Sunday, June 5, 2011

Hafal al-Quran Secara Part Time?

Jika orang bertanya aku pengalaman apa yang paling berharga pernah aku alami, aku akan menjawab, ia adalah pengalamanku menghafaz al-Quran di Darul Quran (DQ) sekitar tahun 2004/05.

Ia pengalaman singkat, namun memberi kesan paling mendalam buat diri aku.

Siang dan malam, pagi dan petang, sibuk dan lapang, masa-masa kami dipenuhi dengan al-Quran. Kami bangun dengan al-Quran, kami kembali ke kamar tidur juga dengan al-Quran.

Sekalipun ada kekurangan di sana-sini berkaitan hafazan aku - semoga Allah mengampuni dosaku - ia suatu yang berharga bila al-Quran itu dilazimi setiap masa. Dan sekurang-kurangnya aku tahu aku telah membuka jalan dan pendorong buat orang lain turut sama mengikut jejak aku dalam menghafaz al-Quran. Sepupu, anak buah, dan rakan-rakan ramai semakin berminat untuk "bertarung" di medan ini.

Dan aku selalu menggambarkan kepada semua yang belum menghafaz al-Quran, bahawa ia adalah salah satu nikmat hidup yang tiada tolok bandingnya. Engkau boleh membaca ayat-ayat Allah bila2 masa dan di mana saja, jika diizinkan Allah. Tengah driving, study atau sibuk bershopping engkau boleh basahkan lidah dengan kalimah-kalimah paling indah di alam maya ini. Engkau adalah walking al-Quran!

Ada yang bertanya, jika seorang yang tidak pernah jejak kaki ke sekolah tahfiz atau sekolah agama, ada peluangkah dia menghafaz al-Quran? Mengapa tidak! Wallahi, aku telah berjumpa ramai pemuda yang Allah pilih mereka untuk memahat ayat al-Quran di sanubari mereka. Mereka bukan pelajar tahfiz, bahkan ada antara mereka bakal-bakal engineer dan doktor!

Aku ada seorang kawan yang belajar sama di UIA dalam bidang engineering. Satu hari dia mesej aku boleh tak aku tasmi' (mendengar/menyemak) hafazan dia. Aku jawab boleh saja asalkan lapang daripada kelas, exam mahupun assignment. Bahkan malam itu juga dia bertandang ke bilik aku. Melihatkan semangat beliau yang begitu berkobar-kobar, aku menjadi tersentuh lagi terharu. Semoga Allah berkati ilmu dan umurnya.

Aku bertanya, "surah apa ko nak baca hari ni?"

"Emm, harap tak susahkan ko. Aku nak tasmi' Surah al-Syu'araa", jawab beliau.

"Uish, ko biar betul. Start2 hafal dah masuk surah ni?", aku cuba dapatkan kepastian.

Aku cuma terkejut kalau-kalau dia mula menghafaz al-Quran dengan surah al-Syu'araa. Pernah satu ketika senior aku di DQ berpendapat surah ni antara yang paling susah dihadam. Malah ada pendapat lain mengatakan "jika dapat surah ni, maka dapat seluruh al-Quran". Sebab itu aku risau jika kawan aku ni akan terasa terbeban dengan hafazan pertama.

Dia kemudian membuka cerita sebenarnya dia memang sudah hafaz sampai surah al-Syu'araa! Aku terkejut. Macam mana boleh hafaz al-Quran dalam kesibukan sebagai pelajar engineering? Rupa-rupanya semenjak dari matrik UIA lagi dia dah mula menghafaz. Bertatih-tatih seorang diri menghafaz dan mengulang.

Katanya dia kecewa kerana tak diterima masuk ke Darul Quran. Beliau gagal semasa interview hafazan. Namun kegagalan itu malah menjadikannya lebih kuat dan bersemangat untuk menghadam kalam-kalam Allah. Ketika itu aku rasa cukup kerdil, kerana sebenarnya diterima masuk ke DQ adalah antara nikmat terbesar dalam hidup ini. Cuma aku yang tak sedar dan tak nampak.

Bila direnung dan diperhati, sebenarnya "menghafaz secara part time" basis ni bukanlah suatu yang mustahil. Jikalah katakan kita menghafaz sehari satu muka surat, maka boleh jadi al-Quran yang setebal lebih kurang 604 muka surat itu dapat dihabiskan dalam tiga atau empat tahun. Cuma ia ada prasyarat yang perlu dipegang; iaitu azam yang tinggi dan tawakkal yang jitu.

Dan KUNCI BAGI SETIAP HAFAZAN ADALAH MENGULANG (I'ADAH).

al-Imam Sudais hafizahullah, imam Masjidil Haram itupun bila ditanya bagaimana mendapat hafazan yang kukuh, jawab beliau, "perbanyakkan mengulang!!".

Ikut pengalaman aku, setiap orang berbeza-beza cara menghafaz. Antara yang aku amalkan ialah mengikut tertib berikut:

1) Baca ayat al-Quran yang ingin dihafaz.

2) Baca lagi ayat yang sama berulang kali. Sehingga lancar dan tiada langsung yang tersangkut-sangkut.

3) Dengar mp3 bacaan al-Quran: bandingkan dengan bacaan kita dan perbetul mana yang salah terutama dari segi makhraj dan hukum tajwid. (dicadangkan mendengar murattal imam-imam besar seperti al-Sudais, Shuraim, Salih Bukhatir dan lain2. Mp3 boleh didapatkan merata tempat di internet. Hanya perlu google)

4) Baca ayat pertama berulang kali, sehingga hadam. ( mengikut kemampuan masing2. Ada yang cepat dapat, ada yang lambat. Tak mengapa, semakin banyak kita membaca semakin banyak pahala kita insyaAllah)

5) Baca ayat kedua pula, dan ulang banyak kali seperti ayat pertama.

6) Combinekan kedua-dua ayat, dan ulang banyak kali sehingga hadam.

7) Teruskan untuk ayat-ayat berikutnya.

Ini cara aku menghafaz, dan ia bukanlah rigid tetapi boleh diubah-ubah mengikut kesesuaian. Ada ayat yang dalam bentuk penceritaan, maka aku prefer rujuk terjemahan, dan fahamkan kronologi sesuatu kisah. Contohnya seperti kisah ashabul kahfi dan kisah nabi Allah Yusuf. Kemudian perkukuhkanlah dengan "bertasmi' di hadapan Allah" iaitu membaca ayat-ayat tersebut di dalam solat. Ketika itu kita dapat "bayangan awal" bagaimana tahap kekuatan hafazan kita tadi.

Nah, menghafaz al-Quran bukanlah sesusah sebagaimana yang dimomokkan oleh orang kebanyakan. Ia boleh dan MAMPU DIHAFAZ OLEH SEMUA KAUM MUSLIMIN. Ia adalah mu'jizat, Kalamullah, wajib setiap orang Islam mencintai al-Quran dan tanda kita cintakan al-Quran adalah dengan menanamnya di dalam sanubari. Bukankah orang yang hangat bercinta itu akan mengulang-ulang kalimah kekasihnya setiap masa? Tiadalah cinta yang lebih agung daripada kita mencintai petunjuk yang tiada keraguan padanya.

Semoga Allah membantu kita dalam menghafaz dan memahami ayat-ayat al-Quran. Ya Allah, permudahkanlah!

1 comment: