Friday, October 29, 2010

Sebuah Travelog Penuntut Ilmu

Sem ini adalah sem terakhir aku di UIA. Sem yang bakal menentukan apakah aku berjaya ditabal menjadi graduan kejuruteraan atau sebaliknya. Satu kerjaya idaman aku sejak kecil.

Aku selalu berfikir-fikir, betapa banyaknya nikmat kurniaan ALLAH sepanjang aku ber'jihad' di medan ilmu. Terlalu banyak, sehingga setiap kali cuba mengingati nikmat-nikmat tersebut, selalu saja aku ketandusan masa.

Di sini aku ingin berkongsi serba sedikit kisah perjalanan hidupku sepanjang menempuh alam menuntut ilmu. Aku bukan sesiapa untuk dicontohi, cuma aku kongsi agar menjadi muhasabah kepada diri sendiri dan inspirasi buat sesiapa yang mahu.

Ramai rakanku di UIA tidak tahu satu fakta. Aku dulunya ketika di sekolah adalah seorang yang sangat lembab dalam pelajaran. Malah jika mahu dicari namaku di senarai nama pelajar berdasarkan ranking, silalah lihat bermula daripada bawah. Pasti lebih mudah untuk mencari. Zaman sekolah bagiku merupakan tempat untuk aku menimba pengalaman semata-mata. Tiada rekod cemerlang aku di sekolah untuk dibanggakan melainkan sijil-sijil nasyid yang bertimbun-timbun.

Pertama kali aku mengenal erti mujahadah adalah ketika di Darul Quran. Oleh sebab aku bukanlah ahli dalam menghafal al-Quran ketika di bangku sekolah, aku mengaku memang aku lambat untuk menghadam ayat-ayat ALLAH. Ditambah pula kelemahanku dalam Bahasa Arab justeru banyak pula maksiatku dalam kehidupan. Cemburu tidak dapat aku tahan buat rakan-rakan yang meninggalkanku jauh beberapa juz ke hadapan. Hanya kepada ALLAH aku memohon pertolongan. Hampir saja aku putus asa dan sampai satu tahap aku berkira-kira mahu 'drop out from school'.


Kelemahan ini perlu ku tampung - secara rela atau paksa - dengan mujahadah yang sangat tinggi. Hanya ALLAH tahu betapa sedikitnya tidurku dan alangkah sakitnya tubuhku ketika di sana. Namun ia bakal menjadi kenangan indah untuk hari-hari yang mendatang. Akhirnya, tanpa ku sangka, aku berjaya juga menamatkan hafazan antara yang terawal di kalangan siswa persijilan. Malah gredku hanya dibatasi beberapa titik perpuluhan untuk mencapai mumtaz (excellent). Sedang gred jayid jiddan (good) adalah melebihi jangkauan aku. Kepada ALLAH aku sembahkan sujud syukurku. Kerana tanpa hidayahNYA, pasti aku menemui kegagalan.

ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِى هَدَٮٰنَا لِهَـٰذَا وَمَا كُنَّا لِنَہۡتَدِىَ لَوۡلَآ أَنۡ هَدَٮٰنَا ٱللَّهُ‌ۖ

AlhamduliLlah (segala puji tertentu bagi ALLAH) yang telah memberi hidayah untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal kami tidak sesekali akan memperoleh petunjuk jika ALLAH tidak memimpin kami

Meneruskan pelajaran di Matrik UIA PJ pula merupakan cabaran baru. Ketika aku sudah 'berpisah' dengan matapelajaran akademik kira-kira satu setengah tahun, aku dipaksa pula belajar dalam English Language. Subjek-subjek semacam Calculus, Physics, Chemistry, dan lain-lain mula menimbulkan ketakutan dalam diriku lantaran menemui term-term yang agak asing bagiku. Aku menjadi tertekan dan sedikit risau dengan pelajaranku. Apatah lagi aku selalu pula dimomokkan oleh para senior dan orang dari luar yang berkata "Engineering is the toughest course you'll find in IIUM".

Mujur juga aku berjaya 'exempted' dalam Bahasa Arab untuk ujian APT(Arabic Placement Test) disamping mendapat level 5 dalam Bahasa Inggeris (aku hanya 'menggoreng' ketika ujian). Bermakna aku hanya di sini satu setengah tahun berbanding rakan-rakan lain yang hanya tamat setelah 2 tahun. Sekurang-kurangnya keputusan ujian ni menjadikan aku lebih konfiden untuk menempuh kehidupan di sini. Tapi, dari sudut lain, walaupun ada sedikit 'advantage' untukku dalam aspek masa, aku terpaksa pula berhempas pulas dengan jadual yang agak padat. Sehingga quiz, tutorial, dan exam di waktu malam atau hujung minggu adalah perkara biasa di sana. Alhamdulillah, berkat kesabaran dan doa yang tak putus-putus, aku berjaya tamatkan pelajaran di Matrikulasi dengan gred dean's list.

Di Main Camp, kembara ilmu berterusan. Tahun pertama di sini masih pada peringkat 'foundation' yang mana kami masih perlu melangsaikan subjek-subjek asas dalam bidang engineering. Ketika itu aku dan rakan-rakan mula mengomel, "Kenapa subjek lebih kurang je dengan subjek di matrik? buang masa betul la UIA ni!". Setahu aku, hanya UIA saja universiti yang paling menekankan aspek 'foundation' dalam kurikulum mereka. Bermakna, pelajar dipaksa untuk menghadam dengan sebenar-benar hadam, segala subjek asas sebelum meneruskan dalam bidang khusus yang mereka pilih nanti.

Statics, Dynamics, Electric Circuits, Electronics, Calculus (5 levels), materials; adalah antara subjek-subjek yang dimaksudkan. Kami mungkin budak-budak mentah yang hanya tahu mengomel tentang kepayahan subjek-subjek yang wajib diambil ini. Memasuki tahun keempat pengajian, baru aku sedar betapa pentingnya subjek-subjek ini untuk dihadam oleh semua pelajar engineering! Jika sejak awal lagi sudah kecundang, peluang meneruskan pengajian dalam pengkhususan nanti pasti lagi sukar!

Kata-kata hikmah seorang lecturer satu ketika dulu pasti takkan ku lupa:

"Ada student yang datang kepada saya dan bertanya, "apa gunanya kita belajar subjek yang nantinya mungkin tak digunakan ketika alam kerjaya?". Saya menjawab, "kamu pernah tengok cerita kungfu? Adakah seorang shaolin master akan menggunakan semua skill yang dipelajari dalam training ketika berdepan musuh? Bahkan hanya sedikit! begitulah perumpamaannya. Semua subjek yang kamu belajar -sekalipun tak digunakan di alam kerjaya nanti - tetap satu latihan yang bagus untuk menjadi engineer yang berkaliber nanti".

Beliau adalah guru saya untuk subjek calculus 3, al-Fadhil Dr Raihan Othman.

Sehingga kini, di tahun terakhir, aku seakan sudah 'lali' dengan subjek-subjek yang berat. Setiap kali hampir kecundang di tengah medan, aku pantas mengingat kembali kata-kata guruku itu. Setiap kali itu juga aku cuba untuk bangun kembali, dan meneruskan perjuangan. Kadang-kadang bukan kita tak mampu melakukan perkara-perkara susah, cuma kita sudah selesa berada di comfort zone, sehingga cabaran yang dilontar ke atas kita tidak dapat ditangani dengan baik. Benarlah kata-kata penyair:
“Jiwa itu seperti bayi,
kalau kau biarkan (menyusu),
Maka dia akan tetap suka menyusu,
dan jika engkau mengajarinya makan,
dia akan berhenti menyusu.”


dipetik daripada SUMBER
Di waktu aku menulis artikel ini, aku sedang berusaha sedaya upaya menyiapkan Final Year Project (FYP) yang bertajuk "Visual Control of Remote Vehicle". Di samping aku sudah mula berada dalam musim peperiksaan dan bakal menjawab tiga kertas terakhir (insyaALLAH). Mereka (kawan-kawan yang grad) selalu berkata aku pasti akan merindui zaman pengajianku. Bahkan mereka adalah sangat benar apabila rindu sudah mula berputik pada kelas, kuliah, kerja makmal, quiz, assignment, exam.

Wahai Tuhan kami, kurniakanlah kami ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik, dan amalan yang diterima.

Friday, October 1, 2010

Qul Kullum Min 'Indillah

Dalam hidup, kita sentiasa berubah.

Kalau dulu kita kanak-kanak yang lurus, kini kita seorang dewasa yang mengurus.

Dulu ketika kecil mungkin lain cita-cita dan citarasa. Berlainan pula impian dan angan-angan.

Ada yang memang dikurnia Tuhan setiap apa yang diinginkan. Berapa ramai pula yang tersungkur di perjalanan.

Walau apapun citamu, impian, dan azammu. Ingatlah setiap yang kita peroleh - baik yang sebelum, sekarang , dan yang mendatang - semuanya adalah milik Tuhan. Semuanya kerja Tuhan. Demikian apa yang tidak kita dapatkan, Tuhanlah yang merancang. Tuhanlah yang mengatur. Tuhanlah yang merencana.

"QUL KULLUM MIN 'INDILLAH" [Katakanlah setiap perkara adalah dari sisi ALLAH]

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu - al-Baqarah:216

Demikian sebaliknya.

Apa yang kita dapat, bersyukurlah. Apa yang terlepas, bersabar dan redhalah.

Tuhan nantinya tidak berminat dengan end result. Tapi usaha dan amalan. Itulah kayu penyukur. Itulah pertimbangan. Oleh itu, jangan berhenti setiap usaha, doa, dan tawakkal.

Supaya ALLAH mengurnia yang terbaik bagi kita. Allahumma Ameen.