Friday, July 25, 2008

Ethics And Fiqh In Everyday LIfe

Pengalaman menghadiri temuduga biasiswa baru - baru ini tidak mungkin dilupakan. Selain dapat berkenalan dengan ramai kenalan baru, aku juga berjumpa dengan pelbagai ragam manusia dan cabang pemikiran yang berbeza - beza. Keadaannya sangat berbeza dengan yang selalu aku harungi di UIA di mana orang sekeliling mempunyai religion awareness yang tinggi. Sunnah pun bukanlah sesuatu yang janggal sebab bila mana terdapat perselisihan faham dan kekeliruan, kita boleh kembali kepada al-Quran dan Sunnah. Ia tidak berlaku di sini.

Cabaran sebeginilah yang memerlukan method - method dakwah yang lebih luas dan hikmah yang bijaksana kerana kita membawa imej Islam dan Muslim secara pukal. Silap langkah, di atas kesilapan dan kelalaian kita, orang bukan Islam akan memandang serong terhadap agama yang suci ini lantas menjauhkan mereka dari hidayah Tuhan yang benar.

Mujur orang - orang bukan Melayu terutamanya Cina mereka tidak menilai orang secara membuta tuli. Mereka lebih cenderung menilai berdasarkan merit bukan sentimen. Bukanlah mahu memuji kaum Cina secara berlebihan, tetapi hakikatnya mereka telah mendahului kita sangat jauh mungkin sejauh lima puluh tahun perjalanan! Cakap saja bidang apa semuanya kita ketinggalan. Ekonomi, pendidikan, hiburan,politik, malah boleh jadi muallaf dari kalangan Cina pun sudah mendahului kita dalam bidang Agama. Lihat saja bukti di sekeliling; Ann Wan Seng, Ridhuan Tee, Xifoo dan Ustaz Hussein Yee. Siapa yang mampu mempersoalkan kredibiliti mereka?

Methodologi Dakwah

Baiklah, sebenarnya ada beberapa perkara berlaku sepanjang temuduga kali ini. Secara jujur ia bingkas menggugat iman dan mencabar kesabaran. Mula - mula aku agak 'cultural shock' sedikit sebab sudah lama tidak bersosial dengan 'orang luar' tapi bila aku fikirkan kembali di situlah tempat untuk aku mempraktikkan segala teori yang pernah dipelajari. 'Orang luar' di sini termasuklah nonmuslim atau muslim yang kurang penghayatan Islamnya.

Aku berasa agak janggal berada dalam kumpulan lantaran aku seorang saja yang berasal dari latar belakang agak Islamic. Bebudak UIA yang lain lepak di group lain. Nak tak nak, aku terpaksa memberanikan diri berhadapan dengan pelajar UITM, UKM, Imperial dan Cambridge University. Golongan inilah yang berbicara siang dan malam dalam bahasa Inggeris berbanding aku yang hanya membaca jika ada kelapangan. Tidak ubah seperti kata pepatah 'jauh panggang dari api'!

Untuk dijadikan cerita, intro group tu pun sudah mengejutkan. Bila aku tiba di tempat berkumpul, gadis - gadisnya secara serentak (dalam 4 orang) menghulurkan tangan mahu berjabat tangan. Tidak kira la Muslim atau nonmuslim. Dua -dua pun sama. Kalau itu terjadi kepada kamu, apakah tindakan yang mungkin diambil? Adakah kamu pantas menjawab huluran tangan mereka atau kamu akan menolak sambil mengatakan perbuatan itu berdosa di sisi Islam? Aku betul - betul bingung pada waktu itu...Dan inilah yang mahu dibincangkan.

Dalam keadaan itu aku perlu bertindak secara spontan. Biarlah apa yang berlaku menjadi rahsia antara aku dengan Yang Maha Mengetahui.

Sebenarnya banyak lagi isu termasuk bab waktu sembahyang, makan makanan hotel lima bintang yang disediakan tukang masak Cina dan tandas yang tidak disediakan air(hanya tisu). Tetapi atas masa yang terbatas perbincangan itu kita bawa ke masa hadapan.

Fatwa Dr. Yusuf al-Qardhawi

Benar, aku pernah berjumpa pendapat yang dikeluarkan oleh Dr Yusuf al-Qardhawi tentang hukum berjabat tangan dengan wanita bukan mahram. Beliau menutup perbahasan yang panjang lebar dengan mengatakan:
Dalam  menutup  pembahasan  ini  ada dua hal yang perlu saya
tekankan:
Pertama,  bahwa  berjabat  tangan   antara   laki-laki   dan
perempuan  itu  hanya  diperbolehkan  apabila tidak disertai
dengan syahwat serta aman dari fitnah. Apabila dikhawatirkan
terjadi fitnah terhadap salah satunya, atau disertai syahwat
dan taladzdzudz (berlazat-lazat)  dari  salah  satunya  (apa
lagi  keduanya;  ) maka keharaman berjabat tangan tidak
diragukan lagi.(Sumber: www.Darulkautsar.com)

Disebabkan fatwa beliau ini, ada segelintir kelompok salafi dari jalur keras memaki beliau dengan makian yang dahsyat malah ada yang sanggup mengkafirkannya! Tapi jika dilihat dengan fikiran yang terbuka dan jiwa yang bebas kita dapati tahkik beliau ini sangat bertepatan dengan keadaan semasa. Apatah lagi ia bersandarkan dalil yang kuat dan penerangan yang rapi. Moga Allah mengganjari beliau dengan pahala yang besar atas ijtihad yang beliau kemukakan. Kalau ia ditakdirkan betul maka kepadanya dua pahala tetapi jika sebaliknya baginya satu pahala dan sungguh Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Fiqh Islam Yang Luas

Jika ada yang mengemukakan kaedah fiqh yang lebih luas dan mudah, ramai yang akan menempelak malah melemparkan pelbagai tuduhan ke atas si pencadang. Mengapa tidak dilapangkan dada menerima nas - nas dan dalil yang sahih lalu mengatakan "kami dengar dan kami patuh"? Tidak mungkin berdiri fiqh tanpa nas dan tidak mungkin sendirian nas tanpa kaedah usul fiqh. Begitulah keduanya saling memerlukan antara satu sama lain. Kalau begitu, mengapa kita sering dibebankan dengan fiqh yang sempit dan menyusahkan?

Masih ingat dengan jelas ketika seorang ustaz berceramah di surau di sekitar Bangi. Kuliah beliau berlandaskan kitab kuning karangan guru pondok. Dengan segala kehormatan terhadap tokoh tersebut, aku mengatakan bahawa kalaupun tokoh tersebut seorang yang alim, itu bukan satu tiket untuk kita bertaqlid dengannya membuta tuli. Kita timbanglah dengan neraca Quran dan Sunnah. Aku langsung tidak bersetuju dengan kenyataannya: "Dengar khutbah seperti sembahyang jugak tuan - tuan. Kena duduk diam. Tidak boleh bergerak - gerak". Bunyi pun sudah lucu, apatah lagi jika dibentangkan dalil dan nas yang sahih!


Fiqh Taisir

Aku tidaklah berniat untuk membincangkan kaedah fiqh taisir secara panjang lebar di sini. Cukuplah aku katakan bahawa antara sifat semulajadi agama Islam itu ialah mudah dan memudahkan. Terlalu banyak dalil al-Quran yang menyokong. Perlu juga diingat bahawa bila dikatakan Islam itu mudah, ia bukanlah bererti kita bisa memudah - mudahkannya. Malah kita berlindung dari perlakuan sedemikian.

Doa aku agar jika tindakan aku itu bertepatan dengan ajaran Islam maka ganjaran Allah ke atasku dan jika ia bertentangan maka Engkau ya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani...


3 comments:

  1. huhu next time, cube berada kat tempat tu dengan memakai songkok atau pape yang seangkatan dengannye.. Pasti mereke-mereke tidak berani menghulurkan tangan... hehe

    ReplyDelete
  2. haha tak mungkin la paan..yg hulur bkan nonmuslim je,yg muslim pn sekaki..maybe kurg kefahaman kot...ntahla

    ReplyDelete
  3. Memang le.. AT LEAST kalau ko pakai songkok atau yang seangkatan dengannye ni, mungkin akan timbul perasaan segan dalam diri mereka.. haha...

    ReplyDelete