Thursday, May 28, 2009

Berbaik Sangka Dengan Tuhan Yang Pengampun


Ngeri betul bila terbaca statistik bunuh diri di Jepun.

Menurut sumber yang saya baca(thestar.com) yang dipost oleh seorang forumer di al-Fikrah.net, pada bulan April saja, hampir 100 orang bunuh diri setiap hari!

Saya menggaru-garu kepala(yang tidak gatal), bagaimana mungkin di tengah-tengah negara yang serba canggih, taraf hidup yang begitu tinggi, dengan pelbagai kemudahan di sana-sini tiba-tiba terfikir untuk terjun daripada bangunan dan menggantung diri?

Sungguh pelik bin ajaib.

Saya bertanya sendiri, bukankah di sana masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah dan meneruskan kehidupan? Berbaloikah sebuah tekanan hidup dibayar dengan harga yang begitu mahal? Dengan sebuah nyawa?!

Oh ya, mungkin ada yang berkata: senanglah berkata-kata kalau diri sendiri tidak merasa. Bak kata pepatah "berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul". Cuba kau yang kena baru rasa macam mana yang mereka rasa.

Benar sekali, saya bersetuju. Sebab saya tidak pernah mengalaminya, maka saya tiada autoriti untuk menghukum mereka.

Namun saya mengajak anda melihat perkara ini dari kacamata seorang yang beragama Islam. Tidak perlu bicara dari sudut hukum yang payah-payah. Lihatlah dulu dari sudut yang mudah seperti "mengapa sesuatu musibah melanda kita".

Adakah kerana Tuhan itu zalim, kejam lagi kuku besi?

Tak semena-mena, tiba-tiba mahu menghukum, mengazab kita dengan seribu masalah?

Mengapa aku saja yang ditimpa musibah, tetapi orang lain tidak?

Di sinilah kecerdikan orang-orang yang beriman memainkan peranan. Seorang mukmin yang beraqidah dengan aqidah yang sahih tidak mungkin memikirkan soalan-soalan yang sedemikian. Malah tiada ruang baginya untuk berburuk sangka dengan Allah. Hanya yang dia tahu bahawa Qada' dan Qadar itu mesti dihadapi dengan penuh redha dan penuh pengharapan kepada Tuhannya.

Seorang yang beriman mempercayai dengan sepenuh keyakinan akan sebuah firman Allah:

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab (pengetahuan kami) sebelum Kami menjadikannya; Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. . (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (al-Hadid : 22-23)

Nah, musibah yang melanda itu tidak semestinya hukuman Tuhan ke atas hambaNya. Boleh jadi suatu musibah itu melanda bertujuan sebagai 1) menguji kesabaran [2:155], 2) menguji keimanan [29:2], 3) menguji keikhlasan [2:214], atau mungkin ia adalah sebagai penghapus dosa sebagaimana yang dinukilkan dalam sebuah hadith sahih:

Dari Abi Hurairah r.a beliau berkata: "Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap musibah yang di timpa ke atas orang-orang mukmin yang berupa sakit yang berterusan, sakit yang biasa dan kesedihan bahkan membawa kepada kebingungan dari musibah yang beliau alami, maka hal yang demikian merupakan penghapus bagi kesalahan-kesalahannya"(HR Muslim - diquote dari SINI)


Islam sentiasa meraikan perasaan manusia yang bersedih akibat ditimpa bencana dan musibah. Sebab itu ia mengajarkan kepada kita bagaimana untuk menguruskan perasaan itu agar ia selari dengan tuntutan yang dinginkan oleh Allah.

Ingatlah bahawa antara sifat Allah itu ialah Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat. Jikalau diibaratkan dosa yang kita lakukan umpama seluruh bumi dan isinya, nescaya ampunan Allah itu lebih luas daripada itu. Allah, dengan rahmatNya bisa mengampunkan kepada sesiapa saja yang dikehendakiNya selagi seseorang tidak menyekutukanNya dengan suatu apa pun.

Dalam sebuah hadith sahih yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim, Rasulullah bersabda:

Seorang hamba Allah melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku telah melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Kemudian hamba Allah tersebut kembali melakukan dosa, lalu berdoa: Wahai Tuhanku! Ampunkanlah dosaku. Allah s.w.t berfirman: HambaKu melakukan dosa, tetapi dia tahu bahawa dia mempunyai Tuhan yang akan mengampunkan dosa atau menghukumnya kerana melakukan dosa. Oleh itu buatlah sesuka hatimu, Aku akan ampunkan dosamu. Hamba tersebut berkata: Aku tidak tahu sehingga kali ketiga atau keempat aku meminta keampunan, tetapi Allah s.w.t tetap berfirman: Buatlah sesuka hatimu, Aku tetap akan mengampunkan dosamu

Hadith ini nampaknya bertepatan dengan sepotong ayat al-Quran yang masyhur:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang Yang mempersekutukanNya Dengan sesuatu (Apa jua), dan akan mengampunkan Yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu (Apa jua), maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang amat jauh. (al-Nisa: 116)

Oleh itu, umat Islam tidak diberi keizinan untuk membunuh diri akibat putus asa dengan kehidupan. Bahkan hukum bunuh diri itu adalah haram dan digolongkan dalam kategori dosa-dosa besar (al-Kabair). Ini sebagaimana firman Allah yang melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

Justeru itu, istilah 'putus asa' terhadap kehidupan - atau lebih tepat rahmat Allah - sehingga menatijahkan tindakan membunuh diri tidak sekali-kali wujud dalam kamus hidup seorang muslim. Ini selaras dengan penggantungannya kepada Tuhan Yang Maha Pengampun semata-mata. Hanya yang perlu dilakukannya ialah sentiasa berdoa memohon rahmat Allah dan bersegera mencari jalan pulang apabila melakukan sebarang kesalahan dan dosa. Agar dengan itu dosanya bisa diampunkan oleh Allah seperti gugurnya daun-daun di pohonan.

Mari hayati firman Allah ini:

Katakanlah (Wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu Yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana Sesungguhnya Allah mengampunkan Segala dosa; Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


**gambar di atas diambil dari SINI

3 comments:

  1. salam.
    nice post. I've been thinking of writing something about this topic, suicide. But I just don't have the reliable references.

    Alhamdulillah you have come up with the same topic. Now, all I have to do is translate it into English. That is, if you don't mind.

    Maybe it'll take a while, though. Hehe..

    Thanks again for the knowledge.

    ReplyDelete
  2. salam
    U r most welcomed. Tapi alter2 la sikit. Aku tulis cincai2 je tuh

    ReplyDelete