Sunday, June 29, 2008

Ya Allah, Pelihara kami daripada fitnah Dajjal

Aku kira semua sudah maklum. 'Kiamat kedua' yang aku takuti sudah tiba. 'Kiamat pertama' pada tahun 1998 masih segar di ingatan. Mana ada satu akal yang waras dapat menerima satu fitnah terbesar kepada seorang Muslim yang soleh. Seorang pejuang yang ikhlas dalam jalan dakwah, akhirnya disabit kesalahan meliwat? Itulah realiti yang direka oleh si zalim terhadap manusia bernama Anwar Ibrahim!

Namun itulah sepertimana yang telah ditulis Allah. Mereka merancang dan Allah juga merancang. Kelekaan mereka menyebabkan mereka lupa bahawa Allah adalah sebaik-baik perancang. Arus kebangkitan rakyat telah bertitik tolak dari peristiwa itu. Laungan Reformasi bertempiaran di mana-mana. Segala percaturan jahat si zalim satu persatu dibongkar. Bersamanya segala bukti sahih. Nak tak nak si zalim harus melakukan sesuatu untuk menghentikan si reformis ini.

Akhirnya, Anwar Ibrahim ditangkap. Terus sahaja dibicarakan atas tuduhan kesalahan yang aku rasa dunia logik langsung tidak mampu menerima. Juga, masih aku ingat apa yang berlaku semasa beliau di dalam tahanan. Walaupun tidak semua yang mampu diingat, tapi paling kurang dua peristiwa hitam tidak mungkin lekang dari dalam ingatan. Pertama, ketika beliau ditumbuk sehingga muka beliau berubah menjadi 'two face'. Mungkin ketua polis pada waktu itu mengimport Evander Holyfield, wallahua'lam. Kedua, ketika mana beliau diracun dengan arsenik. Aku mengagak si zalim ketika itu mahu hapuskan saja Anwar dari muka bumi ini. Maka, tidak sukar untuk meneka sebab musabab Anwar berlindung di kedutaan Turki ketika ini. Tentulah beliau tidak mahu ditebuk buat kali kedua!

Ada andaian yang dibuat dalam beberapa blog pro Pas yang menyatakan konspirasi ini sengaja dicipta untuk melarikan pandangan masyarakat daripada kes Altantuya tempoh hari. Mereka sedar dan kita juga sedar bahawa 'Melayu mudah lupa'. Tidak keterlaluan jika dikatakan ungkapan yang dicipta oleh si zalim itu adalah antara senjata ampuh golongan yang sezalim dengannya untuk menutup kebenaran. Maka andai andaian yang dibuat itu benar, maka ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan untuk orang yang berakal. Isteri Anwar yang dikasihi pun menyatakan perkara yang sama.

Tapi kebodohan apakah ini, yang menggunakan taktik sama yang telah diketahui kesudahannya oleh pihak lawan? Kalau mahu 'copycat' pun, buatlah tuduhan yang lain pula. Mengapa perlu liwat? Padahal ada berjuta - juta lagi konspirasi yang boleh dibuat! Tidak perlu IQ yang tinggi untuk meletakkan beberapa keraguan terhadap tuduhan tersebut. Adalah sesuatu yang pelik seorang yang berumur 23 tahun tewas di tangan seorang yang berumur 57 tahun. Takkan beliau tidak melawan? 'Flying kick' saja lah. Sedangkan si betina pun melawan. Ini bukan lagi soal kes cabul atau ragut. Kalau ragut beg tangan pun ada yang sanggup bergadai nyawa, inikan pula ragut kehormatan! Jelas sekali betapa rendahnya IQ dan tahap mentaliti orang kedua terpenting dalam negara ini! Kelulusannya memberitahu segalanya....

Aku bukanlah peminat politik. Tapi kalau cerita bab politik, 'sekali petik sepuluh yang datang'. Betapa penangan politik sehingga tiada dijumpai seorang yang tidur dalam ceramah - ceramahnya seperti tidurnya seorang pelajar di dalam kelas calculus. Aku pasti selepas hari ini akan terjadi sesuatu yang besar dalam negara ini. Gelombang reformasi akan mengambil tempat gelombang tajdid buat seketika waktu. Sorakan emosi akan dilaungkan di mana - mana. Jika itulah akibatnya, maka aku khuwatir akan ada yang mengambil kesempatan. Bukan sedikit yang akan bertepuk tangan melihat kejatuhan umat ini. Kemudian apabila umat sudah lemah dan tidak mampu berbuat apa - apa lagi, mereka akan diserang di kiri dan kanan sambil mereka akan kaku dan berdiam diri seperti diamnya orang di dalam kubur (sekadar meminjam kata - kata al-Qardawi).

Harus diambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku kepada rakan - rakan kita yang lain. Algeria, turki, dan Indonesia pernah menghadapi perkara yang sama atau hampir sama dengan apa yang berlaku di negara kita sekarang. Anjuran untuk duduk semeja tidak lama dulu yang bagi aku adalah jalan penyelesaian terbaik telah ditolak mentah - mentah. Si menteri dan Tok guru tidak mahu bertolak ansur. Maka, apa yang mampu dilakukan sekarang terutama pemuda yang seperti aku ialah janganlah kita bertindak terburu - buru. Dahulukanlah al-Quran dan al-Sunnah melebihi persepsi akal dan emosi yang terbatas. Jika ada ajakan kearah kehancuran maka lemparkan ia ke belakang dinding. Pejuang sejati bukanlah diukur dengan betapa hebat dia berlawan, tetapi yang dapat mengawal dirinya ketika marah (hadith riwayat Tirmidzi).

Fitnah(baca konspirasi) ini boleh jadi sengaja diturunkan oleh Allah untuk menguji orang - orang beriman. Tapi aku dan kamu juga sebagai hamba yang lemah memohon agar Allah selamatkan kita dari fitnah - fitnah ini. Betapa kita sedari bagaimana keadaannya ketika Rasulullah menceritakan perihal fitnah dajjal. Fitnah besar sebegini sepatutnya mendorong kita untuk menekan butang kecemasan tentang iman yang tersemat di dada. Tiadalah daya upaya seorang insan melainkan memohon kepada Tuhannya pagi dan petang agar diselamatkan daripada fitnah al-masih al-dajjal.

Ya Allah, pelihara kami daripada fitnah Dajjal!

No comments:

Post a Comment