Saturday, October 17, 2009

Hiburan VS Islam

Tiada siapa mampu menyangkal, budaya hiburan melampau yang bersarang dalam jiwa anak muda kita telah membunuh intelektualiti dan moral mereka. Muzik dan hiburan berkeliaran di mana saja tak kira tempat, tak kira masa. Juga tak mengira usia.

Bermula dari anak-anak kecil yang baru merangkak, sampailah kepada makcik-makcik yang sudah pencen semuanya terlibat sama. Buktinya lihatlah rancangan hiburan di Astro. Siapa yang menghuni barisan hadapan konsert AF? Siapa pula yang meramaikan studio Macam-Macam Aznil?

Semua sudah maklum. Tapi siapa yang patut dipersalahkan? Mereka dan keluarga merekakah. Atau pihak Astrokah yang menayangkan hiburan tanpa henti, atau pihak kerajaankah yang bersalah membenarkan malah menggalakkan penyuburan hiburan buat tatapan kesekian rakyat.

Biasalah kita, - malah saya juga - jari telunjuk cepat saja mahu dituding kepada orang lain. Kita tak sedar, dalam kita sibuk menuding orang lain, empat jari lain sedang menuding diri sendiri. Tengoklah cermin dahulu, entah-entah kita silap mengenakan butang baju, yang akhirnya mengundang malu.

Tepuk dada, tanya selera. Apakah peranan kita? Sudahkah tanggungjawab dakwah itu kita laksana? Atau hanya pandai berteori mengomel sendiri tanpa berbuat apa-apa?

Bidang hiburan sangat dekat dengan saya secara peribadi sebenarnya. Berkecimpung dalam nasyid, sebelum bermeditasi meninggalkannya akibat kesibukan dalam pelajaran. Sekurang-kurangnya dapatlah juga mengutip beberapa pengalaman berharga yang boleh dijadikan azimat menuju masa depan.

Sebetulnya, dan selayaknya, orang dalam bidang hiburan atau yang menyukai hiburan ditangani dengan kelembutan dan tidak semberono. Jiwa mereka halus lagi berseni, jangan dilayan seolah mereka itu keras seperti besi!

Dalam hal ini saya menyukai method Dr Yusuf Qardhawi. Pendekatannya berhemah. saya sentiasa percaya dalam agama ini, apabila ia mengharamkan sesuatu yang buruk, ia pasti menyediakan alternatif agar kekosongan jiwa insan dapat diisi dengan yang sesuatu yang baik.

Lantas timbul soalan menarik. Dalam isu muzik dan hiburan lainnya, apakah alternatif kita?

Jawapannya TIADA atau hampir tiada.

Orang yang mengharamkan muzik secara total, selamanya mereka ini gagal mendapat tempat di hati generasi baru. Mereka tiada alternatif. Pok pek, pok pek,di hujungnya pengharaman. Akhirnya akibat terlalu ghuluw, majlis perkahwinan mereka pun hambar dan sepi tanpa hiburan bahkan diganti dengan ‘kuliah zohor’. Mereka ittiba’(ikut) siapa dalam hal ini? Padahal nabi membenarkan alat muzik dimainkan di majlis-majlis walimah al-‘urus.

Usahlah kaku seperti batu. Agama ini sentiasa bergerak dinamik mengikut kadarnya dan ia tidak statik.

Cuba lihat di sekitar. Kicauan burung menyanyi yang mengikut note-note lagu yang harmoni. Derauan air sungai mengalir, tersimpul di dalamnya seribu memoir. Sehinggakan tidak diketuk dua besi, melainkan akan mengeluarkan bunyi.

Apakah akan mengalir air mata, jika al-Quran itu dibaca tidak bernada?

Percayalah, hidup ini adalah satu kesenian. Janganlah kita menjadi lebih keras daripada besi, lebih kaku daripada batu.

Sepatutnya kitalah yang memacu halatuju industri hiburan kita. Definisikan istilah hiburan yang dibenarkan Islam dan hiburan yang terkeluar daripada landasannya. Wujudkan satu garis panduan, apakah batasan-batasan yang perlu dijaga, dan alternatif-alternatif yang ada. Agar dengan itu, anak-anak muda mempunyai wadah untuk mereka tonjolkan bakat-bakat yang ada di jalan yang selamat, bukannya ke arah hiburan hedonis dan maksiat.

Berhibur itu tiada salahnya,

Kerana hiburan itu indah,

Hanya pabila salah memilihnya,

Membuat kita jadi bersalah.

Sunday, October 11, 2009

Sains VS Islam

TANDA MAHA PENCIPTA

Dalam salah satu siri drama HOUSE, Dr. House satu hari bertindak mencabar ‘tuhan’. Ditulisnya di atas sekeping whiteboard “House vs God”. Setelah beberapa kes ternyata beliau memperoleh lebih banyak markah daripada ‘tuhan’, dia pun berkata, “god has been defeated!”

Trend tidak percaya tuhan sangat berleluasa dalam siri-siri TV amerika. Sila senaraikan mereka; House, CSI, Grey’s anatomy, Heroes, semuanya membawa trend yang sama. Kata mereka; kami tidak percaya tuhan, kami hanya percayakan sains!

Malanglah kita, kalau saintis muslim atau student-student muslim terpengaruh dengan corak pemikiran yang sama. Teori bahawa alam ini semulajadi, terjadi dengan sendirinya adalah teori yang langsung tidak dapat diterima oleh akal yang sihat. Apatah lagi teori bodoh yang berkata kita ini berasal daripada monyet.

Setiap yang berlaku disekeliling kita adalah sains. Sebab itu, kita disuruh untuk memperhatikan alam ciptaanNya untuk mendekatkan diri kita kepada Si Pencipta. Jika kita benar-benar ikhlas mencari jawapan untuk sampai kepada Tuhan, nescaya kita akan ketemu. Kita tidak dapat melihat zat Tuhan, tapi dengan memperhatikan kejadian alam ciptaan Tuhan, kita pasti akan memperoleh ‘tanda-tanda’ Maha Pencipta seperti yang dijanjiNya.

Namun ia hanya buat orang-orang yang berakal. [al-Baqarah: 190]

TERBATAS

Sains sangat terhad. Kalau teorinya hanya dibahaskan oleh akal manusia yang sangat terbatas, nescaya kita akan terbabas.

Dunia ini terbahagi dua; fizik dan metafizik. Sains itu sekalipun sehebat mana tamadunnya, jangkauannya hanya berlegar di alam fizik. Sedang metafizik itu tidak mungkin dapat dijangkau melainkan dengan perantaraan wahyu.

Inilah dia ghaibat(perkara-perkara ghaib). Tiada seorang pun yang mengaku beriman melainkan dia beriman juga dengan perkara-perkara ghaib. Sedang kunci perkara ghaib terletak di sisi Tuhan. [al-An’am: 59]

Dan manusia tidak diberi ilmu pengetahuan melainkan sedikit.

SAINS DAN ISLAM

Dalam banyak sudut, sains sebenarnya sangat mendekati Islam. Paling tidak dalam sudut keilmuannya. Dari mana kita mencari data, mengumpulnya, lantas bagaimana cara terbaik mengekstraknya untuk dijadikan suatu teori.

Demikian Islam, ilmu agama bukanlah ilmu murahan yang dijaja sesuka hati dalam majalah picisan seperti mastika, atau rekaan mana-mana tokoh untuk dijadikan bahan jualan melariskan produk. Ia adalah ilmu yang tersusun, yang didalamnya terdiri pelbagai disiplin, demi menjadi panduan hidup manusia.

Melihat dari sudut praktikal pula lebih mendekatkan Islam dengan sains. Masakan tidak, suatu teori perlu dibuktikan kesahihannya sebelum dipraktikkan. Amal ibadah tidak boleh dilakukan melainkan diketahui teorinya. Setelah diketahui teorinya seperti yang diperkatakan oleh al-Quran dan al-Sunnah yang authentik, barulah ia boleh dipraktikkan.

Praktikalnya pula tidak boleh dibuat sesuka hati. Bagaimana yang dilakukan Rasulullah dan para sahabatnya itulah yang menjadi panduan. Kerana agama ini diwahyukan kepada baginda nabi sambil disaksikan oleh para sahabat secara ‘live’. Kita hanya mengikuti jejak langkah mereka, tidak menambah, tidak pula mengurangi.

Begitulah betapa sempurnanya Islam yang kita anuti. Maka benarlah kata Allah “Pada hari ini, telah Ku sempurnakan bagimu agamamu, dan Ku cukupkan bagimu nikmatKu, dan Aku reda Islam menjadi Agamamu” [surah al-Maidah: 3]

Islam adalah sistem dan cara hidup, sainslah yang bertanggungjawab menguruskannya.