Monday, August 30, 2010

Politikus

Entah berapa banyak kali aku nak ulang yang aku dah muak dengan politik parti kat negara ni. Hanya mahu memenangkan parti yang disokong, lalu menumbangkan parti lawan, agama menjadi mangsa. Mereka telah menyembelih agama dengan pisau politik mereka yang kotor lagi jijik.

Bermula dengan isu khutbah yang mendoakan LGE, sehinggalah isu amoi DAP kasi 'tazkirah' kat dalam masjid(surau?). Aku tak nampak lain melainkan hanya permainan politik.

Isu kecik je pun, tapi sengaja diperbesarkan!

Maka para ustaz dan mufti pun berbeza pendapat. Ada yang menyokong, ada yang membantah secara total. Tak apalah, masing-masing punya pendapat. Tapi aku nak katakan, kita telah pun membazirkan beberapa waktu kita yang lumayan itu untuk membincangkan perihal si kafir! Bukankah itu suatu yang agak kurang bijak, sebagai memenuhi bulan yang mulia ini?

Perhatikan orang politik ketika mereka berpolitik. Tabayyun(selidik kebenaran sesuatu perkara) ibarat sampah yang layak dibaling ke longkang. Tiada harga bagi mereka. Apa yang media bawa ditelannya bulat-bulat. Seperti ayat 6 Surah al-Hujuraat tu langsung tak berperanan bagi mereka. Ya ALLAH ya Tuhanku, lindungi kami daripada golongan yang membaca al-Quran, tetapi tidak melepasi kerongkong!

Banyak yang perlu dipersoalkan. Betul ke khatib tu mendoakan LGE secara personal? kalaupun benar, apakah doa itu berbentuk doa kesejahteraan atau mahu mendoakan agar dibuka pintu hidayah? Apakah hukum mendoakan nonmuslim? Haram secara totalkah atau ada ruang yang dibenarkan dalam Islam? Ahh, apa orang politik kesah, asalkan ada isu, putar belit agama apa salahnya?!

Isu amoi yang masuk masjid tu. Siapa yang haramkan nonmuslim masuk masjid? Allah? Rasulullah? atau Jais punya pengarah? Agak mengecewakan bila diqiyaskan nonmuslim dengan wanita haid. Jangan jauh sangat merapu sampai sanggup qiyaskan wanita kami dengan orang kafir! Hai, alangkah sedih bila ada konspirasi menjatuhkan Islam di negara Islam sendiri. Terlebih sedih jika ia didokong oleh jabatan agama sendiri!

Lagi satu, siapa kata amoi tu kasi tazkirah? Dia cakap dia terangkan pasal "skim pendidikan di Selangor". Tazkirah ke tu? Jika dihalau dari masjid kerana amoi tu tak tutup aurat, maka halau juga datin2, puteri2 UMNO, dan artis2 yang mendatangi masjid dengan pakaian seperti orang tak cukup kain. Itukan double standard namanya. Parti lawan buat tak boleh, kalau parti aku buat tak ape. Inilah realiti politik kepartian kita hari ni.

Ya ALLAH, di kesempatan 10 malam terakhir ini, kami berlindung denganMU daripada syaitan yang direjam. Lingdungi kami juga daripada politik dan kejelekannya. Hapuskan sentimen perkauman(asabiyah) antara kami. Bukakan hati pemimpin kami. Tetapkan mereka di jalanMU ya ALLAH. Ameen.

Saturday, August 28, 2010

Tinggal Lagi 10: Di Mana Kita?



Bukan satu benda yang asing sekarang ni bila masuk je pertengahan Ramadhan, sudah ada yang mengumandangkan lagu2 raya. Ada lagu lama yang agak evergreen, tak kurang juga yang baru2. Tarbiyyah Ramadhan dibakulsampahkan, hiburan dan maksiat diangkat menjadi tuhan. Betapa hebat gerak kerja syaitan, meski diikat tetap mampu menyampaikan agendanya.

Kita menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan. Apakah perasaan kita di kala ini? Apakah berasa sedih dengan pemergiannya, atau kita antara orang yang paling teruja meninggalkannya. Jika kita berada dalam golongan kedua, aduh, sangat celakalah kita. Betapa jauhnya kita dengan sunnah. Kerana orang-orang beriman seperti iman para sahabat akan berasa sedih saat berakhirnya Ramadhan, malah mengharapkan Ramadhan berlaku sepanjang tahun!

Firman ALLAH dalam surah al-Baqarah ayat 137:

Maka kalau mereka beriman sebagaimana kamu(Rasulullah dan para sahabat) beriman (dengan Kitab-kitab Allah dan Rasul-rasulnya), maka sesungguhnya mereka telah beroleh petunjuk; dan jika mereka berpaling (serta tidak mahu beriman dengan sebenar-benar iman) maka sesungguhnya mereka akan tinggal berkekalan dalam perbalahan dan permusuhan (dengan kamu); oleh itu (janganlah engkau khuatir wahai Muhammad) kerana Allah akan memeliharamu (dan umatmu) dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.


Mari muhasabah amalan kita sepanjang Ramadhan. Apakah sudah dijaga solat yang lima? Puasa yang bebas daripada umpat dan cela? Bagaimana pula dengan qiyam Ramadhan kita? Kitab suci al-Quran sudah berapa banyak kita baca?

Memang hidup dalam dunia sekarang sangat mencabar. Bukan saja kita disibukkan dengan urusan belajar dan kerja, tapi suasana sekeliling yang dicandukan dengan maksiat dan bid'ah sangat membutakan mata. Mungkin selama 20 hari ini kita sedikit lalai atau kurang mampu untuk melakukan ibadah dengan bersungguh-sungguh, maka 10 hari terakhir inilah peluang kita untuk tebus semula. Masih belum terlambat. Apa saja perkara kebaikan yang kita tak mampu lakukan semua, jangan ditinggalkan semua. ALLAH melihat usahamu, bukan membebanimu dengan apa yang kau tak mampu.

Waktu inilah kita kembali menghidupkan sunnah yang semakin dilupakan kebanyakan orang; solat berjamaah, membaca al-Quran secara tartil sambil menghayatinya, hidupkan qiyam Ramadhan terutama dengan solat Tarawih, keluarkan harta di jalan ALLAH, dan lain2. Malah 10 malam terakhir sedikit istimewa dengan adanya i'tikaf di masjid. Bagi yang berkelapangan, sama-samalah kita hidupkan kembali sunnah i'tikaf ini, yang mana nabi tidak pernah tinggalkan sehingga akhir hayat Baginda.

Tidak lupa juga untuk kita mempergandakan doa dan tawakkal kita ketika puasa. Doa orang puasa itu sentiasa mustajab. Berdoalah di dalam solat, ketika berbuka puasa, ketika hamba berada paling hampir dengan Tuhannya ketika sujud, doa selepas tahiyyat akhir sebelum salam,doa di sepertiga malam dan waktu sahur, doa diantara azan dan iqamah, doa ketika turunnya hujan(sekarangkan waktu hujan). Malah dalam 10 malam terakhir ini ada satu malam yang cukup hebat iaitu Lailatul Qadar. Apakah kita mahu melepaskan peluang keemasan ini? Rasulullah bersabda (maksudnya),

"Tiga doa yang mustajab tanpa syak. Doa orang berpuasa, doa orang dizalimi dan doa orang mengembara"[ HR al-‘Uqaili, al-Baihaqi dan Ibnu ‘Asakir, dihukum sahih oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, No. 1797]


Ketika orang lain sibuk dengan persiapan raya mereka, kita tajamkan senjata ibadah kita. Iman dan taqwa itulah ganjarannya. Kita tidak mahu digolongkan dalam antara 3 yang celaka sebagaimana dalam hadith ini:

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya: Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kamipun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kamipun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini. Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (as) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam surga. Lalu aku pun mengaminkannya.


[HR Al-Hakim dan Sanadnya Sahih] sumber


Ayuh, siapkan jiwa raga, menuju berakhirnya bulan yang mulia, mudah-mudahan kita memperoleh taqwa.

Monday, August 16, 2010

Tarawih: Kualiti vs Kuantiti

Hari ni masuk hari kelapan kita berpuasa. Bermakna, sesiapa yang bersolat di belakang kebanyakan imam huffaz, mereka sudah melalui hampir 8 juzu' lengkap al-Quran. Malam ini pula kita menanti imam mengalunkan bacaannya yang merdu pada juzu' 9. Hebatnya keberkatan bulan Ramadhan, kalau di bulan lain apakah kita mampu melakukan sedemikian? Nak berjalan menuju isya' berjamaah pun payah!

Perdebatan hangat tentang berapa rakaat solat tarawih yang sunnah nampaknya sudah sedikit suam pada tahun ni. Boleh jadi ilmu sudah sampai kepada kebanyakan kita bahawa kedua-duanya adalah sunnah. Nabi melakukan 11 atau 13 rakaat dalam setiap qiamullail termasuk dalam bulan Ramadhan, tapi itu bukan dalil bahawa nabi mengehadkan bilangannya. Dalam hadith lain nabi kata solat malam adalah dua rakaat, dua rakaat tanpa ada had bilangan. Ini menunjukkan keluasan dalam hal ini di samping amalan para salaf yang ternyata melakukan kepelbagaian dalam rakaat tarawih.

Oleh itu, jika kita rajin dan mampu melakukan 20 rakaat, jangan memperlekeh sahabat yang mengehadkan kepada 8 sebagai 'kurang rajin'. Begitu pula yang berpegang teguh dengan had 8 rakaat jangan perlekeh sahabat yang buat 20 rakaat sebagai 'kurang sunnah'. Kita bersama-sama berlapang dada dalam perkara yang diluaskan oleh Pembuat Syariat.

Maka, kita simpulkan polemik tarawih 8 atau 20 dengan kenyataan Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah yang sangat genius:

"(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan."

Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)


Setelah kita mengetahui tiada had dalam rakaat tarawih, wajar kita tumpukan pula pada kualiti solat yang kita lakukan. Perhatikan kata-kata Ibn Taimiyyah di atas pada ayat "banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan". Ini bermakna, kita imbangkanlah antara kuantiti dan kualiti. Kalau sedikit rakaatnya, maka panjangkanlah qiyam(berdiri)nya. Kalau banyak rakaatnya, maka ringankan sedikit qiyamnya.

Seterusnya, bagi kita yang mempunyai kelebihan masa lapang untuk menunaikan solat Tarawih secara berjamaah, sebaiknya tidak melepaskan peluang tersebut. Bahkan sesiapa yang tetap bersama imam sehingga habis, dia akan mendapat ganjaran qiyam seluruh malam! Buktinya ialah pada hadith berikut:

"Barangsiapa yang bersolat bersama imam sehingga selesai, Allah akan merekodkan untuknya seolah-olah dia bersolat sepanjang malam" [Hadith Riwayat at-Tirmizi 806, dan dinilai Sahih oleh al-Albani]


Bagaimana pula dengan qiyam nabi? adakah Baginda ada melakukan 1000 rakaat seperti yang diclaim oleh sesetengah golongan sufi yang ghuluw dilakukan oleh Tok Sheikh- Tok Sheikh mereka? Benarkah nabi melakukan solat tanpa toma'ninah demi mengejar rakaat? Di samping tersangat jahil untuk mempercayai cerita karut si pengamal sufi (mana logik 1000 rakaat satu malam!), ia ternyata sangat bercanggah dengan petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Menarik untuk maklumat bersama, aku kongsikan bagaimana qiyamnya seorang insan yang paling mulia yang bernama Muhammad bin Abdullah dalam hadith yang panjang di bawah:

Dari Hudzaifah bin Yaman, ia berkata, “Pada suatu malam aku shalat bersama Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi wa Sallam, beliau memulai shalat dengan membaca surat Al Baqarah. Aku katakan, ‘Beliau ruku’ setelah membaca seratus ayat pertama, kemudian meneruskan hingga selesai.’ Aku katakan, ‘Beliau shalat dengan (membaca semua ayat itu) dalam satu rakaat, lalu melanjutkan!’ Aku katakan, ‘Setelah itu beliau ruku’ dengannya, kemudian shalat lagi membaca surat An Nisa, lalu Ali Imran. Dia membaca pelan-pelan, jika membaca ayat tasbih ia bertasbih, jika melewati ayat permohonan ia memohon, jika membaca ayat perlindungan ia berta’awudz. Kemudian ruku’ seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal ‘azhim’, ruku’nya sama panjangnya dengan berdirinya, kemudian berkata, ‘Sami’ Allahu liman hamidah’, kemudian berdiri lama seperti lamanya ruku’. Kemudian bersujud seraya berkata, ‘Subhana rabbiyal a’la’ dan lamanya waktu sujud mendekati lamanya waktu berdiri.” (Hadith Riwayat Muslim)



Oleh itu, sesiapa yang rasa dalam hatinya semacam ini, "eh, sikit sangat amalan nabi, lebih baik aku tambah sikitlah", dia perlu melihat kembali ke cermin. Siapa kamu mahu cakap begitu? Tiada kebaikan dalam tokok tambah daripada ajaran nabi, meskipun manusia memandangnya baik! Adapun daripada hadith ni, ada beberapa manfaat yang boleh diambil. Antaranya:

1) Qiyam nabi adalah saaaaaaangat panjang.

2) Nabi baca al-Quran dengan tartil. Bukan seperti sesetengah orang yang menggunakan gear 5 sampai semput-semput.

3) Boleh berdoa ketika membaca al-Quran.

4) Boleh membaca surah di dalam al-Quran dengan tidak mengikut turutan. Nabi di dalam hadith di atas membaca al-Baqarah, al-Nisa' dan kemudian berpatah balik ke Ali Imran. Tiada masalah dalam hal ini.

5) Nabi mementingkan kualiti berbanding kuantiti. Lihatlah betapa khusyuknya solat Baginda!

Dalam menghidupkan malam Ramadhan dengan Solat Tarawih, maka mudah-mudahan segala amalan kita diterima kerana tidaklah diterima amalan melainkan terdapat gabungan dua unsur, yang pertamanya ikhlas kerana Allah, dan keduanya wajib berittiba'(mengikut) petunjuk Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam.

Wallahua'lam.

Saturday, August 14, 2010

Ramadhan dan Aku

السلام عليكم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله أما بعد

*Dah lama tak update blog ni selepas satu musibah melanda ketika sedang berpraktikal di Shah Alam. Laptop kesayangan yang berisi semua perkara penting lesap dalam sekelip mata. Pelbagai ilmu, tulisan ilmiah, dokumen penting, dan paling menyedihkan seluruh research yang dibuat ketika Final Year Project (FYP 1) hanya tinggal kenangan. Allahul Musta’an.

Ok lah. By the way, kita sekarang berada dalam Sekolah Ramadhan yang penuh dengan keberkatan, keampunan dan kerahmatan. Satu bulan yang digelar ‘bulan al-Sobr’ merujuk kepada salah satu manfaat daripada bulan ini, iaitu menguji kesabaran. Ustaz Subkhan dalam kuliah Umdatul Ahkam menjelang Ramadhan, berkata sabar dalam bulan Ramadhan merangkumi; [1] Sabar dengan ketaatan (melaksanakan perintah), [2] Sabar terhadap maksiat, dan [3] Sabar menerima taqdir daripada ALLAH.

Tiap kali tibanya Ramadhan, kita pasti berusaha mempertingkatkan amal ibadah lebih-lebih lagi melihat fadhilatnya yang besar. Tapi harus diingat, pertambahan amalan harus seiring dengan bertambahnya ilmu tentang amalan tersebut. Dalam erti kata lain, kita berusaha sedaya upaya mendalami ilmu syariat dalam rangka melakukan amal ibadah. Sebelum melakukan apa-apa amalan yang disandarkan kepada agama, perlu kita pastikan dulu sejauh mana amalan itu bertepatan dengan sunnah? Adakah Rasulullah pernah melakukannya? Atau apakah respons generasi terbaik (salaf al-Solih) dalam setiap perkara berkaitan amalan itu?

Setelah hampir 20 tahun melalui Bulan Ramadhan, sudah banyak fasa yang aku lalui. Fasa ketika kecil bilamana agama ketika itu hanya ikut-ikutan. Teringat waktu itu akibat tidak tahu tentang Sahur Dan Hukum Yang Berkaitan Dengannya, banyak kali juga skip sahur akibat terlanjur tidur. Seterusnya ketika zaman sekolah yang mana amalan mengikut ilmu yang ada. Sehinggalah fasa di mana manhaj mendahului segala-gala. Sudah banyak kali aku bertukar daripada pendapat A kepada pendapat B dan melompat pula kepada pendapat C. Ini terjadi selari dengan ilmu yang datang pada fasa-fasa itu.

Aku pernah berpendapat keras terhadap perkara membatalkan puasa. Ini tak boleh, itu tak boleh. Sehinggalah datang ilmu sunnah, baru tersedar rupa-rupanya sedikit sangat perkara yang membatalkan puasa. Dalam Fiqh al-Sunnah karangan Syed Sabiq Rahimahullah, hanya disenarai lapan jenis pembatal puasa. Kalau dulu para ustaz selalu berkata makruh jika mandi dan gosok gigi ketika puasa, kini dalil menunjukkan sebaliknya. Malah Rasulullah yang mulia pernah melakukan perkara tersebut dan puasa Baginda TIDAK batal. Begitu pula hal yang lain yang dikatakan membatalkan puasa seperti korek hidung, korek telinga, kumur-kumur, dan makan setelah waktu imsak(10 minit sebelum subuh). Malah nas dan dalil juga menunjukkan Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa.

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunnah. Tidak wajar kita memandang remeh akan sunnah yang kelihatannya sangat asas lalu ditinggalkan kebanyakan manusia. Termasuk dalam hal ini ialah mempercepatkan berbuka dan memperlambatkan sahur, berbuka dengan rutab, tamar atau air, memperbanyak bacaan al-Quran, mendirikan solat Tarawih, mempertingkat amalan bersedekah dan selainnya. Mudah-mudahan sifat puasa kita bertepatan dengan sifat puasa yang diajar Rasulullah kepada kita.

Semoga Ramadhan tahun ini membawa seribu manfaat kepada kita semua dan semoga ALLAH mempertemukan kita dengan Lail al-Qadr (Malam al-Qadar) sebagai kemuncak segala nikmat Ramadhan. Ameen.