Friday, May 27, 2011

Tunggu 300 Tahun



Dulu kita terkejut tengok video seorang ustaz menghina seorang mufti sebagai "bapak setan".

Sekarang tiba giliran seorang penceramah pula menggelar Mufti Perak dengan "Haramsani".

Yang ironi, mereka berceramah atas pentas yang mempunyai background yang sama. Background yang dipenuhi dengan bendera parti Islam. Maka tidak keterlaluan kalau kita menganggap ini adalah ceramah atas pentas politik.

Parti dan gerakan Islam yang aku sayangi sudah lama dicemari dengan akhlak penceramah-penceramahnya yang langsung tidak mencerminkan perjuangan mereka. Mulut mereka menuturkan perjuangan al-Quran dan al-Sunnah, tapi tindakan mereka menunjukkan sebaliknya. Kata-kata dan tindakan mereka sangat jauh berbeza, sejauh timur dan barat.

Tanpa syak, aku katakan inilah antara punca Allah menangguhkan kemenangan gerakan-gerakan Islam di bumi Malaysia ni. Bagaimana pertolongan Allah itu akan datang ketika kita membelakangi ajaranNYA?!

Kita terlalu gopoh, gelojoh, isti'jal, dan kurang kesabaran.

Kalau Allah takdirkan kemenangan itu akan datang dalam masa 10 tahun akan datang, sanggupkah kita tunggu? Bagaimana kalau 20 tahun? 50 tahun? 100 tahun?!

Akan sabarkah kita?!

Kita selalu mengulang-ulang Surah al-Kahf yang mencatatkan satu faedah yang sangat berguna buat seluruh pejuang kebenaran. Bahawa dakwah itu jalannya panjang, jauh, dan berliku-liku.

Apakah yang kita rasa ketika rakyat ketika zaman Ashab al-Kahfi bersabar atas kezaliman pemerintah sehingga sanggup menunggu selama 309 tahun, baru dikurniakan pemerintah yang adil dan soleh?

Di mana kita dengan mereka?

Sabarlah wahai para pejuang, kemenangan itu pasti akan datang. Dan ia sangat dekat!

Allahua'lam.

Jom layan video ni...

Friday, May 6, 2011

Ketika ISLAM Hanya Sebagai "Added Value".

"Apa benda ni?", tanya aku kepada seorang rakan FB.

"Jam tawaf, keluaran terbaru syarikat XXX. RM450 je...", jawab beliau dengan penuh konfiden.

"Apa beza jam tangan ni dengan jam-jam yang lain?", aku mahu dapatkan kepastian.

"Jam ni pusing ikut arah tawaf kita kat Mekah, terbalik daripada jam yang biasa kita pakai. Otherwise, it's the same"

Jawapan yang berjaya menaikkan keningku secara spontan.

"
Oh, selalu promosi jam-jam lain ialah dari segi material quality, cost-effective, time precision,water resistance, n etc. Dia mahal sebab satu sebab tu je ke? sebab dia ikut arah tawaf?"

"Itu hanya sebagai added value je!"
-----------------------------------------------------

Beginilah tipikalnya sikap sesetengah peniaga "produk Islam" dalam mempromosi barangan. Hemat mereka, barangan ini berkualiti sebab ada nama Islam. Jangka mereka, produk ini mahal kerana jenamanya jenama Islam.

Ketika kita gembira dengan peningkatan kesedaran agama di kalangan masyarakat, ada pula pihak tak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan. Ketika agama itu dilihat tinggi oleh orang banyak, ada yang cuba mengeksploitasi namanya demi sebuah keuntungan yang ada kalanya sedikit.

Kita lihat realitinya hari ini.

Mana-mana saja produk keluaran "orang Melayu" yang mahu untung lebih, selitlah sikit slogan agama, atau nama arab sebagai jenama. Confirm laku!

Kita tak hairan kalau doktor jadi duta untuk iklan produk kesihatan.

Kita faham jika seorang selebriti yang sudah bergelar ibu mempromosi produk susu tepung.

TAPI kita bingung bila Tok Guru tiba-tiba muncul di papan iklan jus kordial!

Kita menggaru-garu kepala mencari kaitan antara minuman pelangsing dengan Ustazah selebriti!

Ini yang kita katakan, oleh sebab nama ISLAM itu menjadi perhatian semua orang, maka ada saja manusia yang mengambil untung atasnya.

Jika fenomena ini berterusan, kita risau di masa depan umat Islam akan terus mundur ke belakang ditinggalkan arus dunia, sambil terus ditipu oleh mereka yang memakai "pakaian agama". Agama yang sepatutnya memandu manusia menuju negeri akhirat, telah ditukar peranannya oleh "ustaz" untuk mengaut keuntungan dunia.

Biarkan dunia terus maju dengan barangan mereka yang berkualiti itu.

Berterusanlah dunia Muslim dalam kemunduran dan terus MELAYU.