Friday, September 5, 2008

Hizbi Tulen VS Salafi Tulen

Di dalam gelanggang dakwah, sikap toleransi dan keterbukaan amat diperlukan. Lagi-lagi dalam menyikapi isu khilafiah dan perbezaan pendapat. Dalam apa jua perkara dan keadaan, Islam mengajar kita wasatiyyah dan i'tidal. Ini penting bagi menjaga perpaduan dan kesatuan umat daripada perpecahan dan benci membenci. Namun, amat dikesali apabila wujud golongan yang 'lebih sudu daripada kuah' atau 'lebih lajak daripada laju' dalam beberapa hal yang mempertaruhkan perpaduan umat Islam. Mari kita tinjau dua golongan yang berbalah antara satu sama lain tetapi mereka bersatu pula pada beberapa perkara yang lain:

Hizbi Tulen

Golongan ini pada pandangan saya adalah golongan ekstremis dalam bab politik. Jumlah mereka ramai sekali. Bagi mereka, sesiapa saja yang memberi keuntungan kepada parti mereka maka mereka disokong. Kalaulah ada seseorang yang memberi pandangan yang nampak seperti tidak menguntungkan parti mereka, maka mereka ditolak. Malah orang itu akan dilabel dengan pelbagai tuduhan seperti 'barua Umno', 'agen yahudi', dan 'bapak setan'.

Pelopor mereka kebanyakannya orang-orang Syiah atau yang terpengaruh dengan Syiah. Mereka cuba berselindung, tetapi taktik mereka cukup mudah dihidu kerana itulah taktik yang digunapakai oleh orang terdahulu. Kalau mereka berceramah, tidak sah kalau tidak disulami dengan kata-kata kesat dan nista. Maki hamun menjadi makanan ruji mereka. Kalau 'orang parti' difitnah dengan tuduhan rasuah atau liwat mereka akan mencari seribu satu dalil untuk menolaknya. Di penghujung yang lain, merekalah yang menjadi juara dalam menabur fitnah kepada 'orang bukan parti' melalui ceramah dan tulisan-tulisan mereka di blog dan laman web. Dalil yang sebelumnya dibaca seakan dinasakhkan serta merta lantaran tidak memberi faedah kepada parti mereka.

Slogan mereka berapi - api ingin menegakkan hudud, tetapi dengan wajah yang mereka tampilkan itu, orang Islam pun menjadi fobia dengan hudud! Apatah lagi ia ditambah dengan ilmu yang cetek dan fikiran yang jumud tentang hudud. Bagi mereka hudud ialah hukum potong tangan dan rejam batu saja. Tiada yang lain. Sebab itu antara gelaran lain untuk golongan ini ialah 'hududiyyah' iaitu orang yang memperjuangkan hudud tapi tidak tahu menahu langsung tentang hudud. Lalu dibaca ayat sesiapa yang tidak mahu menghukum dengan apa yang diturunkan Allah dia adalah kafir,zalim dan fasik.

Syeikh, semua umat Islam rindukan hudud. Namun dalam kondisi umat yang begitu lemah dan sistem kita yang langsung tidak memungkinkan untuk kita menjalankannya. Seandainya satu hari Islam kembali tertegak, maka kami adalah orang pertama yang tunduk kepada sistem hudud. Adapun sekarang,kamu kayakanlah diri dengan ilmu hudud itu. Kamu tidak mungkin mencapainya melainkan kamu kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah!

Salafi Tulen

Dalam sudut yang lain, di sana wujud satu golongan yang dipanggil 'salafi tulen'. Kadang-kadang mereka turut dilabel 'salafi ori' dan 'ultra salafi' oleh saifulislam.com. Apa yang menyebabkan mereka 'tulen' ialah kerana mereka menyangka pendapat mereka saja yang betul bahkan yang selainnya salah belaka selain sikap keras mereka dalam isu-isu yang masih tergolong dalam khilaf mu'tabar atau perkara yang masih diperselisihkan oleh para ulama'.

Mereka sering menyanggah golongan Hizbi dalam bab politik dan siyasah, tapi mereka-tanpa disedari- bersatu pula dengan golongan tersebut dalam bab akhlak. Apabila memperkatakan suatu pihak, mereka seringkali menghukum dengan membuta tuli dan haloba. Jarang sekali mereka bersikap adil terhadap lawan apatah lagi untuk mencermin diri sendiri, lebih payah lagi. Maka mereka meletakkan gelaran yang tidak sepatutnya kepada golongan hizbi seperti 'khawarij', 'anjing neraka' atau 'kilabunnaar'.

Antara ciri-ciri mereka lagi, mereka adalah antara yang paling pemurah dalam memberi kutukan kepada tokoh umat Islam. Lebih-lebih lagi tokoh Ikhwanul Muslimin(IM) seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, dan Turabi. Bahkan Dr Yusuf al-Qardhawi juga terpalit sama. Kita tahu dan yakin bahawa tokoh-tokoh ini mempunyai sumbangan yang besar kepada umat Islam. Dalam masa yang sama kita tidak menafikan bahawa tokoh-tokoh ini tidak maksum maka mereka terdedah kepada kesilapan dan dosa. Kita mendoakan agar Allah yang Maha Pengampun berkenan mengampunkan dosa-dosa mereka dan menggantikannya dengan kebaikan. Namun bukanlah tugas seorang muslim untuk membongkar kesesatan orang yang telah mendahului kita dalam iman dan amal. Apatah lagi mereka telah memberi sumbangan yang besar dalam mempertahankan bendera salafi sendiri!

Di sudut lain pula, mereka seakan mengharamkan semua taqlid dalam apa jua bentuk. Padahal taqlid itu dibenarkan untuk orang awam kecuali taqlid buta yang merosakkan tanpa dalil dan hujah. Ironinya, tanpa mereka sedari mereka juga turut bertaqlid dengan para mashaikh. Pandangan lain seakan tidak valid bagi mereka kecuali apa yang dikeluarkan oleh al-Albani, Bin Baaz, Uthaimin dan beberapa yang lain. Perkataan 'salafi' disempitkan oleh mereka sehingga seseorang hanya dianggap salafi sekiranya mereka berpegang dengan tokoh-tokoh tersebut, bukan dengan orang lain. Sheikh, lautan ilmu Islam itu lebih besar daripada sangkaan itu!

Muslim moderat

Betapa penting umat Islam yang mahu menyibukkan diri di dalam gelanggang dakwah mengetahui terlebih dahulu sikap dan cara berdakwah para rasul. Masukilah Islam melalui pintu aqidah yang tulen lagi syumul, bukan melalui pintu politik dan pintu perbalahan yang sempit dan beku. Adapun hal ini diterangkan dengan jelas di dalam al-Quran:

"Serulah ke jalan Tuhanmu(wahai Muhammad) dengan hikmah(kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik, sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dialah juga yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat hidayah"(Surah al-Nahl:125)

Dengan itu, saya menasihatkan anda semua dan diri saya untuk kita sama-sama menghayati persaudaraan Islam. Sebagaimana kita benci untuk dicampakkan ke dalam neraka begitulah juga halnya kita benci perkara yang sama berlaku terhadap saudara seIslam yang lain. Maka, sampaikanlah dakwah itu mengikut cara yang paling terbaik iaitu dengan kita merujuk kembali roh dan semangat dakwah para nabi dan rasul, agar dengan itu kita berupaya untuk kembali menjadi generasi terbaik sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh para salafussoleh.

Wahai Yang Membalik-balikkan Hati, tetapkan jantung hati kami atas deenMu dan ketaatan kepadaMu.

No comments:

Post a Comment