyerang sesiapa saja. Ia tak mengenal kedudukan atau latar belakang. Hatta ustazah yang mukanya selalu keluar di TV pun terperangkap dalam jerat tabarruj. Ustazah sekalian jawablah di hadapan ALLAH nanti bila ada muslimah yang menggunakan alasan "ala, ustazah pun pakai mekap apa, maknanya bolehlah" bila ditegur berkaitan tabarruj.

Islam memang suka pada kecantikan tapi perlulah dengan batas-batasnya. Hindarilah berlebih-lebihan dalam berhias. Mungkin seseorang menutup kepala, tapi masih belum terlepas daripada dosa tabarruj. Gincu, mekap yang tebal, sanggul yang tinggi (yang hadith describe sebagai "seperti bonggol unta"), baju yang lip-lap2, kasut tumit tinggi. Apa yang lebih ketara ialah trend memakai perfume yang boleh dibau dari jarak 10 meter, sedang ia dilarang dengan jelas dalam hadith di bawah:

"Wanita mana saja yang memakai wewangian, kemudian ia (sengaja) melewati sekelompok laki-laki agar mereka mencium wanginya, maka dia adalah penzina". [Hadith riwayat An-Nasa'i dalam sunannya no. 5036]


Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam telah bersabda :

Dua golongan yang termasuk daripada kalangan ahli neraka yang tak pernah aku lihat iaitu yang pertama mereka yang memegang cemeti seperti ekor lembu (bentuk cemeti itu seperti ekor lembu yang berbulu-bulu dan berambut-rambut) dan mereka memukul manusia dengan cemeti tersebut. Yang kedua adalah perempuan memakai pakaian tetapi keadaanya umpama telanjang (ketat), dan perempuan ini berjalan sambil berlenggang lenggok dan sanggol rambutnya (ataupun sekarang ikatan rambutnya) umpama bonggol unta.Dan perempuan yang sebegini keadaanya tidak akan mencium bau syurga. Ketahuilah bau syurga sudah boleh diciumi dari jarak begini dan begini. [Hadith riwayat Muslim no. 2128]


Jika ada yang berfikir tabarruj itu satu subjek kecil, maka fikirkan kembali!

3) Pembaziran.


"Siapa membazir, dia saudara syaitan". Ungkapan ini diajar sejak dari kecil. Budak tadika, mak bapak, mak andam, wedding planner, kedua pengantin, semuanya tahu akan hal ini. Ia suatu yang ringan di lidah, tapi berat untuk dilakukan.

Ada sesetengah orang -disebabkan kedudukan dan ego mereka- berlumba-lumba untuk mengadakan walimah yang paling 'grand'. Kalau jirannya buat macam ni, dia mesti nak lebih atau paling kurang sama. Pelamin, baju pengantin, makanan, venue, photographer, dan senarainya yang panjang, semuanya dicari yang paling mahal.

Rujukan perjalanan walimah al-urus bukan lagi kitab dan sunnah, tapi telah dialih kepada majalah dan blog nikah yang muka depannya asyik memaparkan "wedding of the year". Tanpa kita sedari (atau sebenarnya sedar tapi buat-buat tak sedar), minda kita telah dijajah oleh media!

Akibatnya, walimah kita semakin hari semakin menjauh daripada petunjuk Rasulullah. Sebaliknya semakin pula ia mendekati petunjuk perkahwinan golongan kuffar. Bukankah janji ALLAH dan Rasulnya itu sangat benar? Semakin jelas gambarannya bagaimana umat ini akan mengikuti golongan yahudi dan kristian hatta ke lubang cacing sekalipun!

4) Biar mati anak, jangan mati adat!

Alangkah adil agama ini. Adat yang baik dan tidak bercanggah dengan aqidah Muslim tetap dijaga dan dihormati. Tapi sehingga mahu mengeluarkan ungkapan "biar mati anak, jangan mati adat" seperti sangat 'keterlaluan' dan 'melampau'. Sedang al-Quran suruh jangan bunuh anakmu. Mungkin akan ada yang kata aku literalis dalam hal ini. Aku tak kisah. Adat mesti dipandu syariat, bukan agama yang ditunggang budaya.

Kita berterima kasih dengan ustaz-ustaz yang dulunya sangat keras dalam membantah adat merenjis dan bersanding. Kerana tanpa syak, ia adalah budaya Hindu. Sedang Muslim dilarang meniru ritual agama syirik. Demikian adat mengarut sebahagian orang di selatan yang mengenakan 'tol' kepada rombongan pengantin yang datang. Itu belum lagi adat pepatih yang secara terang - seperti terangnya matahari yang terik- bertentangan dengan ajaran Islam. Apakah jika tiadanya semua ini, dan pelbagai lagi adat mengarut yang lain, akan menjejaskan kemeriahan walimah?

Apalah yang tinggal dalam adat Melayu, jika mereka mencabut agama daripada hidup mereka?

Demikian sedikit catatan berkaitan walimah al-urus atau majlis pernikahan. Mudah-mudahan rumah tangga yang terbina menuju mawaddah dan sakinah seperti yang disebut dalam al-Quran. Kerana tiadalah guna memperkata tentang daulah dan khilafah tatkala terabainya institusi yang lebih kecil iaitu usrah.

Wallahua'lam.