Sunday, August 31, 2008

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunah - Mufti Perlis

TIADA siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. Baginda adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi maka ia tidak diterima.


Penolakan terhadap sunah Rasulullah berlaku dalam dua bentuk; pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadis. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah.

Kelompok kedua mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadis yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadis berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadis tersebut. Bukan kerana mereka tidak tahu hadis adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam al-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat. Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah menyanggahi pendapatku, maka hadis itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah al-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah s.a.w. maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Al-Zahabi, Siyar A’ lam al-Nubala. 10/34). Kata seorang rawi hadis yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari al-Syafii meriwayatkan sebuah hadis. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadis daripada Rasulullah s.a.w. lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Juga al-Imam al-Syafii: “Setiap hadis daripada Nabi s.a.w. adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263). Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadis maka itulah mazhabku.” (Al- Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama. Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara. Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?! Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadis; Rasulullah dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir (riwayat al-Bukhari). Hadis ini adalah ulasan Nabi terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadis di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya. Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya: Dalam hadis disebutkan: Rasulullah s.a.w. bercelak sedangkan baginda berpuasa (riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani). Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan: “Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan: “Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr). Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis. Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik. Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadis. Anas katanya: Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. (Riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Al-Diya al-Maqdisi menilai hadis ini sebagai sahih). Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air… Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al- Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh. Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam (surah al-Baqarah: 187). Dalam hadis al-Bukhari dan Muslim, Nabi menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh). Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi. Baginda mengajar kita dalam hadis ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadis Abu Daud dan Ahmad baginda memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya. Baginda bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal. Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadis bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadis disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Dalam hadis yang lain baginda bersabda: Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Tujuan hadis ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi bukan demikian. Baginda lebih memahami jiwa insan. Kata al-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis- hadis tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah dan Rasul-Nya tanpa bukti. Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan. Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan al-sunah.

**Dari laman web www.drmaza.com

Wallahua'lam

Saturday, August 30, 2008

Surat Terbuka Buat Rakan Tahfiz

"Sempena Ramadhan yang mulia,aku mendoakan kalian berada dalam lingkungan Rahmat Ilahi hendakNya. Kalian semua adalah insan istimewa yang dipilih oleh Allah sebagai para Hamlatul Quran untuk memegang amanah memartabatkan al-Quran di bumi duniawi ini. Ketahuilah olehmu dan olehku,barisan ayat-ayat suci itu bukan sekadar untuk dihafal, malah yang lebih utama ialah bagaimana ia difahamkan dan dimanisfetasi dalam kehidupan seharian. Telah thabit daripada Rasul bahawa al-Quran ialah sebenar-benar bicara. Sebagaimana kita menjadikan al-Quran itu sebagai hujah di dunia, begitulah al-Quran boleh dijadikan hujah ke atas kita di hadapan Rabb nanti. Di kesempatan ini, aku menasihatkan diriku dan diri kalian juga bahawa al-Quran itu sangat tidak wajar dijadikan batu loncatan untuk mengejar kemewahan dan kekayaan duniawi semata-mata. Tiada dijumpa contoh Nabi sebagai seorang hafiz yang paling masyi mengambil upah terhadap apa sahaja perkara yang bersangkut paut dengan al-Quran. Secara Langsung atau tidak langsung. Tidak juga para sahabat. Tidak para tabi'in malah atba' al-Tabi'in jua. Bahkan merekalah sebaik-baik generasi al-Quran yang pernah dilahirkan. Bersama penghayatan Ramadhan yang jujur,marilah kita bersama dengan segala keimanan dan rendah diri menanamkan niat di hati ini untuk kita tidak mengharapkan apa-apa dengan sebab al-Quran-melainkan Redha Allah. Semoga Ramadhan kali ini membawa seribu keberkatan dalam kehidupan kita semua. Amin"

Ramadhan: Pelik Tapi Benar!

Sesungguhnya, sesiapa yang taat serta faham dengan al-Quran dan Sunnah, maka sekali-kali dia tidak meragui bahawa Allah menginginkan kemudahan untuk hambanya,bukan kesulitan. Allah telah membolehkan beberapa perkara bagi orang yang berpuasa dan tidaklah merupakan satu kesalahan bagi sesiapa yang melakukannya. Di sini, disenaraikan perkara-perkara tersebut beserta dalil-dalilnya.

1. Memasuki waktu subuh dalam keadaan junub
-Dari 'Aisyah dan Ummu Salamah:

Maksudnya:"Sesungguhnya Nabi memasuki waktu subuh dalam keadaan berjunub kerana jima' dengan isterinya,kemudian Baginda mandi dan berpuasa".[HR al-Bukhari:1825,Muslim:1109]

2. Bersiwak
-Nabi bersabda:

Maksudnya:"Sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka bersiwak setiap kali ingin bersolat".[HR al-Bukhari:887,Muslim:252] Dan ada riwayat "setiap kali wadhu" [HR al-Bukhari:2/682]

3. Berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung tanpa berlebih-lebihan
-Rasulullah sendiri berkumur dan memasukkan air ke dalam hidung ketika berpuasa. Tetapi Baginda melarang orang yang berpuasa berlebih-lebihan dalam melakukan keduanya,sebagaimana sabda Baginda:

Maksudnya:"...berlebih-lebihanlah dalam memasukkan air ke dalam hidung kecuali ketika kamu berpuasa". [HR Abu Daud:2366, at-Tirmidzi:788, an-Nasai':87]

4. Merasa makanan
-Dari Ibnu Abbas, beliau telah berkata:

Maksudnya:"Tidak mengapa merasai cuka, atau apa-apa makanan selagimana tidak sampai ke kerongkong dalam keadaan berpuasa" [HR al-Bukhari ta'liiqan(tanpa sanad tetapi telah disambung oleh Ibn Hajar), lihat Fathul Bari:3/154]

5. Mandi serta mencucurkan air ke atas kepala
-Diriwayatkan dari Abu Bakr, katanya, telah berkata orang yang meriwayatkan kepada aku:

Maksudnya:" Aku telah melihat Rasulullah mencucurkan ke atas kepalanya air dalam keadaan Baginda berpuasa, kerana dahaga atau kepanasan". [HR Abu Daud]

*Dipetik dan diolah daripada Ringkasan 'Petunjuk Puasa Ramadhan Berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah as-Shohihah' oleh Abu Harith Fathul Bari.

Friday, August 22, 2008

Tak pasal-pasal Ramlang Porigi Jadi Popular

Oleh: zain-ys(al-ahkam.net)

Politik punya pasal, habis semua jadi bercelaru. Benda yang tak sepatutnya pun habis dibongkar dan dikorek-korek.

MOHD. Saiful Bukhari Azlan melafazkan sumpah sambil diperhatikan oleh bapanya, Azlan Mohd. Lazim (kanan) dan imam masjid, Ramlang Porigi (kiri) di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam



Ramlang Porigi pulak jadi popular. Padahal dia hanya sekadar saksi untuk sumpah Saiful Bukhari. Saksi bukan pengadil. Saksi juga bukan penghukum. Salah atau betul sumpah saiful bukhari, peduli apa bagi diri saksi seperti Ramlang.

Kita juga saksi yang menyaksikan sumpahnya Saiful Bukhari. Bezanya, Ramlang menjadi saksi dengan mata kepalanya sendiri sumpah berkenaan. Sedangkan kita hanya menjadi saksi berdasarkan rakaman di TV.

Orang kata, angkara politik manusia sanggup berbunuhan. Sanggup pulau memulau. Sanggup bercakaran sesama sendiri. Sanggup lakukan apa sahaja.

Hakikatnya bukan politik saja, tapi sikap taksub dan melampau itulah puncanya. Dalam apa halpun, sikap melampau dan keterlaluan boleh membawa bala. Org cerdik boleh jadi dungu. Sikap tidak rasional akan menguasai diri.

Ramlang, sebelum ini hanya dapat kita lihat wajahnya di kaca TV setiap sebelum khutbah Jumaat dibacakan. Dia duduk sebaris dengan imam-imam lain dan sidang jumaat yg hadir. Dia tidak buat apa-apa kecuali duduk diam. Kamera TV akan bergerak sepintas lalu dan wajahnya sepintas lalu juga akan muncul di TV. Ramai orang tidak perasan akan kewujudannya pun.

Sekarang ini Ramlang sudah popular. Dipopularkan oleh sebahagian portal politik dan blog-blog politik. SMS tersebar di sana-sini menyebut2 namanya.

Puncanya mudah.

Kerana terlalu marahkan Saiful Bukhari, bukan setakat Saiful Bukhari yang dimarahinya, malah saksi yang menyaksikan sumpah mubahalahnya pun turut diseret sama. Habis latarbelakang Ramlang disiasat dan dilondehkan. Kemudian beliau dikait-kaitkan dengan pelbagai andaian. Ada yang mengaitkannya sebagai sebahagian dari konspirasi.

Dikorek-korek oleh mereka, dia ini imamkah. Atau menyamar sebagai imamkah. Atau dan atau..

Oleh kerana Ramlang berasal dari Sabah yang dan menjadi pengundi Permatang Pauh, maka dikaitkan bahawa beliau dihantar dari sana ke Permatang Pauh sebagai pengundi hantu atau sebagai agen untuk menjayakan konspirasi.

Kebetulan Ramlang adalah ahli UMNO, maka macam-macam benda yang diandaikan.

Saya fikir, sewaktu Saiful Bukhari bersumpah itu, kalau kebetulan mereka melihat ada seekor semut yang lalu di situ, maka sudah pasti semut itu juga akan dikatakan sebagai salah satu 'barua' yang sedang menjayakan konspirasi terhadap DS Anwar.

Sudah tentu semut itu dituduh sebagai pengundi hantu atau dihantar khas dari hutan mana entah untuk menghapuskan DS Anwar.

Juga mereka akan menyiasat siapakah semut itu? Mereka akan mempertikaikan tahap ke'semut'an semut itu. Semutkah semut itu. Atau semut-semut kah semut itu. Atau semut yang disemutkan sebagai semut kah? Atau yang disemut-semut-kan sebagai semut-semut kah?

Saya Kenal Ramlang

Dirinya, abangnya dan adik-adiknya cukup saya kenali. Isteri Ramlang juga saya kenal. Abang dan adik-adik isterinya juga saya cukup kenali.

Saya yakin, tuduhan-tuduhan jahat ke atas beliau adalah tidak benar dan tidak berasas samasekali.

Wahai kawan-kawan, bersederhanalah dalam segenap hal. Sikap melampau membawa padah!

Gambar dan keterangan dipetik dari utusan online

Saturday, August 16, 2008

Nota Kuliah Agama - 16-08-08

Tajuk : Kitab Pengurusan Jenazah Oleh Nasiruddin al-Albani
(Bab Ghuslu al-Mayyit/ Mandi jenazah)
Penceramah : Ustaz Arif Nazri (Pensyarah UKM, PhD di UIA)
Tarikh : 16 Ogos 2008 (Sabtu)
Masa : 10.00 pagi
Tempat : Surau al-Muhajirin Taman Sri Ukay

Sesungguhnya segala puji bagi Allah. Kita memujiNya, kita meminta pertolongan daripadaNya, dan kita memohon keampunan daripadaNya. Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah tiada siapa yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah tiadalah siapa jua yang boleh memberi hidayah kepadanya.

Maka sesungguhnya sebenar-benar bicara ialah Kitabullah(al-Quran). Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Muhammad s.aw. Seburuk-buruk perkara ialah perkara baru yang diada-adakan di dalam agama. Setiap perkara baru yang diada-adakan itu ialah bid'ah, setiap bid'ah itu sesat, dan setiap yang sesat itu di dalam neraka.

Intro

Telah disebutkan dalam kelas yang lalu bahawa pengurusan jenazah ialah Fardu Kifayah. Terdapat sebuah hadith yang menggunakan fi'il amar(ayat suruhan) agar setiap umat Islam menguruskan jenazah. Di dalam penentuan hukum, penggunaan fi'il amar membawa makna yang besar iaitu wajib. Namun harus difahami bahawa sesuatu perkara menjadi wajib sekiranya dalil yang menunjukkan wajib berdiri dengan sendirinya. Ini tidak berlaku dalam hal pengurusan jenazah. Hadith yang menunjukkan wajib itu telah dimansuhkan oleh sebuah hadith yang lain dimana Rasulullah menyuruh hanya sebahagian umat Islam(Taifah minan nas) yang wajib menguruskan jenazah. Maka tidak syak lagi bahawa Ulama ahli sunnah menghukumnya sebagai Fardu Kifayah sahaja, bukan fardu ain.

Apabila disebutkan pengurusan jenazah ialah Fardu Kifayah, ini secara tidak langsung membawa erti bahawa ia adalah suatu ibadah didalam Islam. Oleh itu, tidak patut untuk mana-mana pihak mengambil kesempatan mengkomersilkan hal-hal pengurusan jenazah untuk mengaut keuntungan duniawi-seperti yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kita hari ini. Di samping itu, apabila dikatakan ia suatu ibadah, tidak dapat tidak ia tidak boleh lari daripada petunjuk Sunnah. Sebagaimana yang Rasulullah lakukan, begitulah kita sebagai umatnya yang beriman mengikuti setiap perilaku Baginda yang agung.

Satu hal yang perlu diingat dalam bab memandikan jenazah, ia merupakan satu ibadah yang sangat mudah dan ringkas. Sesiapa sahaja boleh melakukannya. Lelaki atau perempuan. Tiada juga bacaan-bacaan khas ketika memandikan jenazah melainkan kesemuanya tidak thabit daripada Rasulullah. Tidak patut untuk seorang Muslim yang mengaku mencintai Rasulullah tiba-tiba berpaling dalam melakukan ibadah lalu ia mengikuti yang selain Baginda. Dalam sunnah peninggalan Baginda terdapat banyak riwayat tentang pengurusan jenazah maka dalam hal ini kita menyebut "kami dengar dan kami patuh".

Mandi Jenazah

Antara poin – poin yang sempat disalin tentang mandi jenazah adalah seperti berikut:

· Kaedah mandi jenazah yang akan dikemukakan berdasarkan hadith Rasulullah yang memberi arahan kepada orang yang mahu memandikan Zainab tentang tatacara yang betul dalam memandikan mayat.

· Mandi jenazah seperti juga mandi wajib. Diratakan air keseluruh anggota badan.

· Mandikan di tempat yang tertutup. Bukan seperti sesetengah masyarakat yang memandikan jenazah di ruang tamu. Ini bermaksud untuk menutup aib si mati.

· Mandikan selang-seli antara air mutlak dengan air yang dicampur daun bidara(atau yang sebanding dengannya seperti sabun dan haruman).

· Bilangan mandi : 3 kali atau lebih secara ganjil(witr).

· Basuhan terakhir campur dengan kapur barus.

· Untuk mayat perempuan yang bersanggul, dibuka sanggulnya dan diikat kembali dan dijadikan 3 sanggul/tocang. Demikian menurut hadith sahih.

· Mulakan dengan anggota sebelah kanan terutama anggota wudhu’ (sebab itu jumhur ulama’ berhukum bahawa mayat yang dimandikan tidak perlu lagi diwudhu’kan).

· Setelah dibuka pakaian, ganti dengan kain yang lain untuk menutup aurat. Mandikan diatas sehelai kain lagi agar tertutup pandangan orang yang memandikan daripada melihat aurat si mati. Dikecualikan untuk membasuh anggota yang benar-benar perlu dilihat.

· Lelaki memandikan lelaki. Perempuan memandikan perempuan.

· Suami boleh memandikan isteri. Begitu juga isteri boleh memandikan suami. Dalam keadaan demikian, tiada lagi aurat antara keduanya. Tidak perlu ditutup dengan kain. Tapi disyaratkan juga agar suami/isteri memandikan mayat seorang diri.

· Ini berdasarkan azam Ummu Abdillah Ummul Mukminin Saidatina Aishah yang mahu memandikan sendiri Rasulullah. Tapi disebabkan terdapat lagi jejaka-jejaka kental pada masa itu maka jenazah nabi diuruskan oleh Saidina Ali dan para sahabat yang lain.

· Juga berpandukan azam Rasulullah yang bersabda kepada Aishah bahawa jika Aishah menemui ajal terlebih dahulu daripada Rasulullah, Baginda sendiri yang akan menguruskan jenazah Aishah. Namun takdir Ilahi menentukan perkara itu tidak berlaku.

· Perlu diberi perhatian,orang yang memandikan jenazah mestilah orang yang paling arif tentang sunnah seperti contoh Ali yang ternyata sangat arif tentang sunnah kerana beliau dibesarkan dalam bait al-nubuwwag(rumah kenabian).

· Pahala besar untuk orang yang memandikan jenazah. Dengan syarat:

a) Menutup segala aib – bukan seperti orang yang tidak bertanggungjawab membuka aib seperti dalam majalah-majalah picisan seperti Mastika.

b) Mengharapkan redha Ilahi – Iaitu tidak mengharapkan pujian insan dan tidak juga mengharap akan intensif dunia.

· Disunnahkan untuk yang memandikan untuk mandi juga setelah selesai. Jika tidak, cukuplah dengan membasuh tangan.

Untuk mendapatkan dalil-dalil untuk setiap poin di atas, anda disarankan untuk memiliki sendiri buku "Hukum dan Tata Cara Mengurus Jenazah Menurut al-Quran dan al-Sunnah" karangan Sheikh Nasiruddin al-Albani Rahimahullah. Wallahua'lam.

Semoga bermanfaat.


Friday, August 8, 2008

Ghatering Hamidian 99-03 @Kagumas

Perkara : Ghatering Hamidian batch 99-03
Tarikh : 1 Ogos 2008(Jumaat malam Sabtu)
Masa : 8.30 - 9.00 pm
Tempat : Kagumas Bangi

Description:

Lama gila tak jumpa dengan bebudak Maahad ni. Kali terakhir reunion seingat aku dalam 2 sem lepas. Kini, lepas setahun tak kumpul, Suzaizul Kamal(aka Kelanang) dan Eli Dengkil mengambil inisiatif mengumpulkan budak - budak batch aku dari seluruh pelosok dunia. Mane taknya, ni la masa yang paling sesuai sebab bebudak oversea pun tengah cuti. Cuti pun tinggal lagi sebulan ja. Sibuk tak sibuk, paksa gak diorang turun gathering kali ni.

Aku sendiri sebenarnya hampir - hampir tak dapat join gathering kali ni. Ye la, tetiba kelas EMS aku tuka jadi hari Jumaat malam. Pastu Sabtu pagi pula ada tournament futsal kat Sports Complex. Kalau aku pegi esok mesti pancit tak ingat. Ya, memang betul la tekaan aku tu. Hampeh betul.

Last - last atas rindu yang teramat sangat kat bebudak ni aku nekad korbankan kelas malam tu and futsal keesokan harinya and join diorang stay up kat 'downtown'. Hehe, borak punya borak tak perasan aku sedar - sedar ja jam dah menunjukkan pukul 3 pagi! Esok aku nak futsal la pulak...hish!! Penat + tak cukup tidur = Kalah....

Sebelum terlupa kat sini aku mengambil kesempatan mengucapkan "Selamat membina masjid kristal" kepada saudara Fazdir(aka Kambeng) dan Haniff Hanafy(aka Jambang) yang khabarnya akan bernikah dalam masa terdekat. Moga kalian semua diberkati hendakNya. Amin...

Akhir kata, "Maahad cemerlang budaya kita"!

*GAMBAR SEKITAR PROGRAM (credit to anep) Gambar ramai2 depan keta Kamal
Zaim diapit dua orang 'foreigner' Kambeng(UK) dan Timie(Korea)

Bebudak tengah tunggu desert...time ni Madon tengah karaoke
Demm!!berenti la woi!!
Fuhh,banyak gile makan....'sedap dan murah'
Madon dah abis karaoke...Mic pon tak lepas lagi tu!
Pastu sambung balik!!Arghh!
Amal(USIM), Aku, Mat Nor(BMI), Eli(keje masyuk)
Tengah tibai ABC ke hape...aku pun tak ingat
Berkaca mata adalah tuan kamera ni - Hanip jambang

Gambar ramai2 kat luar...Nice
Typical Hamidians' jump
"Pasni gerak Amir Ali tibai teh tarik pulak ye"-Eli

Saturday, August 2, 2008

Shah Alam menjerit v1

Gambar-gambar sekitar friendly match Malaysian Selection vs Chelsea All-Star

Beli kat Ampang Point. Credit to Music Valley Entertainment
Perkarangan SSA. Without stalls, boring.... Gandingan baru Frank Lampard n Frank Hasan.
Bakal menggegar season depan...ekeke
Cech, Cudicini, Hilario
Hearts of the defence
Tgh membandingkan sistem latihan amatur n world class
Latihan kem skuad MalaysiaGambar ketika perlawanan. Thanx to Abang Zola_25
'Mexican wave' daripada penonton. Not badSebahagian daripada 50 000 yang hadir.
Dah macam final Liga Malaysia aku tengok. Ramai gilos

Dah abis game. Pasni terus pecut balik takut jam!