Saturday, March 5, 2011

PREJUDGEMENT Adalah Musuh Salafi

Nampaknya ramai yang marah dengan Ustaz Adlan@pemudaiman bila dia menulis artikel mengkritik buku emas Sheikh al-Albani yang termuka, Sifat Solat Nabi: Daripada Takbir Sehingga Salam Sebagaimana Engkau Melihatnya.

Kemarahan itu tambah membuak-buak bila beliau dan rakan-rakan mengadakan wacana ilmiah membincangkan isu sedekap tangan ketika solat.

Tajuk wacana tu pulak panas, lebih panas daripada suhu bumi di KL waktu tengahari.

“Bersedekap Di Dada Ketika Solat – Bukan Sunnah Salafussoleh”.

First time tengok tajuk wacana ni, aku fikir it can’t be any hotter!

Ha ha ha.

Maka marah para salafi, atau lebih tepat lagi orang yang menyandarkan diri mereka dengan label salafi, golongan yang mengambil sumber agama atas fahaman salafussoleh.

“Ini celaan buat Sheikhuna al-Albani!”

“Asyik bincang benda ni je, takde benda lain ke nak cite? Inikan perkara khilaf?!”

“Sape mamat ni? Seorang yang degreenya Bahasa Arab, Master pun dalam bahasa, ada hati mengkritik tokoh hadith zaman ini?”

Itu antara perkataan yang keluar daripada orang-orang yang marah. Tidak kurang pula ada yang menyentuh peribadi Ustaz Adlan dan macam-macam lagi.

Melihat apa yang terjadi, aku bertanya, kalau begitu apa beza pengikut salafi dan pengikut para khalaf? Tiada beza!

Dulu golongan traditionalis menuduh orang yang mengkritik secara ilmiah beberapa pandangan ulama yang dilihat bertentangan dengan sunnah sebagai “tak hormat ulama” atau “menghina para imam”.

Kita mengatakan “mereka itu jumud!”.

Pernah pula ketika kita mensyarah kitab-kitab sekolah pondok dan berkata sebahagian hadith di dalam kitab-kitab itu dhaif dan tidak boleh dijadikan hujah. Pelajar sekolah pondok menjawab, “inikan pandangan ulama. Ikut sajalah kata-kata ulama kalau nak selamat”

Kita katakan “mereka itu hanya pandai bertaklid buta!”

Maka hari ini, ketika karya dan pandangan ulama yang kita sanjungi dikritik secara ilmiah, dinilai semula atas manhaj ilmu, mengapa perangai kita tak ubah seperti “golongan jumud dan pentaklid buta” tersebut?

Benarlah kata para ulama’, taksub telah membunuh peranan akal dan ilmu.

Taksub telah menjadikan sebahagian manusia keluar daripada taklid, namun jatuh ke dalam lembah taklid yang lain. Seperti meludah ke langit, menuduh orang lain bertaklid, tanpa sedar diri sendiri yang sedang bertaklid buta.

Kalau tak banyak yang aku belajar daripada manhaj salaf, ada satu perkara yang bagi aku membezakan manhaj ini daripada selainnya , iaitu manhaj ini mencantas semua jenis taksub kepada pandangan guru atau Sheikh. Semua yang diperkatakan mesti berpijak atas fakta dan hujah. Bila orang membawa suatu pandangan dengan hujah, maka kita menjawabnya dengan hujah.

Para salafi tidak melenting bila pandangan guru mereka dinilai semula. Jika ternyata ada kesilapan yang dilakukan oleh mana-mana ulama dan terbukti bertentangan dengan fakta, maka mereka bersedia menarik balik pandangan lama dan tunduk kepada dalil dan hujah.

Bagi aku, inilah tulang belakang dan asas kepada manhaj salaf yang mulia ini.

Jika itu asas kita, mengapa perlu ada semua prejudis dan prejudgement kepada orang yang berbeza pandangan dengan kita? Bukankah al-Quran dan al-Sunnah mengajar kita untuk MENDENGAR TERLEBIH DAHULU apa-apa hujah yang didatangkan, sebelum memberi sebarang komen atas hujah-hujah tersebut?

ٱلَّذِينَ يَسۡتَمِعُونَ ٱلۡقَوۡلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحۡسَنَهُ ۥۤ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ ٱلَّذِينَ هَدَٮٰهُمُ ٱللَّهُ‌ۖ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمۡ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut akan yang sebaik-baiknya (pada segi hukum agama); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna. (al-Zumar ayat 18)

Inilah yang selalu kita lupa. Lupa untuk mendengar hujah daripada kawan dan lawan. Wacana belum lagi berjalan, sudah ada yang memberi komen negatif. Belum lagi orang itu membentangkan hujah, kita sudah mula mencantas. Konsistenlah dengan ilmu, dan jangan sekali tunduk kepada hawa nafsu.

Akhir sekali kita bertanya, apakah layak kita ini mengaku diri kita salafi yang mencontohi para salafussoleh dalam membebaskan diri mereka daripada belenggu taksub dan taklid?

Kalau ya, Alhamdulillah.

Kalau sebaliknya, maka bertakwalah kepada Allah!