Tuesday, February 24, 2009

Blog, Blogging, Bloggers……..

Dalam dua minggu kebelakangan ni, saya berasa terlalu malas untuk menulis dan mengupdate blog. Bukan sebab kekeringan idea, atau tiada isu untuk diketengahkan, tapi barangkali akibat penangan kesibukan yang melampau ditambah pula bahang exam yang tidak pernah kunjung reda menyebabkan saya terpaksa ‘hold’ dulu daripada berbicara isu-isu semasa. Aktiviti-aktiviti kokurikulum yang bertimbun juga tidak banyak membantu.

Alhamdulillah, dalam dua minggu itu juga saya banyak berkeliaran dan berlegar-legar di blog-blog sahabat yang lain. Banyak info dan isu baru boleh didapati. Ada yang menulis bicara politik, fiqh, aqidah, hiburan, diari harian, tidak kurang sahabat yang menuntut di luar negara bercerita perihal kehidupan di sana. Dari sini kita boleh mengenali fikrah masing-masing dan bagaimana mereka berinteraksi dengan sesuatu isu, lantas kemudian baru kita boleh bertoleransi serta menghormati setiap pendapat dengan hati yang terbuka. Inilah jua rahmat daripada kepelbagaian yang Allah cipta.


Cumanya, alangkah baik jika apa yang disajikan di setiap blog itu adalah berlandaskan ilmu dan bukan dari selainnya. Ada antara kita yang begitu lancar menulis maka tulisan tersebut sewajarnya berpandukan kepada paksi manhaj yang sahih lagi benar. Seharusnya juga etika penulisan yang asas dipatuhi agar ia menjadi lebih telus untuk yang membaca. Ketepatan fakta, kekuatan hujah, dan kesahihan(kebenaran) dalil seharusnya menjadi kewajipan dalam setiap penulisan. Yang selalu mengundang masalah adalah apabila si blogger lebih banyak menulis daripada membaca!

Selain itu, ada pula di kalangan kaki-kaki bloggers yang tidak begitu mahir menulis, lalu menggunakan kaedah ‘copy and paste’ dari sumber yang lain. Kalau ditanyakan saya, maka saya katakan saya tiada masalah dengan itu. Jika apa yang disalin itu dari sumber yang baik dan berlandaskan manhaj yang selamat, maka ia dialu-alukan. Bukankah itu juga salah satu percambahan ilmu? Lagikan pula yang disalin itu berasal daripada artikel-artikel yang ditulis oleh mereka yang mahir dalam bidang masing-masing. Tentulah lebih baik lagi. Malah saya pun kerap kali juga menggunakan kaedah ini. Cepat dan mudah.

Namun, apabila melayari blog-blog sahabat-sahabat yang lain, ada yang saya kurang setuju dengan sesetengah perkara. Pertamanya, ada kecenderungan di kalangan bloggers untuk tidak menyertakan ‘kredit’ kepada sumber asal sesuatu karya yang disalin. Ada yang melampirkan kartun, gambar, artikel dan selainnya yang sebenarnya berasal dari sumber yang lain, tapi ia kelihatan seolah-olah karya si blogger itu sendiri. Dengan penuh baik sangka saya katakan mungkin ada antara kita yang terlupa atau terlepas pandang hal-hal yang sebegini. Sedangkan ia sebenarnya sangat penting sehingga seseorang yang melakukan perbuatan ini bisa saja dicop ‘plagiat’.

Kedua, yang juga masalah yang sangat besar bagi saya, ialah apabila sesetengah blogger mahu memperkatakan sesuatu isu berkaitan agama. Bukanlah satu kesalahan untuk mengulas isu agama, bahkan ia digalakkan. Cumanya, perlulah kita pastikan bahawa setiap apa yang kita tulis atau salin itu adalah berdasarkan manhaj ilmu yang benar – seperti yang saya katakan sebelum ini. Ini penting kerana agama Islam ini tertegak dengan hujah dan dalil, bukan dengan mitos lagenda dan cerita karut-marut orang terdahulu. Ia lebih besar lagi jika ia disertakan dalil daripada al-Quran dan al-Sunnah agar diteliti dengan mendalam sumber-sumber yang dipetik itu.

Yang selalu kita tersasar adalah apabila menge’quote’ hadith Rasulullah s.a.w, seakan ia sewenangnya direkacipta agar bertepatan dengan tajuk yang sedang diperbincangkan, tanpa diteliti apakah sahih atau tidak hadith itu. Perbuatan ini seperti mengada-adakan ucapan Rasulullah, sedang siapa yang berkata Rasulullah telah mengucapkan sesuatu, padahal dia berbohong, maka tempat tinggalnya kelak adalah di neraka.Rasulullah s.a.w bersabda(maksudnya):

“Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka siap tempat tinggalnya di neraka.” (HR Imam al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, no:107)

Disamping itu, perbuatan yang culas untuk meneliti kesahihan suatu hadith nabi sebelum ia disebarkan merupakan satu jenayah ilmu dan termasuk dalam perbuatan mungkar kerana dia sebenarnya telah berdusta. Sabda Rasulullah s.a.w(maksudnya):

“Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia menceritakan segala sesuatu yang dia dengar.” (HR Imam Muslim, Kitab Muqaddimah, no:5)

Justeru, saya menyeru diri saya dan pembaca yang budiman sekalian untuk kita sama-sama menghayati hadith Rasulullah yang dilampirkan di atas.

Ingat, blogging itu memang menyeronokkan. Alangkah baik keseronokan itu diiringi juga dengan manfaat ilmu dan amal. Kalaupun tidak bermanfaat untuk kalian, barangkali ia bermanfaat untuk orang lain pula.

Sekian, selamat mem’blog’kan diri anda.

No comments:

Post a Comment