Thursday, June 26, 2008

Pendakwah Mesti Sertai Politik?


Kali ini, harus aku mulakan bahawa aku sangat-sangat menghormati Tuan Guru Nik Aziz (TGNA). Jasa beliau terhadap perkembangan Islam tanahair tidak perlu dipertikaikan lagi. Tidak keterlaluan untuk aku menyatakan bahawa aku membesar dalam suasana dakwah yang dibawa oleh Tuan Guru sendiri.

Cumanya untuk mengatakan Tuan Guru benar dalam semua perkara, aku tidak setuju. Malah TGNA juga manusia biasa. Pendapatnya diterima dan ditolak. Kalaulah seseorang tidak melakukan kesalahan bermakna dia maksum. Sedangkan tidak ada seorang yang maksum melainkan seorang yang bernama Muhammad Bin Abdillah.

Dalam banyak perkara aku sehaluan dengannya. Mana tidaknya, manhajnya sama dengan manhaj aku. Malah dalam hal - hal politik juga aku terbuka untuk condong ke arah pendapat TGNA. Tidak kurang juga apabila masuk bab - bab lain yang lebih cabang.

STATEMENT DALAM TV PAS

Sedang melayari Youtube, aku terjumpa ulasan TGNA bertajuk "Pendakwah Mesti Sertai Politik". Dengan berbaik sangka aku terus tonton video tersebut untuk mengetahui lebih lanjut. Oh, rupanya ulasan TGNA ni dah pernah aku dengar. Tak silap aku di komputer kawan aku. Cumanya ulasan ini ditujukan khas untuk Mufti Perlis yang berpendirian tidak mau join mane2 parti politik. Pendirian TGNA jelas, pendakwah mesti join politik. Kalau kamu mahu Islam, kamu mesti ada kerajaan. Barulah boleh laksana hukum - hukum Islam katanya.

Aku bukan bertujuan untuk mengiya atau menidakkan statement itu. Langsung tidak. Namun setiap perkara berkaitan agama tidak boleh lari dari petunjuk al-Quran dan al-Sunnah. Maka aku melihat apa yang diperkatakan oleh TGNA ada betul dan ada salahnya.

PRO DAN KONTRA

Hakikatnya, umat memang memerlukan kerajaan untuk melaksanakan undang2 dan hukum Islam. Ya, boleh jadi apa yang berlaku di Kelantan baru2 ni seakan mengiyakan lagi statement itu. Andai kelantan tidak dimiliki oleh Pas, apakah kuatkuasa pengharaman pemakaian gincu dan tumit tinggi oleh wanita yang bekerja dapat dilaksanakan? Sudah tentu tidak!

Namun, ingin saya bertanya apakah matlamat dakwah? Adakah dakwah kita bertujuan untuk mendapatkan kerajaan? atau dakwah tidak mungkin berjaya jika tidak tertubuhnya kerajaan. Aduh, mungkin aku tersilap faham akan maksud sebenar TGNA atau pendokong Pas yang lain. Tapi hakikatnya begitulah yang aku faham. Malah banyak ceramah mereka dihiasi dengan mentaliti dan fahaman ini.

Jika benar sangkaan aku, maka - Wallahua'lam - Pendapat ini tertolak. Bahkan bukanlah ruh dakwah itu untuk tujuan mendapat pangkat dan kuasa akan tetapi tidak lain hanyalah untuk menyampaikan apa yang diseru oleh Rasulullah dan nabi2 yang sebelum ini.

Firman Allah di dalam Surah al-Nahl ayat 36:

Dan sesungguhnya Kami telah mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): "Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut".

Adapun kalau sudah selesai misi dakwah ini - iaitu mengajak manusia untuk mengaku bahwa tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah - disedari bahawa kerajaan diperlukan untuk kebaikan umat, maka berdoalah agar dikurniakan kuasa oleh Allah.

Kejayaan dakwah para anbiya' berpunca daripada keikhlasan dan ketekunan mereka dalam menjalankan prinsip Islam. Kejayaan bukanlah kemestian dalam dakwah. Malah berdasarkan beberapa hadith terutama hadith sahih dalam Bukhari dan Muslim yang menceritakan bahawa ada nabi yang tiada seorang pun pengikut.

Kalau dikatakan politik adalah kemestian untuk setiap pendakwah, maka hadith Rasulullah ini menyatakan sebaliknya:

"Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ia akan menjadi penyesalan pada hari kiamat. Ia sesuatu yang nikmat pada permulaannya tapi keburukan pada akhirnya" (riwayat al-Bukhari).

Sabda Rasulullah lagi:

Daripada Abu Musa katanya: Aku dan dua orang lelaki dari kaumku telah masuk kepada Nabi. Salah seorang daripada dua lelaki berkenaan berkata: Lantiklah kami menjadi ketua wahai Rasulullah! Seorang lagi juga berkata demikian. Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya kami tidak melantik dalam urusan ini sesiapa yang memintanya atau bercita-cita untuk mendapatkannya (riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Malah tidak kurang juga seperti kisah Abdul Rahman bin Samurah ketika meminta jawatan daripada Rasulullah.

SURAT TERBUKA AL-NADWI

Akhir sekali, mari kita renung antara kata - kata al - Nadwi dalam surat terbuka kepada Gerakan Ikhwan tentang dakwah para rasul:

“Wahai tuan-tuan! Besarnya perbezaan antara matlamat yang dituju dan natijah yang muncul. Perbezaan ini akan zahir dalam jiwa yang bekerja untuk itu. Maka, yang bertujuan mendapatkan kerajaan, akan hilang kesungguhan dan diam apabila tidak memperolehinya, atau hilang harapan mendapatkannya. Dia akan berhenti dari dakwah. Dia juga akan melampau jika berjaya.

“Bahaya bagi setiap jemaah (kumpulan) yang pemikiran mereka dibentuk atas cinta (mendapatkan) kerajaan (kuasa) dan bekerja untuk itu. Kerana ia akan menyebabkan mereka meninggalkan jihad di jalan dakwah atau boleh terpaling dan terseleweng tujuan mereka. “Sebabnya, uslub (cara) untuk mendapatkan kerajaan berbeza dengan uslub dakwah. Wajib kepada kita membersihkan akal dan jiwa kita, semata-mata untuk dakwah. Hanya dakwah, khidmat, pengorbanan, mengutamakan saudara Muslim, mengeluarkan manusia – dengan izin Allah – dari segala kegelapan kepada cahaya (Islam), dari jahiliah kepada Islam, dari kesempitan dunia kepada keluasannya. Dari kekejaman agama-agama yang sesat, sistem-sistem yang zalim, mazhab-mazhab yang tidak menentu, kepada keadilan Islam dan lembayungnya.

“Jika pada satu peringkat dakwah, atau pada satu masa – setelah prinsip-prinsip dakwah dan akidah kukuh dalam jiwa pendakwah – tujuan dakwah tidak dapat dicapai melainkan dengan mendapatkan kerajaan, kita akan berusaha untuk mendapatkannya. Demi kemaslahatan dakwah. Dengan jiwa yang luhur dan bersih, benar dan amanat, khusyuk dan tulus, seperti kita bersungguh dalam tanggungjawab dan rukun agama, juga ibadah-ibadah yang lain. Tiada beza bagi seorang mukmin antara kerajaan dan ibadah yang lain, jika telah ikhlas dan betul niatnya. Kesemua itu dalam reda Allah, kesemuanya pada jalan Allah. Kesemuanya ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah.” (rujukan: al-Qaradawi, al- Syeikh Abu al-Hasan al-Nadwi kama ‘araftu, m.s. 122-125, Damsyik: Dar al-Qalam).

No comments:

Post a Comment