Friday, November 28, 2008

Album Algebra: Yang Benar Tetap Benar (Album Lagu Puisi Dr Asri)




Siapa Algebra? Algebra adalah gabungan 5 anak muda iaitu Ahnaf Jamal (19- vokalis utama/gitar), Nur Mohd Alieff Ayub (20- vokalis kedua/drummer), Raja Mohd Farhan Raja Shaifulzaman (21-keyboardist), Ahmad Syauqi Ahmad Shabir(19-lead guitar) dan Mohd Hafiedz Samsuri (24-percussionist/drummer) yang merupakan mahasiswa-mahasiswa institusi pengajian tinggi tempatan. Algebra ditubuhkan pada awal tahun 2008 dan aktif membuat persembahan dengan menyampaikan lagu-lagu yang bersumberkan hadis. Algebra yang dipimpin oleh Xifu Naser juga merupakan artis pertama bernaung di bawah Nasyeed Edutainment Publishing Sdn Bhd yang lebih dikenali dengan jenama Nasyeed.Com.

Band Nasyid Pertama. Walaupun kumpulan-kumpulan nasyid sedia ada di Malaysia berbentuk “vocal group”, namun Algebra membawa kelainan dalam industri nasyid tanah air apabila muncul sebagai kumpulan nasyid pertama yang tampil dalam bentuk “band”. Ini merupakan satu langkah yang berani di sebalik masih terdapat segelintir pihak yang masih berpendapat bahawa penggunaan alat muzik bertali dan tiupan tidak islamik.

Yang Benar Tetap Benar. Album Yang Benar Tetap Benar ini mengandungi 10 track merangkumi 8 buah lagu dan dua bacaan puisi. Antara lagu yang dijangka hit ialah Aku Rela ciptaan Xifu Naser dan lirik Dr. MAZA (SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin) nyanyian Algebra, Islam Di China ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Dakmie & Algebra), Aku Bukan Musuh Harta ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Kopratasa & Algebra) dan Derita Hati Seorang Bonda ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Aishah & Algebra). Lagu-lagu lain adalah Daerah Ini( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra), Puisi Dunia ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra), Suara Tajdid Kami ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra) dan Yang Benar Tetap Benar ( Xifu Naser/ Dr.MAZA / Algebra). Sementara itu 2 buah puisi yang dibacakan oleh SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin berjudul Itulah Politik Namanya dan Salah Menduga menyempurnakan kandungan 10 track album ini. Selain itu, album ini turut melibatkan nama-nama besar dalam industri muzik antaranya Dakmie selaku Penerbit, Eddie Marzuki, Adnan Abu Hasan, Zairi Ariffin, Ujang dan lain-lain. Album ini juga adalah terbitan dan edaran Nasyeed.Com.

Puisi Mufti Perlis. Dalam album pertama ini Algebra telah diberi penghormatan untuk melagukan puisi-puisi yang dinukil oleh tokoh agama terkenal iaitu SS Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang juga merupakan Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Selain daripada 8 lagu yang dimuatkan dalam album ini diadaptasi daripada puisi karya beliau, Dr Mohd Asri sendiri turut menyampaikan 2 buah puisi di dalam album ini. Dr Mohd Asri merupakan seorang tokoh yang agak vokal dalam menangani isu-isu semasa dan beliau pernah menggemparkan dunia hiburan tanah air apabila tidak membenarkan beberapa artis tertentu tampil membuat persembahan di negeri Perlis dalam satu program anjuran sebuah stesen TV tempatan. Tindakan tersebut telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Pada ketika kebanyakan tokoh-tokoh agama tanah air agak menjauhkan diri daripada dunia muzik, Dr Asri mengambil langkah sebaliknya apabila melibatkan diri dalam pembikinan album Algebra: Yang Benar Tetap Benar ini.

Penampilan Aishah, Kopratasa dan Dakmie (ex vokalis barongan). Penampilan nama-nama besar dalam industri muzik tanah air seperti Aishah, Kopratasa dan Dakmie (ex vokalis barongan) telah menyerlahkan lagi keistimewaan album ini. Aishah dan Kopratasa terutamanya telah lama tidak tampil dengan album atau lagu baru. Kolaborasi mereka dengan Algebra melalui lagu Derita Hati Seorang Bonda dan Aku Bukan Musuh Harta diharap sedikit sebanyak mengubat kerinduan para peminat. Sementara itu Dakmie yang juga bertindak selaku penerbit merupakan nama yang tidak asing lagi dalam industri nasyid.

Sumber:muadzseekinglight.blogspot.com

1 comment:

  1. http://www.nasyeed.com/v8/index.php?option=com_content&task=view&id=373&Itemid=1

    ReplyDelete